IKRAR DI HIJIR ISMAIL

Rumah Kecil di Jabal Uhud “rumah di Madinah“ jaraknya hanya 450 km daripada Makkah. Kami boleh bertolak sebelum solat subuh ke sana dan kembali selepas solat Isya. Namun ia tidak pernah berlaku begitu. Insya Allah “sekurang-kurangnya“ sebulan sekali kami ke Makkah untuk menunaikan umrah dan bermalam di sana pada hujung minggu.

Makkah dan Masjidil Haram sentiasa terpahat di hati. Ketika menunaikan fardhu haji kami memasuki Makkah terlebih dahulu. Ia penerbangan akhir yang membawa kami melalui kembara rohani yang benar-benar mengubah sempadan imam. Setiap kali musim haji “wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah, melontar di Mina, Tawaf dan Saie“ hati kami bergetar. Teruja. Terasa bagaikan baru semalam kami bertahalul meleraikan segala pantang larang dalam ihram di sekitar bukit Marwah.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!

Orang Malaysia yang sudah usai ibadah haji akan dipanggil hajjah. Suka atau tidak ia gelaran yang telah menukarkan seluruh pola kehidupan. Hati merasai seperti perasaan baru. Barangkali ada dua pandangan. Pertama, ia seperti baru dilahirkan. Kedua, ia seperti orang mati dibangkitkan kembali.

Ya Allah “bagaimanapun rasa di hati“ secara diam-diam saya bertekad kepada diri sendiri untuk memulakan suatu kehidupan yang lebih baik dari semalam.

Biar semalam menjadi sejarah yang telah bernoktah. Ia tidak mahu diulangi. Saya masih terbayang bagaimana hiba dan sebaknya hati ketika sujud tunduk rebah di dataran kaabah. Malah saya masih terbayang bagaimana bertawaf dalam suasana sesak. Allah ya Allah … saya terasa bersendirian menghadap Allah SWT.

Setiap kali menunaikan umrah bersama suami dan anak-anak akan terasa sedikit getaran apabila melihat Hijir Ismail. Tentu sekali ia tidak seumpama ketika mula-mula berada di dalamnya. Ia berbeza tetapi rasa teruja sentiasa ada. Nikmat Allah SWT – kini – umpama Raudhah di Madinah, kami tidak perlu berebut-rebut atau bersesak-sesak lagi.

Pastinya, pengalaman pertama kali merupakan nikmat luar biasa. Begitulah juga dengan Hijir Ismail yang dimasuki dengan cara luar biasa ketika melaksanakan ibadat haji.

Bagaimana?

Saya memasukinya dengan cara menyongsang. Maksudnya, saya menggunakan pintu yang tidak dibenarkan. Pintu tersebut hanya digunakan untuk laluan pegawai dan Imam masjid di hujung sebelah kiri Hijir.

Kisahnya menarik. Saya benar-benar mahu memasuki Hijir. Namun orang bersesak-sesak. Hampir semua jemaah sudah memasuki Makkah bersiap untuk menunaikan ibadah haji. Saya pula tidak tahu betapa laluan masuk Hijir hanya menggunakan pintu di sebelah kanan.

Allah ya Allah … saya melihat laluan di sebelah kiri tiada jemaah. Mereka yang hampir hanya pegawai polis yang bertugas. Kami memohon izin untuk masuk. Jawapan yang pasti tentunya TIDAK.

Kami menunggu dan menunggu. Keputusannya tetap sama. Ia bukan laluan yang dibenarkan. Akhirnya suami mengalah dan berulang kali memujuk meminta saya melupakan sahaja niat di hati.

Beliau berbisik menyarankan agar kami datang semula ke suatu masa yang lebih sesuai. Saya berdegil dan bernekad untuk memasuki Hijir dan saya memohon kepada suami,

Biar saya solat hajat dua rakaat. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan dengan mengizinkan saya memasukinya. Jika tidak, saya redha.

Lalu saya melakukan solat sunat di bucu Kaabah sambil berdiri. Entah mengapa air mata bercucuran mengharap belas kasih dari Allah empunya Kaabah. Usai solat, tiba-tiba pegawai menghulurkan segelas air zam-zam. Kemudian beliau memalingkan badan bagaikan memberikan laluan. Pintu masuk terbuka luas. Saya bersegera masuk bersama dua orang wanita Indonesia yang berada di sisi.

Ketika berpeluang sujud di dalam hijir, sekali lagi saya berikrar di dalam diri. Bertekad mahu menjadi orang baru terutamanya dari segi pemikiran, penampilan diri dan ibadah kepada Allah. Segala-galanya kini semata-mata keranaNya. Dalam sujud saya berjanji,

Ya Allah ya Tuhan kami. Daku melihat begitu banyak perubahan dalam diri suamiku ya Allah. Terima kasih ya Allah. Engkau menunjukkan tanda-tanda Kehebatan, Kekuasaan dan KebesaranMu. Kau dengan penuh kasih sayangMu telah makbulkan permintaan hambaMu.

Terima kasih Allah. Sesungguhnya ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Mu keranaMu. Ya Allah, selama daku di sini, inilah pakaian abaya hitam yang dipakai setiap waktu menjadi saksi.

Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya daku menyarung pakaian ini dalam keadaan sangat bersyukur dengan nikmat kurniaanMu. Biarlah pakaian ini menjadi tanda daku terus bersyukur kepadaMu sehingga akhir hayatku.

Dengan izinMu. Inilah pakaian bagi seluruh kehidupanku!

Air mata melimpah ruah di lantai hijir Ismail. Subuh pagi terasa sangat hening tanpa suara hiruk pikuk jemaah yang bersesak-sesak mengharapkan redha illahi. Saya terasa bersendirian, sunyi dan berseorangan. Puas merintih menghiba-hiba, saya bangkit dari sujud.

Subhanallah!

Rupa-rupanya saya benar-benar berseorangan di dalam lingkungan hijir Ismail. Ia bukan khayalan. Ia bukan rasa-rasa. Saya sendiran sahaja sedang sujud kepadaNya. Allah ya Allah, saya menoleh ke belakang dan melihat beberapa orang pengawal yang berdiri sambil memerhati. Mahasuci Allah! Mereka membiarkan sahaja saya sujud rebah meratap sepuas-puasnya sendirian – seorang diri – di dalam ruang tempat yang saya hajati.

Hijir Ismail!

Terasa bersalah lalu saya melangkah keluar melalui pintu di sebelah kanan. Namun, saf di sekitarnya telah dipenuhi oleh jemaah lelaki. Saf-saf sekeliling kaabah telah terbina. Langsung tiada laluan untuk ke bahagian jemaah wanita. Puas mata memerhati kiri dan kanan namun tiada ruang telus untuk keluar.

Akhirnya, saya terpaksa meminta ruang untuk duduk sebaris dengan jemaah di saf paling hadapan di dinding kaabah. Terdengar beberapa jemaah lelaki yang duduk di saf ke dua dan ke tiga, melaungkan kata-kata dengan suara yang jelas;

Hajjah … haram ya hajjah! Hajjah. Haram!

Saya tahu namun saya tiada upaya untuk melakukan yang terbaik di sisiNya. Waktu solat sudah tiba. Namun “akhirnya“ada beberapa lelaki Arab bersimpati dengan keadaan yang sedang saya alami. Mereka membenarkan saya ke sudut ruang kecil untuk seorang di sisi pintu keluar Hijir. MasyaAllah … mereka membina mihrab untuk seorang wanita yang terpinga-pinga tidak tahu ke mana mahu dituju.

Usai solat subuh, pintu Hijir dibuka bagi laluan keluar imam. Jemaah lelaki meluru untuk bersalaman lalu saya tertolak masuk kembali ke dalam Hijir. Sayalah orang pertama yang berada di dalam Hijir. Anehnya saya buntu mencari laluan keluar. Lalu, duduklah saya di situ berjam-jam melakukan solat-solat sunat bersambung-sambung sehingga kelesuan.

Saya tiada pilihan.

Begitulah ketentuan Tuhan yang Maha Berkuasa. Saya memohon keampunan Allah SWT! Terasa berdosa kerana membiarkan suami yang penuh kebimbangan menunggu saya di pintu Babusalam berjam-jam lamanya!

Hijir Ismail.

Di sinilah tempat saya berikrar sesungguh hati untuk menjaga aurat sebagai seorang wanita. Di sini jualah saya berjanji kepada Allah SWT untuk melakukan segalanya semata-mata keranaNya. Di sini jugalah saya berjanji untuk meninggalkan segala-gala yang tidak membolehkan saya hampir kepadaNya. Saya mahu menjadi manusia baru, berusaha untuk melangkah ke syurga Firdaus.

Allah ya Allah … izinkan saya bersama suami, anak-anak dan kaum keluarga yang lain.

Begitulah … saya sentiasa teruja meninggalkan pintu rumah kami di Jabal Uhud menuju Makkah. Ia perjalanan yang dinantikan. Lalu kami bersyukur kepadaNya, perjalanan ini tidak terlalu sukar untuk dilakukan.

Ia hanya 450 km.