Tajassus

Di penghujung usia, dapat bertemu sahabat dan saudara-mara sentiasa mengujakan. Keterujaan bukan hanya untuk mengimbau kenangan lama, tetapi juga mengambil peluang memohon kemaafan dari mereka. Yelah, tiada siapa tahu andai itu pertemuan terakhir.

Namun, biasanya majlis pertemuan semula menjadi medan bercerita. Asal ada yang memercikkan satu kisah, berpanjang-panjanganlah jadinya.

Namapun manusia. Kita jadi seronok mahu tahu lebih lanjut kisah demi kisah ini, apalagi bila terselit kontroversi. Makin sedap jadinya.  Anggapan kita, cerita-cerita itu “common secret”, semua orang tahu kisah yang dijaja.

Allah Ya Allah.

Kita tahu tetapi kita tidak peduli yang di sebalik keseronokan kita bercerita, ada banyak hati yang terluka dan menangis. Ada yang sedang menadah kedua tangannya sambil berjuraian airmata mengiringi aduan kepada Sang Pencipta. “Si polan dan si polan sedang menzalimiku Ya Allah. Berilah balasan yang setimpal kepada mereka.” Kita lupa betapa mustajabnya doa insan teraniaya

Astaghfirullahilazim.

Tajassus – yang bererti mencari-cari kesalahan orang lain dengan menyelidikinya hingga ke akar umbi, adalah penyakit yang sedang menular di ketika ini. Allah s.w.t melarang kita mencari-cari kesalahan orang lain samada dengan menyelidikinya secara langsung atau dengan bertanya kepada temannya. Ia disebut dalam ayat 12 surah Al-Hujarat yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka buruk adalah dosa dan janganlah kami mencari-cari kesalahan orang lain.”

Selain dari ayat di atas, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Berhati-hatilah kalian dari tindakan berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kaian saling mencari berita keburukan orang lain, saling memata-matai, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Apa yang berlaku hari ini, setiap hari, kita berhadapan dengan keadaan tajassus. Begitu bangga bila dapat menjatuhkan sesama sendiri. Bukan setakat dengan sahabat mahupun saudara-mara, malah dengan mereka yang tidak dikenali juga kita sanggup bersusah-payah mencari bahan yang boleh dijadikan cerita buruk.

Apatah lagi dengan kemudahan “maklumat di hujung jari.” Keyboard warrior mencari modal dan keuntungan atas runtuhan hati insan lain. Cerita yang sedikit dibesar-besarkan, dari tiada kepada ada, diselidiki hingga ke akar umbi. Demi apa?

Teringat zaman mengaji dengan Wak Ramli, imam surau di kampong dulu. Arwah Mak cukup marah kalua saya balik mengadu ada kawan usik atau kata itu ini. Bagi Mak, kalau ada orang usik maknanya kita yang mengada-ngada. Orang takkan usik kalau bukan kita yang mulakan. Sedih betul bila Mak beri jawapan sedemikian.

Satu ketika, sedang saya menyiapkan kerja sekolah, Mak panggil keluar. Tengok mata Mak pun tahu dia sedang marah. Berdebar tak boleh nak cerita. Saya nampak makcik jiran dan anaknya berdiri di depan pintu dengan wajah masam mencuka. Rupanya mereka datang ‘menyerang’ kami kerana dikhabarkan bahawa saya telah membuat si anak dirotan oleh Ustaz.

Mak memaksa saya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi apa yang telah berlaku. Marah betul saya dituduh begitu. Jelas kelihatan betapa puasnya hati makcik tu bila saya menunduk minta maaf. Namun situasi tersebut bertukar bilamana si anak tiba-tiba mengaku bahawa dia sebenarnya yang mengusik saya hingga dirotan Ustaz. Dek kerana malu yang amat sangat, sambil menyumpah seranah, makcik jiran tinggalkan rumah kami dengan tangannya lekat memiat telinga anak kesayangannya.

Mak tersenyum meleret memerhatikan mereka berlalu. Hati saya yang masih marah tertanya-tanya, kenapa Mak suruh saya minta maaf sedangkan Mak tak tanya langsung apa yang sebenarnya berlaku. Mak cuma memeluk dan mengusap kepala saya tanpa berkata apa. Dia tahu anaknya sedang merajuk.

Lama selepas itu, Mak bercerita sambil mengesat airmata. Mak tahu anaknya tidak seperti yang dikatakan orang. Anak makcik jiran tu lelaki, usianya 2 tahun lebih tua dari saya dan susuk tubuhnya tinggi dan tegap. Memang tak masuk akal anak perempuan mak yang kurus kering boleh mengusik budak lelaki yang lebih besar darinya sampai menangis. Ia hanya asbab untuk menyerang Mak. Itu saja.

Hidup Mak sentiasa diperhatikan oleh orang kampong. Ada saja cerita buruk yang dijaja. Sebab itu kami adik beradik tidak dibenarkan bebas keluar rumah melainkan untuk ke sekolah dan mengaji. Mak cuma mampu bersabar dan berdoa agar Allah jaga anak-anak Mak dan kami jadi “orang” walaupun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan.

Allah hu Akbar.

Kejadian yang hampir serupa berulang kini. Ada watak mirip anak lelaki dan ibu. Plot cerita juga lebih kurang sama tetapi skalanya lebih besar. Kami tidak punya kekuatan kerana mereka lebih dalam segenap segi. Kami redha dengan ujian yang Allah turunkan. Benar kami amat terluka dan terhimpit fizikal dan mental. Dalam pada kami berusaha dan berdoa Allah tutup aib kami dan mereka yang disayang, ada insan lain yang berusaha bermati-matian untuk melihat saudaranya berada dalam kesusahan.

Imam Abu Hatim bin Hibban Al-Busthi berkata dalam sebuah kitabnya yang dikutip oleh Syeikh Abdul Muhsin bin Hamd al-‘Abbad al-Badr dalam tulisannya sebagai berikut,

”Orang yang berakal wajib mencari keselamatan untuk dirinya dengan meninggalkan perbuatan tajassus dan senantiasa sibuk memikirkan kejelekan (keburukan) dirinya sendiri. Sesungguhnya orang yang sibuk memikirkan kejelekan dirinya sendiri dan melupakan kejelekan  orang lain, maka hatinya akan tenteram dan tidak akan merasa capai (penat).

Setiap kali dia melihat kejelekan yang ada pada dirinya, maka dia akan merasa hina tatkala melihat kejelekan yang serupa ada pada saudaranya. Sementara orang yang senantiasa sibuk memperhatikan kejelekan orang lain dan melupakan kejelekannya sendiri, maka hatinya akan buta, badannya akan merasa letih, dan akan sulit baginya meninggalkan kejelekan dirinya.”

Usia yang amat sedikit bakinya ini amat rugi untuk disia-siakan. Satu hari, mereka yang tajassus pasti akan menyesali apa yang mereka telah lakukan, namun persoalannya, sempatkah?

Nauzubillahiminzalik.