Lima Kuliah Tentang Ujian

UJIAN PERTAMA: TIDUR

Bila saya bertanya kepada khalayak, “apakah ujian paling besar pernah diterima?,” tiada seorang pun yang menyebut ujian tidur. Ia sangat mudah difahami kerana tidur merupakan satu nikmat yang sungguh-sungguh tidak mahu dilepaskan. Tidur menghilangkan kelesuan. Tidur juga boleh mengurangkan ketegangan.

Tidur juga menjadi ubat mujarab untuk sesetengah penyakit yang memerlukan rehat mencukupi. Itulah nasihat pakar-pakar perubatan apabila saya dihinggapi selsema atau demam yang teruk.

Ramai orang bersungut kerana tidak dapat(cukup) tidur. Ada orang mengalami kesusahan tidur apabila beralih tempat. Mereka sangat susah hati apabila tidur tidak mencukupi. Lalu segala macam pekerjaan yang tidak terurus akan disalahkan kepada tidur yang tidak sempurna. Berapa jamkah waktu tidur yang mencukupi? Entah, pakar sains Barat dan Islam sangat bercanggah dalam soal ini.

Namun isu yang lebih besar ialah bagaimana tidur boleh menyebabkan manusia tewas dalam menghadapi ujian kehidupan. Tidurlah yang mungkin menyebabkan ramai lelaki tidak berjaya solat subuh berjemaah. Dan lebih punah lagi jika langsung tidak bersolat.

Solat merupakan rukun Islam dan ia amal pertama sekali akan dihisab. Jika rosak amalan solat maka amalan lain juga akan mendapat kesannya. Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Muslim, Rasulullah SAW ada menyatakan,

Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.

Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka.

Di Madinah, hampir kesemua pelajar saya berjubah, berserban dengan menggunakan iqal. Ketika itu, sebagai penduduk Madinah, secara automatik saya membayangkan mereka tidak akan tinggal solat lima waktu, khatam al-Quran dan berupaya untuk menghafal isi kandungan.

Ini adalah andaian bodoh dan tidak masuk akal. Beriman dan bertaqwa tidak langsung berkait dengan rupa, jawatan, ilmu, kuasa dan bangsa. Ia taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Namun saya terpengaruh dengan kehidupan Madinah yang dikatakan penuh dengan keberkatan.

Suatu hari saya digerakkan hati untuk bertanya, “pukul berapa kamu tidur?” Jawapannya berbeza. Ada yang tidur jam 1.00 pagi sehinggalah jam 4 pagi. Ada yang tidak tidur sehingga ke cerah. Kemudian mereka akan tidur sejenak kerana kelas bermula jam 11.00 pagi. Lalu saya “terpaksa” bertanya, “kamu solat subuh?” Allah ya Allah, rupanya ia sama dengan anak-anak kita yang saya tanya di UiTM Johor. Hanya 4/12 pelajar yang solat subuh. Agaknya lebih baik sedikit daripada 8/150 pelajar yang pernah ditanya di Malaysia.

Allahu Akbar, ia fenomena sejagat. Ia bukan membabitkan soal bangsa atau negara. Malah ia langsung tidak mengambil kira di Madinah atau di Segamat. MasyaAllah, Kau ampunilah dosa-dosa kami ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa.

Lalu saya bertanya lagi, “solat apa yang paling sukar?”. Jawapannya Isya dan subuh. Salah seorang pelajar menyebut, “munafiqun”. Saya lintaskan di dalam hati, “ya Allah ampunilah daku ya Allah. Jalinkan hubungan yang baik antara aku dan pelajar ku ya Allah. Jadikanlah mereka pelajar yang soleh, yang taat kepada perintah mu ya Allah”.

Bagaimana mahu mengubah (berdakwah) kepada mereka? Saya fikir gurunya perlu bangun malam dan memohon kepada Allah SWT.

Ramai mengetahui yang bangun malam untuk beramal ibadat kepada Allah SWT merupakan amalan mereka yang terpilih. Ahli syurga. Saya terbaca tulisan Imam Ghazali menyebut betapa pada hari kiamat nanti Allah bertanya-tanya siapakah hambanya yang solat malam. Hanya sedikit daripada mereka yang mengangkat tangan lalu Allah perintahkan mereka terus ke syurga tanpa dihisab. Sekadar memperbaharui ingatan, saya petik terjemahan surah al-Muzzammil, ayat 1 – 6 yang bermaksud,


Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. 

Allahu Akbar, Subhanallah dan ampunilah kami ya Allah. Bagaimana hendak bangun malam jika tidur yang sedikit menjadi satu masalah yang besar kepada ramai orang. Soalan-soalan seperti, “prof, bagaimana mahu bekerja jika mata mengantuk?” menjadi lumrah.

Anehnya kebanyakan yang bertanya merupakan bijak-pandai lulusan universiti yang membaca, belajar dan mengetahui hukum kehidupan. Mereka yang boleh berfikir. Bila sampai bab amal-ibadat yang dianjurkan oleh Allah, mereka berpura-pura bertanya seolah-olah mahu melakukannya tetapi terhalang dengan kerja-kerja hakiki di pejabat.

Saya terfikir, agaknya mereka terfikir yang Allah tidak kasihankan hambanya yang akan sakit, mengantuk, lemah dan jadi bodoh kerana bangun malam untuk beramal ibadat. Bila tiba musim world cup atau siaran langsung acara sukan di peringkat dunia, tiada pula persoalan yang sama. Mereka bersiap untuk berjaga malam. Ia menjadi agenda wajib yang tidak dapat tidak perlu diikuti. Dan mereka akan memberi alasan, “ia bukan selalu!”. 

Hakikat sebenar – buat mereka yang mahu berfikir –  amalan bangun malam yang konsisten, disertai dengan rasa merendah diri kepadaNya dan mengharapkan kasih sayangNya serta atas sifat mahu bersyukur di atas segala nikmatNya akan membentuk jiwa manusia yang tenang, kuat, bersemangat dan mempunyai daya juang yang tinggi, insyaallah.

Mereka tentunya beramal ibadat semata-mata kerana Allah walaupun telah dijanjikan ganjaran yang sangat hebat.  Misalnya, Allah menceritakan bagaimana keadaan mereka yang bersolat malam di syurga melalui surah Adz-Dzariat ayat 15 – 18 yang bermaksud,

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka.

Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

Bagaimanapun, jika ada yang bertanya begitu, saya sering memetik kata-kata Imam Ghazali melalui buku Penawar Hati yang memberi cadangan berdasarkan sunnah Rasululullah SAW bagi membantu mereka yang benar-benar mahu bangun malam. Beliau berpesan,

Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.

Maka mereka bertanyalah lagi, “Prof, waktu itu kami bekerja”. MasyaAllah, bersabar sahajalah. Saya memberi jawapan, “Imam Ghazali terlupa orang Malaysia bekerja sehingga 1.00 tengahari. Tidak mengapa, ikutlah pesan saya agar tidur 10 – 15 minit sebelum atau selepas waktu zohor semasa waktu rehat. Jangan sibuk dengan makan tengahari yang berat-berat. Cukuplah dengan segelas air dan makanan yang meringankan perut”.  Bangunlah malam, ia membantu untuk lulus ujian yang lain. Jangan sekali-kali membesarkan tidur.

Saya mohon keampunan Allah.