Maaf Zahir Batin

Meminta maaf sangat sukar. Memaafkan lebih lagi. Hakikatnya, tidak ada ruginya kalau bermaaf-maafan sesama kita walaupun merasakan bahawa kita tidak bersalah. Banyak perkara boleh berlaku tanpa disedari.
Saya pernah berada di satu tempat di mana penduduknya suka menyebut perkataan maaf sehinggakan jika mereka berjalan cepat dan ingin memotong laluan, mereka akan berkata “sorry”. Saya dapat merasakan ia perbuatan baik dan terpuji. Mereka ini mempunyai perasaan gembira,  bersenang hati dan saling hormat menghormati.
Saya berkeyakinan yang wajah kita akan kelihatan berseri lagi ceria jika mudah memaafkan orang. Logiknya mudah … kita mempunyai hati lapang kerana tidak mempunyai perasaan bersalah dan jiwa yang lega lagi bersih.
Sekurang-kurangnya begitulah kelihatan di wajah sahabat dan aruah ibu saya.
Baru-baru ini seorang sahabat telah datang berjumpa saya. Beliau memeluk dan bersalaman sambil mengatakan “maafkan saya zahir dan batin.” Saya tertanya-tanya di dalam hati, “apakah dia pernah buat kesalahan, saya langsung tidak ingat!”
Saya menjawab “kenapa awak cakap begitu, awak tidak buat sebarang kesalahan. Lagipun sekarang ini belum lagi bulan Ramadhan dan hari raya?” Beliau gelak lalu mengatakan “saya akan berangkat ke Mekah pada minggu depan. Takut-takutlah kalau ada pernah tersilap kata dan perbuatan.”
Seseorang yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah selalunya akan meminta maaf kepada keluarga, saudara mara dan sahabat kenalan. Mereka ini ingin pergi kesana di dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa yang telah dilakukan dengan manusia.
Mungkin mereka takut apabila pergi ke tanah suci dan tidak akan kembali lagi ke tanah air. Takut tidak akan kesempatan meminta maaf jika ajal sudah sampai disana.
Saya memberitahu sahabat saya, “sudah tentulah saya dengan ikhlasnya  memaafkan walaupun tiada kesalahan yang awak lakukan terhadap saya. Saya juga meminta maaf, manalah tahu, saya yang ada kesalahan dengan awak. Malahan saya akan tetap mendoakan awak pergi dan balik dari Mekah dengan selamat! ”
Kemudiannya, kami bersalaman lalu berpeluk sambil bermaaf-maafan. Ianya satu perasaan yang  hiba tetapi indah sekali!
Peristiwa ini mengingatkan kembali saya kepada  arwah ibu yang selalu meminta maaf kepada kami. Setiap kali kami berjumpa beliau akan mengucapkan “maafkan mak, halalkan makan dan minum zahir dan batin ya?” Walaupun tiada kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Kalau kami tidak menjawabnya, beliau akan bertanya, “maafkan mak tak.?” Ucapan beliau sentiasa menyejukkan hati kami. Kami mulai mempelajari dan mengikuti perbuatan beliau. Perbuatan seperti ini membuatkan kami sentiasa merendah diri.
Apabila beliau sudah tua – uzur dan berada di hospital, permintaannya adalah ingin berjumpa dengan ahli keluarga dan kenalan semua untuk meminta maaf. Maka ramailah diantara mereka yang datang melawat untuk  bermaaf-maafan dengan menglahirkan kata, “maaf zahir dan batin.”
Mereka semua mengimbas kembali akan kesalahan-kesalahan yang lalu dan melepaskannya lalu timbullah perasaan kesedihan bersertakan kemesraan. Mereka semuanya dilihat berasa berpuashati.
Beberapa bulan berlalu, beberapa kali doktor telah menasihati keluarga untuk memanggil kenalan ibu yang belum melawatnya  agar  datang dengan segera. Maka ramailah yang datang berkerjaran lalu sempat menetapi wajah dan memegang tangan ibu yang sudah tidak terdaya disebabkan tekanan jantung yang lemah.
Namun mereka semuanya masih sempat bermaaf-maafan dengan titisan air mata berguguran tanpa disedari. Mereka hanya rasa gembira sedikit kerana tidak dapat mendengar suara ibu memaafkan mereka. Ada pula yang datang agak lambat merasa kecewa dan berasa hati kerana kini ibu sudah nazak dan tidak sedarkan diri.
Mereka hanya dapat  melihat keredaan pada  wajah ibu yang dikelilingin dengan tiup pernafasan dan dawai talian letrik peralatan bantuan pernafasan. Mereka meminta maaf berkali-kali tanpa berhenti dengan mengalirkan airmata bercucuran namun ibu hanya mendiamkan diri tanpa sebarang pergerakan dan respon.
Mereka tidak putus-putus berdoa berkali-kali inginkan agar ibu sedar kembali untuk meminta maaf. Tetapi nyata keadaan memanglah sudah terlambat, doktor sudah menyerah kepada tuhan, tiada apa lagi yang boleh mengembalikan keadaan ibu kecuali Allah jualah.  Mereka merasa kesal dan sedih sehinggalah terbawa-bawa ke tanah perkebumian aruah ibu. Mereka tidak akan merasa berpuas hati seumur hidup walaupun menziarahi kubur aruah setiap hari.
Sesungguhnya, beruntunglah kepada mereka yang merendah diri lalu suka bermaaf-maafan. Rugilah pula kepada mereka yang mempunyai keegoan yang tinggi lalu tidak mahu bermaaf-maafan. Allah sentiasa meredai kepada mereka yang suka membuat kebaikan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini pada pengakhiran bulan Ramadhan yang lagi mulia ini dan akan bermulanya bulan Syawal yang barakah ini, ingin memohon maaf, zahir dan batin kepada semua pembaca terutamanya warga UMKI.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin.