Lima Kuliah Tentang Ujian (2)

Ujian Dua: Harta Benda

Ini kisah enam tahun yang lalu.

Ar-Raudhah – rumah kami di Segamat – tidak pernah berkunci. Rahsia ini hanya diketahui umum apabila banjir besar melanda Segamat. Kenapa dan bagaimana? Bila saya usai bercerita tentang kisah Adib – jiran yang hampir – memasuki rumah dan menyelamatkan komputer, dokumen dan beberapa fail mustahak, ada khalayak yang bertanya, “Prof, bagaimana Adib memasuki rumah prof?”.

Jawapan saya ringkas, “rumah saya tidak pernah berkunci”. “Prof tidak takut rumah dimasuki pencuri?,” ia soalan spontan. Dan jawapan saya panjang lebar.

“Tidak tetapi saya tidak mahu mereka datang mencuri di rumah saya. Jika datang sekali pun, rumah saya tiada barang yang berharga.

Tiada barang kemas dan tiada tunai yang banyak. Adalah RM300 – RM400 di dalam wallet. Rumah saya mempunyai plasma TV. besar. Jika pencuri mahu mengambil TV saya, silalah. Ia akan jadi TV terakhir yang saya beli.

Saya sudah lama tidak menonton TV. Jila ada sekalipun ia hanya siaran terpilih. Kesemua maklumat yang saya kehendaki diperolehi dengan pelbagai cara alternatif. Tidak lagi melalui TV.

Maksud saya, saya tidak takut pencuri memasuki rumah kerana isi rumah tidak mempunyai nilai kepada saya dan keluarga.

Barang yang paling bernilai buat saya ialah buku-buku di perpustakaan. Saya tidak fikir pencuri berminat. Seperkara lagi saya ingin bertanya, berapa lama diambil oleh pencuri untuk memasuki rumah yang berkunci dan bergrill?

Bagaimanapun jangan ikut saya, ini tindakan yang tidak cerdik.

 Saya sekali-kali tidak menyarankan sesiapa sahaja mengamalkan apa yang saya lakukan. Ia hanya berlaku pada rumah. Kereta saya sentiasa berkunci. Komputer dan handphone sentiasa berjaga. Kenapa? Entah, itulah gerak hati yang diberi oleh Allah SWT. Saya fikir barangan tersebut bernilai atau saya mempunyai rasa sayang yang lebih berbanding dengan barangan di dalam rumah.

Bagaimana pun, harta benda ini secara relatifnya tidak sampai mengganggu kehidupan harian saya. Saya tidak mahu harta-benda yang saya miliki menjadi penghalang untuk saya beramal ibadat, menjalani kehidupan yang simple dan tidak melampau. Bayangkanlah firman Allah melalui surah al-Anfal ayat 28  yang bermaksud,

“Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar”

 Roza sendiri tidak menyimpan atau mempunyai barang kemas yang banyak. Apa yang beliau ada hanyalah yang ada di badan. Pernah pada satu ketika beliau mempunyai gelang emas yang bernilai tinggi tetapi tidak dipakai. Lalu saya nyatakan kepada beliau,

 Barang kemas yang tidak dipakai dan cukup tempohnya perlu dibayar zakat. Awak ada barang kemas yang tidak dipakai. Jangan lupa bayar zakat. Jika tidak, lebih baik jual sahaja. Takut-takut kita terlupa.

Perkiraan saya mudah. Membayar zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Mereka yang wajib membayar zakat tetapi tidak memandang berat tanggungjawab ini sudah pasti tidak termasuk dalam golongan terpilih. Bagi saya, inilah ujian harta benda yang kelihatan mudah tetapi mempunyai kesan yang sangat besar.

Agaknya, berapa ramai yang mempunyai perniagaan jutaan ringgit yang terlupa membayar zakat, bersedekah atau berderma? Jika ia berlaku, ia merupakan satu ujian yang tidak menghampirkan kita untuk menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Harta benda menyebabkan kita gagal dalam ujian tersebut.

Pada suatu hari yang lain, Roza memberitahu saya dengan nada yang sebak, “Yang, saya telah melakukan suatu perkara yang sukar dalam hidup saya. Saya telah jual gelang yang saya simpan”. “Berapa harganya?,” saya bertanya tanpa mengambil kira perasaan beliau. “Hampir 8 ribu”.

Apa yang ingin awak lakukan dengan jumlah tersebut?

Saya ingin bagi emak dan abah, RM1000 seorang untuk menunaikan fardhu haji, RM1000 untuk pembinaan surau sekolah Amirul, RM1000 untuk surau sekolah Sofea, saya ingin mendaftarkan anak-anak untuk pergi menunaikan fardhu haji, RM1000…..

Lalu saya nyatakan kepada Roza, “Yang, itulah perniagaan yang tidak akan rugi sampai bila-bila. Barang kemas awak sentiasa ada tetapi ia akan terus subur sampai awak dipanggil olehNya. InsyaAllah ia akan membantu pada suatu masa yang ketika kita sangat-sangat memerlukannya. Ia ibarat satu simpanan untuk hari esok”. Dalam konteks inilah saya teringat dengan kenyataan Allah SWT melalui ayat 261 al-Baqarah yang bermaksud,

Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji.

Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

 Kini saya semakin memahami kisah Roza dan gelang emasnya apabila membaca ayat 92, surah al-Imran yang bermaksud:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Islam perlu kuat dan bertenaga. Orang Islam perlu menjadi umat yang kaya raya dan berharta supaya mampu membelanjakannya ke jalan Allah. Namun ia harus berlandaskan jalan yang lurus iaitu laluan yang diredhai olehNya. Malah proses mengumpul harta benda itu sendiri perlu diamati dengan teliti agar ia tidak sekali-kali bercampur dengan perkara-perkara yang menimbulkan kebencian Allah SWT seperti rasuah, penipuan dan penindasan.

Jika ia berlaku, maka harta benda yang diperolehi kelihatan tidak akan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Juga, jika harta benda yang banyak menjadikan kita semakin bakhil, berkira dan kedekut maka ia tidak membawa makna yang besar kepada kehidupan yang kekal abadi.

Dan jika harta benda yang kita usahakan menimbulkan rasa cinta yang berlebihan berbanding rasa cinta pada Allah maka kemungkinan besar ujian harta benda tidak membawa kepada keputusan yang cemerlang. Maka termasuklah kita dalam golongan mereka yang rugi sebagaimana firman Allah melalui surah Al-Taubah ayat 24 yang bermaksud,

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)

Saya mempunyai ketakutan yang amat sangat apabila memikirkan ujian harta benda. Naluri manusia sentiasa inginkan sesuatu yang lebih. Wang RM1000 akan sentiasa lebih baik daripada RM100. Namun RM1000 akan hilang serinya apabila mempunyai RM100000.

Keperluan inilah yang kadangkala melalaikan manusia sehingga tidak berkesempatan untuk solat berjemaah di masjid. Tiada apa yang tersentuh di hati jika tidak upaya ke masjid berbanding dengan nilai jutaan ringgit yang tergenggam di tangan. Masa untuk Allah kelihatan terpinggir.

Wahai anak Adam!

Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu.  Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).

Kami mohon keampunan Allah.