BERSUNGGUH

Duhai sahabat ku,

Lakukan sesuatu dengan bersungguh. Lakukan kerana kita mahu melakukannya. Lakukan kerana kita yakin dan berupaya untuk melakukannya. Lakukan semata-mata kerana Allah.

InsyaAllah … banyak perkara boleh dilakukan apabila ia dilakukan dengan bersungguh dengan mengikut aturanNya. Lalu kesungguhan itu perlu diterjemahkan melalui tindakan atau perbuatan.

Misalnya, jika kita mahu menjadi seorang penulis maka kita perlu meluangkan masa, memikul pen atau memegang keyboard dan wajib menulis. Jika tiada apa yang ditulis maka tidak mungkin beliau berjaya menjadi seorang penulis. Penulis tidak lahir hanya semata berangan dan bercita-cita mahu jadi penulis.

Saya sendiri bukanlah pandai menulis. Guru bahasa yang membaca tulisan saya pastinya akan memberi komen panjang. Nahunya tunggang langgang. Struktur ayatnya tidak mencermin saya berpengetahuan dalam bidang bahasa. Buktinya, saya hanya memperolehi C3 semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tentu sekali saya terkenang bagaimana hijaunya (nota: editor menggunakan dakwat hijau) deraf tulisan pertama yang dihantar ke sebuah majalah terkenal. Namun beliau menerima tulisan tersebut kerana pelbagai faktor.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas namun saya mengetahui sebabnya. Pertama, ia mempunyai nilai ilmu yang relevan dengan tema majalah tersebut. Kedua, saya seorang pensyarah yang mempunyai kelulusan. Lalu – logiknya – saya mempunyai kredibiliti atau latarbelakang bidang tersebut.

Ketiga, saya bersungguh apabila menulis. Deraf tulisan bertaip kemas. Saya fikir sedap mata editor memandang. Tentu sekali saya tidak akan mengharapkan editor mencari bahan tambahan kepada tulisan yang saya kemukakan.

Maksudnya … tidak pula saya mencampakkan tulisan dengan berniat awal agar dilakukan pembetulan. Saya melihat di depan mata bagaimana seorang editor mencampakkan tulisan begitu ke bakul sampah.

Ramai orang mempunyai segala-galanya kecuali kesungguhan. Ia perlu ditunjukkan. Ia nampak jelas melalui keseluruhan proses penulisan itu sendiri.

Menulis perlu membaca. Menulis perlu berfikir. Hakikatnya menulis perlu mempunyai ilmu. Lalu proses yang kelihatan ringkas dan mudah sebenarnya mempunyai rantaian yang cukup panjang tanpa kita sedari.

Ia hanya mudah bila kita bersungguh. Tiada jalan pintas.

Begitu jugalah dengan amal ibadat yang lain. Misalnya, jika kita mahu bangun malam maka kesungguhan merupakan salah satu elemen besar.

Pertama, kita perlu membuang elemen 100 peratus menyerah tanpa usaha. Ramai yang menyebut, “saya berniat mahu bangun malam tetapi sentiasa gagal”. Benar, Allah SWTlah yang memberi kudrat tetapi ia berlangsung mengikut aturanNya. Mereka yang bersungguh – InsyaAllah – akan diberi anugerah atau diberi pertolongan olehNya.

Kedua, kejayaan melaksanakan sesuatu perlu diikuti dengan rasa syukur betapa kita menyedari yang ia merupakan anugerah dariNya. Proses ini berterusan tanpa henti.

Sesekali kita diuji dengan kegagalan melaksanakan sesuatu yang kelihatan mudah dan ringkas. Kenapa? Allah SWT mahu mengingatkan betapa lemahnya sifat seorang manusia. Kita hanyalah hamba yang tidak terdaya tanpa bantuanNya.

Namun di celah-celah kejadian tersebut – barangkali – kadar kesungguhan kita merosot tanpa disedari. Benar … lakukan segalanya dengan bersungguh.

Bersungguh keranaNya.