Kepunyaan DIA

Kenapa di dunia?

Kehidupan manusia di dunia sangat singkat. Secara perbandingan hanyalah ½ saat. Ia tidak masuk akal. Bukankah purata kematian bangsa Melayu di sekitar 74 tahun? Bukankah ada manusia hidupnya melebihi 100 tahun? Lalu bila diterangkan terjemahan ayat 45, surah Yunus – barangkali – kita akan berfikir dalam dan panjang.

Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

Namun manusia tidak fikir begitu. Masa kelihatan sangat panjang. Kita lebih ralit berfikir dan melihat laluan kehidupan bermula dari dalam rahim, bayi, remaja, dewasa dan tua beruban.

Masa singkat di dunia hanya dapat difahami jika kita membandingkan dengan masa infiniti (tanpa had atau batas) di syurga Firdaus. Dunia hanyalah laluan sementara – perlu dilalui – sebagai tempat ujian menentukan di mana akhirnya manusia berakhir. Bukankah Allah SWT telah nyatakan tujuan manusia dijadikan melalui ayat 56, surah Adz-Dzariyat yang bermaksud,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Lalu seluruh kehidupan ini – baik atau buruk – merupakan ujian yang perlu ditempuh dengan sentiasa menghampirkan diri kepadaNya. Sakit dan sihat atau suka dan duka – akhirnya – perlu membawa kita menyembah dan beribadat kepadaNya. Lebih hampir. Lebih bersungguh dan lebih mengharap.

Itulah penawar asas kepada segala ujian dunia yang hanya seolah-olah berlaku ½ saat sahaja. Memahami hakikat ini pastinya memberi kekuatan luar biasa kepada manusia yang sedang berhadapan dengan bisikan-bisikan jahat mengganggu emosi diri. Benar … penawar emosi terganggu adalah dengan mencari ketenangan jiwa. Ia tiada di kelab malam, karoake atau bersama teman.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

(Terjemahan surah al-Baqarah: 155-166)