Warna Kegemaran

Warna-warna indah di Keningau, Sabah.

Setiap orang mempunyai warna kegemaran.

Ketika mula bekerja, saya suka memakai baju berwarna putih, seluar berwarna biru tua, bertali leher merah dan sberepatu hitam. Ia memberi kepuasan kepada diri kerana dapat merasakan aura sebagai seorang ahli korporat.

Saya fikir begitu.

Kemudian, pilihan bertukar kepada batik Terengganu yang berwarna-warni. Agaknya, saya ingin merasakan diri umpama seorang artis walaupun saya hanyalah penulis buku kecil-kecilan. Agak saya, artis sememangnya mempunyai pelbagai corak warna warni di dalam kehidupannya . Lalu ia terserlah melalui warna pemakaian.

Ini kisah buku dan pilihan warna kavernya.

Setiap kali selesai menulis manuskrip, Profesor Muhamad Kamil Ibrahim sering mengajak dan mempelawa khalayak laman sosial UMKI memilih warna kulit luar buku yang bakal diterbitkan. Perpatah Inggeris ada mengatakan, “Do not judge a book by its cover”, namun kami tetap percaya warna, tajuk dan corak kulit luar buku memainkan peranan penting memikat para pembaca untuk memiliki dan mula membaca buku tersebut.

Kami gembira kerana pilihan khalayak selalunya bertepatan dengan konsep asal buku.

Buku pertama kami berjudul ‘Ilmu Kehidupan’ di mana rata-rata khalayak memilih warna biru. Mungkin warna ini cetusan emosi yang mereka idamkan seperti lautan biru. Walaupun dilanda hujan dan ombak tanpa henti, namun warnanya tetap biru yang menyenangkan hati. Begitu jugalah di dalam kehidupan harian kita yang tidak boleh dipisahkan dengan kekecewaan dan kehilangan namun suka dan gembira – InsyaAllah – muncul selepas itu.

Buku kedua pula bertajuk  ‘Usahawan Akhirat’. Mereka memilih warna putih ibarat awan atau kapas. Ia membawa perlabangan perniagaan yang mempunyai unsur-unsur bersih dan jujur. Perniagaaan jujur disukai oleh setiap manusia yang rasional. Apatah lagi Allah SWT.

Buku ketiga ‘Merenung Diri’ dan hijau menjadi tema utama. Kami memilih warna  “evergreen” ini kerana ia memberi simbol betapa kisah-kisah yang telah berlalu samada gembira atau dukacita tetap berada di dalam kotak minda. Ia boleh jadi panduan untuk meneruskan kehidupan seterusnya.

 Buku terbaru kami bertajuk ‘Bahagia Berganda’. Warna pilihan pembaca bagi buku ini adalah kemerahan. Warna merah ini  dikaitkan  dengan semangat dan keberanian di mana buku ini dapat mengambarkannya dengan cerita-cerita ceria dan gembira di dalam kehidupan kita sekarang dan akan datang.

Sememangnyalah, warna ada kaitan dengan perasaan emosi. Jika mempunyai pilihan, kita mahu warna yang perlu dilihat memberi aroma  senang dan tenang.

Ini adalah sebuah kisah yang ada kaitan warna dan emosi kita. Pada zaman dahulu berlaku perbalahan di antara dua orang saudara. Salah seorang telah membunuh saudaranya untuk merebut harta. Maka saudara ini membuat fitnah bahawa ianya adalah angkara orang lain. Lalu mereka sering bertikam lidah dan hampir mencetuskan pergaduhan.

Akhirnya mereka membuat keputusan agar seorang Nabi di kalangan mereka memohon kepada Tuhan untuk  mencari jalan penyelesaiannya.

Permintaan Nabi tersebut telahpun dimakbulkan dan Tuhan telah meminta mereka menyembelih seekor lembu. Kemudian mengambil tulang dari lembu tersebut dan diletakkan kepada simati. Simati tersebut akan bangun dan memberitahu  siapakah pembunuh sebenar. Kemudian simati tersebut akan mati semula.

Lalu mereka meminta daripada Nabi tersebut bertanya kepada Tuhan tentang lembu dan warnanya supaya mereka boleh memilih lembu untuk disembelih. Maka Tuhan memberitahu bahawa lembu tersebut mestilah sihat dan berwarna kuning yang sedap mata memandang.

Lalu mereka ditemukan dengan lembu tersebut dan dapatlah semua orang mengetahui bahawa pembunuh sebenar.

Bagi saya, warna kuning juga adalah simbol kepada kekuasaan dan kekayaan. Ini adalah kerana warna kuning digunakan oleh raja dan kerabat diraja di istana. Manakala kekayaan seseorang itu dilihat melalui milikan emasnya yang juga berwarna kuning.

Sebagai seorang yang mempunyai hobi fotographi, warna yang amat cantik dan boleh memberikan ketenangan adalah warna kuning keemasan. Jika saya ingin mengambil gambar, saya akan menunggu waktu yang paling cantik sekali yang dipanggil waktu keemasan. Ianya adalah waktu semasa terbitnya matahari dan terbenamnya matahari. Pada waktu itu kelihatan langit sungguh indah sekali bagaikan lukisan abstrak yang mempunyai pelbagai warna kuning dan keemasan. Ianya adalah lukisan warna pilihan dari pencipta kita.

Sungguh, saya mengajak pembaca-pembaca semua agar selalulah melihat sewaktu matahari terbit dan matahari terbenam. Warna kekuningan yang unik itu amat cantik untuk mata memandangnya dan memberi ketenangan di jiwa. Hilang perasaan  resah dan tidak pula berduka cita lagi!

Di akhirat lain pula warna pilihannya . Kita akan berpakaian baju berdu berwarna hijau dan hijau tua serta bertekat dengan benang emas. Manakala kita akan duduk di atas pelamin yang berwarna kehijauan dengan dihiasi piala-piala dari emas.InsyaAllah.

 Apakah warna pilihan anda?