Kelas Pemulihan

Dalam perjalanan ke pejabat, berkumandang merdu suara Sheikh Abdul Karim Omar membaca surah Al Ihsan.  Saya tatap terjemahan setiap bait-bait ayat yang dibaca sambil ikut mengalun suara.

“Sesungguhnya orang- orang yang berbuat kebajikan minum dari gelas ( berisi minuman ) yang campurannya adalah air kafur. ) yaitu) mata air ( dalam surga )yang daripadanya hamba- hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik- baiknya.

Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana- mana. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula ( ucapan ) terima kasih. Sesungguhnya Kami takut akan(azab ) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang- orang bermuka masam penuh kesulitan.

(Terjemahan Surah Al-Insan, 5-10).

Saya tanyakan pada Bos yang sedang memandu, “Yang, Berapa kerap Abang hayati perasaan mereka yang tidak punya kemewahan harta dan hidup miskin?”

Boss jawab, “Dulu, hampir tidak pernah. Sekarang, alhamdulillah. Syukur pada Allah yang memberi petunjuk.”

Saya juga begitu. Dulu, saya rasa usaha yang kuat akan membuat kita hidup senang. Maknanya, andai ada yang hidupnya susah, ia kerana mereka kurang berusaha.

Begitulah anggapan saya. Namun sahabat baik saya, Siti, yang saya temui kembali selepas majlis Reunion, membuat saya merenung ke dalam diri dan mengerti. Lebih setahun lalu, di bulan Januari, Siti mengajak saya menemani beliau.

“Kita pegi pejabat zakat kejap ye Maha?”

“Okay.”

Saya tunggu Siti dalam kereta sementara beliau masuk ke dalam pejabat sambil main games di handphone.

Tidak lama kemudian, Siti kembali dengan wajah murung. Tiada lagi sinar kegembiraan yang tergambar di wajahnya.

“Kenapa Siti?”

“Diaorang tak proses lagi application Siti untuk wang zakat sekolah, Maha. Lambat lah dia orang ni. Geram Siti. Dah lama dah submit. Ni dah nak dekat sebulan naik sekolah. Siti belum bayar yuran budak-budak ni lagi. Hari tu dapat beli buku rampaian je. Buku kerja pun pilih-pilih.”

Saya terpaku. Kaku. Hilang suara.

“Banyak ke bantuan zakat yang anak-anak Siti dapat?”

“Alhamdulillahlah Maha. Dapatlah sorang RM250 setahun. Lepas yuran dan baju sekolah sepasang sorang.”

Kepala bagaikan dihentak dengan batu besar. Ya Allah! Sukarnya kehidupan seorang sahabat yang sentiasa tersenyum! Adakah ia berlaku kerana Siti tidak cukup kuat berusaha? Sama sekali tidak! Saya tahu dengan pasti betapa Siti berusaha siang malam demi memastikan kelangsungan hidup mereka tiga beranak selepas kehilangan suami.

Saya tarik nafas panjang sambil beristighfar. Terasa betapa kejamnya saya sebagai manusia.

Perlahan-lahan saya katakan pada hati, “betapa bertuahnya kau Suria. Banyak yang kau punya dibanding dengan Siti. Itupun tak sudah-sudah kau mengeluh. Baru sedikit kau dicuit untuk menoleh ke tepi,  kau sudah meraung menangis bagaikan langit runtuh.

Berhenti sejenak di kawasan R&R selepas pemanduan laju untuk kau lihat jejak yang kau tinggalkan dan rawat hatimu.”

Siti telah menyedarkan saya tanpa dia sedar yang dia telah menyedarkan.

Langkah laju yang sekian lama saya hayun saya perlahankan. Saya amati dengan penuh hati-hati setiap butiran, penemuan dan pengajaran yang terdapat di sepanjang perjalanan.

“Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan aku.”

Kenyataannya, bukan mudah untuk melembutkan hati, apatah lagi di usia yang sudah tua.

Subhanallah. Bertuahnya saya kerana diizinkan Allah untuk mengambil satu langkah ke belakang. Menyesali dengan sesungguh hati akan kesanggupan saya melakukan dosa sedangkan tahu apa akibatnya.

Kasih sayang Allah pada ciptaanNya, dibenarkan hambaNya yang berdosa bertaubat dan memohon keampunan tanpa mengira banyaknya dosa yang telah dihimpun dan tiada had waktu diberi. Selagi masih bernyawa.

Kini saya menjalani kehidupan umpama berada di kelas pemulihan.

Teringat betapa rajinnya arwah Bapak menghantar kami ke Balai Dakwah, Jeram di setiap cuti sekolah. Bapak kata, “Korang kena masuk kelas pemulihan. Moga-moga lekat dalam diri masing-masing ilmu yang Ustaz-ustaz kat sini ajarkan. Bila Mak dengan Bapak dah tak ada, jangan sampai ada yang sesat dalam kehidupan.”

Di Balai Dakwah saya kenal siapa dia Hassan Al Banna, apa dia Asmaul Husna dan perlunya jemaah. Nama-nama besar seperti Ustaz Sahar, Ustaz Amin dan Ustaz Nasoha sentiasa menjadi sanjungan. Tahajjud, dhuha, qiamullail dan zikir diajarkan dan dipasakkan dalam diri. Kami antara yang digelar “hantu kom-kom” dan “budak dakwah” kerana menutup aurat di kala rakan-rakan masih berskirt biru ke sekolah.

Allah hu Akbar.

Hidup yang senang membuat saya leka. Saya berjalan mengikut bengkang-bengkoknya jalanan kehidupan. Saya turuti kehendak hati yang tinggi menggunung lalu membiarkan diri masuk ke dalam lembah yang dipenuhi dosa.

Subhanallah. Maha Suci Allah.

Tidak Dia biarkan saya terus berjalan bengkang bengkok. Terjerlus seketika kaki saya dalam pasir yang dalam. Sukarnya untuk diangkat. Menangis. Meratap. Merayu padaNya mohon dikasihani.

Saya yakin dengan keampunan dan kasih sayang Allah.

Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

(Terjemahan surah Al-An’aam 6:54)