Serabut

Dunia ini berserabut.

Perjalanan – misalnya – 20 minit boleh berakhir sehingga sejam. Tanda hati tidak tenang dan sabar boleh disaksikan sendiri sepanjang perjalanan tersebut. Berapa kali kita menggunakan laluan kecemasan? Tersebut keluhan walaupun bersendirian? Tertekankah hon bersekali dengan rasa marah dengan tingkah laku pemandu lain? Seronokkah mengikut ambulan yang tiba-tiba muncul?

Itu baru kisah sejam perjalanan ke tempat kerja.

Kita berserabut dengan kisah di tempat kerja. Bos atau mereka di bawah seliaan mempunyai pelbagai perangai dan tingkah laku. Bukan tidak lumrah mendengar kisah rakan tikam belakang kerana mengejar kenaikan pangkat. Bukankah pernah kita menyangka ada orang diberi jawatan dan kuasa bukan atas merit? Istilah kroni atau saudara muncul setiap kali ada proses pemilihan prestasi untuk mendapatkan ganjaran tahunan. Bukankah rezeki itu datangnya dari Allah SWT. Lalu ramai orang berserabut fikiran.

Bagaimana dengan kisah anak-anak bermasalah, suami-isteri curang, kenaikan harga barang, politik menghalalkan cara, rasuah, kisah dera dan buli sehinggalah huru-hara menuntut ilmu. Kesemuanya menambah serabut kehidupan. Fazimah menulis,

Sungguh … ujian kehidupan berada di mana-mana. Aku mendaftar di sebuah universiti terkemuka di Pulau Pinang. Alahai … aku tidak sekufu dengan penyeliaku. Ada saja yang tidak kena. Aku tidak tahu kenapa dia seolah-olah memusuhi dan berdendam dengan ku. Hati aku bertanya-tanya.

Serabut.

Penawar utama serabut adalah dengan kembali kepada prinsip dasar kenapa manusia diciptakan. Sekali lagi kami tekankan, manusia perlu kembali “menyembah dan beramal ibadat kepadaNya.” Persoalannya bagaimana? Allah … ya Allah, salah satunya, kami berpandu kepada hadis riwayat Bukhari (nombor hadis 1145) yang bermaksud:

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hamba Ku yang berdoa kepada Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba Ku yang meminta ampun kepada Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba Ku yang meminta kepada Ku, supaya Aku memenuhinya?

Sungguh … bangun pada 1/3 malam masih tersisa nyata sangat berpengaruh kepada roh dan perasaan manusia. Dia berjanji sesiapa berdoa, Aku makbulkan, bertaubat, Aku ampunkankan dan meminta, Aku memenuhinya. Dia pasti tidak berbohong dengan janji-janji yang diberikan kepada hambaNya. Lalu berceritalah kepadaNya dengan apa yang terkandung di hati dan apa yang berserabut di fikiran. Paling tidak Allah SWT akan melapangkan dada dan fikiran bagi memudahkan kita membuat tindakan selanjutnya.

Hakikatnya, bangun malam merupakan amal ibadat yang ganjarannya dirahsiakan. Sungguh … sesuatu yang tidak dinyatakan pastinya mempunyai unsur kejutan yang tidak dapat difikirkan oleh akal manusia. Maksudnya, apa yang terbaik di dunia tidak memadai untuk dibuat perbandingan. Allah SWT telah menyatakan hal ini melalui ayat 25, surah Sajadah yang bermaksud,

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Berbahagialah mereka yang mampu bangun malam, bertahajud, berdoa dan bermunajat. Mohonlah agar jiwa dan minda tidak lagi berserabut. Tenanglah hati dan jiwa.