TUKANG MASAK

Saya pernah berkata pada diri, jika mahu melibatkan diri dalam keusahawanan, saya tidak akan memilih untuk menjadi tukang masak. Ianya menyebabkan saya letih, lalu hal-hal yang lain terutama ibadah akan terabai. Itu fikiran ketika masih remaja; belum menanggung banyak tanggungjawab dan hutang (pendidikan).

Keadaan berbeza sekarang.

Pertengahan tahun 2016, ramai kawan di Seoul kembali ke tanah air. Urusan pengajian dan kerjaya mereka diteruskan pula di Malaysia. Rumah kami menerima pelbagai barang. Dari pakaian, makanan, basikal, permainan anak-anak sehinggalah mesin pembungkus makanan. “Mana tahu Dhiak akan jadi usahawan makanan selepas ini,” kata rakan suami.

Sebenarnya, kami adalah generasi ketiga yang menerima mesin itu di Seoul. Tuan yang membeli itu sudah menginfakkan kepada siapa yang mahu. Nanti, jika kami pulang ke Malaysia, mesin itu bertukar tuan.

 Jodoh kami dengan perniagaan makanan halal pun bermula. Rakan-rakan kami membuat agensi pelancongan Malaysia-Korea. Setiap hari, diperkirakan lebih 300 orang Malaysia datang ke Korea terutama di musim bunga, musim gugur dan musim salji, menjadi lebih ramai. Keperluan makanan Melayu antara topik yang popular. “Abang Dhiak boleh masakkan untuk pelancong Malaysia hari ini?” tanya seorang rakan pemandu pelancong.

Suami bertanya saya pula. “Apa salahnya kita mencuba asalkan tidak mengganggu waktu mengajar,” balas saya. Kami berdua mulai belajar memasak untuk 40 orang. Pertama kali ramai begitu. Suami memasak nasi dalam periuk elektrik kecil berulang-kali. Saya pula menyediakan lauk dan sayur. Setelah siap memasak, suami pun menggunakan mesin tersebut untuk membungkus makanan.

Hari itu, kepenatan kami terubat melihat pelancong Malaysia makan penuh asyik; barangkali bukan kerana sedap tetapi kerana nikmatnya makanan Melayu di rantauan. Bayaran untuk makanan juga boleh dibuat simpanan. Alhamdulillah.

Minggu berikutnya, rakan kami bertanya lagi, “Mahu masak untuk pelancong tak Abang Dhiak? 80 orang!” Suami merujuk saya. Oleh kerana waktu itu hari minggu, kami menerima tawaran tersebut, dalam getaran. Saya menelefon emak di Kedah, memberitahu kami akan masak untuk 80 orang. Emak sangat terkejut, “Mampu ke masak ramai macam tu, dah seperti kenduri,” kata emak. “Insha Allah mak,” balas saya.

Memasak untuk 80 orang sungguh mencabar jika tidak dimulakan sebelum Subuh lagi. Malam sebelum memasak, saya dan suami mula memotong ayam dan sayur-sayuran. Terasa seperti kenduri. Kami hanya tidur tiga jam dan bangun awal sebelum anak-anak terjaga. Saya perlu memasak berulang-kali dek kekangan dapur.

Akhirnya, walaupun masakan untuk 80 orang itu berjaya, ada hal yang saya ralatkan iaitu anak-anak. Baik saya mahupun suami tidak sempat memberi perhatian pada mereka menyebabkan rumah berkecah dan anak-anak meragam. “Cukuplah kita masak dengan kemampuan kita sahaja, jika ordernya banyak, kita agih-agihkan kepada teman-teman yang lain,” kata saya dipersetujui suami.

 Bulan-bulan berikutnya, suami membuat page di Instagram dan Facebook. Dia menamakan ‘Halal Food Korea’ dengan menu khusus untuk masakan Melayu. Syukur, usahanya itu mendapat sambutan. Sebahagian tempahan kami berikan juga kepada jiran Muslim kami yang mahu memasak. Paling tidak dilupakan, suami menerima tawaran memasak untuk atlet bola jaring Malaysia yang mengadakan perlawanan peringkat Asia di Jeonju selama 10 hari.

Peluang itu menambah pengalaman di perantauan. Saya teringat gurauan suami saat kami membawa barang-barang ke Jeonju, 200 km dari Seoul. “Kereta ni penuh macam nak pergi berniaga di pasar malam. Jika di Malaysia, belum tentu kita akan buat begini, tetapi di perantauan, perlu bekerja keras.” Dia juga mengingatkan saya bahawa bukan keuntungan yang kami kejar, tetapi yang lebih penting menyediakan makanan halal kepada Muslim yang memerlukan.

Saat ini, saya masih tidak yakin menjadi seorang chef kepada orang lain kecuali keluarga. Belum sebati dengan jiwa. Dua tiga hari memasak tanpa henti, saya cepat lelah dan sering beristigfar, agar niat tidak lari. Memasak perlu dari hati, dan memasak tidak boleh ragu-ragu.

Syukur, peluang memasak ini Allah SWT berikan di saat saya sudah selesai menulis tesis. Ia seperti dunia lain yang saya singgah bagi melepas bahagia. Namun, saya selalu ingat bahawa, memasak untuk berniaga bukan tujuan utama. Jika tidak sesuai waktunya, kami panjangkan peluang kepada rakan-rakan lain di Korea.

Ramadan telah bertandang. Semoga bulan mulia ini menjadikan kita makin hampir dengan Allah SWT di setiap detik masa walaupun ketika memasak dan menyuapkan anak-anak. Ya Allah, berkatilah Ramadan kami dengan kebaikan dan keampunanMu.