WUQUF

Emak dan abah beria-ia menasihatkan kami supaya melakukan ibadat sepenuhnya semasa wukuf di Arafah. Pesan inilah yang menjadi penanda aras kami.

“Kamil, wukuf di Arafah adalah kemuncak haji. Ia masa yang pendek. Mula masuk waktu Zuhur sampailah terbenam matahari. Di sana lebih kurang 5 jam sahaja. Ajak Roza dan keluarlah daripada khemah (Nota: Waktu wuquf berakhir menjelang subuh).

Cari tempat lapang atau berlindung di bawah pokok kalau panas. Berdoalah kepada Allah. Tuhan dah janji, doa kita akan diangkat ke langit dan diberi pengampunan. Kita akan suci sebersihnya.

Bawa buku doa. Baca semua sekali, doa untuk anak-anak dan doa untuk kerjaya. Paling penting bertaubat. Makan awal. Masuk sahaja waktu Zuhur tidak payahlah  bersembang-sembang atau baru hendak makan. Saat ini adalah saat beramal ibadat sepenuhnya.”

Ajaib. Melekat di hati kami seolah-olah ia adalah waktu yang paling penting sepanjang musim haji. Wukuf di Arafah. Lalu kami memerhatikan jadual kegiatan yang telah dimaklumkan kepada jemaah. Kami bermula dengan sembahyang Zuhur berjemaah dan diikuti dengan khutbah Arafah. Ia dijangka tamat pada pukul 2.00 petang. Selepas itu para jemaah boleh melakukan kegiatan bebas. Terpulanglah kepada setiap individu.

“Ok. Nanti lepas khutbah Arafah, ramai orang akan keluar khemah dan akan mencari tempat yang lapang untuk berdoa dan beramal ibadat. Kita kena cepat. Cari tempat yang strategik. Habis sahaja khutbah kita berkumpul di sini,” saya memberi arahan kepada Roza, Kak Mie dan Azlina. Roza sendiri sudah membuat tinjauan tempat yang dianggap lapang dan membolehkan kami berempat duduk bersama-sama. Ia tidak jauh daripada khemah kami sendiri.

Cuaca agak panas. Namun sesekali tiupan angin kering melegakan keadaan. Kami segera mencari tempat idaman. Tempat yang ditempah melalui hati dan perasaan, dengan Allah semoga jemaah lain tidak mengambil tempat itu. Kami berempat memilih tempat yang membolehkan kami memandang terus ke langit.

Pesan abah dan emak nampak logik dan kami yakin dengan apa yang ingin kami lakukan. Sekurang-kurangnya kami fokus dan berniat untuk mengadap Allah dengan cara yang bersungguh-sungguh. Cara kami.

Pusingan pertama. Saya menjadi imam mengetuai bacaan doa. Kami bermula dengan bacaan al-Fatihah dan doa taubat. Benar, janji Allah sentiasa benar. Dalam cuaca dan keadaan yang tidak kondusif malah kami belum benar-benar selesa untuk beramal ibadat, bibir mula menyebut, “Ya Allah kami mohon keampunanmu,” air mata terus jatuh bercucuran membasahi pipi.

Itulah kehebatan atau kenikmatan yang telah Allah berikan semasa memohon kepadanya. Kami tidak dapat menahan sebak. Tersedu-sedu ibarat kanak-kanak kecil yang ditinggalkan ibu. Niat kami satu. Mengharapkan keampunannya. Kami mahu Allah menerima kami dalam keadaan yang bersih sebersihnya. Ia berlaku secara semulajadi.

“Ya Allah, jika kau panggil kami, jika kau jemput kami, tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang beramal soleh. Ya Allah, dengan rahmatmu, masukkanlah kami di dalam syurgamu. Syurga yang istimewa. Syurga yang paling istimewa. Syurga Firdaus, Ya Allah. Temukan kami di sana Ya Allah.”

Esakan dan tangisan kami menarik minat jemaah yang berhampiran. Mereka keluar silih berganti. Saya ternampak bayang-bayang mereka. Barangkali di hati mereka berkata-kata, “Siapalah yang gila duduk di luar khemah, berdoa dan menangis. Ini mesti golongan yang melampau.” Kami tidak mempedulikan apa yang mereka kata, semuanya hanya sementara.

Kami habiskan  satu buku himpunan doa. Bacaan doa yang paling panjang yang pernah dibaca, melebihi dua jam. Airmata silih berganti bertukar. Sekejap kering, sekejap basah. Tidak terasa masa berlalu pantas.

Setelah itu kami pulang ke khemah untuk melakukan ibadat secara individu. Saya sendiri ingin membaca Quran dan berzikir sementara menunggu terbenamnya matahari. Saya berniat untuk keluar khemah semula 30 minit sebelum masuk waktu maghrib. Ia dijangkakan waktu yang indah. Dosa-dosa akan diangkat ke langit.

Apabila sampai di khemah saya dapat memerhatikan terdapat jemaah yang sedang membaca al-Quran sambil bertafakur sambil berzikir. Namun lebih ramai yang membentuk kumpulan kecil untuk bersembang dan ada yang sedang tidur menghilangkan kepenatan. Secara kasar ia terbahagi dua. Mereka yang sedang beramal ibadat dan mereka yang mungkin sedang berehat-rehat. Apa yang tersirat di hati mereka hanya Allah yang tahu.

Sebelum Maghrib, kelihatan awan kehitam-hitaman. Ia bergerak pantas meninggalkan bumi Arafah. Beberapa orang daripada khemah kami berada di luar menyaksikan kesayuan dan kesyaduan suasana. Kami membaca doa. Doa yang saya baca hanyalah apa yang terlintas di hati. Berulang-ulang bibir meyebut perlahan, “Ya Allah, ampunilah daku, Ya Allah ampunilah daku, Ya Allah ampunilah daku. Ya Allah, ampunilah daku.”

Matahari terbenam. Mata tunduk memandang bumi. Kami telah melalui satu saat paling bermakna dalam konteks kehidupan seorang hamba kepada Penciptanya. Dosa-dosa lampau, saya yakin telah diampunkan olehnya. Mahukah kita terus-terusan memperbodoh-bodohkan diri sendiri? Persoalan yang memerlukan jawapan segera. Allahu Akbar.

“Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?” (al-Rahman, ayat 36).

Perjalanan Makkah – Arafah yang telah kami tempuh cukup panjang walaupun jaraknya hanya 21.9 KM. Namun, hakikat sebenar Wukuf di Arafah cukup singkat bagi mereka yang ingin mendapat keredhaannya. Ia satu pengalaman yang sangat terkesan di hati.

Astaghfirullah.