1 Syawal

Malam ini, rutin sebulan bertukar. Tiada lagi solat Terawih. Barangkali hampir setiap orang sedang sibuk menguruskan untuk menyambut hari kebesaran Hari Raya Aidil Fitri.

Namun kesibukan ini sudah bermula lebih awal. Beberapa hari yang lampau ada di antara kita sibuk mengemas pakaian untuk balik kampung menemui keluarga tercinta. Hari ini, ramai makcik-makcik dan kakak-kakak bersedia untuk memasak nasi impit, rendang dan lauk pauk untuk dijamu kepada tetamu yang bakal berziarah ke rumah.

Malam ini – pada suatu masa dahulu – kaum keluarga akan menanti orang-orang masjid datang ke rumah utnuk bertakbir raya. Sebenarnya inilah waktu yang ditunggu-tunggu kerana memang terasa seronok dan gembira apabila mendengar dan mengalunkan takbir raya bersama-sama.

Pendengaran dan seluruh anggota badan akan turut merasa ria dan tenang tenteram. Maklumlah bukan selalu kita akan bertakbir raya. Hanya dua kali setahun, iaitu pada hari raya Aidil Fitri dan pada hari raya Aidil Adha.

Saya teringat sewaktu zaman remaja dahulu di mana kami akan berkumpul di masjid Kampung Baru dengan memakai baju melayu dan bersongkok hitam. Kami akan menyertai Pak Imam dan Pak Bilal bersama-sama berziarah dari rumah ke rumah sehingga lewat pagi menjelang subuh. Apabila sampai di rumah, kami semua akan bertakbir bersama-sama tuan rumah,

“Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Laa ilaha illallahu wallahu akbar
Allahu akbar walillaahil hamd”

Imam dan bilal akan mengetuai bertakbir dan kami semua mengikutinya. Suara takbir terasa sungguh sayu sehingga menyusuk kalbu. Kemudian, kami dihidangkan dengan ketupat bersekali dengan rendang. Ia lengkap dengan set air bandung.

Alahai… ia satu kenangan.

Namun kenangan menziarahi keluarga orang Jawa di Kampung Baru lebih meriakan. Mereka akan menghidangkan lontong dan lemang panas-panas. Kemudian mereka menghulurkan duit raya. Ketika itu, nilai 50 sen sangat besar sekali. Syukur Alhamdulillah.

Syawal sentiasa membuat saya terkenang kepada ayahbonda. Merekalah orang yang paling sibuk melayan para tetamu di rumah. Wajah kegembiraan terpancar jelas. Namun ada ketikanya ia bertukar sedih. Lalu saya bertanya,

“Kenapa bersedih?”

“Teringatkan arwah atuk dan nenek.”
Lalu mereka memeluk saya seraya berkata,

“juga teringatkan kakak kamu yang beraya bersama suami di perantauan.”

Di dalam hati saya terdetik berjanji untuk bertakbir raya bersama ayahbonda pada setiap kali raya. InshaAllah… Alhamdulillah… itulah yang saya lakukan sehinggalah mereka sudah tiada di sisi.

Tradisi bertakbir raya di rumah tetap saya teruskan. Sungguh… saya sangat gembira dapat berjumpa dengan ahli kariah masjid. Di celah-celah kegembitraan ini, tentunya akan muncul kenangan gelak ketawa ayahbonda. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Saya memandang kepada anak-anak dan tertanya-tanya di hati,

“Adakah mereka akan sentiasa bertakbir raya bersama-sama kami kelak?”

Beberapa hari lalu, kami selesai bertalaqi Quran bersama Sheikh Said, guru agama kami dari Mesir. Ketika majlis khatam alQuran, beliau menyebut bahawa ada hadith daif mengatakan kalaulah kita bertakbir raya, maka apabila di dalam keadaan nazak nanti maka Allah akan menghidupkan hati kita agar menjadi lembut melawan gangguan syaitan. Wallahualam.

Namun di atas segalanya, saya berharap agar setiap kebaikan yang kita buat akan diterima oleh Allah dengan keredhaanNya. InsyaAllah.

Akhir sekali – setiap kali takbir raya – tentunya akan terlintas keluarga UMKI. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada warga UMKI sekalian. Kalaulah bertakbir raya di perantauan, bolehlah divideokan dan hantar kepada ayahbonda.

Maaf zahir batin.

Dr Zaini sekeluarga.