Assalamualaikum

Assalamualaikum.

Ucapan ini mendamaikan. Ia merupakan kalimat baik. Allah membuat perumpamaan betapa kalimat baik ibarat pohon baik, berakar teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon ini menghasilkan buah pada setiap musim dengan izinNya.

Mak Cik ini usianya sekitar setengah abad. Beliau sering ke pejabat dengan mengucapkan “Assalamualaikum, Assalamualaikum, Assalamualaikum”. Rutinnya tiga kali. Apabila kami mendengar ucapan ini muncul rasa gembira keseronokan. Spontan kami membalas dengan ucapan Wualaikumusalam.

Kami akan membeli kerepek pisang tanduk dan ubi kayu untuk berkunyahan sambil bekerja di pejabat. Kerepek makcik ini sedap dan rangup belaka kerana beliau mengorengnya setiap malam.

Jika pada hari makcik tidak datang, kami terasa kerinduan ucapan salam beliau kerana suaranya yang lunak, bersahaja dan memberi rasa damai di hati.

Petang itu – Sabtu  – sewaktu kami sekeluarga membeli belah di pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, saya terdengar dan mengenali suara mengucapkan, “Assalamualaikum, assalamualaikum, assalamualaikum”. Mata terus terpaling ke arah suara tersebut.

Saya melihat orang ramai membeli di sebuah van. Kelihatan seorang anak muda bersama Mak Cik yang sering hadir ke pejabat sedang melayan pelanggan-pelanggan. Saya menghampiri beliau. Terus beliau memberi salam tiga kali dengan senyum manisnya.

Waalaikumusalam makcik.  Apa makchik buat di sini?

Tolong anak berniaga kerepik. Setiap minggu inilah kerja saya.

Makchik sudah tua , laratkah lagi?

InsyaAllah , setiasa dipelihara Allah. Selagi berdaya dan sihat ni, bolehlah.

Makcik memperkenalkan kepada saya anaknya Jamali. Jamali kemudiannya bercerita kepada saya bahawa beliau pernah berkerja di pejabat pada seketika dahulu. Kemudiannya beliau berhenti kerana ingin membantu ibunya.

Allahamdulillah, kini beliau mempunyai van-van yang jual kelepik di tempat lain dengan bantuan pekerja-pekerja. Saya bertanya kepada makchik lagi, “kenapa masih menjaja di pejabat saya lagi?

“Seronok-seronok dapat berjumpa dengan Tuan lagi.”

Apabila kami ingin berlalu, makchik itu cepat-cepat masukkan sebungkus kerepek ke dalam beg plastik untuk diberikan kepada anak saya. Beliau terus mengucapkan salam sebanyak tiga kali lagi.

“Waalaikmusalam, waalaikumusalam, waalaikumusalam, terima kasih”.

Saya percaya bahawa didalam keadaan susah dan senangnya makchik ini, kehidupan beliau sentiasa sejahtera. Ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang sering suka memberi salam, mendoakan kesejahteraan orang dan sebagai balasannya orang lain bersertakan para malaikat akan jua mendoakan kesejahteraan untuk beliau sekeluarga.

Saya pernah bertanya kepada beliau kenapa suka sangat memberi salam.
Beliau hanya menjawab, ” Hanya inilah bekalan akhirat saya”.

Kita juga inginkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Begitu juga lah sebaik-baiknya kita mengucapkan salam sesama kita, adalah lebih baik lagi Allah mengucapkan salam kepada kita. Hanya Allah juga lah yang boleh kurniakan kesejahteraan ke atas diri kita.

Saya amat tertarik mengenai kisah Nabi Yunus dan Nabi Isa. Meraka telah dilempahkan kesejahteraan pada hari dilahirkan, pada hari meninggal dan pada hari dibangkitkan hidup kembali. Sesungguhnya mereka ini adalah hamba Allah, merupakan Ahli Kitab, seorang nabi, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berbakti kepada ibu dan tidak sombong serta zalim .

Setiap kali apabila sebelum selesai solat, saya akan memberi salam di sebelah kanan dan kemudian di sebelah kiri. Saya seolah-olah ingin memaklumkan kepada malaikat-malaikat bahawa saya telahpun sempurna menunaikan solat. Saya mengharapkan para malaikat akan membawa solat saya itu terus keatas langit untuk di persembahkan kepada Tuhan Maha Esa.

Semoga Allah akan menerima solat saya itu. Amin.

Pada satu ketika nanti apabila sudah sampai masa tamatnya riwayat, saya mengharapkan para malaikat akan memberi salam lalu membawa roh keatas langit. Pada waktu itu , alangkah manis dan harumnya salam itu yang akan menemani roh saya untuk berjumpa dengan Maha Pencipta.

Akhirnya, kita semua berharap menjadi diantara orang-orang yang akan diberi salam oleh Tuhan.

Semoga dengan izin Tuhan, kita semuanya akan pergi ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan kekal di dalamnya. Kita akan menerima ucapan penghormatan “salam” apabila berada di situ, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang. Ini adalah ucapan salam yang teragung – ucapan selamat dari api neraka!

Maka pada hari itu kita akan sentiasa sejahtera di dalam kesibukan keseronokan di dalam syurga.

InsyaAllah.