MATA KEPALA

Jutaan manusia mengunjungi Makkah dan Madinah menunaikan umrah setiap tahun. Ia panggilan, jemputan atau sampai seru tidak usah difikirkan. Ambil maklum, ia keputusan yang sudah dipersetujui sendiri. Bukan tolakan atau paksaan mereka yang hampir, rakan atau sahabat. Tidak timbul soal kebetulan atau berlaku tanpa kehendak sendiri.

Mereka yang pergi bersiap sedia dalam dua keadaan. Pertama, berfikir menggunakan mata kepala. Sedikit yang menggunakan alat yang kelihatan abstrak, mata hati atau mata batin.

Mereka yang berfikir menggunakan mata kepala menyudahi rukun dan wajib umrah dan berpuas hati kerana dapat berniat, mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali, saei juga tujuh kali lalu bertahlul.

Mereka bergembira kerana terlepas daripada pantang larang ihram. Kemudian, mereka menghabiskan masa baki berada di Makah atau Madinah dengan cara berfikir menggunakan – juga – mata kepala.

Ketawanya berdekah, tidurnya panjang, pusingan kedainya berulang dan masa suntuk diperuntukkan di dalam dua kawasan yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat.

Itulah yang ramai-ramai lakukan. Bila pulang ke negara sendiri, puak yang berfikir menggunakan mata kepala ini tidak dapat atau tidak mampu atau tidak terfikir untuk memenuhi rumah Allah mencukupi lima waktu berjemaah di masjid.

Watak mereka boleh dikesan dengan mudah. Ada yang jahat hati mungkin berkata, “umrah tidak mampu mengubah sahabat ku ini …”

Bagaimana pula mereka yang berfikir menggunakan mata hati?

Mereka merenung dan mentafsir bagaimana ibadat yang mampu disempurnakan kurang dari dua jam dijanjikan penghapusan dosa. Bukankah itu tanda-tanda pelbagai sifat Allah SWT. Ia sifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta penerima taubat. Ibadat umrah mencerna sifat hebat Allah terhadap hambaNya.

Lalu secara hakikat … jika kita mengambil kira kaedah umrah yang dilakukan oleh Baginda SAW yang hanya melakukan satu umrah dalam satu perjalanan, maka berapa lama jemaah berada di Makkah dan Madinah hanyalah melakukan ziarah.

Lalu bermusafir dan beramal ibadat yang dituntut hanyalah di DALAM Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ia bukan Makkah atau Madinah.

Adakah maklumat ini sampai ke hati, dipandang menggunakan mata hati dan memberi kesan luar biasa kepada jasad dan roh?

Fenomena asas inilah yang perlu direnung menggunakan mata hati. Apakah yang kita kehendaki daripada amal-ibadat umrah yang ringkas ini yang telah dijanjikan dengan ganjaran terhapus dosa?

Lalu bila sahaja selesai bertahlul maka sepatutnya mereka yang rasional menitiskan air mata. Bukan kamera yang diangkat tetapi dahi disujudkan ke bumi. Dosa lalu terhapus. Hati – barangkali – akan terus bertekad untuk tidak melakukan dosa baru serta akan menambahkan amal ibadat sepanjang berada di Makkah atau Madinah.

Tekad inilah yang mahu dibawa pulang ke Tanah Air.

Maksudnya, mereka yang telah melakukan umrah dengan sempurna dan berjaya mempertahankannya dengan tidak melakukan dosa (nota: tiada umat Adam yang tidak melakukan dosa tetapi memadailah dengan sentiasa memohon keampunanNya) sehingga meninggal dunia “secara hakikatnya“ merupakan ahli syurga. Jika mereka mengerti soal ini sepenuh hati, maka setiap jemaah akan mempamerkan watak ahli syurga.

Lalu “jika mengikut aturannya“ umrah yang sempurna di sisi Allah SWT memerlukan pengamatan yang lebih cermat dan teliti. Ia membabitkan soal pasca umrah dan kehidupan selepas kembali ke Tanah Air.

Itulah analogi mudah berfikir, bertindak dan menjalani kehidupan bersandarkan mata kepala yang bertarung dengan mata hati. Siapa yang menang? Kesannya pasti berbeza.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.