NOTA PENGARANG: NOTA PASCA HAJI

Agaknya siapalah yang mahu membaca buku pasca haji?

InsyaAllah, khalayak pembaca sudah pasti ada. Namun kami menjangkakan jumlah khalayak tidak seramai orang mencari buku-buku persediaan atau motivasi haji sebelum berangkat pergi. Buku kami Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman telah dicetak berpuluh-puluh kali melalui pelbagai versi. Angggaran kasar, pembacanya melebihi sejuta orang.

50 Tip Motivasi Haji dan Umrah terus diulang cetak selepas 10 tahun diterbitkan kali pertama pada 2008. Malah buku Nota Dari Madinah dan Rumah Kecil di Jabal Uhud masih dicari orang bagi membakar semangat tambahan setelah mendapat tawaran untuk pergi.

Pencarian maklumat melalui buku-buku ini – kami syak – kerana ramai di antara kita berperasaan gundah gulana bila dikaitkan dengan ibadat haji. Nun jauh di sudut hati ada yang terfikir-fikir samada mereka benar-benar layak untuk menunaikan ibadat ini yang hanya diwajibkan sekali. Itu pun jika mampu. Lalu buku-buku di atas dibaca dan kemudian dicadangkan kepada mereka yang hampir.

Kami mendengar isteri memujuk suami agar menunaikan fardhu haji dengan menggunakan tagline, “You baca buku ni… Prof Kamil lebih teruk dari you,” merujuk kepada buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.

Ramai mencadangkan Rumah Kecil di Jabal Uhud kepada wanita yang bakal berangkat ke Tanah Suci. Ada aroma luar biasa di sana yang disampaikan oleh buku ini melalui pengalaman tiga tahun bermukim di Madinah.

Buku – Nota Pasca Haji – yang sedang ditatap mempunyai sejarah panjang. Kami digesa agar menulis buku ini seawal 2009 oleh Tuan Faris Hasbullah dari PTS Publications. Ketika itu kami sudah menulis tajuk bersekali dengan kerangka buku.

Kami bersetuju dan beberapa bab telah disiapkan. Namun ia terhenti tanpa dapat disempurnakan. Tiada kesungguhan untuk menyudahkan sesuatu yang telah dimulakan walaupun premis penulisan sangat jelas dan signifikan.

Hampir sepuluh tahun berlalu.

Kami melihat keperluan untuk menyudahkan buku Nota Pasca Haji muncul di atas beberapa pertimbangan. Salah satunya kerana menyedari betapa tiada buku memberi penekanan khusus semata-mata kepada mereka yang sudah pulang daripada menunaikan fardhu haji. Ia isu mustahak dan menarik untuk dibincangkan.

Kami bersegera dan dengan izinNya dapat menyudahkan buku ini sejurus jemaah haji tahun 2018 menunaikan rukun dan wajib haji. Kami dedikasikan buku ini kepada mereka.

Sungguh… kami meyakini manusia dicipta semata-mata untuk menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Lalu seluruh kehidupan sepatutnya berkisar kepada tujuan ini.

Secara hakikat, manusia diuji sepanjang masa samada ujian duka atau suka. Apa sahaja yang kita lakukan perlu menjawab soalan ujian yang berbunyi, “apakah ia menyebab aku semakin hampir kepadaNya atau ia telah melalaikan diri ku?”

Benar … Dia mahu menguji kita. Namun – akhirnya – mereka yang lulus ujian ini pastinya dianugerahkan kehidupan kekal abadi di Jannah. Inilah impian manusia yang mengetahui adanya kehidupan selepas kematian. Ada syurga dan neraka.

Dunia bersifat sementara. Namun di dunialah kita diuji untuk mematuhi segala suruhan dan larangan Allah SWT. Apa yang kita lakukan akan dicatat dan ditimbang apabila sampai masanya termasuklah ibadat haji.

Ibadat haji mempunyai aroma luar biasa. Ia wajib dilakukan hanya sekali seumur hidup. Itu pun jika mampu. Setiap tahun kurang-lebih 30,000 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan menunaikan ibadat ini. Jika ditambah dengan ibadat umrah, kurang lebih 200,000 orang mengunjungi kedua Tanah Suci – Makkah dan Madinah – saban tahun.

Kami – dalam diam – sering bertanya-tanya, “kenapa masjid atau rumahNya yang lain masih tidak penuh-penuh. Di mana perginya Tok-Tok Haji dan mereka yang kaki umrah menghilangkan diri? Tiada kaitankah antara ibadat haji dan umrah ini dengan keperluan solat berjemaah di masjid?”

Kenapa begitu? Premisnya sangat mudah. Baginda SAW pernah menyatakan melalui hadis sahih Bukhari yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. berkata yang Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid) sekalipun dengan merangkak.

Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah).

Solat berjemaah di rumahNya – bagi kaum lelaki – hanyalah satu contoh dari pelbagai isu lain yang perlu difikirkan. Namun ia contoh asas dan besar yang wajar diberi perhatian.

Sungguh … barangkali kesemua jemaah haji berharap mereka dianugerah haji mabrur. Bukankah haji mabrur itu tiada balasan melainkan syurga? Tentulah pengharapan seumpama ini sesuatu yang logik dan masuk akal. Tinggal lagi ia tidak dizahirkan dalam bentuk amalan yang berpadanan dengan harapan dan impian besar ini.

Nota-nota yang kami hulurkan hanya beberapa pandangan boleh dijadikan asas pemikiran jemaah haji yang telah pulang ke Tanah Air bagi menghadapi sisa kehidupan. Barangkali mereka baru pulang semalam. Ada yang sudah berpuluh tahun yang lampau. Malah ada juga yang pergi –pulang – pergi – pulang berulang kali. Kesemuanya – InsyaAllah – boleh mendapat manfaat daripada buku ini. Kami berdoa begitu.

Akhirnya, kepada semua khalayak pembaca yang sudi membaca dan menghayati buku ini, saya doakan agar kita semua diberkati dan dirahmati Allah. InsyaAllah kita bertemu di syurga paling istimewa lalu dipersilakan tanpa dihisab. Barangkali ia berpunca kerana dianugerahkan haji mabrur.

Allah ya Allah… kami berterima kasih dan bersyukur kepadaMu dan ampunilah segala dosa-dosa kami dan permudahkan laluan kehidupan berbaki kami. Hanya kepada Mu kami berserah.

Roza Roslan
Muhd Kamil Ibrahim

Skopje, Macedonia
28.8.2018