NOTA PENGARANG: NOTA PASCA HAJI

Agaknya siapalah yang mahu membaca buku pasca haji?

InsyaAllah, khalayak pembaca sudah pasti ada. Namun kami menjangkakan jumlah khalayak tidak seramai orang mencari buku-buku persediaan atau motivasi haji sebelum berangkat pergi. Buku kami Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman telah dicetak berpuluh-puluh kali melalui pelbagai versi. Angggaran kasar, pembacanya melebihi sejuta orang.

50 Tip Motivasi Haji dan Umrah terus diulang cetak selepas 10 tahun diterbitkan kali pertama pada 2008. Malah buku Nota Dari Madinah dan Rumah Kecil di Jabal Uhud masih dicari orang bagi membakar semangat tambahan setelah mendapat tawaran untuk pergi.

Pencarian maklumat melalui buku-buku ini – kami syak – kerana ramai di antara kita berperasaan gundah gulana bila dikaitkan dengan ibadat haji. Nun jauh di sudut hati ada yang terfikir-fikir samada mereka benar-benar layak untuk menunaikan ibadat ini yang hanya diwajibkan sekali. Itu pun jika mampu. Lalu buku-buku di atas dibaca dan kemudian dicadangkan kepada mereka yang hampir.

Kami mendengar isteri memujuk suami agar menunaikan fardhu haji dengan menggunakan tagline, “You baca buku ni… Prof Kamil lebih teruk dari you,” merujuk kepada buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.

Ramai mencadangkan Rumah Kecil di Jabal Uhud kepada wanita yang bakal berangkat ke Tanah Suci. Ada aroma luar biasa di sana yang disampaikan oleh buku ini melalui pengalaman tiga tahun bermukim di Madinah.

Buku – Nota Pasca Haji – yang sedang ditatap mempunyai sejarah panjang. Kami digesa agar menulis buku ini seawal 2009 oleh Tuan Faris Hasbullah dari PTS Publications. Ketika itu kami sudah menulis tajuk bersekali dengan kerangka buku.

Kami bersetuju dan beberapa bab telah disiapkan. Namun ia terhenti tanpa dapat disempurnakan. Tiada kesungguhan untuk menyudahkan sesuatu yang telah dimulakan walaupun premis penulisan sangat jelas dan signifikan.

Hampir sepuluh tahun berlalu.

Kami melihat keperluan untuk menyudahkan buku Nota Pasca Haji muncul di atas beberapa pertimbangan. Salah satunya kerana menyedari betapa tiada buku memberi penekanan khusus semata-mata kepada mereka yang sudah pulang daripada menunaikan fardhu haji. Ia isu mustahak dan menarik untuk dibincangkan.

Kami bersegera dan dengan izinNya dapat menyudahkan buku ini sejurus jemaah haji tahun 2018 menunaikan rukun dan wajib haji. Kami dedikasikan buku ini kepada mereka.

Sungguh… kami meyakini manusia dicipta semata-mata untuk menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Lalu seluruh kehidupan sepatutnya berkisar kepada tujuan ini.

Secara hakikat, manusia diuji sepanjang masa samada ujian duka atau suka. Apa sahaja yang kita lakukan perlu menjawab soalan ujian yang berbunyi, “apakah ia menyebab aku semakin hampir kepadaNya atau ia telah melalaikan diri ku?”

Benar … Dia mahu menguji kita. Namun – akhirnya – mereka yang lulus ujian ini pastinya dianugerahkan kehidupan kekal abadi di Jannah. Inilah impian manusia yang mengetahui adanya kehidupan selepas kematian. Ada syurga dan neraka.

Dunia bersifat sementara. Namun di dunialah kita diuji untuk mematuhi segala suruhan dan larangan Allah SWT. Apa yang kita lakukan akan dicatat dan ditimbang apabila sampai masanya termasuklah ibadat haji.

Ibadat haji mempunyai aroma luar biasa. Ia wajib dilakukan hanya sekali seumur hidup. Itu pun jika mampu. Setiap tahun kurang-lebih 30,000 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan menunaikan ibadat ini. Jika ditambah dengan ibadat umrah, kurang lebih 200,000 orang mengunjungi kedua Tanah Suci – Makkah dan Madinah – saban tahun.

Kami – dalam diam – sering bertanya-tanya, “kenapa masjid atau rumahNya yang lain masih tidak penuh-penuh. Di mana perginya Tok-Tok Haji dan mereka yang kaki umrah menghilangkan diri? Tiada kaitankah antara ibadat haji dan umrah ini dengan keperluan solat berjemaah di masjid?”

Kenapa begitu? Premisnya sangat mudah. Baginda SAW pernah menyatakan melalui hadis sahih Bukhari yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. berkata yang Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid) sekalipun dengan merangkak.

Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah).

Solat berjemaah di rumahNya – bagi kaum lelaki – hanyalah satu contoh dari pelbagai isu lain yang perlu difikirkan. Namun ia contoh asas dan besar yang wajar diberi perhatian.

Sungguh … barangkali kesemua jemaah haji berharap mereka dianugerah haji mabrur. Bukankah haji mabrur itu tiada balasan melainkan syurga? Tentulah pengharapan seumpama ini sesuatu yang logik dan masuk akal. Tinggal lagi ia tidak dizahirkan dalam bentuk amalan yang berpadanan dengan harapan dan impian besar ini.

Nota-nota yang kami hulurkan hanya beberapa pandangan boleh dijadikan asas pemikiran jemaah haji yang telah pulang ke Tanah Air bagi menghadapi sisa kehidupan. Barangkali mereka baru pulang semalam. Ada yang sudah berpuluh tahun yang lampau. Malah ada juga yang pergi –pulang – pergi – pulang berulang kali. Kesemuanya – InsyaAllah – boleh mendapat manfaat daripada buku ini. Kami berdoa begitu.

Akhirnya, kepada semua khalayak pembaca yang sudi membaca dan menghayati buku ini, saya doakan agar kita semua diberkati dan dirahmati Allah. InsyaAllah kita bertemu di syurga paling istimewa lalu dipersilakan tanpa dihisab. Barangkali ia berpunca kerana dianugerahkan haji mabrur.

Allah ya Allah… kami berterima kasih dan bersyukur kepadaMu dan ampunilah segala dosa-dosa kami dan permudahkan laluan kehidupan berbaki kami. Hanya kepada Mu kami berserah.

Roza Roslan
Muhd Kamil Ibrahim

Skopje, Macedonia
28.8.2018

Memohon Kemaafan

Memohon dan menerima kemaafan – ada masanya – kelihatan sukar. Ia jadi begitu kerana minda manusia sering diliputi dengan rasa ego melampau. Hakikatnya, memohon dan memberi kemaafan sentiasa memberi kebaikan yang tidak ternilai.

Meminta maaf tidak semestinya kita bersalah. Ada masanya kita memohon kemaafan kerana menghargai perhubungan yang sudah lama terjalin. Saya fikir, usah malu dan ragu untuk meminta maaf. Ia boleh mendekatkan dua hati yang pernah terguris.

Nabi Muhammad SAW memaafkan umatnya. Ia satu sifat paling mulia. Siapalah kita untuk bersifat sombong dan angkuh. InsyaAllah, jika kita mudah memaafkan orang, Allah SWT juga akan memaafkan kita. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa.

Pengalaman ketika melawat anak yang sedang belajar di Adelaide sentiasa ada dalam ingatan. Penduduk di sana selalu berada di dalam mod bermaaf-maafan. Hati saya tersentuh melihat nenek meminta pertolongan seorang pemuda untuk menaiki. Kata-katanya indah sekali, “Sorry son, can you help me …”. Usai pertolongan diberi, pemuda itu melafazkan, “Sorry madam, I have to go”.

Ia tutur kata terbaik dan terpuji. Mereka kelihatan mempunyai perasaan mengembirakan,  bersenang hati dan saling hormat menghormati. Ia kelihatan kecil tetapi kami mulai terikut-ikut budaya ini dan dapat merasakan pada setiap hari seolah-olah tiada dosa-dosa yang dilakukan  dengan orang lain.

Seandainya kita seringkali bermaaf-maafan maka – saya fikir – wajah kita kelihatan berseri-seri. Logiknya mudah. Hati menjadi lapang kerana tiada perasaan bersalah. Lalu jiwa terasa lega. Rasa indah inilah yang bakal menghiasi wajah-wajah mereka. Itulah yang saya rasakan di wajah warga Adelaide yang saya temui.

Alahai … ia mungkin sekilas pandangan yang melampau!

Kisah ini lebih hampir dengan saya dan khalayak semua. Baru-baru ini seorang sahabat bertemu dan beliau bersalam dan terus memeluk sambil berkata “maafkan saya zahir dan batin.” Saya terpaku sejenak tetapi cepat bertanya,

“Kenapa awak cakap begitu? Saya tidak teringat yang awak pernah melakukan sebarang kesalahan kepada saya. Lagipun sekarang ini belum lagi bulan Ramadhan. Lambat lagi bulan raya.”

Beliau gelak. Jawapan beliau mewajarkan saya berfikir sejemak. Kenyataannya menarik,

“InsyaAllah … saya akan berangkat ke Mekah pada minggu depan. Takut-takutlah kalau ada pernah tersilap kata dan perbuatan. Rasanya tidak payahlah tunggu hanya pada bulan Ramadhan untuk bermaafan. Moga Ramadhan kita nanti tanpa dosa-dosa lampau.”

Ia sudah jadi kebiasaan untuk mereka yang akan berangkat ke Tanah Suci memohon maaf kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Mereka mahu ke ke sana di dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa yang telah dilakukan dengan manusia. Barangkali mereka takut apabila pergi ke tanah suci dan tidak akan kembali lagi lalu tidak sempat meminta maaf jika ajal sudah sampai di sana. Lalu saya nyatakan,

“Sudah tentulah saya dengan ikhlasnya memaafkan awak walaupun tiada kesalahan yang awak lakukan terhadap saya. Saya juga meminta maaf, manalah tahu, saya ada kesalahan dengan awak. Malahan saya akan tetap mendoakan awak pergi dan balik dari Mekah dengan selamat.”

Kami bersalaman lalu berpeluk. Ianya satu perasaan yang  hiba tetapi nyata indah sekali.

Peristiwa ini mengingatkan kembali saya kepada  arwah ibu yang selalu meminta maaf kepada kami. Setiap kali kami berjumpa, ibu akan mengucapkan “maafkan mak, halalkan makan dan minum zahir dan batin ya?” walaupun tiada kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Kalau kami berdiam diri, beliau akan bertanya, “maafkan mak tak?” Ucapan beliau sentiasa menyejukkan hati kami. Kami mulai mempelajari dan mengikuti perbuatan beliau. Kesannya – saya fikir – ia membuatkan kami sentiasa merendah diri.

Apabila beliau sudah tua – uzur dan berada di hospital, permintaannya adalah ingin berjumpa dengan ahli keluarga dan kenalan semua untuk meminta maaf. Maka ramailah di antara mereka yang datang melawat untuk bermaaf-maafan. Kenyataan, “maaf zahir dan batin” muncul dari lubuk hati.

Mereka semua mengimbas kembali akan kesalahan-kesalahan yang lalu dan melepaskannya pergi. Lalu timbullah perasaan kesedihan bersertakan kemesraan. Mereka semuanya dilihat berasa berpuashati.

Beberapa bulan berlalu, beberapa kali doktor telah menasihati keluarga untuk memanggil kenalan ibu yang belum melawatnya  agar  segera datang. Ramailah yang datang berkejaran. Mereka sempat menatap wajah dan memegang tangan ibu yang sudah tidak terdaya.

Namun mereka semuanya masih sempat bermaaf-maafan. Titisan air mata berguguran tanpa disedari. Mereka hanya rasa gembira sedikit kerana tidak dapat mendengar suara ibu memaafkan mereka.

Ada pula yang datang agak lambat merasa kecewa dan berasa hati kerana kini ibu sudah nazak dan tidak sedarkan diri. Mereka hanya dapat  melihat keredaan pada  wajah ibu yang dikelilingin dengan tiup pernafasan dan dawai talian letrik peralatan bantuan pernafasan.

Mereka meminta maaf berkali-kali tanpa berhenti dengan mengalirkan airmata bercucuran namun ibu hanya mendiamkan diri tanpa sebarang pergerakan dan respon. Mereka tidak putus-putus berdoa inginkan agar ibu sedar kembali untuk meminta maaf.

Ia tidak berlaku. Perasaan kesal di hati muncul di wajah. Benar … ibu pergi buat selamanya.

Sesungguhnya, beruntunglah kepada mereka yang merendah diri lalu suka bermaaf-maafan. Rugilah pula kepada mereka yang mempunyai keegoan yang tinggi lalu tidak mahu bermaaf-maafan. Allah sentiasa meredai kepada mereka yang suka membuat kebaikan.

Pada setiap pagi Syawal, kami akan mengingati aruah ibu yang suka meminta maaf dan mengampuni kesalah-kesalahan kami. Kami berdoa agar ibu bersama-sama dengan orang-orang beriman dan beramal soleh di syurga.

Saya ingin mengambil kesempatan ini pada pengakhiran bulan Ramadhan yang mulia ini dan bersekali dengan bermulanya bulan Syawal yang barakah ini, ingin memohon maaf, zahir dan batin kepada kesemua saudara-mara, rakan-rakan dan semua pembaca terutamanya warga UMKI.

Semoga Allah akan sentiasa memberkati hidup kita semua. Amin Ya Rabbul Alaamiin. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir dan batin.

Zaini Ariff

Terkenang Ayah & Ibu

Ramai di antara kita telah kehilangan kedua ibu bapa. Saya juga begitu.

MasyaAllah, Subhanallah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya”.

Hadis riwayat Muslim ini benar-benar menghambat minda saya apabila Allah memberi peluang untuk saya berfikir.

Anak merupakan anugerah Allah. Namun ujian ibu bapa adalah untuk membesar dan memastikan anak-anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah.

Ia nyata tugas besar dan mencabar. Allahu Akbar, Abu Hurairah RA telah melaporkan, katanya Rasulullah SAW pernah bersabda, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Malah Rasulullah SAW pernah menyatakan sebagaimana yang dilaporkan oleh Tarmizi, “tiada pemberian daripada seorang ayah yang lebih baik daripada adab yang mulia”.

Akhirnya, selepas pemergian kedua orang ibu bapa – saya fikir – maka ujian kehidupan yang ada pada kedua-dua mereka pastinya berpindah kepada anak-anak yang masih hidup bagi menentukan ibu bapa mereka mendapat hubungan tiga perkara yang ditinggalkan selepas kematian.

Jika anak-anak benar-benar menyayangi ibu dan ayah, maka wajarlah mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Logiknya begitu!

Allah ya Allah … saya mahu bertemu kembali Ayah dan Wan di Firdaus.

Perkenankanlah.

Dosa Sesama Manusia

Prof … dosa kita dengan Allah SWT mudah diampunkan jika kita memohon keampunanNya. Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dosa terhapus dengan beristifar dan bertaubat nasuha. Bagaimana pula dengan dosa sesama manusia?

Pertanyaan ini kerap diajukan oleh khalayak bila membicarakan soal dosa. Begitulah … bila timbul kesedaran dan keinsafan mendalam sehingga ke lubuk hati maka kisah masa lampau muncul pantas dan jelas. Ia terputar sendiri tanpa dipaksa-paksa. Air mata boleh gugur tanpa dipaksa-paksa.

Allah ya Allah … renungan dalam menyedarkan diri betapa begitu banyak kesilapan yang telah dilakukan kepada manusia lain. Malah – saya sendiri – hati sayu, sebak dan gusar apabila membaca dan memahami terjemahan hadis nombor 1753 daripada sahih Bukhari, Jilid 4 yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang ada di tangan kepunyaan saudaranya, diperoleh dengan jalan tidak halal, hendaklah diadakannya penyelesaian kerana di situ (di akhirat) nanti tidak ada dinar dan dirham (untuk membayar).

Jangan sampai nanti diambil kebaikannya untuk diberikan kepada saudaranya. Setelah habis kebaikannya, diambil dosa saudaranya lalu ditimpakan kepadanya.”

Saya – misalnya – terkenang kisah kehidupan remaja di MRSM. Alahai … acap kali makan lari dan free di Kafe Haji Omar. Beliau sudah meninggal dunia. Ketika mahu menunaikan fardu haji – 2006 – saya bertanya dan meminta pandangan Ustaz  tentang dosa-dosa sesama manusia dengan mengambil contoh kisah kehidupan peribadi pada zaman remaja. Kisah roti telur Haji Omar sentiasa muncul. Allah ya Allah … Ustaz tersenyum dan membuat kenyataan yang menghiburkan.

Prof … kita semua melakukan kesilapan terutamanya semasa muda dan remaja. Kesilapan sesama manusia perlu memohon maaf dan dikembalikan hak mereka. Namun ada ketikanya ia tidak mungkin tercapai. Tentu ada cara penyelesaian.

Saya fikir mohonlah keampunanNya dengan bersungguh-sungguh bertaubat. InsyaAllah … DIA mengatasi segala bentuk peraturan yang dizahirkan.

Misalnya, jika dia masih hidup tetapi sukar untuk bertemu, berdoalah agar dia memaafkan kita. Barangkali ada juga yang telah pun memaafkan semua orang sebelum beliau meninggalkan dunia. Kita berharap begitu.

Berdoa adalah satu ibadat. Malah meyakini setiap doa dan permintaan didengari oleh Allah SWT sebahagian daripada keyakinan betapa Dia Maha Berkuasa. Saya bersyukur apabila mendengar khabar betapa Haji Omar pernah menuturkan kenyataan berikut:

Saya tahu ada pelajar yang makan dan tidak bayar apabila makan di kedai saya. Saya anggap mereka anak-anak saya sendiri. Mereka lapar dan perlu makan. Anggaplah ia satu sedekah.

Pernah kita melawat orang sakit di hospital? Sebelum beredar pergi, saya sering menyatakan, “Tuan, saya mohon beredar. Maafkan saya jika ada tersalah dan tersilap. Saya doakan tuan diberi kesembuhan dan tidak berbekas lagi.” Allah ya Allah … saya sering mendengar jawapan berulang, “saya sudah maafkan kesemua kesalahan yang dilakukan oleh orang kepada saya. Tiada seorang pun berhutang kemaafan dengan saya.”

Siapakah yang membuka hati mereka menjadi seorang pemaaf? Tentulah Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bukankah beliau sudah nyatakan,

Hendaklah mereka memberi maaf dan melapangkan dada, tidakkah kamu ingin diampuni oleh Allah?

(Terjemahan surah An-Nur: 22)

Jika kamu memaafkan, melapangkan dada serta melindungi, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

(Terjemahan surah Al-Taqhabun: 14)

Banyak perkara yang boleh kita pelajari dengan dosa-dosa yang telah kita lakukan sesama manusia. Pertama, mohonlah kemaafan. InsyaAllah dosa akan terhapus. Kedua, berdoalah agar Allah SWT melembutkan setiap hati manusia untuk memaafkan setiap kesilapan yang telah kita lakukan. Bertaubatlah. Akhir sekali, maafkanlah kesalahan orang lain terhadap kita moga setiap orang yang kita maafkan membuka pintu hati 10 atau 100 mereka yang pernah kita berdosa untuk memaafkan kita.

Sungguh DIA Maha berkuasa di atas segala-galanya.

Dosa Masa Kini

“Tuan … kita mempunyai dosa-dosa lepas. InyaAllah, ia terhapus dengan bertaubat. Bagaimana dengan dosa sekarang?”

Kuliah di masjid berbeza cara berbanding di dewan kuliah universiti. Penyampai kuliah di masjid akan duduk di tempat khas menghadap khalayak yang beredar sedikit menjauhkan diri.

Posisi selesa “kebiasaannya“ dengan menyandar di tiang atau dinding masjid. Ada yang berada di luar masjid.

Itu tidak mustahak jika sistem bunyi masjid atau surau terbaik. Ada masjid atau surau yang sistem bunyinya lebih jelas dan terang apabila berada di luar masjid.

Alahai … mereka boleh berada di mana-mana asal suara penceramah boleh didengar. Saya fikir begitu. Namun mereka akan kerugian kerana tidak dapat melihat dengan mata sendiri beberapa perkara penting yang disampai menggunakan persembahan berkomputer.

Lalu jadilah ia komunikasi sehala. Secara tradisinya begitu. Pertanyaan di atas tentu sekali tidak berjawab kecuali ada khalayak berada hampir dengan penceramah. Tentu sekali saya tidak bertangguh dengan menyatakan:

“Tuan … tiada istilah dosa masa kini. Dosa sekarang pastinya tidak wujud kerana masa sentiasa bergerak. Masa kini ditinggalkan. Muncul detik baru. Lalu ia menjadi dosa masa lalu. Dosa-dosa ini terhapus dengan melakukan taubat nasuha … InsyaAllah.

Ingatilah ayat 135, surah al-Imran yang bermaksud, Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Sungguh … Allah SWT Maha Pengasih. Dia penerima taubat. Namun kedegilan manusia tiada sempadan. Dosa masa kini seolah-olah wujud dengan manusia secara terus-terusan mengekalkan dosa-dosa tersebut. Mereka – misalnya – yang tidak mengesakan Allah sehingga nyawa di kerongkong tentunya termasuk dalam golongan ini.

Sungguh … kita tidak begitu. Kita mohon keampunanNya sentiasa.

MATA KEPALA

Jutaan manusia mengunjungi Makkah dan Madinah menunaikan umrah setiap tahun. Ia panggilan, jemputan atau sampai seru tidak usah difikirkan. Ambil maklum, ia keputusan yang sudah dipersetujui sendiri. Bukan tolakan atau paksaan mereka yang hampir, rakan atau sahabat. Tidak timbul soal kebetulan atau berlaku tanpa kehendak sendiri.

Mereka yang pergi bersiap sedia dalam dua keadaan. Pertama, berfikir menggunakan mata kepala. Sedikit yang menggunakan alat yang kelihatan abstrak, mata hati atau mata batin.

Mereka yang berfikir menggunakan mata kepala menyudahi rukun dan wajib umrah dan berpuas hati kerana dapat berniat, mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali, saei juga tujuh kali lalu bertahlul.

Mereka bergembira kerana terlepas daripada pantang larang ihram. Kemudian, mereka menghabiskan masa baki berada di Makah atau Madinah dengan cara berfikir menggunakan – juga – mata kepala.

Ketawanya berdekah, tidurnya panjang, pusingan kedainya berulang dan masa suntuk diperuntukkan di dalam dua kawasan yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat.

Itulah yang ramai-ramai lakukan. Bila pulang ke negara sendiri, puak yang berfikir menggunakan mata kepala ini tidak dapat atau tidak mampu atau tidak terfikir untuk memenuhi rumah Allah mencukupi lima waktu berjemaah di masjid.

Watak mereka boleh dikesan dengan mudah. Ada yang jahat hati mungkin berkata, “umrah tidak mampu mengubah sahabat ku ini …”

Bagaimana pula mereka yang berfikir menggunakan mata hati?

Mereka merenung dan mentafsir bagaimana ibadat yang mampu disempurnakan kurang dari dua jam dijanjikan penghapusan dosa. Bukankah itu tanda-tanda pelbagai sifat Allah SWT. Ia sifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta penerima taubat. Ibadat umrah mencerna sifat hebat Allah terhadap hambaNya.

Lalu secara hakikat … jika kita mengambil kira kaedah umrah yang dilakukan oleh Baginda SAW yang hanya melakukan satu umrah dalam satu perjalanan, maka berapa lama jemaah berada di Makkah dan Madinah hanyalah melakukan ziarah.

Lalu bermusafir dan beramal ibadat yang dituntut hanyalah di DALAM Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ia bukan Makkah atau Madinah.

Adakah maklumat ini sampai ke hati, dipandang menggunakan mata hati dan memberi kesan luar biasa kepada jasad dan roh?

Fenomena asas inilah yang perlu direnung menggunakan mata hati. Apakah yang kita kehendaki daripada amal-ibadat umrah yang ringkas ini yang telah dijanjikan dengan ganjaran terhapus dosa?

Lalu bila sahaja selesai bertahlul maka sepatutnya mereka yang rasional menitiskan air mata. Bukan kamera yang diangkat tetapi dahi disujudkan ke bumi. Dosa lalu terhapus. Hati – barangkali – akan terus bertekad untuk tidak melakukan dosa baru serta akan menambahkan amal ibadat sepanjang berada di Makkah atau Madinah.

Tekad inilah yang mahu dibawa pulang ke Tanah Air.

Maksudnya, mereka yang telah melakukan umrah dengan sempurna dan berjaya mempertahankannya dengan tidak melakukan dosa (nota: tiada umat Adam yang tidak melakukan dosa tetapi memadailah dengan sentiasa memohon keampunanNya) sehingga meninggal dunia “secara hakikatnya“ merupakan ahli syurga. Jika mereka mengerti soal ini sepenuh hati, maka setiap jemaah akan mempamerkan watak ahli syurga.

Lalu “jika mengikut aturannya“ umrah yang sempurna di sisi Allah SWT memerlukan pengamatan yang lebih cermat dan teliti. Ia membabitkan soal pasca umrah dan kehidupan selepas kembali ke Tanah Air.

Itulah analogi mudah berfikir, bertindak dan menjalani kehidupan bersandarkan mata kepala yang bertarung dengan mata hati. Siapa yang menang? Kesannya pasti berbeza.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

BERSUNGGUH

Duhai sahabat ku,

Lakukan sesuatu dengan bersungguh. Lakukan kerana kita mahu melakukannya. Lakukan kerana kita yakin dan berupaya untuk melakukannya. Lakukan semata-mata kerana Allah.

InsyaAllah … banyak perkara boleh dilakukan apabila ia dilakukan dengan bersungguh dengan mengikut aturanNya. Lalu kesungguhan itu perlu diterjemahkan melalui tindakan atau perbuatan.

Misalnya, jika kita mahu menjadi seorang penulis maka kita perlu meluangkan masa, memikul pen atau memegang keyboard dan wajib menulis. Jika tiada apa yang ditulis maka tidak mungkin beliau berjaya menjadi seorang penulis. Penulis tidak lahir hanya semata berangan dan bercita-cita mahu jadi penulis.

Saya sendiri bukanlah pandai menulis. Guru bahasa yang membaca tulisan saya pastinya akan memberi komen panjang. Nahunya tunggang langgang. Struktur ayatnya tidak mencermin saya berpengetahuan dalam bidang bahasa. Buktinya, saya hanya memperolehi C3 semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tentu sekali saya terkenang bagaimana hijaunya (nota: editor menggunakan dakwat hijau) deraf tulisan pertama yang dihantar ke sebuah majalah terkenal. Namun beliau menerima tulisan tersebut kerana pelbagai faktor.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas namun saya mengetahui sebabnya. Pertama, ia mempunyai nilai ilmu yang relevan dengan tema majalah tersebut. Kedua, saya seorang pensyarah yang mempunyai kelulusan. Lalu – logiknya – saya mempunyai kredibiliti atau latarbelakang bidang tersebut.

Ketiga, saya bersungguh apabila menulis. Deraf tulisan bertaip kemas. Saya fikir sedap mata editor memandang. Tentu sekali saya tidak akan mengharapkan editor mencari bahan tambahan kepada tulisan yang saya kemukakan.

Maksudnya … tidak pula saya mencampakkan tulisan dengan berniat awal agar dilakukan pembetulan. Saya melihat di depan mata bagaimana seorang editor mencampakkan tulisan begitu ke bakul sampah.

Ramai orang mempunyai segala-galanya kecuali kesungguhan. Ia perlu ditunjukkan. Ia nampak jelas melalui keseluruhan proses penulisan itu sendiri.

Menulis perlu membaca. Menulis perlu berfikir. Hakikatnya menulis perlu mempunyai ilmu. Lalu proses yang kelihatan ringkas dan mudah sebenarnya mempunyai rantaian yang cukup panjang tanpa kita sedari.

Ia hanya mudah bila kita bersungguh. Tiada jalan pintas.

Begitu jugalah dengan amal ibadat yang lain. Misalnya, jika kita mahu bangun malam maka kesungguhan merupakan salah satu elemen besar.

Pertama, kita perlu membuang elemen 100 peratus menyerah tanpa usaha. Ramai yang menyebut, “saya berniat mahu bangun malam tetapi sentiasa gagal”. Benar, Allah SWTlah yang memberi kudrat tetapi ia berlangsung mengikut aturanNya. Mereka yang bersungguh – InsyaAllah – akan diberi anugerah atau diberi pertolongan olehNya.

Kedua, kejayaan melaksanakan sesuatu perlu diikuti dengan rasa syukur betapa kita menyedari yang ia merupakan anugerah dariNya. Proses ini berterusan tanpa henti.

Sesekali kita diuji dengan kegagalan melaksanakan sesuatu yang kelihatan mudah dan ringkas. Kenapa? Allah SWT mahu mengingatkan betapa lemahnya sifat seorang manusia. Kita hanyalah hamba yang tidak terdaya tanpa bantuanNya.

Namun di celah-celah kejadian tersebut – barangkali – kadar kesungguhan kita merosot tanpa disedari. Benar … lakukan segalanya dengan bersungguh.

Bersungguh keranaNya.

SELAMAT TINGGAL MADINAH

Hari terakhir di Madinah.

Menurut petugas Tabung Haji, jemaah haji dikehendaki menaiki bas pada pukul 6.30 pagi. Dia menasihati kami supaya bersembahyang di hotel memandangkan waktu subuh di Madinah adalah di sekitar jam 5.40 pagi. Tidak sempat untuk berjemaah di Masjid Nabi.

Mengikut kelaziman, solat subuh hanya akan bermula pada pukul 6.00 pagi dan hanya akan berakhir di sekitar jam 6.15 atau 6.20. Surah yang dibaca cukup panjang. Jelas, Tabung Haji tidak mahu jemaah Malaysia terkocoh-kocoh untuk bersembahyang di Masjid dan berkejar pula untuk menaiki bas. Tambah-tambah lagi kebanyakan jemaah haji Malaysia “kumpulan ini“ menginap di tingkat 7, 8, 9, dan 10. Ia mungkin boleh menyebabkan kelewatan jika kesemuanya solat di Masjid.

5.00 pagi. Haji Ibrahim, rakan sebilik bertanya, Sempatkah kita bersembahyang di Masjid?. Tentu sekali saya sedang memerhatikan keadaan dengan teliti. Jauh di sudut hati, saya tidak mahu ketinggalan solat subuh berjemaah. Di masjid.

Dalam masa yang sama, saya juga tidak mahu menjadi penyebab kepada kelewatan perjalanan bas ke lapangan terbang. Saya juga tidak mahu menjadi penggalak kepada mereka yang lain. Bagaimanapun kerana ada pertanyaan, maka saya memberi jawapan yang hanya terpakai kepada diri sendiri. Kata saya: `InsyaAllah tetapi hand-luggage kena berada di lobi. Apabila selesai sembahyang terus ke bas.

5.40 pagi. Azan subuh berkumandang. Saya maklumkan kepada Roza yang saya ingin bersembahyang di Masjid. Dia uzur. Saya mahu dia menunggu saya di dalam bas. Sebelum melangkah, saya berdoa: `Ya Allah, izinkanlah aku bersembahyang subuh sebelum aku berlepas pulang. Jangan jadikan aku orang yang terakhir untuk menaiki bas. Berikanlah ruang masa yang secukupnya untuk aku bersembahyang”.

Lalu saya turun dengan penuh keyakinan. Sambil bergerak laju ke masjid, saya sempat memerhatikan pekerja (bas No 9) masih belum mengangkat barang-barang kami yang terkumpul di ruang lobi hotel. Saya makin yakin yang saya perlu dan boleh menunaikan solat subuh di Masjid.

Saya rasa lega. Tercapai juga niat untuk bersembahyang setiap waktu berjemaah di Masjid Nabi sepanjang berada di Madinah. Saya berasa yakin termasuk di dalam kumpulan kecil yang dapat bersembahyang 42 waktu penuh. Hampir kesemua jemaah hanya dapat bersembahyang 40 waktu sahaja (maksimum) kerana beberapa sebab. Doa supaya dipermudahkan, mendapat yang terbaik dan dapat berama ibadat di Masjid Nabi dengan kadar yang maksimum termakbul. Agakan saya begitu [Astaghfirullah].

Perjalanan ke lapangan terbang Madinah cukup memilukan. Umpama meninggalkan seorang kekasih cinta pertama atau pergi tanpa janji akan kembali semula. Kami hanya berdiam diri. Senyap. Saya tidak mempedulikan orang lain. Airmata mengalir. Tangisan tanpa kawalan lebih kuat di dalam hati.

Kami benar-benar merasai kenikmatan beramal ibadat di Masjidil Haram dan di Masjid Nabi. Tiada yang setanding dengannya. Diam-diam hati menyebut Subhanallah Subhanallah  Subhanallah.

Sesekali bercakap dengan Roza. Melahirkan rasa sedih, rasa nikmat, rasa puas dan rasa takjub di atas pengalaman 44 hari menunaikan fardu haji. Bagaimanapun, kami lebih banyak berdiam diri dengan hati berzikir manakala mata menyaksikan pemandangan Kota Madinah dan laluan ke Lapangan Terbang.

11.40 pagi. Kami mula mendaki angkasaraya menggunakan Pesawat Saudi Arabia. 30 minit di udara, kami sudah mula bertenang dan dapat merehatkan minda. Rasa lesu mula menyelinap masuk.  Cuma kami tidak dapat melelapkan mata. Sesekali bergurau dengan Roza, Kak Mie dan Azlina mengingati kembali beberapa peristiwa manis terutamnya di bandaraya Makkah. Hampir setiap hari kami bersama. Azlina sendiri berulangkali mengucapkan kata-kata kesyukuran,

Saya rasa bersyukur sangat kerana abang ajak saya menunaikan fardu haji tahun ni. Inilah hadiah yang paling manis buat saya. Terima kasih abang.

Saya tersenyum. Saya tahu kedua-duanya, Kak Mie dan Azlina  berada di puncak kegembiraan. Saya juga berasa bersyukur kerana dapat menjadi ketua rombongan kepada isteri, kakak dan adik perempuan dengan penuh tanggungjawab. Perasaan sendiri berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan kepada mereka. Itulah yang terbaik mengikut kemampuan saya [Astaghfirullah].

Di atas pesawat inilah saya dapat dan mula merenung kembali apa yang telah dilalui untuk tempoh dua tahun yang lepas sehinggalah selesai menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini. Terasa puas, nikmat dan benar-benar bersyukur. Kepuasan yang mencetus pula ketakutan dan kebimbangan. Saya nyatakan kepada Roza,

Saya ingin lagi kembali lagi ke Makkah, Madinah. Tidak kiralah menunaikan haji atau umrah tetapi ada unsur-unsur ketakutan dalam jiwa saya.

 

Mampukah saya melakukan perkara yang sama, mampukah saya menyimpan (membuang) perasaan terlampau yakin, adakah lagi perasaan ketakutan kepadanya, atau timbulkah perasaan riak, angkuh dan sombong.

 

Saya rasa, Tuhan benar-benar menyayangi kita sepanjang kita berada di Makkah dan Madinah. Mampukah kita mengekalkan apa yang telah kita lakukan selama 44 hari ini?

Di atas pesawat ini jugalah saya melihat diri. Jauh ke dalam. Ianya berpusing-pusing di sekitar persoalan kehidupan apabila pulang ke Malaysia, apabila melangkah masuk bekerja di UiTM atau berkeluarga.

Apakah perjalanan kehidupan sendiri akan berubah secara drastik sehingga memberi kesan hebat kepada perhubungan sesama rakan sejawat, corak pemikiran atau kehidupan seharian. Atau apakah saya akan kembali menjadi seorang insan yang sama tingkah-laku, adab & akal atau mungkin lebih menyonsang turun tanpa mempunyai perubahan positif. Jika itu berlaku, ibadat haji yang telah saya laksanakan tidak mampu mengubah sempadan masa.

Haji yang penuh dengan kebajikan (Haji Mabrur) adalah lebih baik daripada dunia dan apa-apa yang ada di dalamnya. Haji Mabrur tidak ada baginya balasan kecuali syurga. (Dilaporkan oleh Abu Hurairah ra.)

Malah saya terbayang segala kerugian yang bakal ditanggung jika apabila pulang nanti masih bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak sepatutnya dilakukan. Apatah lagi setelah Allah berjanji memberi pengampunan seumpama bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.

Ketakutan ini bukanlah satu perkara yang ganjil, apatah lagi terdapat rakan-rakan dan insan yang dikenali masih sanggup melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan berjudi walaupun sudah menunaikan fardu haji. Sesetengah daripada mereka masih pekat dengan perasaan buruk sangka, suka membuat fitnah dan mempunyai perasaan cemburu yang melampau.

Saya tidak mahu begitu. Saya tidak mahu diuji sedemikian rupa. Saya rasa apa yang telah Tuhan ampunkan (mengikut janjiNya) akan menjadi sia-sia dan tindakan ini benar-benar menggambarkan kebodohan diri sendiri. Astaghfirullah.

Barang siapa melakukan haji kerana Allah, lalu ia tidak mengeluarkan kata-kata kotor dan tidak melakukan perbuatan jahat, neschaya ia pulang ke negerinya dalam keadaan diampuni dosa-dosanya seumpama ia baru dilahirkan oleh ibunya. (Dilaporkan oleh Ahmad, Bukhari, an-Nasaâ dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah.)

Dalam bayangan, saya dapat merasakan yang cabaran atau dugaan selepas menunaikan fardu haji atau bergelar Haji menjadi lebih besar berbanding dengan perasaan ketakutan sebelum bertolak ke Makkah.

Mampukah saya bangun setiap penghujung malam untuk bersembahyang tahajud? Mampukah saya berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagaimana yang dilakukan di Makkah dan Madinah? Mampukah saya sembahyang berjemaah apabila  azan dilaungkan? Mampukah saya membaca Al-Quran setiap hari?

Pertanyaan demi pertanyaan muncul dalam kegelisahan mencari keredhaannya. Kegembiraan untuk pulang ke Malaysia terbenam disebalik sejuta pertanyaan yang tidak mungkin terjawab.

Selamat tinggal Madinah.

Selamat tinggal Masjidil Haram.

Di sanalah tempat aku belajar, diajar dan memahami tentang keesaanmu, Ya Allah. Sehingga bertemu lagi. Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah, aku mohon keampunanmu.

Selamat Pengantin Baru – RAIKAN CINTA – Pesan Untuk Semua

PESAN DIAN NARUKAYA DIRHAM 

Saya terbang jauh menghadirkan diri di majlis Memperkenal Menantu anjuran Prof MKI dan puan Roza. Tasya – menantu – diperkenal kepada saya oleh – Azrai suaminya.

Hubungan saya dan keluarga MKI terlangsung lama semenjak berkenalan melalui hasil penulisan mereka. Lalu tanpa berpikir panjang, saya bersedia membaca manuskrip Selamat Pengantin Baru – RAIKAN CINTA – Pesan Untuk Semua ketika dihubungi oleh Prof.

Saya terus membaca sepanjang malam.

Kerap air mata menitik. Terasa tersentuh hati seorang ibu yang telah membesarkan anak dan tiba-tiba terasa dia akan beredar pergi setelah melangsungkan perkahwinan.

 Aneh. Pada sisi berbeza, saya juga turut terasa bahagia memikirkan anak bertemu jodoh dan siibu bakal menerima menantu. Itulah doa ibu bapa yang sentiasa dipohon kepadaNya. Namun biar saya petik pesan kak Roza yang membuat saya berfikir,

Duhai anak kesayangan ku …
Ia titik permulaan segala bala bencana
Kelak nanti badan merana
Kalau  hati sudah terluka

Lemparkan senyum kepada pasangan mu
Walaupun hati sedang bergolak
Dengan sabar dan solat

Tersirat, ibu berpesan kepada anak dan menantu agar sentiasa mengingat Allah Azza Wajalla walaupun seribu ujian melanda.

Buku ini menggambarkan kasih sayang ibu dan mertua mengajar dan menyayangi  anak dan menantu dengan memberi pelbagai nasihat dengan cara tersendiri bagi menempuh perjalanan baru dan panjang.

Masya Allah Tabarakallah … saya melihat Prof MKI sebagai seorang berjiwa sederhana dan tanpa basa basi menulis dengan nada tegas dan tepat pada sasaran. Isunya sentiasa sama – solat, berdoa, aurat – dalam pelbagai keadaan.

Saya saksikan bagaimana beliau melaksanakan majlis perkahwinan ini dengan cukup sederhana serta membuang pelbagai adat yang tidak sesuai untuk insan beragama Islam.

Buku ini – akhirnya – bukan hanya untuk pengantin baru. Pengantin berbilang tahun seperti saya – InsyaAllah bakal menerima menantu – juga sangat relevan dan berharga. Ia sangat bermanfaat.

Prof dan Kak Roza … teruskanlah menulis selagi Allah masih meminjamkan nafas kehidupan. Banyak manfaatnya. Moga ia menjadi penyebab untuk kita di pertemukan di Syurga Firdaus.

Terima kasih kasih karena mempercayai saya untuk membaca manuskrip ini dan seterusnya menulis sedikit pandangan. Saya menghargainya.

Banda Aceh, Indonesia.