Cinta Untuk Tok Wan

Benarlah hidup ini bukan tujuan. Nikmat dan ujian yang bersilih ganti membuktikan bahawa akhiratlah perkampungan abadi, tempat rehat mahupun tempat keperitan buat manusia. Kali ini saya ingin bercerita tentang tokwan; sosok yang amat saya cintai. Tokwan adalah ayah kepada emak dan maklong saya. Usianya kini 79 tahun. Saya kira, bukan saya sahaja yang menyintai tokwan, tetapi seluruh keluarga dan anak-anak muridnya. Dia orang yang mempunyai sifat penyayang dan lemah-lembut semulajadi.

Tokwan bukan orang berharta, datang berhijrah ke Padang Sera, Kodiang, Kedah sekitar tahun 1960-an untuk mencari rezeki. Dia membanting tulang empat kerat membantu tuan-tuan sawah mengangkut padi sehingga suatu ketika guni padi jatuh atas peha kirinya, sejak itu dia menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) kerana pehanya sudah tidak lurus.

Tokwan dikenali sebagai orang yang berjalan senget dan capek. Dia tidak dapat membuat kerja di sawah. Dek ilmu agamanya yang mendalam, tokwan mula mengajar anak-anak kampung mengaji al-Quran. Tahun 1960-an, banyak keluarga belum kenal agama Islam dengan baik. Mulanya, tokwan hanya mengajar anak-anaknya iaitu emak dan kakaknya yang berusia 7 dan 9 tahun waktu itu membaca al-Quran, apabila dilihat jiran-jiran lain, mereka juga mahu anak-anak mereka pandai al-Quran.

Datanglah anak-anak jiran memenuhi rumah tokwan; rumah buruk yang kecil menampung empat beranak. Tersebar seluruh kampung bahawa tokwan mengajar al-Quran, berbondong ibubapa mahu menghantar anak mereka mengaji dengan tokwan. Dek rumah tokwan sangat kecil, orang kampung bergotong-royong membuat surau dan rumah di tanah yang telah diwakafkan khusus untuk tokwan menjadi imam dan guru al-Quran sepenuh masa di Kampung Gajah Puteh, Padang Sera.

Tokwan mengabdikan diri dengan tugas mulia itu sehingga awal tahun 2000. Waktu usianya menjangkau 70-an, dia kadang uzur dan menjaga isterinya, Arwah Tok Piah yang terlantar.

Mak menjaga ibubapanya sejak tahun 1996 sehingga kini. Namun begitu, tokwan yang banyak menguruskan arwah tok. Dia yang memandikan, memakaikan pakaian dan menyuap makanan kepada isterinya, sehinggalah Allah SWT menjemput tok pulang ke sisiNya pada 2013. Selepas ketiadaan tok, kami tahu tokwan amat sunyi.

Tambahan, satu-satu cucu-cucunya berhijrah dari rumah. Saya sekeluarga terbang ke Korea dengan doa tokwan. Saya berjanji, setiap cuti semester akan pulang menziarahi tokwan; dia pula mengatakan akan mendoakan kami siang dan malam. Benarlah, selama 3 tahun lebih di Korea, Allah SWT mengizinkan kami pulang menziarahi ibubapa, tokwan dan sanak-saudara.

 Banyak yang saya pelajari dari tokwan. Dia belajar agama di pondok, dari guru-guru yang ikhlas. Dia tidak berpeluang ke universiti, namun ilmunya banyak hasil kefahaman dan amalan secara istiqamah,  Kitab-kitab karangan Imam al-Ghazali menjadi makanan jiwanya. Al-Quran tidak putus di bibirnya. Di bulan Ramadan, tokwan pernah khatam al-Quran dua kali (bahkan lebih).

Dia selalu menasihati anak cucu jangan sesekali meringankan solat Jemaah dan solat sunat sebelum/selepas solat Fardhu. Setiap kali terjaga tengah malam, saya menyaksikan tokwan sedang mandi dan bersiap untuk bermunajat kepada Allah SWT sehingga tiba waktu Subuh, dialah paling tegas mengejutkan semua orang terutama cucu-cucu lelaki supaya menunaikan solat Subuh di surau atau masjid. Pakaiannya sentiasa wangi ketika menuju ke surau. Dan sering memakai baju dan berserban putih.

Saya juga tidak pernah melihat tokwan marah melainkan hal-hal yang bertentangan dengan agama. Dia banyak mendamaikan pasangan suami-isteri yang hampir bercerai, dia menjadi tempat rujuk orang kampung dalam masalah kekeluargaan. Ramai orang senang dengan tokwan kerana dia amat lembut, tidak bermuka-muka apatah lagi suka memburukkan orang lain.

Dia hanya bercakap yang baik-baik tentang orang lain, walaupun orang itu punya banyak kelemahan. Tokwan juga yang memandikan jenazah orang kampung ketika dia masih sihat. Ya Allah, saya menyaksikan kebaikan tokwan lebih banyak daripada keburukan. Sungguh bertuah Allah SWT mengurniakan tokwan sebagai datuk kami.

Satu cerita tokwan kepada saya yang membuatkan saya yakin, tokwan adalah hamba yang soleh adalah tentang mimpinya. Dia pernah bermimpi mandi di satu telaga dan di sana ada sosok manusia paling mulia iaitu Rasulullah SAW.

Allah ya Allah, saya tahu tokwan tidak akan sesekali menipu. Mimpinya itu tidak diceritakan kepada semua orang. Dia bercerita kepada saya kala saya bertanya tentang sejarah tokwan ketika muda. Saya malu. Terasa tidak benar-benar menghargai tokwan; insan yang sangat mencintai Allah dan rasulNya.

Tulisan ini saya kongsikan kerana saat kalian membaca ini, tokwan saya bertarung dengan ujian besar dalam hidupnya. Allah SWT menarik nikmat bercakap dan bergerak ketika tokwan diserang penyakit stroke pada hari raya kelima tempoh hari. Hari ini, saya menyaksikan tokwan lemah di perbaringan, hanya matanya menunjukkan dia sedang bertasbih kepadaNya, tetap sabar.

Saya yakin bahawa ujian ini untuk menaikkan taraf tokwan di sisiNya, menghapuskan dosa-dosa serta menerima pahala sabar. Dan paling utama, adalah peluang kepada anak, cucu-cucu meraih sebanyak mungkin kebaikan menguruskan insan yang disayangi Allah ini.

Ya Allah ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa tokwan serta berikan kesembuhan buatnya untuk menjadi hambaMu yang memberi teladan kebaikan kepada kami yang hina ini.