SELAMAT TINGGAL MADINAH

Hari terakhir di Madinah.

Menurut petugas Tabung Haji, jemaah haji dikehendaki menaiki bas pada pukul 6.30 pagi. Dia menasihati kami supaya bersembahyang di hotel memandangkan waktu subuh di Madinah adalah di sekitar jam 5.40 pagi. Tidak sempat untuk berjemaah di Masjid Nabi.

Mengikut kelaziman, solat subuh hanya akan bermula pada pukul 6.00 pagi dan hanya akan berakhir di sekitar jam 6.15 atau 6.20. Surah yang dibaca cukup panjang. Jelas, Tabung Haji tidak mahu jemaah Malaysia terkocoh-kocoh untuk bersembahyang di Masjid dan berkejar pula untuk menaiki bas. Tambah-tambah lagi kebanyakan jemaah haji Malaysia “kumpulan ini“ menginap di tingkat 7, 8, 9, dan 10. Ia mungkin boleh menyebabkan kelewatan jika kesemuanya solat di Masjid.

5.00 pagi. Haji Ibrahim, rakan sebilik bertanya, Sempatkah kita bersembahyang di Masjid?. Tentu sekali saya sedang memerhatikan keadaan dengan teliti. Jauh di sudut hati, saya tidak mahu ketinggalan solat subuh berjemaah. Di masjid.

Dalam masa yang sama, saya juga tidak mahu menjadi penyebab kepada kelewatan perjalanan bas ke lapangan terbang. Saya juga tidak mahu menjadi penggalak kepada mereka yang lain. Bagaimanapun kerana ada pertanyaan, maka saya memberi jawapan yang hanya terpakai kepada diri sendiri. Kata saya: `InsyaAllah tetapi hand-luggage kena berada di lobi. Apabila selesai sembahyang terus ke bas.

5.40 pagi. Azan subuh berkumandang. Saya maklumkan kepada Roza yang saya ingin bersembahyang di Masjid. Dia uzur. Saya mahu dia menunggu saya di dalam bas. Sebelum melangkah, saya berdoa: `Ya Allah, izinkanlah aku bersembahyang subuh sebelum aku berlepas pulang. Jangan jadikan aku orang yang terakhir untuk menaiki bas. Berikanlah ruang masa yang secukupnya untuk aku bersembahyang”.

Lalu saya turun dengan penuh keyakinan. Sambil bergerak laju ke masjid, saya sempat memerhatikan pekerja (bas No 9) masih belum mengangkat barang-barang kami yang terkumpul di ruang lobi hotel. Saya makin yakin yang saya perlu dan boleh menunaikan solat subuh di Masjid.

Saya rasa lega. Tercapai juga niat untuk bersembahyang setiap waktu berjemaah di Masjid Nabi sepanjang berada di Madinah. Saya berasa yakin termasuk di dalam kumpulan kecil yang dapat bersembahyang 42 waktu penuh. Hampir kesemua jemaah hanya dapat bersembahyang 40 waktu sahaja (maksimum) kerana beberapa sebab. Doa supaya dipermudahkan, mendapat yang terbaik dan dapat berama ibadat di Masjid Nabi dengan kadar yang maksimum termakbul. Agakan saya begitu [Astaghfirullah].

Perjalanan ke lapangan terbang Madinah cukup memilukan. Umpama meninggalkan seorang kekasih cinta pertama atau pergi tanpa janji akan kembali semula. Kami hanya berdiam diri. Senyap. Saya tidak mempedulikan orang lain. Airmata mengalir. Tangisan tanpa kawalan lebih kuat di dalam hati.

Kami benar-benar merasai kenikmatan beramal ibadat di Masjidil Haram dan di Masjid Nabi. Tiada yang setanding dengannya. Diam-diam hati menyebut Subhanallah Subhanallah  Subhanallah.

Sesekali bercakap dengan Roza. Melahirkan rasa sedih, rasa nikmat, rasa puas dan rasa takjub di atas pengalaman 44 hari menunaikan fardu haji. Bagaimanapun, kami lebih banyak berdiam diri dengan hati berzikir manakala mata menyaksikan pemandangan Kota Madinah dan laluan ke Lapangan Terbang.

11.40 pagi. Kami mula mendaki angkasaraya menggunakan Pesawat Saudi Arabia. 30 minit di udara, kami sudah mula bertenang dan dapat merehatkan minda. Rasa lesu mula menyelinap masuk.  Cuma kami tidak dapat melelapkan mata. Sesekali bergurau dengan Roza, Kak Mie dan Azlina mengingati kembali beberapa peristiwa manis terutamnya di bandaraya Makkah. Hampir setiap hari kami bersama. Azlina sendiri berulangkali mengucapkan kata-kata kesyukuran,

Saya rasa bersyukur sangat kerana abang ajak saya menunaikan fardu haji tahun ni. Inilah hadiah yang paling manis buat saya. Terima kasih abang.

Saya tersenyum. Saya tahu kedua-duanya, Kak Mie dan Azlina  berada di puncak kegembiraan. Saya juga berasa bersyukur kerana dapat menjadi ketua rombongan kepada isteri, kakak dan adik perempuan dengan penuh tanggungjawab. Perasaan sendiri berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan kepada mereka. Itulah yang terbaik mengikut kemampuan saya [Astaghfirullah].

Di atas pesawat inilah saya dapat dan mula merenung kembali apa yang telah dilalui untuk tempoh dua tahun yang lepas sehinggalah selesai menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini. Terasa puas, nikmat dan benar-benar bersyukur. Kepuasan yang mencetus pula ketakutan dan kebimbangan. Saya nyatakan kepada Roza,

Saya ingin lagi kembali lagi ke Makkah, Madinah. Tidak kiralah menunaikan haji atau umrah tetapi ada unsur-unsur ketakutan dalam jiwa saya.

 

Mampukah saya melakukan perkara yang sama, mampukah saya menyimpan (membuang) perasaan terlampau yakin, adakah lagi perasaan ketakutan kepadanya, atau timbulkah perasaan riak, angkuh dan sombong.

 

Saya rasa, Tuhan benar-benar menyayangi kita sepanjang kita berada di Makkah dan Madinah. Mampukah kita mengekalkan apa yang telah kita lakukan selama 44 hari ini?

Di atas pesawat ini jugalah saya melihat diri. Jauh ke dalam. Ianya berpusing-pusing di sekitar persoalan kehidupan apabila pulang ke Malaysia, apabila melangkah masuk bekerja di UiTM atau berkeluarga.

Apakah perjalanan kehidupan sendiri akan berubah secara drastik sehingga memberi kesan hebat kepada perhubungan sesama rakan sejawat, corak pemikiran atau kehidupan seharian. Atau apakah saya akan kembali menjadi seorang insan yang sama tingkah-laku, adab & akal atau mungkin lebih menyonsang turun tanpa mempunyai perubahan positif. Jika itu berlaku, ibadat haji yang telah saya laksanakan tidak mampu mengubah sempadan masa.

Haji yang penuh dengan kebajikan (Haji Mabrur) adalah lebih baik daripada dunia dan apa-apa yang ada di dalamnya. Haji Mabrur tidak ada baginya balasan kecuali syurga. (Dilaporkan oleh Abu Hurairah ra.)

Malah saya terbayang segala kerugian yang bakal ditanggung jika apabila pulang nanti masih bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak sepatutnya dilakukan. Apatah lagi setelah Allah berjanji memberi pengampunan seumpama bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.

Ketakutan ini bukanlah satu perkara yang ganjil, apatah lagi terdapat rakan-rakan dan insan yang dikenali masih sanggup melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan berjudi walaupun sudah menunaikan fardu haji. Sesetengah daripada mereka masih pekat dengan perasaan buruk sangka, suka membuat fitnah dan mempunyai perasaan cemburu yang melampau.

Saya tidak mahu begitu. Saya tidak mahu diuji sedemikian rupa. Saya rasa apa yang telah Tuhan ampunkan (mengikut janjiNya) akan menjadi sia-sia dan tindakan ini benar-benar menggambarkan kebodohan diri sendiri. Astaghfirullah.

Barang siapa melakukan haji kerana Allah, lalu ia tidak mengeluarkan kata-kata kotor dan tidak melakukan perbuatan jahat, neschaya ia pulang ke negerinya dalam keadaan diampuni dosa-dosanya seumpama ia baru dilahirkan oleh ibunya. (Dilaporkan oleh Ahmad, Bukhari, an-Nasaâ dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah.)

Dalam bayangan, saya dapat merasakan yang cabaran atau dugaan selepas menunaikan fardu haji atau bergelar Haji menjadi lebih besar berbanding dengan perasaan ketakutan sebelum bertolak ke Makkah.

Mampukah saya bangun setiap penghujung malam untuk bersembahyang tahajud? Mampukah saya berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagaimana yang dilakukan di Makkah dan Madinah? Mampukah saya sembahyang berjemaah apabila  azan dilaungkan? Mampukah saya membaca Al-Quran setiap hari?

Pertanyaan demi pertanyaan muncul dalam kegelisahan mencari keredhaannya. Kegembiraan untuk pulang ke Malaysia terbenam disebalik sejuta pertanyaan yang tidak mungkin terjawab.

Selamat tinggal Madinah.

Selamat tinggal Masjidil Haram.

Di sanalah tempat aku belajar, diajar dan memahami tentang keesaanmu, Ya Allah. Sehingga bertemu lagi. Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah, aku mohon keampunanmu.