Duhai Adik: Selamat Pengantin Baru

Minggu lalu, ketika angin musim sejuk terakhir menampar wajah saya, dinginnya terserap hingga ke seluruh tubuh. Sudah tiga tahun di Korea, namun saban melalui musim sejuk, saya tetap merasakan itulah yang pertama dan paling mengujikan.
Saya menjadi tidak keruan tanpa telefon bimbit. Lima minit sekali, saya belek mesej-mesej di grup Whatsapp keluarga. Jika tidak ada mesej yang baharu, saya akan bertanya, “Mana gambar itu? Macam mana keadaan di sana?”.
Kemudian salah seorang ibu saudara menyampuk di grup tersebut, “Kak Ummu (panggilan saya dalam keluarga) badan sahaja di Korea tetapi hati di Kedah!”.
Saya senyum sendiri. Memang tidak boleh menipu, betapa saya berasa gembira sekaligus sedih kerana tidak dapat pulang menghadiri perkahwinan adik saya yang keempat, Hajar Mardhiah Abu Hassan. Saat ini saya bertarung antara tugas dan tesis. Hanya doa dipanjatkan buat keluarga dan pasangan pengantin.
Laluannya Mudah
Perkahwinan Adinda Hajar terasa dekat dengan saya. Manakan tidak, saya menjadi orang tengah memperkenalkan dia dengan suaminya sekarang. Awal tahun 2016, kami sekeluarga pulang bercuti di Kedah. Saya ingat lagi, hari itu hari Jumaat, Hajar tidak membuka kedainya. Selepas Subuh, dia mengajak anak-anak saudara termasuk Darda’ pergi berjogging di Tasik Darulaman, Jitra, 10 KM dari rumah kami.
Saya tidak ikut kerana Dawud masih tidur waktu itu. Pulang dari tasik, Hajar memberitahu dia bertemu rakan baik saya dan suami, Dr Hisham Sharif yang juga pernah menerbitkan beberapa buku dengan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. “Ustaz Hisham kirim salam pada Kak Ummu dan Abang Dhiak. Dia nampak Darda’ dan tanya Kak Ummu balik ke?” kata Hajar. Saya senyum sahaja, terasa segan kerana tidak memaklumkan kepada rakan-rakan tentang kepulangan kami.
Keesokannya, saya menerima mesej daripada Dr Hisham, “Ummu, Hajar tu sudah berpunya atau belum? Saya mahu kenalkan dengan adik ipar saya, dia sedang cari calon isteri..” Saya membalasnya, “Adik saya belum berpunya, tetapi saya perlu tanya dia dulu.”
Hati saya gembira tiba-tiba. Saya berdoa semoga Hajar terbuka untuk mengenali adik Kak Hasifah (yang juga penulis buku Begini Sayang, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd). “Dikjat (panggilan Hajar) ada orang nak kenal ni, adik Ustaz Hisham dan Kak Hasifah, boleh tak?” tanya saya separuh memujuk. “Mesti budak lelaki itu muda..” balas Hajar yang sudah berusia 29 tahun ketika itu. Dia kelihatan tidak begitu teruja. Kemudian saya bertanya Dr Hisham lebih lanjut tentang adik lelakinya. Alhamdulillah, adiknya juga berumur 29 tahun.
“Boleh sahaja nak kenal dulu,” balas Hajar. Abah dan emak juga memberi respon yang baik. “Ajak mereka datang ke rumah, abah mahu kenal dulu..” kata abah. Pesanan itu saya sampaikan kepada Dr Hisham dan isterinya. Masya Allah, minggu depan juga mereka datang, adiknya yang bernama Safuan Zakwan sanggup turun dari Kuala Lumpur ke Kedah untuk memenuhi permintaan abah.
Kami menjamu mereka nasi dan lauk-pauk kampung. Kemudian abah bersembang santai dengan Dr Hisham dan Zakwan. Saya dan emak berbual dengan Kak Hasifah. Hajar hanya muncul ketika menghidangkan air kemudian duduk di tepi emak. “Zakwan dan Hajar akan buat istikharah dulu, lepas tu baru keputusan selanjutnya,” begitulah yang diharapkan abah.
“Doalah banyak-banyak pada Allah SWT. Jika dia yang terbaik, minta Allah mudahkan,” pesan saya pada Hajar. Sebagai kakak, saya mencari infomasi tentang Zakwan daripada abang dan kakaknya, lalu saya sampaikan pada abah dan emak. Saya maklum, abah dan emak turut menunaikan solat hajat untuk jodoh Hajar.
Dua hari kemudian, saya menerima mesej dari Kak Hasifah, “Zakwan sudah istikharah, hatinya setuju untuk terima Hajar sebagai calon isteri.” Jawapan positif itu saya sampaikan pada keluarga. Abah menyerahkan keputusan pada Hajar. “Insha Allah, Dikjat dah buat istikharah juga, tenang saja hati ni, boleh,” balasnya. Alhamdulillah, sejak saat itu kami semua mendoakan terbaik untuk jodoh mereka.
Saya sekeluarga pulang ke Korea. Urusan seterusnya Dr Hisham berhubung langsung dengan abah. Hajar dan Zakwan bertunang. Ramai adik-beradiknya dari Pahang turun ke Kedah.  Mereka pilih tarikh 24 Mac 2017 sebagai tarikh akad nikah. Sebelum sampai tarikh itu, beberapa kali Hajar menyatakan pada saya, “Takutlah Kak Ummu, makin dekat dengan kenduri, makin risau..”
Saya membalas, “Tak usah takut adikku, berdoalah pada Allah SWT. Kita berkahwin hanya untuk dapatkan redho dan cinta Allah. Peganglah niat ini. Jodoh yang Allah pilih buat kita itulah terbaik untuk kita dunia akhirat.” Ya, tanpa proses bercinta sebelum kahwin seperti muda-mudi sekarang, terasa aneh dan pelik. Tetapi hakikatnya, itulah yang terbaik, menjadi tradisi orang-orang soleh. Kita minta jodoh dari Allah, dan ketika Allah berikan kita calonnya, teruslah berdoa supaya cinta manusia tidak menenggelamkan cinta kita kepada Allah SWT. Segalanya hanya kerana Dia.
Syukur, tarikh 24 Mac 2017 lalu, Hajar dan Zakwan selamat mendirikan sebuah masjid rumahtangga. Dari Korea, saya mengirim mesej buat mereka berdua.
Hajar,
“Jadilah tiga peranan ini kepada suamimu. Jadilah umman (ibu) ketika dia perlukan kasih-sayang dan doronganmu, sediakanlah keperluan dan makanan buatnya. Kemudian, jadilah ukhtan (teman wanita) kepadanya saat dia dalam perjalanan, mendengar masalah dan lawan bicaranya, berkongsi idea dan ilmu bersamanya. Ketiga, jangan lupa menjadi bintan (anak perempuan) kepada suami iaitu karakter anak yang suka bermanja, keletah dan merawat hatinya yang resah. Saat dia melihatmu, hilang resahnya.”
Zakwan,
Selamat memasuki dunia wanita yang penuh emosi. Bimbinglah isterimu agar dia dapat menjadi sebaik perhiasan dunia seperti yang disabdakan Rasulullah SAW, sebaik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Pasti, peranan suami yang paling utama ke arah itu.
Allah ya Allah, Segala pujian dan segala keindahan adalah milikMu. JanjiMu buat mereka yang meminta dan merayu padaMu sentiasa Kau Dengar.