Cabaran Sebenar

Apa khabar Tuan Haji? Ini Tuan Haji baru.

Kata-kata seumpama ini mengundang seribu makna. Tersenyum apabila rakan-rakan bertanya tentang pengalaman sebenar kami di Kota Makkah dan Madinah. Kebanyakannya bertanya sekadar mengambil hati. Ia soalan rutin setelah masuk bertugas selepas hampir 50 hari tidak ke pejabat.

Hendak dengar cerita? Mereka menganguk-anggukkan kepala. Lalu saya ceritakan apa yang tertulis di sini. Ia hanya selesai setelah hampir 2 jam bercerita dengan pelbagai nada, riang-ria, sedih, sebak dan sayu. Niat untuk bercerita dan menyampaikan maklumat tentang haji kepada rakan dan sahabat-handai terlaksana.

Saya sentiasa bersemangat apabila bercerita tentang pengajaran dan pelajaran yang telah kami alami di Tanah Suci. Akhirnya mereka yang mendengar syarahan itu terpaksa mengakui yang kami telah melalui satu perjalanan yang luar biasa. Sekurang-kurang daripada gaya penceritaan yang begitu bersungguh-sungguh.

Namun jauh di sudut hati, saya terlalu risau dengan cabaran yang bakal kami hadapi selepas menunaikan fardu haji. Konsep Jalan Pintas ke Syurga atau Haji Mabrur menyebabkan kami tidak mahu termasuk di kalangan mereka yang rugi. Apakah yang dapat dilakukan untuk berpeluang mendapat haji mabrur?

Kita ketepikan soal hati dan perasaan. Keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara terlalu sukar untuk ditafsir. Saya mahu bermula dengan sesuatu yang nyata. Terutamanya amal ibadat yang disarankan kepada umat Islam tetapi tidak menjadi sebahagian daripada rutin peribadi. Saya tidak mahu berlengah lagi. Lalu saya lakukan senarai semak utama:

  • sembahyang berjemaah
  • puasa sunat
  • qiamullail
  • membaca Quran

Dapatkah saya lakukan ini semua? Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Namun perasaan sebenar nyata lebih menakutkan daripada sebelum berangkat ke Tanah Suci. Lalu saya berdoa kepadanya.

Ya Allah ampunilah diriku. Berikanlah keberkatanmu, Berikan kerahmatanmu. Ya Allah, aku takut Ya Allah. Ketika Engkau memberi rasa gentar kepadaku, jangan Kau ambil kembali rasa nikmat ini. Jadikanlah aku manusia yang tunduk kepadamu. Berikanlah kekuatan untuk aku meneruskan amalan-amalan yang telah aku laksanakan di Tanah Suci. Engkau Maha Berkuasa Ya Allah.

Maka setiap hari surau Seksyen 9 menjadi tumpuan. Surau ini dikenali sebagai Surau orang Kaya-Kaya kerana ramainya dato-dato dan ahli perniagaan yang memberi sumbangan. Salah satu surau yang mempunyai penyaman udara. Malah ceramah-ceramah agama diadakan pada setiap hari dengan topik-topik perbincangan yang berbeza-beza. Jemaahnya ramai. Ia mempunyai Imam sendiri yang dibayar gaji oleh pihak surau.

Ketika sembahyang, saya pastikan berada di saf pertama, betul-betul di sebelah kanan Imam (semangat semasa di Masjid Haram dan di Masjid Nabi). Setelah berapa minggu, tempat itu seolah-olah sinonim dengan saya. Mana ada orang Malaysia hendak berebut saf?

Pada setiap hari Jumaat, saya akan berkejar ke Masjid Negeri untuk mengambil saf pertama. Saya akan mencelah masuk ketika sembahyang sunat jika ketika sampai ruang itu telah diisi disebelah kanan Imam. Begitulah semangatnya hati dan perasaan setelah 44 hari diajar, diasuh dan ditunjukkan jalan oleh Allah swt.

Hakikat sebenar, saya tidak mahu kehilangan kekuatan hati yang mahu mencari yang terbaik di sisi Allah. Ia mungkin tidak penting bagi sesetengah orang tetapi ia ternyata menyala membakar hati dan jiwa. Â

Berbalik kepada Imam surau Seksyen 9, Ustaz Idris, seorang Hafiz. Saya terus jatuh cinta apabila pertama kali mendengar bacaannya dan terfikir, barangkali Allah menghantar aku ke sini untuk berguru dengannya. Lalu saya meminta izin untuk menjadi anak murid beliau. Jawapannya sangat menyedihkan,

Haji, saya minta maaf. Masa saya sudah terlalu sempit. Program saya penuh. Saya minta maaf Haji.

Kuasa Allah terlalu hebat. Ketika Zuhur dia melafazkan kata-kata itu, ketika Asar Allah palingkan hatinya dan dia menuturkan kata-kata berikut,

Haji, saya minta maaf kerana menyatakan masa saya sudah terlalu sempit. Sebenarnya, sayalah yang telah menyempitkan masa saya sendiri. Jika Haji hendak belajar dengan saya, maka bolehlah datang pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Selepas Isya.

Saya gembira. Tuhan memakbulkan permohonan semasa berada di hadapan Kaabah. Saya mahu guru Quran yang terbaik dan Ustaz Idris adalah lulusan Al-Azhar dalam bidang pengajian Quran.

Ya Allah ampuni diriku, Ya Allah. Maha Besar Engkau Ya Allah.

Tentu sekali hasrat untuk membaca al-Quran dengan cara yang betul dan mengikut tajwid kelihatan munasabah. Allah permudahkan niat murni hambanya.

Seumur hidup tidak pernah berpuasa sunat. Tahun 2006, sebelum mahu menunaikan fardu haji saya berjaya menamatkan puasa 6 bulan Syawal. Seluruh keluarga heboh dengan kejayaan ini.

Maka jika saya berjaya berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis maka ia adalah satu rahmat yang telah diberikan oleh Allah kepada insannya. Tambah-tambah lagi Dia telah memberikan perasaan bagaimana nikmat berpuasa sebenarnya semasa di Makkah dan di Madinah. Ia cukup berbeza. Saya mahu nikmat yang sama. Subhanallah. Maha Suci Allah.

Segala perubahan yang ingin dilaksanakan ternyata memberi kesan besar kepada kehidupan harian. Waktu malam tertumpu ke surau, pada waktu Maghrib dan Isya.

Malah, kadang-kadang, saya terpaksa pulang di sekitar pukul 10.30 malam setelah tamat kelas al-Quran. Jelas, jika anda ingin melakukan sesuatu, anda perlu melepaskan sesuatu yang lain. Kos melepas. Jika terpaksa membuat pilihan maka saya tahu pilihan yang mana perlu diutamakan.

Persoalannya, Allah memberi rahmatnya. Mampukah kita berusaha untuk mengekalkannya sehingga kita dipanggil mengadap buat selama-lamanya. Itulah cabaran besar yang perlu dihadapi. Dengan izinnya kita berdoa supaya dapat melepasi Sirratul-Mustaqim dengan bergaya.