Pandangan Makhluk

Segala puji hanyalah milik Allah SWT.  Tidak ada yang patut disembah selain Allah.  Tidak ada yang boleh kita minta petunjuk dan pertolongan selain Allah.  Dan, tidak ada yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, kecuali Allah. Di tangan-Nya lah segala yang nampak dan segala yang ghaib. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga Baginda.

Alhamdulilah, Allah SWT terus memberi kita peluang untuk terus bermusafir di alam duniawi yang singkat ini. Dunia yang singkat ini dihiasi dengan sulaman kehidupan yang mengashikkan dan kemewahan yang memukau. Jiwa ini sangat terpesona dengan perhiasan dunia.

Duhai mahasiswa/I UMKI yang dikasihi,

Allah mengingatkan kita

Demi jiwa dan penyempurnaanya

Maka DIA mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketaqwaan

Sungguh beruntung orang yang menyucikan jiwa itu

Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya ………., “

(Terjemahan surah al-Syams 7-10)

ALLAHlah empunya jiwa manusia, DIA lah yang mencipta dan DIA juga yang memberi pilihan kepada manusia untuk membuat keputusan pengurusan jiwa.

Dalam hidup ini, jiwa/hati kita diberi pilihan. Dan kita amat terpukau dengan keindahan dan kemewahan duniawi. Tidaklah salah untuk hidup sedikit mewah atau enjoy untuk lebih bahagia. Namun cabarannya, bagaimana untuk mengurus jiwa dan hati agar segera memasuki trek Taqwa?  Ianya bukan mudah walaupun kelihatan enteng.

Di zaman serba serbi fitnah ini, kita lebih mengutamakan pengiktirafan makhluk. Sikap kita lebih berat kepada makhluk yang dipuja, wang, status dan harta. Rasululah saw pernah ditegur oleh ALLAH SWT kerana teralpa mengutamakan golongan bangsawan Arab, sedangkan Islam dan dakwahnya bukan bersifat elit dan eksklusif untuk golongan bangsawan. Islam adalah pandangan di sisi Pemilik alam bukan pandangan di sisi makhluk.

Ayuh kita berbicara lanjut,

Adakah kita memandang manusia dari sisi pengabdian … ATAU

Memandang manusia dari sisi kefana’kan?

Sheikh Abdul Qadir Jailani pernah menyebut,

Janganlah kau melihat manusia dengan anggapan bahawa merekalah yang akan memberi manfaat mahupun mudarat….

Tetapi

Lihatlah manusia sebagai makhluk yang lemah dan hina, yang tidak mampu buat apa-apa melainkan dengan izin ALLAH …..

Baru-baru ini saya dijemput untuk memudahcara diskusi (facilitate) konflik dalaman sebuah masjid. Mungkin ada yang bertanya,

 “Ai…..pengurusan masjid pun ada konflik ke…?”

Pengalaman saya lebih 16 tahun membantu pengurusan masjid menunjukkan bahawa konflik berlaku di mana-mana dan ada kalanya konflik dalaman masjid sampai ke peringkat maki hamun dan baling kerusi.

Masa remaja dulu, saya teringat kes Bilal dan Siak bergaduh ketika solat tarawikh hanya disebabkan cara Bilal berselawat tidak betul. Solat tarawikh terhenti seketika kerana manusia memuliakan diri sendiri dari memuliakan ALLAH dan RasulNya. Kita suka mencari salah orang, walaupun kita belum tentu betul dan berhujah atas sandaran ilmu.

Bila manusia beremosi, hikmah dan kebijaksanaan luput dalam diri…

Jika konflik pengurusan masjid boleh sampai tahap ini, sudah tentu konflik di antara parti-parti politik yang berasaskan duniawi lebih teruk dari itu.

Konflik ini berpunca dari sikap kita melihat pandangan dan kemuliaan di sisi makhluk. Berebut jawatan dan projek menyebabkan roh dan semangat memakmurkan masjid tergelincir. Nazir dan kepimpinan masjid pula tidak mahu mendengar hasrat kariah, terus jumud dengan pendekatan lapuk  dan merasa penting biarpun tidak relevan.

Justeru pandangan siapa yang kita perlu utamakan?

Usahlah bergantung kepada manusia untuk meneruskan hidup. Manusiapun menagih rezeki Ilahi, justeru mana mungkin kita mengharap  rezeki dari hamba kepada Pengurus Rezeki.

Dunia dan segala isinya telah selesai ALLAH ciptakan.  Rezeki kita juga telah ditentukan, tidak lewat dan tidak juga cepat.

Ada insan yang kerja kuat tetapi tidak juga kaya

Ada juga yang kelihatan sempoi, tetapi jutawan statusnya

Tidak kurang juga yang kaki ampu, tetapi jiwa kacau dan merapu

Ada juga insan yang dibuli, namun permohonan maaf tidak dibeli

Ada yang dianiaya dan dimalukan, namun hidup tenang tidak berantakkan

Yang penting, usah lihat pandangan dan pujian makhluk

Lihatlah pandangan ALLAH, Pemilik Kerajaan tanpa cacat cela.

Bila kita melihat dari sisi pandangan ALLAH

Maka kita tidak akan menyalahkan ALLAH akibat himpitan ekonomi

Kita tidak menyalahkan pemimpin kerana poket kita bocor

Dan tidak mungkin kita minta rezeki dicepatkan

Kerana rezeki sudah ditentukan dan akan datang ke pintu rumah di saat yang sudah ditentukan.

Sila jawab soalan saya ini…

Pernahkah siswa/i sekelian berhadapan dengan situasi di mana secara tiba-tiba  hamba ALLAH datang menghulurkan wang atau bantuan walaupun kita sebenarnya tidaklah terdesak?

Atau

Pernahkah kita berhadapan dengan keadaan di mana kita mengharapkan pemberian ALLAH tetapi ALLAH tidak mahu beri…?

ALLAH bukanlah kedekut,

ALLAH mahu kita lihat perjalanan hidup  mengikut pandangan Nya

Bukan pandangan di sisi makhluk.

ALLAH mahu kita melihat diri kita sebagai hambaNya

Bukan

Hamba kepada manusia yang DIA cipta

Atau hamba kepada  kapitalis dan sosialis

Sistem iblis yang bakal muflis…..

Di saat ekonomi semakin menekan

Bergembiralah untuk melihat kemuliaan dari sisi pandangan ALLAH.

Jiwa tenang biarpun poket sesak….

Bukan jutawan, tetapi hidup cara dermawan….

 

Kerja Hati

Segala puji hanyalah milik Allah SWT.  Tidak ada yang patut disembah selain Allah.  Tidak ada yang boleh kita minta petunjuk dan pertolongan selain Allah.  Dan, tidak ada yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, kecuali Allah. Di tangan-Nya lah segala yang nampak dan segala yang ghaib. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga Baginda.

Alhamdulilah  kita sudah meninggalkan bulan Muharram yang sinonim  dengan bulan Hijrah. Namun penelitian kasar memberi satu indikasi bahawa  manusia ini sukar untuk berubah (termasuk diri kita para Pensyarah dan Mahasiswa/i U-MKI).  Kita cuba memperbaiki diri, tetapi dunia masih hebat menyerang hati, fikiran dan perasaan.

Ramai lelaki  yang tidak ke masjid kerana ia bukan kerja kaki tetapi kerja HATI…

Ramai orang yang kedekut kerana ia bukan kerja poket tetapi kerja HATI…

Ramai insan membina kebiasaan (habit) dengan menabur fitnah dan menghentam sesama muslim kerana ia bukan kerja facebook, twitter tetapi ia kerja HATI….

Tidak kurang manusia menghentam ulama, Tok Guru, pekerja amal dan guru-guru sekolah kerana ianya bukan kerja lidah  tetapi kerja HATI…

Ramai yang tidak baca Al-Qur’an bukan kerana  TV tetapi ianya kerja HATI…

Ringkasnya, corak hidup kita bergantung kepada  HATI …. Bila HATI aman, maka persekitaran dan dunia turut aman.

Setiap insan  melakukan dosa dan kesilapan. Setiap dosa dan kesilapan akan ditegur oleh Pencipta manusia, tiada siapa yang terlepas pandang. Bila hati tidak dibuka, jendela hidayah tidak  mungkin meniti kotak iman.

Baru baru ini saya berpeluang dijemput memberi ceramah Inspirasi Hidup: Menapak Perubahan di bulan Hijrah di sebuah organisasi korporat. Tiada apa-apa istimewanya perkongsian ini, ianya simple dan biasa sahaja. Sekadar hadir, memberi yang terbaik. Soal jawab juga kelihatan mudah dan ceria.

Hampir dua minggu berlalu, ceramah yang biasa biasa ini rupanya memberi sedikit impak. Itulah hidayah dan perancangan ALLAH.  Itulah dikatakan kecil tapi signifikan (Prof MKI, mohon izin tumpang gunakan istilah ini).

Para siswa/i yang dihormati,

Hidayah bukan kerja manusia, ia kerja HATI… urusan ILAHI.

Perkongsian kecil telah membuka jendela hidup dan hati seorang pakcik berusia hampir 60an. (Nota: saya namakan Pakcik ini Pakcik Z).  Usia Penghujung Senja bukanlah alasan untuk menafikan kehadiran HATI, perubahan diri.

Minggu lepas Pakcik Z menelefon saya. Saya tidak mengenali beliau. Taaruf ringkas mengingatkan saya berkait Ceramah Inspirasi Hidup tersebut.

“Pakcik ada urusan sangat penting untuk dibincang. Pakcik nak jumpa Dr. Boleh jumpa malam ni? ” Nada suara Pakcik Z, sangat bersungguh.

Secara kebetulan, saya agak lapang malam itu, lantas saya segera respon.

“Ok Pakcik. Jumpa saya di Masjid Seksyen 18 Shah Alam. Kita berjamaah Isya’ lepas tu kita boleh sembang..”

Selepas solat di Masjid, kami bersembang serius mengenai kehidupan. Tanpa ada guruh dan petir, tiba-tiba curahan airmata Pakcik Z menderas membasahi pipi.  Tangisan yang sungguh-sungguh. Teh Tarik di meja restoran tidak disentuhpun.

“Kenapa Pakcik menangis?” soal saya yang kebingungan.

“Pakcik banyak dosa. Pakcik nak bertaubat! Berpuluh-puluh tahun Pakcik tinggalkan solat sedangkan arwah ayah pakcik seorang ustaz terkenal.”

Beliau menambah, “Tidak solat bukan kerana ayah yang tidak mendidik, tetapi kerana HATI….”

“Kuliah Dr kelmarin memberi Pakcik harapan untuk membina hidup baru di Penghujung Senja. ALLAH beri pakcik banyak kemewahan, tetapi bukan masalah mewah, tetapi masalah HATI….”

“Dr, minta tolong uruskan Pakcik untuk ke Tanah Suci. Pakcik nak bawa makcik menunaikan Umrah dan pakcik nak bertaubat. Pakcik banyak dosa kepada mak, ayah dan isteri pakcik. Cukuplah dunia ini buat Pakcik.”

“Bagi tahu berapa kos umrah, pakcik akan bayar.”

Luahan HATI Pakcik Z berterusan dan saya terus memberi perhatian, mendengar dan mengizinkan HATI dan bibir Pakcik Z terus menari. Di satu saat, saya tidak mampu lagi menahan airmata. Saya terjun sama ke alam Pakcik Z, menyelami persoalan hidup manusia yang diuji.

Siswa/i yang dihormati,

MasyaALLAH & TabarakALLAH. Manusia membina dosa mengunung  dan kesilapan yang membatu. Sangat keras HATI mahu berubah.  Insan-insan yang membiarkan diri dalam dosa dan kesilapan berterusan, sudah tentu sukar menemukan pintu kesedaran.  Tetapi Pakcik Z tidak mahu diri terus dipersia.

Pakcik Z mahu berubah. Pakcik Z mahu bertaubat, kembali kepada jalan fitrah.

Betapa ramai manusia yang kecundang kerana hawa nafsu, tamak, ketaksuban  dan kesombongan yang tinggi. Tetapi bila ALLAH menjemput hambaNya, dan hambaNya menyahut untuk kembali ke jalanNya, makan kemewahan dan pangkat tidak mampu lagi menghalang.

“Pakcik, ALLAH tidak pernah menutup pintu taubat. Bila pintu ini terbuka, maka segeralah memasukinya. Belajar dan segerakanlah solat kerana ia adalah asas hidup. “

Di penghujung bicara saya nyatakan kepada Pakcik Z,

“Tidak melakukan solat bukanlah kerana suara muazin tidak enak, tetapi kerana HATI yang tidak mendesak…”

ALLAH mengingatkan kita semua,  di dewan kuliah mulia ini

Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.”

(Terjemahan surah Ali-Imran:133)

Selamat menunaikan Umrah Pakcik Z. Moga ALLAH menerima taubat dan memberi kekuatan untuk Pakcik Z berhijrah membina kehidupan baru…. Bagi kita yang tidak berumrah, panggilan keampunan sentiasa terbuka,

Jika tidak mahu masuk pintu panggilan keampunan,  ianya bukanlah kerana pintu itu kecil, tetapi kerana gersangnya HATI…. Hanya orang yang mencari, akan jumpa apa yang dicari

Sungguh … kami mohon keampunan Mu ya Allah.

Janji

Segala puji hanyalah milik Allah Swt.  Tidak ada yang patut disembah selain Allah.  Tidak ada yang boleh kita minta petunjuk dan pertolongan selain Allah.  Dan, tidak ada yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, kecuali Allah. Di tangan-Nya lah segala yang nampak dan segala yang ghaib. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga Baginda. 

Alhamdulilah, dewan kuliah ini terus meluncur membawa tazkirah dan muhasabah, agar diri pensyarah khususnya dan semua siswa/i amnya memperoleh sedikit bekalan kehidupan bersandarkan pengalaman.

Pengalaman tidak akan menipu … ia menjanjikan kupasan kehidupan lebih bermakna. Misalnya, dalam hidup kita banyak berjanji. Kita berjanji dengan mak dan ayah, suami(isteri), anak-anak, bos, rakan pejabat mahupun musuh politik. Bagi orang-orang beriman, ALLAH mengingatkan:

“Wahai orang-orang beriman, penuhilah setiap janji dalam aqad-aqad itu…” (Terjemahan surah al-Maidah:1)

Kita banyak menabur janji. Namun politikus di Tanah Air kelihatan lebih teruk … berjanji dan kemudian menipu. Seolah-olah ia tidak dapat dipisahkan. Janji menuntut akauntabiliti. Jika berjanji hendak bayar hutang, maka wujud tanggungjawab untuk membayar hutang. Besar atau kecil janji, nilainya tetap sama iaitu dipertangungjawabkan di depan ALLAH.

Rasululah s.a.w terkenal dengan sifat al-amin. Bila Rasululah s.a.w berjanji, maka segera dikotakan, tiada istilah tunggu esok, atau bila senang.

Ini kisah menarik. Baru-baru ini saya melatih anak berusia lapan tahun bermain monopoli. Ianya satu proses latihan dan pembinaan perniagaan melalui strategi perniagaan.

Saya berjanji kepada diri sendiri untuk terus menjadi mentor kepada kejayaan anak sendiri. Bila saya berjanji, ia membawa kepada akauntabiliti. Ada kesungguhan di sini. Bila kita tidak letakkan janji, maka ianya tinggal tanggungjawab tanpa diikuti dengan kesungguhan.  

Menyingkap sejarah hidup, arwah abah tidak pernah berjanji apa-apa kepada saya. Arwah abah tahu dia tidak berkemampuan untuk memberi kekayaan kepada anak-anaknya.

Masa saya kecil dahulu, saya selalu bertandang rumah kawan untuk main monopoli (mainan orang kaya masa itu). Saya minta arwah abah belikan monopoli, tetapi arwah abah cuma membisu. Dengan pendapatan bulanan RM385 ketika itu, saya tahu arwah abah tidak mampu memenuhi keinginan tersebut.

Saya tidak berputus asa. Saya berjanji kepada diri sendiri untuk ‘design’ monopoli hasil buatan sendiri dengan nama Monopoli RB. Dengan kreativiti kecil yang ada, saya buat sendiri papan dan not wang monopoli dengan kertas A4 yang ada ketika itu. Setiap not wang saya gunakan pensil warna untuk mewarnakan mengikut nilai RM yang ada pada ketika itu.

Ya Monopoli RB terhasil. Janji diikuti dengan akauntabiliti dan kesungguhan…

Walaupun hasil kerja saya diketawakan oleh rakan-rakan serba kaya, tetapi arwah abah memuji saya. Walaupun kualiti Monopoli RB tidaklah baik, tetapi saya gembira dengan produk RB saya. Self esteem saya meningkat dengan pujian arwah abah, dan ketawa rakan-rakan tidak menjanjikan apa-apa.

Pagi tadi tiba-tiba hati saya syahdu mengenangkan arwah abah. Pengorbanan arwah abah dan mak tidak mampu untuk saya balas. Lebih-lebih lagi sumbangan besar abah dalam Tarbiah Haji & Motivasi Umrah, wawasan hidup, disiplin diri dan kewangan untuk anak-anaknya. Arwah abah banyak berpesan tetapi kurang berjanji. Hidupnya lapang dan tenang biarpun berpendapatan kecil.

Kita pula …

banyak berjanji tetapi kurang berpesan …. (Rujuk Surah Al_Asr). Hidup berhutang biarpun berpendapatan besar.

Airmata saya berlinang ketika mengetuk keyboard PC ini. Berlinang kerana arwah abah sumber self esteem diri sudah tiada di sisi. Mak pula semakin uzur usia dipertengahan 80 tahun.

Terlalu banyak kita berjanji,

Kita janji dengan ALLAH tetapi kita tidak menghadirkan hati ketika mengadapnya, Sekurang-kurangnya 17 kali sehari kita berjanji bahawa Hanya kepadaMU kami menyembah dan meminta pertolongan,

 Tetapi akauntabiliti dan kesungguhan tidak menemani kita diluar solat.

Kita masih mengagungkan makhluq dan meminta pertolongan dari makhluq.

Dunia masih kuat dalam diri kita rupanya….

Kita berjanji hendak pergi masjid, tetapi kita tetap melayan TV.

Kita janji hendak bertahajud, tetapi tidur menjadi keutamaan 

Benar, banyak janji kita dengan ALLAH tetapi tidak diikuti dengan akauntbiliti dan kesungguhan.

Sang suami berjanji macam-macam kepada isteri, tetapi janji hanya tinggal janji. Ramai dikalangan masyarakat kita yang tidak melayan isteri dengan baik hatta sanggup memukul isteri dan anak-anak. Ada juga yang mengabaikan nafkah isteri dan anak-anak. Masa aqad nikah, sang suami berjanji dengan melaksanakan amanah. Tetapi tidak semua mampu memikul janji dan amanah. Kita juga turut berjanji dengan anak-anak, tetapi janji akan berakhir dengan mainan kata-kata.

Jadilah Hamba ALLAH yang memegang teguh dengan melaksanakan janji

Jadilah suami/isteri yang sama-sama mengambil akauntabiliti

Jadilah ayah/ibu yang kurang berjanji, tetapi banyak berpesan dan meneliti…

Usahlah jadi ahli politik yang janjinya akan dihisab di Akhirat. Usahlah membiarkan diri untuk dipanggang di neraka ALLAH akibat menipu atas setiap janji.

Janji lebih bererti jika dihadirkan bersama dengan akauntabiliti dan kesungguhan.

 Wallah’alam.

Dunia Kian Berserabut

Dunia kian berserabut. Manusia kian rakus, tamak dan memualkan. Di saat musuh-musuh ALLAH bersatu, kita terus bergaduh dan memfitnah. Dunia Islam dan Arab terus huru hara dengan ideologi dan sikap suka menghukum. Dunia Tanah Melayu pula terus layu dengan fitnah dan perpecahan, seolah-olah sudah hilang jalan penyelesaian.

Semalam saya dikunjungi oleh wakil Duta sebuah negara Teluk yang kaya raya. Beliau berkata:

Saya fikir Malaysia adalah sebuah negara Islam, rupa-rupanya tidak.

Lebih baik anak-anak kami negara Arab yang kaya pergi ke Amerika dari belajar di IPTA/IPTS Malaysia.

Kelihatan ungkapan mudah untuk menghukum tetapi realitinya, mereka terus mengagungkan orang putih dari sesama Muslim.

Dunia kian berserabut. Wang dan kekayaan sudah menjadi ukuran kejayaan. Kerana wang dan kekayaan, sebahagian besar manusia kian jauh dari rahmat ALLAH.

Namun, dari satu sudut, ada kebenarannya. Akhlaq generasi muda kita kian rapuh, pemimpin bergelut mengumpul kekayaan, rakyat diperhambat dengan tekanan, masjid tidak menjadi pusat kebudayaan dan ilmu serta orang-orang baik diketepikan dan orang-orang jahat dijulang sebagai pahlawan. Itulah permainan dunia.

Biarpun Tanah Melayu ini tidaklah kaya, tetapi kami berhak hidup bahagia di bawah naungan Al-Qur’an dan ulama’.

Ketahuilah sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah  meramalkan  cabaran dan ujian yang bakal ditempuh oleh para mukmin, mujahidin dan pendakwah. Antaranya:-

Rasullullah S.A.W bersabda:
Kaum  mukmin akan sentiasa berada di pintu lima  dugaan yang menyesakkan:
1-  Pendengki – dikalangan muslimin/at
2-  Pembenci – dikalangan munafiqin
3-  kafir yg sentiasa membenci dan  memeranginya
4-   Penyesat -syaitan yang tidak pernah lelah
5-   Nafsu – yang  sering bertarung utk mengalahkannya

(hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dari hadith Anas dalam tajuk:”Akhlak Yang Luhur.”)

Ayuhlah kita bina benteng ancaman dari lima golongan di atas.

Di saat fitnah melata dan kian buruk, perbaikilah diri kita supaya menjaga lidah, fikiran, jemari agar ketukan-ketukan halus di keyboard/keypad komputer/ipad/smart phone tidak merosakkan ukhuwah dan mencincang kasih sayang sesama mukmin. Berkongsilah sesuatu yang berfaedah dan usah biarkan nafsu menjadi pilot kehidupan.

Kasihanilah dan hormatilah Ulama’ kerana mereka adalah waris anbiya’. Bila sebahagian masyarakat kita perlekehkan ulama’ atau menghentam ulama’ maka kita sedang menyingkirkan keamanan dunia dan warisan khazanah  penyucian jiwa. Di dada ulama’ ada ilmu dan hikmah, di wajah ulama’ ada teduhan kedamaian.

Belajarlah khazanah kesabaran sebagaimana Nabi Khidir a.s. mentarbiah Nabi Musa a.s.;

Manusia mungkin punya banyak ilmu tetapi manusia kini kekeringan hikmah dan kebijaksanaan.

SIAPA YANG SUDAH KECUNDANG?

Segala puji hanyalah milik Allah Swt.  Tidak ada yang patut disembah selain Allah.  Tidak ada yang boleh kita minta petunjuk dan pertolongan selain Allah.  Dan, tidak ada yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, kecuali Allah. Di tangan-Nya lah segala yang nampak dan segala yang ghaib. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga Baginda.

Alhamdulilah, sudah hampir separuh bulan Ramadan kita lalui.  Pantas sungguh kita berlumba dengan masa.  Maknanya, kita tentunya makin tua dihambat usia, namun barangkali nafsu tetap membara muda.

Alhamdulilah, Ramadan ini saya telah diberi kesempatan untuk memberi tazkirah Ramadan/tazkirah Iftar di beberapa Masjid/surau dan organisasi. Sebahagian dari tazkirah ini, saya  ingin kongsikan di Dewah Kuliah ini bersama siswa/i yang hebat untuk kita sama-sama  meneliti dan memperbaiki diri.

Di zaman anak-anak, kita tidak dapat mengerti mengapa perlunya berpuasa. Gambaran yang ada cuma meriahnya bertarawikh berulamkan selawat ke atas Rasululah s.a.w, makanan istimewa, bunga api, meriam buluh  dan Aidilfitri.

Saya masih ingat satu persitiwa di sekolah rendah. Saya dan rakan-rakan di rotan ustazah Hendon kerana minum milo di bulan Ramadan.

Cuba bayangkan, dalam banyak-banyak hari – 365 hari – mengapa van MILO ini datang ke sekolah pada hari pertama Ramadan?

Zaman itu, MILO adalah minuman orang kaya-kaya. Bila minuman orang kaya ini diagihkan kepada pelajar-pelajar yang masih mentah, sudah tentu keinginan kami sangat tinggi.

Kami silap, rupa-rupanya Ustazah Hendon memerhatikan gelagat kami. Kami dirotan tanpa sempat berhujah. Ustazah Hendon mengajar kami erti Ramadan, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mencari kemuliaan sebagai hamba.

Ya….Ramadan bukan sekadar berpuasa….

Ramadan adalah bulan istimewa, hadiah dari langit.  Ianya ibarat  stesen  tempat kita transit atau istirehat.

Istirehat Untuk apa……? Ya, istirehat seketika untuk mencari kemuliaan.

Kita adalah hamba kepada Pemilik alam.  Sudah menjadi lumrah dan keinginan manusia untuk dilihat mulia dan dimuliakan.

Kita mulia dengan darjat dan kebesaran

Ada yang mulia kerana anugerah keturunan

Segelintir mulia kerana kekayaan

Tidak kurang yang mulia kerana ilmu dan kepakaran

Yang pasti, setiap kita di Dewan Kuliah ini mendamba penghormatan dan kemuliaan. Kita mahu dihargai, kita ingin sekali disayangi, kita tercari identiti dan kita sentiasa mahu dimuliakan oleh insan sekeliling. Kita akan rasa marah atau kecewa bila kita tidak dihargai dan dimuliakan. Itulah dia manusia.

Sudah hampir separuh Ramadan berlalu. Proses seleksi insan terpilih sudah mula dilakukan oleh petugas ALLAH.  Kelihatan di fasa ini, jamaah tarawikh  kian menyusut. Ianya adalah trend seantero dunia.  Ada antara kita mula kecundang di tengah perjalanan stesen Ramadan.

Sudah tentu saat ini, di bulan mulia ini untuk kita meneliti diri kita  dan  perhambaan hanya kepada ALLAH.  Ianya adalah stesen menyemai kekuatan hati, pembersihan jiwa dan mengukir kemuliaan.

Di saat kita mengharapkan kemuliaan dunia, ALLAH punya rencana lain. ALLAH mahu kita mulia di sisinya, menjadi kebangaan ALLAH Pemilik hati manusia. Setiap kita diberi peluang yang sama untuk menjadi mulia di sisi ALLAH.

Kita sudah lama berligar di persimpangan dunia. Sungguh berliku.  Dianiaya, dihina, di ketepikan dan ditekan.  Namun tekanan di stesen Ramadan akan menjadikan kita kuat.  Maka ambillah peluang di stesen ini untuk  mencukupkan bekalan perjalanan  kerana tren  kehidupan akan bergerak lagi selepas ini … Allah berfirman

“Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan bagi petunjuk, dan furqan (pembeda).”

(Terjemahan surah Al-Baqarah: 185)

ALLAH mahu kita kembali sedar di stesen Ramadan ini supaya menjadikan AL-Quran sebagai  manhajul hayat (pedoman hidup). Kita tidak perlu meminta manusia memuliakan kita, tetapi kita mulia dengan AL-Qur’an dan dengan TAQWA. Kita akan mulia dengan iman dan ukhuwah.

Pengalaman hidup mengajar kita supaya tidak melakukan kesilapan yang sama. Lantas,selepas Ramadan, kita perlu kembali  menyusuri trek perjalanan yang berduri.  Perangkap-perangkap kehidupan terhidang di depan kita, justeru pengukuhan jiwa itu penting.

Kita perlu turun istirehat di stesen ini bagi  mencari bekalan hidup dan kemuliaan.  Jika kita mampu mencari bekalan yang sesuai, sudah tentu  perjalanan seterusnya mampu dikawali.  Jika peluang transit ini kita tidur atau buat selamba aje, sudah tentu bila menaiki semula tren  perjalanan hidup, jiwa kita akan resah dan goyah. Barangkali kita termasuk dalam golongan yang kecundang.

“Ya Allah, berikanlah kami kemuliaan di sisi MU sebagaimana mulianya kekasihMu Muhammad saw. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampunan dan menyukai orang-orang yang memohon keampunan. Maka ampunilah kami.”

Amin.

Danau Teguran

Segala puji hanyalah milik Allah Swt.  Tidak ada yang patut disembah selain Allah.  Tidak ada yang boleh kita minta petunjuk dan pertolongan selain Allah.  Dan, tidak ada yang berkuasa menghidupkan dan mematikan, kecuali Allah. Di tangan-Nya lah segala yang nampak dan segala yang ghaib. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ahli keluarga Baginda.

Alhamdulilah  kita bakal meninggalkan bulan Rejab, antara bulan yang disebutkan di dalam AL-Qur’an.  Kita disarankan untuk terus berdoa di bulan ini,

 doaridzMoga kita mampu melalui bulan Rejab dengan jayanya, dan meneruskan sukses di bulan Syaban dan Ramadhan. ALLAH menghadiahkan kita bulan-bulan mulia untuk kita sentiasa hampir kepadaNya.  Tiada lain hakikat kehidupan melainkan penyataan kehendak  naluri insan untuk  mencipta manisnya iman.  Manisnya iman lahir dari lazatnya ibadah.

Limpahan kasih sayang ALLAH melonjak-lonjak  hingga danau teguran  saban tahun menjenguk diri.  Danau teguran menjemput insan kembali kepada fitrah, mengajak kita terus meneliti perjalanan hamba yang semakin hari semakin hampir menuju noktah yang dijanjikan.

Setiap insan melakukan dosa dan kesilapan. Setiap dosa dan kesilapan akan ditegur oleh Pencipta manusia, tiada siapa yang terlepas pandang. Facebook (buku catatan amal kita) sentiasa online dan dalam perhatian penghuni Langit, si pencatat amal yang diperintahkan ALLAH.

Cuba bayangkan jika dosa dan kesilapan berlaku tanpa ada perasaan salah….

Cuba gambarkan jika dosa dan kesilapan berlaku tanpa teguran…..

Cuba lahirkan di mata hati bilamana dosa dan kesilapan berlaku tanpa peringatan dari langit…..

Kita sering menghukum tanpa mahu mengerti

Kita mahu difahami tetapi kurang mahu memahami

Kita sering mahu menerima dari banyak memberi

Mengunungnya dosa dan kesilapan akan menyumbat cahaya keinsafan. Insan-insan yang membiarkan diri dalam dosa dan kesilapan berterusan, sudah tentu sukar menemukan pintu kesedaran.  Betapa ramai manusia yang kecundang kerana hawa nafsu, tamak, ketaksuban  dan kesombongan yang tinggi.

Di kala orang kafir diberikan kemewahan lantas membesarkan maksiat dan derhaka kepada ALLAH, ada juga dikalangan muslim yang mengikut rentak tari yang sama. Di kala orang musyrik memperlekehkan ulama’ dan syariah, ada dikalangan muslim yang berlebih-lebih berkompang  menghentam ulama’ dan syariah  atas dasar  hak asasi manusia.

Namun ALLAH masih memberi peluang kepada hambaNya muslim untuk kembali  kepada fitrah. Dihadiahkan untuk kita semua  dan seluruh alam akan bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan  untuk kita kembali menyesali diri  dan  membersihkan diri untuk meraikan fitrah serta ganjaran besar.

Kembalilah membesarkan ALLAH

Bukan membesarkan  dunia dan isinya

Pangkat dan kebangsawanan…

Mengakui diri sebagai muslim bukan sekadar nama kerana muslim menjanjikan keselamatan buat diri dan persekitaran.  Bila sedikit alpa dan bengkok, akan ada danau teguran. Ia boleh datang dalam bentuk  musibah, sakit, melalui manusia, fitrah alam mahupun makhluq ALLAH yang lain.  Juga boleh hadir secara tiba-tiba mahupun  tersusun.

Kita sudah lama berlegar dipersimpangan dunia.  Sudah banyak teguran dari ALLAH kepada kita sehingga sebesar danau. Makin besar dosa dan kesilapan kita, makin besarlah danau teguran. Makin besar pangkat dan jawatan kita, makin dalamlah danau teguran dari Langit.  Menyelamlah ke dasar danau teguran untuk mencari mutiara hidup.  Bila sudah jumpa mutiara hidup di danau teguran, berkongsilah dengan orang lain.

Ya ALLAh dosa kami menggunung

Amalan kami tidak seberapa

Nafsu kami besar, keinginan kami melangit

Maka berikanlah kami kekuatan

Menguruskan nafsu dan aqal kami

Supaya kami sentiasa hidup dalam fitrah

Membesarkan  keagunganMu dan menegakkan syariatMu.

Kami adalah hamba yang tidak punya apa-apa

Kiranya ujianMu hadir buat kami

Anugerahkanlah ujian yang mampu kami pikul

Ya Allah selamatkan kami  supaya sampai ke bulan  Syaaban dan Ramadan,

dan anugerahilah (keberkahan dan kemuliaan)

untuk kami  terus  mensyukuri danau teguran……

Pertemuan

“Dan diantara tanda-tanda (kebesaran) Nya ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian dari karunia Nya. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar, “[Qs. Ar-rum: 23]

Perjalanan hidup manusia adalah menjadi hak mutlak ALLAH.  Kita semua faham, bahawa kematian adalah milik ALLAH, tidak dicepat mahupun dilewatkan biar sesaat.

Ketika artikel ini ditulis, saya baru sahaja selesai melaksanakan tuntutan fardhu kifayah (Nota: bila ada orang lain buat, kita tak payah) yakni membantu memandi, mengkafan, mensolatkan dan menguruskan jenazah seorang kawan rapat. Saya kehilangan seorang rakan yang sangat baik hatinya, sentiasa sabar dan lurus orangnya.

Meninggalkan alam pada usia 45 tahun akan tentu memeranjatkan. Bagi saya, meninggal pada usia 38-48 tahun sudah menjadi perkara biasa. Itulah penanggan “high income economy” di mana kita menjadi hamba kepada sistem ciptaan manusia, mengejar KPI dan mahu menjadi terbaik di mata manusia/bos. Mungkin kita tidak suka di beri tekanan tugas, namun itu adalah realiti kehidupan yang tidak mampu ditepis.

Tidak siapa menyangka, insan yang kelihatan sihat, tiba-tiba rebah di kerusi empuk pejabat. Usaha dilakukan oleh rakan-rakan sepejabat untuk menyelamatkan arwah dan segera dikejarkan ke unit ICU  Institut Kanser Negara Putrajaya.  Sepanjang lima hari beliau di ICU, saya dan rakan-rakan menziarahi beliau setiap hari, memberi sokongan emosi kepada ahli keluarga khususnya isteri dan tiga orang anaknya yang masih kecil.

Namun kuasa dan cinta ALLAH mengatasi kuasa dan cinta manusia.  Dalam kesungguhan para Doktor dan petugas perubatan membantu dengan teknologi dan perubatan terkini, tiada siapa yang mampu menangguhkan pertemuan seorang hamba dengan Tuhannya.

Tiada apa yang dapat diucapkan kepada anak-anak kecil yang masih perlukan sokongan seorang ayah. Titisan airmata tidak mampu lagi bertahan di malam akhir saya dibenarkan masuk menziarahi beliau. Tiba-tiba terasa persahabatan di dunia ini akan bernoktah di sini……

Airmata ini terhenti bila saya diminta keluar dari wad ICU oleh petugas.  Tidak mampu untuk saya berkongsi dengan ahli keluarga dan anak-anak kecil ini apa sebenarnya tersirat jauh di sudut hati yakni, kita semua akan kehilangan seorang insan yang mulia dan baik hati…

Bila saya keluar dari Wad ICU, isteri sahabat menerpa dan segera melonjakkan pertanyaan,

“Dr Ridzwan, suami saya masih mampu untuk bertahan?”

Sukar untuk saya menjawab soalan ini kerana sudah tentu sang isteri mengharapkan jawapan utuh penyedap hati. Tetapi saya tidak mampu menyembunyi  hakikat sebenar, instinct seorang sahabat.  Bila sang isteri amat mengharapkan jawapan dari saya dan isteri saya, saya mengambil masa yang agak panjang untuk berkongsi isi hati.

“Ustazah… Bila ALLAH takdirkan sesuatu, tiada siapa mampu menghalang. Jika ditakdirkan usia dia panjang, maka kita mensyukurinya. Semua rakan-rakan, doktor pakar, jururawat dan ahli keluarga sudah melakukan yang terbaik. Jika ditakdirkan ALLAH lebih mencintainya, maka kita perlu redho untuk menerima hakikat pertemuan sang hamba dengan Penciptanya.”

Sebagai insan berpendidikan agama, ustazah ini mantap untuk menerima hakikat perjalanan suami tercinta.  Beliau kelihatan kuat namun airmatanya berlinangan. Sudah tentu dihatinya berbicara mengharapkan ALLAH masih mengizinkan suami yang baik ini untuk terus sama-sama membina keluarga dan mahligai dunia.

Sebelum pulang saya berpesan, “Malam ini bermalam sahajalah di hospital. Berilah dia khidmat yang terakhir sebagai cinta isteri buat suami….”

Jam 3.30 pagi saya menerima panggilan telefon, Sahabat saya ini sudah dijemput pulang oleh Yang Maha Esa.  Ketika memandikan jenazah pagi itu, saya berpesan kepada anak sulung beliau (lelaki 13 tahun) untuk sama-sama memberi khidmat terakhir untuk ayah beliau. Alhamdulilah, anak remaja ini mampu tabah melakukan khidmat terakhir sebelum mengucapkan selamat jalan ayah……

ALLAh memberi kita banyak ilmu dan pengalaman dalam hidup.  Namun kadang-kadang kita lalai dari peringatan ALLAH. Setiap saat, peringatan ALLAH melingkari hidup dan setiap saat itulah kita kecundang dengan desakan iblis dan syaitan.

Berapa ramai yang sudah bersedia untuk memandikan jenazah sebelum mereka dimandikan….

Berapa ramai yang mampu mengkafankan jenazah sebelum dirinya di selimutkan dengan kain putih…

Berapa ramai yang bersungguh untuk solat jenazah sebelum dirinya disembanhyangkan…

Berapa ramai yang mahu mengiringi jenazah di tanah perkuburan sebelum dirinya  disemadikan……

Bumi Arafah mengajar kita bahawa itulah proses perjalanan seorang hamba. Dengan dua helai kain putih tanpa apa-apa kemegahan dunia dipersembahkan di bumi Arafah sebagai bukti bahawa kita adalah hamba.  Kita menangis di bumi Arafah dan sudah tentu kita juga akan menangis bila melihat jasad kita dikafankan dengan kain putih dan terpisahnya roh dan jasad. Terpisah terus dari insan-insan tercinta, isteri dan anak-anak…

Al-Fatihah!

 

Hijrah Kosmetik

“Demikian itu adalah karena sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”                                ( Surah Al-Anfal [8]: 53)

Alhamdulilah, dengan izin ALLAH dewan Kuliah ini terus “bergema” dengan kuliah-kuliah dari Pensyarah-pensyarah Tamu. Mereka menulis dan bersyarah bukan kerana nama dan imbuhan. Mereka menulis dari hati dan pengalaman.

Setiap Pensyarah UMKI pernah melalui proses hijrah. Dan kita semua tidak terkecuali dari hijrah. Ada Pensyarah Tamu yang uzur (sakit) dan ada juga yang sibuk, namun mereka tetap istiqamah merancakkan diskusi di dewan kuliah ini. Hakikatnya, hijrah tidak mengizinkan kami berehat….

Setiap kali Maal-Hijrah, kita tersenyum riang menyambutnya.  Bagi mereka yang benar-benar menghayati hijrah, mereka menitiskan airmata. Hijrah 1435 tahun lalu adalah proses perubahan dan perpisahan sementara antara Kekasih ALLAH dan pendukung Syahadah.  Mengikut perhitungan manusia, hijrah Rasululah s.a.w. adalah berkait hidup dan mati. Hikmah proses perjalanan hijrah Rasululah s.a.w ini tidak mampu dikupas dengan panjang lebar di dewan kuliah ini.

Rasululah s.a.w berhijrah bukan untuk dirinya, tetapi Rasululah s.a.w  berhijrah adalah untuk  kita, yakni umat yang sentiasa lalai dengan kehidupan.  Hijrah adalah perintah  ALLAH s.w.t.  dan Muhammad s.a.w  hanya sekadar hamba pembawa syariat.

Sejarah bukan untuk disimpan di khutub-khanah dan diarkibkan. Sejarah juga bukan untuk dipermainkan. Sejarah adalah untuk kita membina kembali iman dan keyakinan akan kewujudan ALLAH Pencipta manusia.

Di awal kuliah ini saya memetik satu ayat Al-Qur’an yang menyentuh bahawa ALLAH telah memberi kita berbagai nikmat namun kitalah yang mencorakkan nilai nikmat ini. Bila nikmat kita lupa, ALLAH tiada di hati, Muhammad s.a.w sekadar nama, maka perubahan tiada nilainya.

Bila saya meneliti diri sendiri dan ahli keluarga, saya menginsafi bahawa nikmat ini tiada tandingannya.  Namun hijrah masih perlu anjakkan.  Hijrah atau perubahan adalah sangat penting dalam membentuk individu muslim. Ianya lebih mencabar untuk kita membentuk anak-anak muda kembali kepada Islam di saat mereka dihujani dengan kemewahan dan gadget yang melalaikan.

Cuba tuan/puan tanya soalan ini dan kita kupas bersama:-

  • Apa hasil yang kita perolehi bila transformasi Negara digerakkan?
  • Apa manfaat yang kita dapat bila sesebuah organisasi sibuk dengan Pengurusan Perubahan “Change Management”?

Maaf jika saya sebutkan bahawa kedua-dua soalan di atas adalah hijrah kosmetik.

Dalam penelitian saya, kita makin jauh dengan ALLAH dan jauh dari masjid bilamana transformasi dan pengurusan perubahan digerakkan.  Tabiat pulang lewat ke rumah sudah menjadi budaya yang menyeronokkan. Ada antara kita yang tiada perkara signifikan dan justifikasi kukuh untuk pulang lewat selepas jam 5 petang.  Dan ada juga antara kita sekadar hendak “please the boss”.

Transformasi dan pengurusan perubahan jika tidak difahami akan mengundang kotornya hati dan rosaknya jiwa. Berbisik dengan bos lebih penting dari berbisik dengan ALLAH.  KPI atau sasaran pencapaian menjadi  rebutan sedangkan ganjaran pahala Tuhan yang jauh lebih tinggi dilupakan.

Dalam satu jemputan ceramah korporat baru-baru ini, saya berkongsi bahawa  Rasululah s.a.w memulakan hijrah dengan iman. Iman bahawa ALLAH itu satu dan tiada Rabb (Tuhan) lain selain dari ALLAH. Imanlah yang mendakap diri memahami bahawa ALLAH mendengar bisikan hati. Dengan iman jugalah kita menyakini bahawa ALLAh tahu kisah silam, sekarang dan akan datang. Dengan iman jugalah, sukses mekar di pasu duniawi dan bugar di taman ukhrawi.

“Sesungguhnya Kami menolong Rasul-Rasul Kami dan orang-orang beriman pada kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari Kiamat)” (Surah Al-Mu’min  [40]:51)

Rasululah s.aw. berhijrah bukan kerana takut, tetapi Rasululah s.a.w berhijrah kerana iman.  Kerana Hijrah itu, kita merasai Islam dan Iman.

Hijrah Rasululah s.a.w adalah hijrah memperbaiki diri untuk mengagungkan ALLAH bukan  mengagungkan manusia.

Bila dilihat kembali  dua soalan berkait transformasi dan perubahan diatas, ramai kawan-kawan saya pada usia 40an  kembali kepada ALLAH kerana tekanan hidup dan kerja.  Ramai juga yang disahkan menghidap kanser kronik dan ramai juga kena “by-pass”.  Sepupu saya juga baru meninggal akibat  kanser tahap empat. Mereka semua meninggalkan saya dalam keadaan belum puas berbisik dengan ALLAH.  Di saat akhir nafas berdenyut sepupu saya menyebut,

“Wan, maafkan aku. Aku tidak sempat mengunjungi Baitullah biarpun hampir setiap waktu kita bertemu dan bertelefon kau sentiasa mengajak aku menziarahi Baitullah dan Rasululah s.a.w..”

“Wan, aku sentiasa mendakap karya ikhlas dalam buku Haji Muda dan buku MKI Travelog Haji…., tapi aku terlepas peluang itu….”

Ianya adalah sentuhan airmata perpisahan buat kami….Al-Fatihah.

Peluang itu tidak datang jika kita alpa dengan hijrah. Kita tidak tahu saat  kritikal  malaikat maut datang ziarah kita.

Sempatkah kita berbisik dengan ALLAH di dalam solat dan doa?

Sempatkah kita berbisik dengan kekasih hati (suami/isteri)?  DAN

Sempatkah kita berbisik untuk memotivasikan anak-anak?

Tiada siapa yang mampu mengubah kita melainkan diri kita sendiri. Bila ALLAH beri peluang untuk kita berhijrah, maka berhijrahlah.

Hijrahlah dengan hati bukan hijrah kosmetik…

Ada cinta dalam wajah

“Dan diantara tanda-tanda (kebesaran) Nya ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian dari karunia Nya. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar, “

[Terjmahan surah  Ar-rum: 23]

 

Berapa kerap anda menatap wajah kekasih (suami/isteri) ketika beliau tidur?

Baru-baru ini, saya dan kawan-kawan dikejutkan dengan kehilangan seorang teman. Beliau dijemput ALLAH sebaik-baik tiba di rumah dan  berehat sebentar di sofa. Biarpun cinta sentiasa hadir di hati si suami, namun wajah teduh sang suami tidak sempat ditatap oleh sang isteri. Tanpa sebab dan bicara, beliau berangkat pergi dengan wajah teduh seorang hamba.

Kepergian yang bukan sekadar meninggalkan kenangan, tetapi  meninggalkan banyak  impian hidup buat isteri tercinta dan anak-anak….

Mencintai suami/isteri mengundang rahmat Ilahi. Menatap wajah  insan tersayang menjemput pahala. Adakah kita mengambil sedikit waktu menatap wajah insan tersayang di kala si dia sedang beristirehat/tidur?

Sehebat suami, mereka masih memerlukan sokongan dan kasih sayang si isteri. Kisah Firaun seharusnya membuka jendela iman dan kasih sayang. Di saat Firaun menentang  dakwah Musa a.s. , menutup rapat pintu iman dan menolak kebenaran, Firaun masih seorang hamba yang punya hati dan perasaan cinta. Firaun dilihat hebat oleh pengampunya dan rakyatnya. Di kala pujian dan dokongan melambung, Firaun cair dengan iman isterinya.

Setiap lelaki bernama suami mahu dirinya dikatakan hebat. Itu fitrah. Biar hebat bagaimanapun si suami, dia masih mempunyai kelemahan dan memerlukan kasih sayang.

Bagi isteri, si bidadari suami,

Berapa kerap anda  menatap wajah teduh suami?

ATAU  kita bersangka buruk dengan suami

ATAU kita sedang marah ketika suami melabuhkan diri di kamar istirehat?

Apa yang kita amati disaat menatap wajah suami ketika beliau tidur?

Mungkin suami kelihatan sudah lanjut usia, rambut mula gugur atau beruban, sedikit berkedut, tidur mendengkur, gelisah atau wajah yang berserabut.

Tataplah wajah suami di ketika beliau masih diberi denyutan nadi kehidupan.

Tataplah wajah suami yang kepenatan,  kerana mengerah keringat mencari rezeki buat kebahagiaan keluarga. Biar bagaimana rapat kepala anda di sisi kepala suami, masalah dan kerisauan di benak suami tidak mampu diagihkan ke kepala isteri. Masalah dan kerisauan mengenai kehidupan akan  tetap kekal tertutup rapi di kepala suami. Kekhuatrian suami tidak mungkin di tunjukkan di hadapan anda  kerana si suami amat mencintai bidadari syurganya. Otaknya terus berperanan di saat tubuh fizikalnya kelihatan tidur untuk istirehat.

Tidur malam atau istirehat malam adalah perintah ALLAH.  JIka bukan perintah dan kepenatan, sudah pasti si suami akan terus bekerja untuk membahagiakan isteri dan anak-anak.

Semasa kehuatiran melanda, rezeki yang terhad dan ekonomi menghentak poket, suami akan meyakinkan kita bahwa semua akan baik-baik saja, meski kita sendiri tidak pernah benar-benar ambil tahu berapa besar persoalan dalam fikirannya dan lonjakan tsunami dalam jiwanya.

Saat diuji, suami memerlukan sokongan dan dokongan.  Keyakinan pasanganlah yang kembali mendorong untuk yakin, dan setiap persoalan ada jalan keluarnya.  Semua kepenatan akan  selalu  berkurangan dengan istirehat.  Dan menatap wajahnya  saat tidur, boleh mengurangi segala keresahan kita.

Jika menatap wajah suami  memberi kebahagiaan buat kita, seringlah tatap wajahnya di saat ia tidur. Terlalu banyak pengorbanan lelaki bernama suami dan bersyukurlah dengan nikmat hidup ini.

Ramai suami yang lewat pulang ke rumah kerana sikap si isteri yang sering membebel dan menambahkan beban suami.  Maka bersyukurlah bila mendapat suami yang  sering excited untuk pulang awal ke rumah. Sungguh, bersyukur adalah salah satu cara tersantun menikmati semua rasa dalam hidup berrumah tangga.

Semakin banyak kita bersyukur, khazanah  cinta hidup  subur.

Tataplah wajah suami saat dia tidur dan  berterima kasih pada ALLAH yang  telah menghadirkannya dalam hidup kita.  Menatapnya saja sudah menenangkan apatah lagi memahami  fikirannya.  Meski letih seharian dengan pekerjaan, walau sering mengeluh ini itu memintanya turut membantu, suami berkorban lebih banyak dibandingkan si isteri. Fikiran dan tenaganya tercurah sehabis mungkin untuk keluarga.

Suami yang baik akan segera pulang untuk  bertemu kekasihnya yang meneduhkan. Maka usahlah sambut pasangan dengan meminta  perhatian berlebihan atau menambahkan beban persoalan hidup.

Sang isteri mahu sentiasa di manjakan dan menagih limpahan perhatian tetapi tidak semua suami mempunyai skil romantik dan menjiwai perasaan wanita.  Lelaki menjiwai tanggungjawab yang akan memberi kesan hidup Akhirat.  Beban suami/lelaki sesungguhnya amat berat.

Hakikatnya, ada cerita cinta dalam wajah lelahnya si suami. Ada kasih sayang dalam wajah, maka  rasailah cinta suami dengan menatapnya. Cinta yang bukan sekadar watak hidup, tetapi menghantar signal kasih sayang dan ketaatan.

Belajarlah untuk tatap wajah  pasangan kita saat ia tidur, dan  bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Belajarlah dari pengalaman ini- Tholamu minal khebra.  Pengalaman untuk terus menatap wajah insan  tercinta selagi dia masih dipinjamkan untuk kita.

Tataplah pasangan kita saat ia tidur, sebelum dia dijemput meninggalkan rumah yang dicintai untuk tidur keseorangan tanpa teman dan selimut  di alam barzakh…..

Bolasepak

“Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap  Tuhannya, dijanjikan DUA Syurga. Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?  (Terjemahan surah Ar-Rahman: 46-47)

Anda minat bermain atau menonton bolasepak?

Bagi lelaki, saya yakin jawapannya ”Ya!”

Bila sebut bolasepak, banyak yang tergambar di fikiran kita. Jika anda perasan, lagenda bolasepak, Maradona, sentiasa memegang ‘biji  tasbih’  di kerusi pegawai pasukan. Apa yang dia buat dengan ‘biji tasbih’ tersebut, tiada siapa yang tahu. Ketika Piala Dunia 2014 berlangsung baru-baru ini, saya berada di kota Istanbul. Menariknya, kelihatan juga orang yang memegang ‘biji tasbih’ sambil menonton secara langsung pertandingan tersebut di restoran dan pusat pertemuan masyarakat.

Demam bolasepak piala dunia sudahpun reda. Kini Piala Malaysia pula menjadi buruan. Kelmarin, penyokong Sarawak meluahkan kekecewaan dengan merosakkan kemudahan awam dan mengancam keselamatan orang lain. Bukankah baik jika anak-anak muda ini memegang biji tasbih macam Maradona supaya boleh cepat istighfar bila emosi mengelegak?

Tidak kurang menarik bila orang yang bukan mahir bolasepak tiba-tiba boleh jadi pakar dan memberi berbagai komentar mengenai sesuatu permainan.

Di sisi lain, ada juga  yang mengaitkan bolasepak dengan peristiwa karbala’ dimana  Sayidina Husain bin Ali radhiyallahu ‘anhuma dibunuh dan kepalanya dipenggal dan kemudian disepak macam  bola. Betul ke cerita ini? Saya kurang pasti bagaimana kesalahan ini ditunding kepada Yazid Muawiyah (jika sejarah ini benar).  Masa sekolah dahulu, dalam buku teks Pengajian Islam, kita didedahkan kezaliman Muawiyah dan Yazid bin Muawiyahlah yang membunuh Sayidina Husain bin Ali.  Namun bila dikaji, fakta peristiwa Karbala ini kurang tepat.

Ada juga yang berkata bolasepak adalah mainan Yahudi untuk melekakan umat manusia. Di negara Barat pula mereka bermegah dengan menyatakan Bolasepak Piala Dunia adalah Perhimpunan terbesar manusia kerana  jutaan manusia memberi fokus kepada  Piala Dunia.  Ianya  mengalahkan pertemuan tahunan jamaah Haji di Arafah, yang cuma sekitar 2 juta orang sahaja.

Apapun perkara yang dilihat atau ditonton, bolasepak memberi kita ilmu tersendiri jika kita memerhati dan memperhalusi seni bolasepak.

Komunikasi di padang bola

Anda pernah ke Stadium untuk menonton terus secara ”live” perlawanan bolasepak?

Jika belum, cubalah hadir untuk merasai  dan melihat bagaimana komunikasi berlaku antara  orang di luar dan di dalam padang. Komunikasi amat penting di dalam perlawanan bolasepak.  Kita akan lihat bagaimana suasana agak kecoh di bangku Coach bila mana arahan-arahan dan bahasa badan dipamerkan supaya  pemain mengambil tindakan.  Kapten dan  pemain pula berkomunikasi di dalam padang dengan teknik tersendiri.

Menghargai  bakat (Talent)

Bermain secara berpasukan (teamwork). Lihat bagaimana Brazil dan Argentina kecundang di Piala Dunia.  Peminat tidak berminat dengan permainan agresif.  Penonton mahu lihat permainan berkualiti tinggi seperti di tunjukkan oleh tim-tim seperti Jerman. Lihat bagaimana seni bolasepak yang ditunjukkan oleh tim Jerman, mereka tidak bergantung kepada bintang mereka.

Kita lihat pula bagaimana tim yang memfokus kepada atau bergantung kepada seorang dua bintang  akan mengalami  kuasa yang tidak mampu bertahan.  Contohnya, skuad England, Portugal dan France kecundang awal kerana kurangnya teamwork dan terlalu mengharapkan seorang dua bintang.

Sebelum beraksi, Coach akan lihat bakat dan kepakaran pemainnya.  Beliau  akan  letakkan pemain di tempat yang sesuai. Tidak boleh main pukul rata aje.  Contohnya, tidak semua boleh mengambil sepakan penalti.  Ia memerlukan kepakaran. Saya masih teringat tahun 70an dahulu di Pestabola Merdeka, kisah di mana penjaga gol handalan negara, Arumugam the spiderman, naik ke atas mengambil sepakan penalti. Gol pulak tu..

 Perancangan strategik.  Menilai diri sendiri dan kemampuan dan kelemahan pasukan lawan boleh membantu strategi tektikal  bila berada di padang.  Contohnya,, serang balas Jerman berjaya membenam dan memalukan pasukan lawan. Gol-gol Jerman juga cantik dan berbaloi untuk ditonton. Ianya adalah hasil dari perancangan yang baik.

Berbagai perasaan dicurahkan.  Kita lihat pemain bergaduh, mengigit lawan, menipu di tengah padang, berpelukan tanda gembira, menyerang penonton, mengawal emosi, bersabar, saling mencabar dan  melahirkan sikap professional.  Emosi juga perlu  kuat dan keyakinan pula perlu  tinggi.  Ringkasnya, bolasepak mengajar kita sekurang-kurangnya 5 perkara penting kehidupan iaitu seni berkomunikasi, menghargai bakat, bekerjsama dalam satu pasukan, merancang dan meluahkan himpunan perasaan. Cuba kita lihat bagaimana kita mentadbir urusan kehidupan.

Di rumah

Adakah kita menghargai talent anak-anak?Apakah kita merancang hidup?   Kita adalah ‘coach’ kepada anak-anak dan pegawai bawahan.  Apakah kita sudah berperanan sebagai guru pembimbing  kepada anak-anak atau hanya menyerahkan tugas melatih kepada guru sekolah? Justeru, apa sahaja usaha kita samada menguruskan rumahtangga, menguruskan pegawai bawahan, menguruskan persatuan, mentadbir masjid dll,  5 perkara di atas perlu juga dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.Sukan bolasepak  bukan sekadar hiburan, tetapi mengajar kita seni kehidupan untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.

 Adakah wujud emosi positif dalam dalam membina kasih sayang?

Adakah kita bergerak dan membuat keputusan secara kumpulan atau ayah/ibu memainkan watak diktator dan/atau gunakan kuasa veto?

Berapa kerap kita berkomunikasi? Dan bagaimana kita berkomunikasi?

Kita adalah ‘coach’ kepada anak-anak dan pegawai bawahan.  Apakah kita sudah berperanan sebagai guru pembimbing  kepada anak-anak atau hanya menyerahkan tugas melatih kepada guru sekolah?

Justeru, apa sahaja usaha kita samada menguruskan rumahtangga, menguruskan pegawai bawahan, menguruskan persatuan, mentadbir masjid dll,  5 perkara di atas perlu juga dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.

Sukan bolasepak  bukan sekadar hiburan, tetapi mengajar kita seni kehidupan untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.