Tabahlah hati mu …

 Sungguh menakjubkan berkaitan orang yang beriman kerana segala urusannya adalah baik baginya. Perkara ini tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu’min, iaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur kerana (ia mengetahui) bahawa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia ditimpa musibah, ia bersabar kerana (ia mengetahui) bahawa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya.

Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar.

Semoga Allah menganugerahkan ilmu bermanfaat kepada kami sebagai panduan bagi menjalani kehidupan di dunia sementara. Allah ya Allah, bukankah al-Quran dan sunnah Rasul itu tersedia dengan pelbagai ilmuNya? Lalu biarlah kami memohon kepadaNya agar diberi ketajaman fikiran, kekuatan ingatan dan ilham untuk menulis serta kelancaran tutur kata bagi mengamal dan menyampaikan ilmuNya kepada khalayak. Janganlah kami tergolong daripada golongan yang degil dan rugi.

Hadis riwayat Imam Muslim ini saya tatapi, amati dan amal sepenuh hati dan perasaan apabila ditimpa bencana tubuh pada awal 2011. Kisah ini telah saya dokumenkan melalui kitab Bersyukur Saat Diuji yang telah diterbitkan pada 2012. Saya tidak bercadang untuk mengulas kembali catatan tersebut apabila membicarakan hadis di atas – jika diamalkan – yang boleh mengubah seluruh landskap kehidupan manusia, In’sya-Allah. 

Namun saya ingin memetik sedikit perbualan dengan arwah Abah (bapa mertua) – Roslan Daud – ketika membicarakan ujian yang sedang beliau hadapi. Pada ketika itu beliau sedang menghadapi ujian badan – kanser pundi kencing – yang sudah merebak pada tahap yang paling kritikal. Abah kelihatan lemah sekali.  

Petang itu saya bertanya sambil mengusap-usap kawasan kesan kanser tersebut, “abah, rasa di kawasan ini tidak terlalu keras. Abah sakit?”. Saya terkejut mendengar jawapan ringkas beliau, “Mil, abah 70 tahun Allah bagi sihat sejahtera. Alhamdulillah. Ini baru sekarang Allah uji sedikit dengan kesakitan. Alhamdulillah”.

Allah ya Allah, ia kata-kata menampar jiwa dan perasaan. Bila Abah dijemput pulang oleh Allah SWT, saya setiasa mengenangi kata-kata beliau yang merupakan jawapan kepada bagaimana mahu menghayati hadis yang tercatat di atas. Beliau bersyukur dengan nikmat kesihatan yang telah dianugerah Allah.

Malah beliau kelihatan lebih bersyukur apabila diuji pada saat-saat akhir kehidupan terutama ketika ditimpa musibah. Abah lebih hampir kepadaNya. Begitulah, sebelum menutup mata Abah bersaksikan yang tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya. 

Juga, saya terkenang arwah ibu – saya memanggilnya Wan – yang telah diserang angin ahmar pada 1993. Dua tahun kemudian ayah meninggalkan Wan dan kami sekeluarga. Beliau ibu yang telah melahir 12 anak hampir selang setahun dan bertugas sepenuh masa menyaksikan anak-anak membesar sehingga beliau meninggalkan kami pada 29.9.2003.

Hampir seluruh usianya begitu. Beliau berkahwin ketika berusia 13 tahun dan meninggal ketika umurnya 59 tahun. Maksud saya, hampir 35 tahun usia perkahwinan, Wan membesarkan anak-anak dan 10 tahun lagi menghadapi ujian badan yang benar-benar menguji jiwa dan perasaan. 

Namun ada sesuatu yang ingin saya catatkan. Hampir 10 tahun – semenjak diserang angin ahmar – Wan kelihatan tenang dan bersyukur dengan bencana tubuh yang melanda. Caranya agak mudah. Wan bersabar dan bersolat seumpama saranan Allah SWT melalui surah Al-Baqarah ayat 45 yang telah dicatatkan dalam catatan terdahulu.

Hampir setiap malam beliau bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa dengan bersolat, berdoa dan membaca al-Quran. Saya tahu beliau benar-benar memohon keampunan Allah dan berdoa agar anak-anak dipermudahkan kehidupan dunia dan akhirat. Sekeluarga telah menyaksikan Wan pergi dalam keadaan tenang dan damai.

 Allahu Akbar, saya melihat peristiwa hampir dengan kehidupan sendiri yang menggambarkan ciri-ciri manusia beriman – yakni – mereka yang sentiasa bersyukur dengan pelbagai ujian Allah, sama ada ujian suka ataupun duka.

Bagi mereka yang memahami, kehidupan di dunia itu sendiri merupakan ujian yang akhirnya menjawab persoalan sama ada manusia mampu menyembah dan beramal ibadat kepadaNya dalam apa jua keadaan. Realiti kehidupan manusia sangat bercanggah dengan ciri-ciri manusia beriman (mukmin) sekurang-kurangnya dalam dua keadaan berbeza.  

Pertama – misalnya – kehidupan manusia itu sendiri sentiasa berada di dalam keloh-kesah. Manusia bongkak dengan nikmat kemewahan dan terlalu kecewa dengan kesukaran kehidupan. Misalnya Allah menerangkan secara tegas sifat lemah manusia melalui ayat 15 dan 16 surah Al-Fajr yang bermaksud,

 (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!. Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!” 

Bersyukur dengan kemewahan bukan hanya dengan ucapan semata-mata. Saya fikir, tanda mereka bersyukur dengan kemewahan ini dengan meneruskan amal ibadat yang telah disarankan oleh Allah SWT. Golongan ini merupakan mereka yang sentiasa tunduk sujud kepadaNya.

Misalnya, asas-asas agama seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji wajib dilakukan. Malah mereka yang benar-benar bersyukur dengan nikmat tersebut akan terus menambah amalan yang bersifat sunat seperti berpuasa Isnin dan Khamis (nota: saya menyarankan supaya kita berpuasa Nabi Daud), bertahajud, solat sunat Dhuha, bersedekah dan pelbagai amalan lain yang mampu kita lakukan.

 Namun mereka yang diberi kemewahan sering lemas dengan kekayaan dunia. Wang RM1000 tidak lagi bernilai apabila berada di tangan. Hati mencari RM10000. Kemudian RM100000 dan seterusnya. Ia berterusan sehingga kehidupan mengejar dunia tidak berkesudahan. Dalam diam-diam manusia meminggirkan ibadat khusus yang jelas penting buat bekalan kepada kehidupan sesudah mati. Hatta usia pencen yang sisa berbakinya sangat sedikit masih diteruskan untuk mencari kekayaan dunia.  

Benar, ia tidak salah – malah kita perlu mencari kekayaan – tetapi ia perlu disertai dengan objektif akhir untuk menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Lebih parah lagi ia disulami dengan kesombongan melampau kepada Allah SWT dengan melakukan pelbagai perkara yang sangat meloyakan seperti mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa dengan menjaga kepentingan keluarga, kroni dan mereka yang berkepentingan.

Kita bertindak rakus sehingga terlupa ada yang Maha Berkuasa sedang memerhatikan bagaimana manusia sedang melakukan kezaliman di atas muka bumi.

 Kekayaan seumpama ini – akhirnya atau kebiasaannya – disulami dengan sedikit kesukaran kehidupan sebagai tanda ingatan kepada manusia yang lalai dan terlupa. Allah ya Allah…. Ia memang sifat manusia. Kadangkala mereka diuji dengan bencana badan, tingkah laku anak-anak dan isteri. Mungkin juga dengan ujian perniagaan yang merosot.

Malah ada yang diuji dengan tindakan undang-undang di atas kesombongan diri. Ada yang diturunkan pangkat dan darjat di dalam organisasi. Malah ada yang terhina di mata masyarakat. Allah ya Allah, namun ingatan demi ingatan ini tidak berbekas di hati. Mereka terus berkeloh-kesah, menyesali Qada dan Qadar tanpa langsung berfikir untuk bertaubat dan menghampirkan diri kepada Allah SWT.

 Allah ya Allah, jauhilah kami dari bersifat sedemikian takut-takut Allah memurkai kita sebagaimana hadis riwayat Ibnu Majah yang bermaksud, 

Sesungguhnya ketinggian pahala itu setimpal dengan kegetiran ujian. Sesungguhnya Allah sekiranya Dia cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang reda akan mendapat keredaan dan sesiapa yang marah akan mendapat kemurkaan.

Kedua, manusia yang kembali kepada PenciptaNya ketika mengalami ujian kehidupan dan kemudiannya beransur-ansur (serta-merta) meninggalkanNya setelah dikeluarkan daripada ujian kesusahan tersebut. Itulah perlambangan sifat buruk manusia yang sentiasa lupa dan mempunyai daya ingat yang sangat singkat. Kemewahan dan kegembiraan melalaikan manusia. Ia dinyatakan secara khusus oleh Allah SWT melalui surah Luqman, ayat 32 yang bermaksud, 

Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata.  

Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi. 

Subhanallah. Saya menyaksikan beberapa pusingan kegawatan ekonomi yang melanda negara sehingga menyebabkan ramai sanak-saudara, kaum keluarga dan sahabat handai menerima kesan langsung. Mereka yang terlibat di dalam dunia perniagaan jatuh merundum. Ada pula yang diberhentikan kerja. Rakan-rakan yang sudah ditawar biasiswa ke Luar Negara ditarik balik. Kenaikan pangkat dibekukan. Malah ada anak-anak yang sedang belajar di Luar Negara terpaksa dipanggil pulang. Juga, kemewahan diri terpaksa dicatu. 

Namun ia memberi kesan positif kepada sesetengah insan. Mereka lebih hampir dengan Allah SWT. Masa terluang diisi bertandang ke rumahNya, sesuatu yang terpinggir – bertahun-tahun – akibat kesibukan dengan urusan dunia. Ada juga yang mulai belajar bangun malam bertahajud, berdoa dan bermunajat mengadu pada 1/3 malam tersisa dengan kesempitan rezeki dan kesusahan kehidupan.

Malah Mekah dan Madinah menjadi kunjungan popular. Ia saat kusyuk yang luar biasa. Mungkin, inilah saat-saat “bersabar dan bersolat” yang dianjurkan ketika menghadapi ujian. Ia rasa luar biasa. 

Dalam konteks yang lebih kecil, saya juga menyaksikan sendiri bagaimana rakan yang benar-benar berharap untuk berjaya di dalam pengajian – misalnya – PhD atau sarjana sentiasa hampir kepadaNya. Malah mereka yang memohon kenaikan pangkat – misalnya – ke jawatan profesor serta mahu berjaya di dalam kontrak perniagaan yang nilainya beratus ribu atau jutaan ringgit kembali meminta kepada Dia Pemberi Rezeki. Allah ya Allah, hinggakan keinginan mahu melihat anak-anak berjaya di dalam peperiksaan besar – misalnya – SPM, PMR atau UPSR menyebabkan mereka hampir kepadaNya. Setiap satu meminta-minta kepadaNya dengan pelbagai cara. Begitulah kesungguhan manusia apabila mereka berhajat sesuatu. 

Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Malah Dia Maha Mendengar. Surah al-Ikhlas menyatakan Dialah tempat manusia meminta sebarang hajat, “katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. Kemudian melalui surah Ash-Sharh, ayat 5-8 dinyatakan,  

Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

 

Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

 

Begitulah, janji Allah sangat benar. Manusia yang sabar dan hampir kepadaNya ketika diuji dengan kesulitan atau kesusahan akan mendapat kemudahan. Namun – sebagaimana ayat 32 surah Luqman – bila diperkenankan hajat ramai yang tidak tahu bersyukur. Istilah kehebatan ilmu, kepandaian diri, kenalan, strategi yang tepat, usaha gigih dan pelbagai istilah lain mengatasi bantuan Allah SWT. Cubalah mengira – seumur hidup – berapakali kita sujud syukur apabila setiap kali permintaan kita dimakbul Allah. Malah amalan-amalan seperti solat berjemaah, bangun malam, berpuasa sunat, solat sunat dan pelbagai yang lain menginsut pergi bersama dengan kesenangan, kemudahan dan kejayaan yang diperolehi. 

Saya tidak mahu begitu. Kedua-dua hadis yang telah saya pelajari dan dinyatakan melalui catatan ini mahu saya amalkan agar biarlah saya, keluarga dan rakan-rakan menjadi golongan yang sentiasa bersyukur bila diuji dengan kemewahan, kesenangan, kesusahan atau kesulitan. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami agar kami termasuk di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Allahu Akbar.  

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Nota Hadis: (l) Hadis riwayat Imam Muslim pada sohihnya melalui kitab: Zuhud dinyatakan dalam bab: Orang mukmin itu segala apa yang berlaku padanya adalah baik. Hadis nombor 2999.

 

(ll) Hadis riwayat Ibn Majah. Hadis nombor 3272. Ia dinilai hasan oleh al-Albani