Keputusan

Keputusan telah dibuat. Ia sangat jelas. Itulah impian yang tidak boleh gagal. Hati menyatakan,

Kami mahu memasuki syurga terbaik tanpa dihisab. Malah saya mahu bersama dengan kedua orang ibu bapa, isteri dan anak-anak serta kaum keluarga yang lain.

Biarlah guru-guru, rakan-rakan, anak-anak murid serta seluruh kaum muslim dan muslimat turut dirahmati Allah SWT bersama di Firdaus melalui laluan VVIP.

Malah saya sering berdoa agar keberadaan di dalam kubur hanya seketika. 

Apakah ia permintaan tidak logik? Apakah ia keputusan melampau? Bolehkah begitu? Misalnya, soal kubur. Apakah Baginda SAW – secara mutlak – terpaksa menunggu sehingga hari dibangkitkan? Jika begitu, bermakna alam kubur kita lebih singkat berbanding Baginda SAW.  

Tentu sekali ia tidak begitu. Jangka masa berada di dalam kubur bersifat relatif. Ia bergantung kepada bagaimana hubungan manusia dengan pemilik kubur tersebut. Allah SWT telah menceritakan peristiwa tujuh pemuda (bilangan sebenar hanya Allah yang Maha Mengetahui) dengan seekor anjing yang telah ditidurkan selama 309 tahun. Inilah perasaan mereka apabila dibangkitkan semula. 

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari …

(Terjemahan surah al-Kahf:  sebahagian ayat 9) 

Kedua, apabila dibangkitkan di Padang Mahsyar, saya tidak mahu menunggu lama dengan segala kesulitan atau kesusahan sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT. 

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). 

(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

 (Terjemahan surah Ibrahim: 42-43)

 Ia bukan satu pilihan bijaksana untuk merasai sebagaimana petikan ayat terjemahan di atas. Tidak. Jika diberi pilihan, maka meluncur terus ke syurga Firdaus merupakan impian yang mahu dijadikan kenyataan. Ia tidak mustahil kerana ia tawaran yang telah dimaklumkan kepada setiap manusia.

Ketiga, saya cintakan isteri – Roza – dan anak-anak – Sara, Azrai, Amirul dan Sofea – serta kedua ibu bapa – Ayah, Wan, Mak dan Abah – serta kaum keluarga dan mereka yang hampir. Allah ya Allah … ia bukanlah satu mimpi yang tidak boleh menjadi realiti. Bukankah sudah Allah SWT nyatakan secara jelas bagaimana impian ini boleh menjadi kenyataan. Dia berfiman yang bermaksud,

Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga “Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 (Terjemahan surah al-Ghaffir: 8)

 Allah ya Allah … tentu sekali bertemu kembali di dalam syurga membawa implikasi besar kepada kehidupan dengan mereka yang tersayang. Ia kehidupan kekal abadi, bersifat infiniti tanpa sebarang ujian atau dugaan yang perlu ditempuh. Ia kehidupan penuh kegembiraan yang tidak dapat digambarkan oleh akal fikiran manusia. Jika ada sedikit perbandingan, maka kegembiraan paling hebat di dunia tidak dapat menceritakan keterujaan atau keseronokan kehidupan syurga.

 Namun ahli syurga mempunyai watak tertentu. Watak ini pula perlu seiras dengan anggota keluarga lain yang mahu bersama di Firdaus. Di antaranya tidak boleh bergantungan pahala apabila melibatkan hubungan dengan Allah SWT. Pahala adalah kepunyaan individu. Kita tidak dapat membantu memberi pahala kepada mereka yang lain walaupun dengan orang yang paling disayangi apabila dibangkitkan untuk dihisab.

 Secara umumnya, setiap individu bertanggungjawab kepada diri mereka sendiri. Hanya mereka yang beriman akan dikumpulkan bersama dalam suasana keceriaan luar biasa. Bukankah Allah SWT telah berfirman melalui surah at-Thur, ayat 21 yang bermaksud,

 Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

(Terjemahan surah at-Thur: 21)

 Sungguh, saya benar-benar serius mahu berada hanya seketika di alam kubur, tidak perlu bersusah payah apabila dibangkitkan, meluncur laju ke alam kehidupan paling istimewa bersama dengan mereka yang hampir. Benar, ia satu impian besar yang tidak boleh gagal.

 Saya tidak dapat membayangkan bagaimana jika ia jadi begitu. Azab api neraka paling ringan jika diletakkan pada tapak kaki boleh menyebabkan otak menggelegak. Matahari boleh jadi sejengkal di atas kepala ketika menunggu saat-saat penghakiman. Tempoh menunggu pula boleh menjadi puluhan tahun. Air peluh jatuh membasahi bumi menyebabkan sesetengah manusia tercungak-cungak tidak dapat bernafas.  

Benar, saya tidak mahu begitu.

Diam-diam saya merenung segala kisah silam yang telah kami lalui berpuluh tahun dengan satu pertanyaan mudah, “mampukah aku menggapai segala impian tersebut?”. Ia kelihatan tidak semudah itu. Hubungan dengan Dia pemberi Rahmat tidaklah berada pada tahap cemerlang.

 Tinggal lagi Dia tidak pula mahu membinasakan hambaNya yang kelihatan begitu angkuh, sombong dan tidak tahu bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan. Amal ibadat khusus nyata tidak sepadan dengan segala apa yang ada di tangan. Ujian kehidupan tidak memberi jawapan cemerlang.

Allah ya Allah … saya pandang diri dengan mata hati. Memerhatikan mereka yang hampir. Tiba-tiba saya rasa takut dan gementar melihat masa berbaki semakin suntuk. Kelihatan, dalam diam ia bergerak tanpa mempedulikan samada disedari dan diraikan atau dibiarkan berlalu begitu sahaja. Lalu – bersungguh dalam segala kelemahan diri – untuk menjadikan masa berbaki  biar bererti meskipun dengan segala kesulitan. 

Kami mohon keampunanMu ya Allah.