Dosa Sesama Manusia

Prof … dosa kita dengan Allah SWT mudah diampunkan jika kita memohon keampunanNya. Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dosa terhapus dengan beristifar dan bertaubat nasuha. Bagaimana pula dengan dosa sesama manusia?

Pertanyaan ini kerap diajukan oleh khalayak bila membicarakan soal dosa. Begitulah … bila timbul kesedaran dan keinsafan mendalam sehingga ke lubuk hati maka kisah masa lampau muncul pantas dan jelas. Ia terputar sendiri tanpa dipaksa-paksa. Air mata boleh gugur tanpa dipaksa-paksa.

Allah ya Allah … renungan dalam menyedarkan diri betapa begitu banyak kesilapan yang telah dilakukan kepada manusia lain. Malah – saya sendiri – hati sayu, sebak dan gusar apabila membaca dan memahami terjemahan hadis nombor 1753 daripada sahih Bukhari, Jilid 4 yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang ada di tangan kepunyaan saudaranya, diperoleh dengan jalan tidak halal, hendaklah diadakannya penyelesaian kerana di situ (di akhirat) nanti tidak ada dinar dan dirham (untuk membayar).

Jangan sampai nanti diambil kebaikannya untuk diberikan kepada saudaranya. Setelah habis kebaikannya, diambil dosa saudaranya lalu ditimpakan kepadanya.”

Saya – misalnya – terkenang kisah kehidupan remaja di MRSM. Alahai … acap kali makan lari dan free di Kafe Haji Omar. Beliau sudah meninggal dunia. Ketika mahu menunaikan fardu haji – 2006 – saya bertanya dan meminta pandangan Ustaz  tentang dosa-dosa sesama manusia dengan mengambil contoh kisah kehidupan peribadi pada zaman remaja. Kisah roti telur Haji Omar sentiasa muncul. Allah ya Allah … Ustaz tersenyum dan membuat kenyataan yang menghiburkan.

Prof … kita semua melakukan kesilapan terutamanya semasa muda dan remaja. Kesilapan sesama manusia perlu memohon maaf dan dikembalikan hak mereka. Namun ada ketikanya ia tidak mungkin tercapai. Tentu ada cara penyelesaian.

Saya fikir mohonlah keampunanNya dengan bersungguh-sungguh bertaubat. InsyaAllah … DIA mengatasi segala bentuk peraturan yang dizahirkan.

Misalnya, jika dia masih hidup tetapi sukar untuk bertemu, berdoalah agar dia memaafkan kita. Barangkali ada juga yang telah pun memaafkan semua orang sebelum beliau meninggalkan dunia. Kita berharap begitu.

Berdoa adalah satu ibadat. Malah meyakini setiap doa dan permintaan didengari oleh Allah SWT sebahagian daripada keyakinan betapa Dia Maha Berkuasa. Saya bersyukur apabila mendengar khabar betapa Haji Omar pernah menuturkan kenyataan berikut:

Saya tahu ada pelajar yang makan dan tidak bayar apabila makan di kedai saya. Saya anggap mereka anak-anak saya sendiri. Mereka lapar dan perlu makan. Anggaplah ia satu sedekah.

Pernah kita melawat orang sakit di hospital? Sebelum beredar pergi, saya sering menyatakan, “Tuan, saya mohon beredar. Maafkan saya jika ada tersalah dan tersilap. Saya doakan tuan diberi kesembuhan dan tidak berbekas lagi.” Allah ya Allah … saya sering mendengar jawapan berulang, “saya sudah maafkan kesemua kesalahan yang dilakukan oleh orang kepada saya. Tiada seorang pun berhutang kemaafan dengan saya.”

Siapakah yang membuka hati mereka menjadi seorang pemaaf? Tentulah Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah beliau sudah nyatakan,

Hendaklah mereka memberi maaf dan melapangkan dada, tidakkah kamu ingin diampuni oleh Allah?

(Terjemahan surah An-Nur: 22)

Jika kamu memaafkan, melapangkan dada serta melindungi, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

(Terjemahan surah Al-Taqhabun: 14)

Banyak perkara yang boleh kita pelajari dengan dosa-dosa yang telah kita lakukan sesama manusia. Pertama, mohonlah kemaafan. InsyaAllah dosa akan terhapus. Kedua, berdoalah agar Allah SWT melembutkan setiap hati manusia untuk memaafkan setiap kesilapan yang telah kita lakukan. Bertaubatlah. Akhir sekali, maafkanlah kesalahan orang lain terhadap kita moga setiap orang yang kita maafkan membuka pintu hati 10 atau 100 mereka yang pernah kita berdosa untuk memaafkan kita.

Sungguh DIA Maha berkuasa di atas segala-galanya.