Memohon Kemaafan

Memohon dan menerima kemaafan – ada masanya – kelihatan sukar. Ia jadi begitu kerana minda manusia sering diliputi dengan rasa ego melampau. Hakikatnya, memohon dan memberi kemaafan sentiasa memberi kebaikan yang tidak ternilai.

Meminta maaf tidak semestinya kita bersalah. Ada masanya kita memohon kemaafan kerana menghargai perhubungan yang sudah lama terjalin. Saya fikir, usah malu dan ragu untuk meminta maaf. Ia boleh mendekatkan dua hati yang pernah terguris.

Nabi Muhammad SAW memaafkan umatnya. Ia satu sifat paling mulia. Siapalah kita untuk bersifat sombong dan angkuh. InsyaAllah, jika kita mudah memaafkan orang, Allah SWT juga akan memaafkan kita. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa.

Pengalaman ketika melawat anak yang sedang belajar di Adelaide sentiasa ada dalam ingatan. Penduduk di sana selalu berada di dalam mod bermaaf-maafan. Hati saya tersentuh melihat nenek meminta pertolongan seorang pemuda untuk menaiki. Kata-katanya indah sekali, “Sorry son, can you help me …”. Usai pertolongan diberi, pemuda itu melafazkan, “Sorry madam, I have to go”.

Ia tutur kata terbaik dan terpuji. Mereka kelihatan mempunyai perasaan mengembirakan,  bersenang hati dan saling hormat menghormati. Ia kelihatan kecil tetapi kami mulai terikut-ikut budaya ini dan dapat merasakan pada setiap hari seolah-olah tiada dosa-dosa yang dilakukan  dengan orang lain.

Seandainya kita seringkali bermaaf-maafan maka – saya fikir – wajah kita kelihatan berseri-seri. Logiknya mudah. Hati menjadi lapang kerana tiada perasaan bersalah. Lalu jiwa terasa lega. Rasa indah inilah yang bakal menghiasi wajah-wajah mereka. Itulah yang saya rasakan di wajah warga Adelaide yang saya temui.

Alahai … ia mungkin sekilas pandangan yang melampau!

Kisah ini lebih hampir dengan saya dan khalayak semua. Baru-baru ini seorang sahabat bertemu dan beliau bersalam dan terus memeluk sambil berkata “maafkan saya zahir dan batin.” Saya terpaku sejenak tetapi cepat bertanya,

“Kenapa awak cakap begitu? Saya tidak teringat yang awak pernah melakukan sebarang kesalahan kepada saya. Lagipun sekarang ini belum lagi bulan Ramadhan. Lambat lagi bulan raya.”

Beliau gelak. Jawapan beliau mewajarkan saya berfikir sejemak. Kenyataannya menarik,

“InsyaAllah … saya akan berangkat ke Mekah pada minggu depan. Takut-takutlah kalau ada pernah tersilap kata dan perbuatan. Rasanya tidak payahlah tunggu hanya pada bulan Ramadhan untuk bermaafan. Moga Ramadhan kita nanti tanpa dosa-dosa lampau.”

Ia sudah jadi kebiasaan untuk mereka yang akan berangkat ke Tanah Suci memohon maaf kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Mereka mahu ke ke sana di dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa yang telah dilakukan dengan manusia. Barangkali mereka takut apabila pergi ke tanah suci dan tidak akan kembali lagi lalu tidak sempat meminta maaf jika ajal sudah sampai di sana. Lalu saya nyatakan,

“Sudah tentulah saya dengan ikhlasnya memaafkan awak walaupun tiada kesalahan yang awak lakukan terhadap saya. Saya juga meminta maaf, manalah tahu, saya ada kesalahan dengan awak. Malahan saya akan tetap mendoakan awak pergi dan balik dari Mekah dengan selamat.”

Kami bersalaman lalu berpeluk. Ianya satu perasaan yang  hiba tetapi nyata indah sekali.

Peristiwa ini mengingatkan kembali saya kepada  arwah ibu yang selalu meminta maaf kepada kami. Setiap kali kami berjumpa, ibu akan mengucapkan “maafkan mak, halalkan makan dan minum zahir dan batin ya?” walaupun tiada kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Kalau kami berdiam diri, beliau akan bertanya, “maafkan mak tak?” Ucapan beliau sentiasa menyejukkan hati kami. Kami mulai mempelajari dan mengikuti perbuatan beliau. Kesannya – saya fikir – ia membuatkan kami sentiasa merendah diri.

Apabila beliau sudah tua – uzur dan berada di hospital, permintaannya adalah ingin berjumpa dengan ahli keluarga dan kenalan semua untuk meminta maaf. Maka ramailah di antara mereka yang datang melawat untuk bermaaf-maafan. Kenyataan, “maaf zahir dan batin” muncul dari lubuk hati.

Mereka semua mengimbas kembali akan kesalahan-kesalahan yang lalu dan melepaskannya pergi. Lalu timbullah perasaan kesedihan bersertakan kemesraan. Mereka semuanya dilihat berasa berpuashati.

Beberapa bulan berlalu, beberapa kali doktor telah menasihati keluarga untuk memanggil kenalan ibu yang belum melawatnya  agar  segera datang. Ramailah yang datang berkejaran. Mereka sempat menatap wajah dan memegang tangan ibu yang sudah tidak terdaya.

Namun mereka semuanya masih sempat bermaaf-maafan. Titisan air mata berguguran tanpa disedari. Mereka hanya rasa gembira sedikit kerana tidak dapat mendengar suara ibu memaafkan mereka.

Ada pula yang datang agak lambat merasa kecewa dan berasa hati kerana kini ibu sudah nazak dan tidak sedarkan diri. Mereka hanya dapat  melihat keredaan pada  wajah ibu yang dikelilingin dengan tiup pernafasan dan dawai talian letrik peralatan bantuan pernafasan.

Mereka meminta maaf berkali-kali tanpa berhenti dengan mengalirkan airmata bercucuran namun ibu hanya mendiamkan diri tanpa sebarang pergerakan dan respon. Mereka tidak putus-putus berdoa inginkan agar ibu sedar kembali untuk meminta maaf.

Ia tidak berlaku. Perasaan kesal di hati muncul di wajah. Benar … ibu pergi buat selamanya.

Sesungguhnya, beruntunglah kepada mereka yang merendah diri lalu suka bermaaf-maafan. Rugilah pula kepada mereka yang mempunyai keegoan yang tinggi lalu tidak mahu bermaaf-maafan. Allah sentiasa meredai kepada mereka yang suka membuat kebaikan.

Pada setiap pagi Syawal, kami akan mengingati aruah ibu yang suka meminta maaf dan mengampuni kesalah-kesalahan kami. Kami berdoa agar ibu bersama-sama dengan orang-orang beriman dan beramal soleh di syurga.

Saya ingin mengambil kesempatan ini pada pengakhiran bulan Ramadhan yang mulia ini dan bersekali dengan bermulanya bulan Syawal yang barakah ini, ingin memohon maaf, zahir dan batin kepada kesemua saudara-mara, rakan-rakan dan semua pembaca terutamanya warga UMKI.

Semoga Allah akan sentiasa memberkati hidup kita semua. Amin Ya Rabbul Alaamiin. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir dan batin.

Zaini Ariff