Lima Kuliah Tentang Ujian 3

UJIAN BADAN

Kami sekeluarga menempuh satu pengalaman yang sungguh luar biasa dalam tempoh yang amat singkat. Abah menghadapi kanser pundi kencing yang cepat merebak ke lain-lain anggota dalam tempoh sebulan yang terakhir. Beliau dijemput Allah ketika usianya menghampiri 72 tahun. Serentak, Ayu – adik – juga menghadapi saat-saat akhir beliau akibat kanser payu dara di Kuala Nerang, Kedah bersama suami dan mertua.

Sebulan selepas abah, Ayu juga dijemput Allah ketika umurnya baru melepasi 35 tahun. Kedua-duanya selamat disemadikan bersebelahan di Jementah, Johor. Barangkali, pusara itulah yang membawa anak-anak saudara kami melawat Segamat tempat yang pernah mereka tuju ketika musim cuti hari raya ataupun persekolahan. 

Abah adalah seorang yang suka beramal. Beliau sangat suka berzikir, menyebut nama-nama Allah dan sering ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah. Namun amalan terpuji yang sukar saya teladani ialah menjaga dan menjalin hubungan persaudaraan di antara keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Ke mana sahaja beliau bertandang, maka kenalan-kenalan ini akan cuba sedaya upaya diziarahi. Ia amalan bertahun lamanya. Hasilnya, beliau mempunyai kenalan di seluruh pelusuk tanah air.

Namun bila beliau diuji dengan ujian badan, Abah menjadi tersangat lemah. Beliau tidak mampu bersolat di masjid. Namun, kesakitan yang ditanggungnya tidak dapat kami ketahui kerana abah tidak pernah menyatakannya. Allahu Akbar. Hampir setiap hari kami – saya dan Roza – melawat beliau. Namun apa yang saya lakukan hanyalah menjenguk, bertanya khabar, beredar, membaca surat khabar, berbaring dan tertidur. Roza juga begitu. Beliau berakhir di dapur menyiapkan makan malam kepada seisi keluarga.

Allah mengajar saya sesuatu.

Satu petang, Allah gerakkan hati untuk memegang-megang kawasan pundi kencing beliau. “Abah, sakit abah? Rasanya tidaklah terlalu keras. Ia macam biasa sahaja, sakit abah?,” saya memandang tepat ke mukanya. Abah membiarkan saya mengusap-usap bahagian tersebut. Kemudian dengan suara yang sangat lemah beliau berkata, 

Mil, sakit. Rasanya amat sakit. Tidak tahan rasanya. Bila Kamil pegang, usap, Abah rasa hilang sakit tersebut.

Subhanallah. Ampunkanlah kami ya Allah, sesungguhnya kami tidak terfikir dan mengetahui betapa sentuhan seorang anak boleh menghilangkan kesakitan yang dideritai oleh ayahnya. MasyaAllah, lalu saya ceritakan peristiwa ini kepada kesemua adik beradik supaya mengambil masa untuk mengusap dan membelai abah ketika mereka melawat.

Patutlah abah tidak dapat lagi ke masjid. Maafkan saya Abah kerana menyangka Abah telah tewas dengan sedikit ujian yang telah Allah berikan. Ketika saya risau dan berdukacita dengan keadaan ini, saya terbaca satu hadis yang telah laporkan daripada Anas r.a yang bermaksud,  

Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya” 

4.30 pagi, tiga hari sebelum abah dijemput pergi.

Abah bertanya, “Mil, apa lima perkara sebelum dan selepas”. Abah bertanya dalam kesukaran kepanasan bahang kanser. Beliau menyambung kata dengan hanya berbisik. “Muda sebelum tua, senang sebelum susah, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati….” Puas saya memikirkan yang satu lagi…. “lapang sebelum sempit”. Itulah jawapan yang sempat saya berikan. Saya tidak pasti yang ia jawapan yang tepat atau tidak.

“Mil, abah wakilkan Kamil untuk abah sedekahkan RM2000 untuk kerja-kerja yang Kamil dengan Haji Omar lakukan”. “PERKIM Abah,” saya  memberi kepastian. Beliau mengiakan. Sah derma untuk PERKIM Segamat. Barangkali itu sahaja yang tinggal buat abah. Beliau sudah tua, sakit dan kian hampir dengan saat-saat kematiannya. Dalam kesempatan yang terbatas beliau mahu membuat amal jariah.

Allahu Akbar, rupanya beliau memberi pesan terakhir yang kini saya mahu terjemahkan melalui tulisan ini. Ingatlah, apabila bencana badan tiba, manusia akan menjadi sangat lemah dan tidak terdaya. Hanya mereka yang sentiasa mengingati Allah ketika sihat akan berjaya melepasi ujian ini ketika mereka ditimpa ujian badan. Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda,  

“Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karana segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu’min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya”.

Abah dan Ayu pergi buat selamanya. Di antaranya, saya pula diuji dengan penyakit Bell’s Palsy di mana urat saraf muka lumpuh sebelah. Sekali pandang, ia seperti serangan stroke. Wajah saya senget sebelah, tidak boleh menyebut huruf O dengan bulat dan sukar menyedut air ke mulut. Namun ada yang berkata, itulah tanda-tanda awal kepada penyakit yang lebih kronik.

Ia ujian badan!

Malam pertama saya ditempatkan di wad kelas tiga bersama 12 pesakit yang lain. Bila tiba solat subuh, saya beredar ke surau di pintu masuk wad. Alahai… tiada seorang pun yang mahu ikut serta. Usai solat – jika telahan saya tepat – mereka masih di atas tempat pembaringan dalam posisi sebelum saya meninggalkan mereka. Maknanya, mereka juga tidak melaksanakan ibadat solat subuh walaupun secara duduk ataupun berbaring. Agaknya mereka fikir bila ditahan di hospital, solat boleh ditinggalkan. Orang tidak akan mengata. Tuhan tidak marah.

Hakikatnya ia tidak begitu. Solat tidak boleh ditinggalkan kecuali dalam keadaan yang sangat spesifik. Bezanya, Allah banyak memberi kelonggaran untuk mereka yang bermusafir, misalnya mereka dibenarkan jamak dan Qasar. Malah untuk mereka yang terlantar dalam kesakitan diajar untuk solat sambil duduk, berbaring dan dengan hanya gerakan mata.

Lalu saya berbisik dengan jiran di sebelah kanan saya, “Pak cik sudah solat subuh? Sakit pun kena solat pak cik”. Ia patah-patah perkataan yang sukar untuk saya nyatakan. Namun saya benar-benar berbisik. Bila isterinya pulang dari surau, beliau terus meminta untuk bertukar kain pelikat.

“Kain ini kotor…. saya mahu solat,” beliau memberitahu isteri. “Pak cik solat di masjid tetapi bila di sini dia lupa,” mak cik memberitahu saya. “Kita ingatkan beliau mak cik,” saya memberi pandangan. Saya membantu beliau menukar kain pelikat dan baju. Beliau solat di atas katil sambil duduk. Bacaannya kuat dan saya tahu beliau mampu menghabiskan solat tersebut dengan lengkap. Akhirnya pak cik berdoa. Saya mengangkat tangan dan mengaminkan setiap patah doanya.

Mudah-mudahan mereka yang lain terfikir untuk turut sama bersolat. Namun ia tidak menjadi kenyataan. Agaknya mereka yang menunggu keletihan untuk memberi peringatan kepada yang dijaga. Inilah ujian kepada yang sihat apabila menjaga mereka yang sakit. Sekali lagi, saya petik ayat ini supaya menjadi panduan bagi kita semua, surah Al-Ankaboot ayat 2-3 bermaksud,

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. 

Mudah-mudahan kita dapat menjaga mereka yang sakit terutamanya ibu bapa kita dengan cara yang terbaik. Ia sukar tetapi perlu dilakukan!

Kami mohon keampunan Allah.