STIGMA

Sudah lama kisah ini bermain di minda namun untuk dijadikan bahan penulisan, ia agak mengganggu emosi. Namun apa yang baru berlaku, menguatkan hati saya untuk menulis.

7 tahun lalu, Allah anugerahkan kami dengan seorang anak lelaki. Ia hadiah besar, kerana anak tersebut lahir 19 hari sebelum kami ke tanah suci mengerjakan haji.

Sepulangnya dari tanah suci, kami membuat keputusan untuk menjadikan anak comel yang lahir dalam kepayahan ini anak kami yang sah di sisi perundangan negara. Ada kisah yang mendorong kami membuat keputusan besar itu. Biarkan kisah itu tertanam bersama kami nanti.

Sesampainya kami dari tanah suci, berhamburan airmata saya melihat susuk tubuhnya yang kurus cengkung. Berat badannya turun 0.5kg dari berat sewaktu dilahirkan, walhal dia sudah berusia lebih dua bulan. Saya dukung dan kelek dia yang bagaikan anak patung, 24 jam sehari selama sebulan. Saya percaya sentuhan amat membantu tumbesaran bayi.

Alhamdulillah lepas sebulan, berat badannya naik sekali ganda. Matanya bersinar indah dan pipinya gebu. Dia semakin galak ketawa dan tersenyum. Dalam pada saya bertanya keliling bagaimana boleh saya dapatkan air susu dengan pengambilan pil hormone, Allah mudahkan urusan. Ibu susuan anak saya hadir menawarkan diri dan ia membolehkan si comel mahram saya.

Subhanallah, pantas masa berlalu, dia membesar dengan ceria dan penuh dengan kasih sayang dari kami sekeluarga. Seawal usianya empat tahun, kami hantar dia ke tadika. Kami mahu dia berkawan-kawan dan membiasakan diri dengan pergaulan seharian. Selepas enam bulan di tadika, kami dipanggil oleh guru yang mengajar. Perbandingan dibuat antaranya dengan Abo, si abang yang sebelumnya adalah anak murid kesayangan Cik Guru. Selepas berbincang dari hati ke hati, akhirnya, dia menjadi kesayangan semua yang ada di tadika. Allah hu Akbar.

Terkenang beberapa insiden yang menghiris perasaan di sepanjang tempoh tujuh tahun ini, dan ia makin ketara akhir-akhir ini, mungkin kerana dia semakin stand-out.

Fuh! Tak padan Indon ni. Pakai kasut mahal. Berlagak.

Apasal tak balik Medan? Itu kan kampong awak?

Eh! Apa teruk sangat perangai dia ni. Kerja nak menjahamkan je.Dasar keturunan

Ni anak mu yang tu tu ke?, sambil menjuihkan bibir.

Astaghfirullah. Kami simpan dan pendam rasa marah yang amat tiap kali berdepan dengan situasi yang amat menyakitkan itu. Kebanyakannya datang dari mereka yang terdekat kerana mereka tahu asal-usulnya.

Setiap kali pulang dari sekolah, dia akan buka baju sekolah dan terjun ke dalam kolam renang. Saya perhatikan susuk tubuhnya yang lincah berenang bersama anak Korea, anak Tibet dan anak Singapore. Cakap macam ayam dan itik, tapi gelak bukan main kuat.Tiada apa yang membezakan dia dan kawan-kawannya. Mereka hanya budak.

Beberapa hari lalu, kisah di Tadika berulang. Saya hanya mampu telan airliur mendengar penjelasan panjang lebar guru comel yang sampai terketar-ketar cuba menyampaikan apa yang berlaku dan apa yang Aman dah lakukan dan katakan. Selepas beberapa ketika, saya akhiri perbualan dan termenung panjang.

Lewat petang itu, sambil menunggu Aman yang sedang asyik berenang dengan kawan-kawan antarabangsanya, saya capai talipon dan dial nombor Cikgu.

Assalamualaikum. Ini Cikgu Aman? Saya Mama dia. Boleh kita sembang kejap?

Waalaikummussalam. Ye Puan. Boleh saja.

Saya straight saja ye, Cikgu? Cikgu tau rasanya yang saya tidak lahirkan Aman? Tapi saya jaga dia sejak dia lahir. Sayalah satu-satunya ibu yang dia ada. Suami saya ayahnya, dan anak-anak saya yang lain abang kakaknya. Adik beradik saya adalah makcik pakciknya, begitu juga anak-anak saudara saya adalah sepupunya.

Saya tau dia nakal, Cikgu. Dia degil dan susah nak ikut kata. Kadang-kala dia menipu juga, saya pun tak tau mana dia belajar semua tu. Kat rumah ni hanya ada saya, dia dan ayahnya. TV pun tak ada. Dia memang tak ada access pada internet dan dia berkawan hanya dengan kawan-kawan sekolah. Sesekali je dia berkumpul dengan abang kakak dia bila kami balik Shah Alam.

Saya faham, Puan. Saya dah usaha sedaya upaya saya, sampai rasa saya gagal mendidik dia.

Cikgu, saya sentiasa ingatkan diri saya, Allah pilih saya di antara jutaan hambaNya di dunia ni untuk besarkan Aman. Dan saya pohon, Cikgu juga ada perasaan tersebut, Allah pilih Cikgu untuk mengajar Aman. Saya minta Cikgu tolong ajar dan didik dia agar menjadi manusia berguna. Andai dia buat salah, Cikgu dendalah dia. Rotan ke, ketuk ketampi ke, berdiri atas kerusi ke, lari keliling padang ke. Saya okay je Cikgu. Sebab dulu-dulu pun saya lalui kehidupan sebegitulah makanya saya jadi orang sampai sekarang.

Saya faham maksud Puan.

Saya hargai aduan Cikgu pada saya, tapi, saya pun tak tau apa yang patut saya buat bila orang ada stigma dan prejudis pada dia. Boleh ye Cikgu, kita sama-sama berlapang dada dan berbesar hati mengambil amanah Allah ini? Saya harap Cikgu tidak rasa terbeban kerana perlu menjadi guru Aman, malah berbangga menjadi pilihan Allah. Kita doakan dia membesar jadi anak terbilang, pastinya dia akan sentiasa ingat pada Cikgu yang begitu dekat dengan dirinya.

Subhanallah. Maafkan saya Puan. Saya akan cuba sedaya upaya saya mendidik dia. Saya minta maaf sekali lagi, Puan.

Di hujung talian, saya dengar bunyi air liur ditelan. Saya kesat air yang mengalir laju dari mata dan hidung. Mujur cepat saya lakukan, kerana tidak semena-mena, saya dengar suaranya dari belakang, Mama! Nak naik! Aman dah sejuk. Tangan Aman dah kedut-kedut!

Apabila seseorang memanggil seorang anak dengan panggilan/sebutan “anakku” (padahal bukan anaknya yang sebenar) untuk memuliakan dan menyatakan kecintaanya kepada si anak, hal ini tidaklah termasuk dalam larangan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, An-Nasaâ dan Ibu Majah dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata,

(Pada malam Muzdalifah), Rasulullah s.a.w. mengedepankan kami anak-anak kecil dari Bani Abdl Muthalib (lebih awal meninggalkan tempat tersebut/tidak mabit), di atas keldai-keldai kami. Mulailah baginda memukul dengan perlahan peha-peha kami seraya berkata, “Wahai anak-anakku, janganlah kalian melontar jumtah sampai matahari terbit.”

(Disahihkan Al-Imam Al.Albani rahimahullah)

Ini dalil yang jelas sekali kerana Ibnu Abbas r.a. ketika haji wada berusia sepuluh tahun.