Haji mabrur

Musim haji bermula.

Di Malaysia, jemaah terpilih sudah dimaklumkan. Kursus haji menghampiri kemuncak.

Dua minggu lepas, saya melihat replika Kaabah di laman masjid Kg Jawa, Segamat. Kuliah subuh juga membicarakan topik haji. Kemudian, adik bercerita, “ujian kesihatan gagal. Tekanan darah tinggi.”

Pada sudut yang berbeza akan sentiasa ada yang beria-ia mahu pergi tetapi tidak terpanggil. Sungguh … ibadat ini sentiasa mempunyai kisah dan aroma tersendiri. Setiap tahun rutin sentiasa kembali.

Jemputan untuk saya berceramah atau memberi motivasi haji mula muncul. Setiap tahun juga saya menukar slide persembahan. Tidak banyak … sedikit, terutamanya yang membabitkan perubahan terkini. Paling tidak memastikan slide lebih kemas dan menarik.Namun ada soalan yang tidak lupa saya kemukakan kepada jemaah,

Apa yang tuan (puan) harapkan daripada menunaikan ibadat haji?

Jawapannya sudah boleh ditelah, “haji mabrur,” atau dalam bahasa berbeza, “mendapat keredaan Allah SWT.” Lalu soalan seterusnya yang mahu difikirkan, “bila kita tahu yang kita dianugerahkan dengan haji mabrur?”

Jawapan kepada soalan ini memberi kesan besar kepada persediaan yang masih berbaki, kegiatan ketika di Makkah dan Madinah serta kelakuan selepas kembali ke Tanah Air.

InsyaAllah … hujung minggu ini saya akan berada di kawasan Nibong Tebal atas jemputan Masjid Baru Sungai Bakap. Jadual penuh keberadaan di sana adalah seperti berikut:

14.4 Motivasi di MRSM Transkriang (3 petang)
14.4 Kuliah Maghrib di Surau Seri Putra
15.4 Kuliah Subuh di Masjid An-Nur Teluk Ipil
15.4 Kuliah Maghrib di Masjid Baru Sg. Bakap
16.4 Kuliah Subuh di Masjid Daerah SPS
16.4 Motivasi Haji di Masjid Baru Sg. Bakap (9 pagi)

Dipersilakan hadir. Terbuka kepada umum termasuk di MRSM.