Bahagia? Dunia dan Akhirat

Seandainya manusia memiliki kekayaan, kesihatan serta keluarga maka logiknya kita telah memiliki kesenangan di dunia. Namun hati bertanya:

Apakah ada rasa bahagia kerana memiliki ketiga-tiganya?

Prof. Muhd Kamil Ibrahim (MKI) – barangkali secara main-main – pernah menyatakan kepada saya, “jika awak bukan seorang raja, juga bukan seorang ustaz,  maka menulislah!” Dalam sungguh maknanya sehingga saya tidak main-main mengambil apa yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut.

Tentulah saya rasa teruja dan gembira, malah amat bersyukur kerana – akhirnya – dapat menghabiskan penulisan buku Bahagia? : Dunia dan Akhirat bersama beliau. Diam-diam ia buku keempat tulisan kami. Saya berbahagia kerana dapat menyumbang berdakwah bersama Prof. MKI.

Sungguh, kita mahu bahagia!

Rasanya mudah menyebut kenyataan ini tetapi barangkali termenung sejenak jika ditanya, “apa erti kebahagiaan?” Jawapan kita pasti berbeza. Malah ia jadi lebih sukar memikirkan bagaimana hendak memperolehinya.

Misalnya, ramai di antara kita sentiasa sibuk – siang, malam dan kadang-kadang sehinggalah ke pagi – mencari kekayaan dengan harapan ia boleh membawa kepada kebahagiaan.

Kesemuanya adalah rezeki. Allah SWT mengurniakan pelbagai rezeki kehidupan termasuk makan-minum, keluarga bahagia,  rumah yang luas, rakan-rakan, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa.

Anehnya … ada juga yang masih tidak berpuas hati dengan anugerah ini walaupun sudah seakan-akan memiliki dunia seisinya. Jika begitu, apakah kita bahagia? Itulah petanda-petanda awal betapa hakikat kebahagiaan hati masih belum muncul.

2011.

Saya mengadakan majlis keramaian di rumah dan menerima pelbagai hadiah dari tetamu yang hadir. Namun ada satu hadiah membuka minda dan menambat hati. Ia sebuah buku berkaitan dengan kehidupan bahagia. Tercatat pada halaman pertama,

Semoga ada manfaat, ingat Allah sentiasa.

Saya tersentap buat seketika lalu berfikir dan bertanya, “Apakah pemberi buku ini berfikir aku tidak bahagia?”

Jika Allah SWT ingin memberi sesuatu maka ia jadi terlalu mudah. Buku ini mengajak saya berdiam diri dan merenung erti kebahagiaan. Tulisan yang mengumpulkan100 orang pakar psikologi positif dari 50 buah negara merupakan tarikan semula jadi untuk ditekuni.

Saya mula membaca buku ini – sekurang-kurangnya – kerana mahu mengetahui ilmu kebahagiaan. Penulis berkongsi pengalaman, penyelidikan dan  kefahaman mereka tentang  kebahagiaan di dalam kehidupan.

Ia jadi pemula terhadap minat untuk mendalami ilmu kebahagiaan dengan berkongsi pengalaman kehidupan dengan teman-teman dari perbagaian lapisan masyarakat. Saya meneliti bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengannya dan mempelajari dengan lebih lanjut lagi dengan mereka yang saya fikir boleh membantu terutamanya dengan – Sheikh Said al-Kawari – guru al-Quran yang berasal dari Mesir.

Kemudian, kami – saya dan Prof MKI – melancar buku Merenung Diri. Usai majlis, beliau bertanya :

Apa tema buku kita selepas ini?

Itulah Prof MKI. Beliau selalunya bertanya terlebih dahulu tajuk atau tema yang saya selesa menulis. Prof MKI merupakan penulis  tegar serta berpengalaman dan sudah tentulah sangat mudah menulis apa-apa tema kehidupan yang menyentuh hati.

Lalu saya khabarkan, “saya sedang membaca, mengkaji dan berminat menulis tentang kebahagiaan”. Kami bersungguh berbincang  tentang tajuk ini dan merasakan ia sudah berlambak di pasaran.

Kami putuskan untuk menulis sesuatu yang berbeza agar ia jadi pelengkap kepada yang terdahulu, InsyaAllah. Kami bersetuju menulis tentang kebahagiaan mengikut pengalaman yang telah kami tempuhi dahulu dan sekarang.

Kami menyebut pengalaman ini ketika berbincang. Misalnya, dahulu saya seronok dan gembira menjadi usahawan di awal usia muda. Prof. MKI pula gembira kerana dianugerahi dengan jawatan Profesor termuda di UiTM.

Namun kami sedar bahawa kegembiraan itu hanyalah kecil dan bersifat sementara. Kami tetap menghadapi ujian dan cabaran lain di dalam kehidupan. Sampai masanya kegembiraan itu  hilang dan berlalu pantas!

Kini, kami mahukan sesuatu yang lebih baik dan bersifat kekal. Kami inginkan kebahagiaan yang menjadikan dada kami berasa lapang selapang-lapangnya. Kami mahu jiwa yang tenang tenteram lalu bersedia untuk menemui DIA dengan hati yang damai.

INGAT ALLAH SENTIASA.

Catatan pada buku yang dihadiahkan kepada saya merupakan asas jawapan untuk kami mencari kebahagiaan. Sungguh … Maha Suci Allah, dengan izinnya kami menghadiahkan catatan kami berdua  kepada khalayak pembaca. Moga ada manfaat.

Disini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai kisah Nabi Adam A.S. yang pernah menemui kebahagiaan di Syurga dan dunia. Kisah ini menjadi asas penulisan buku ini. Sewaktu Nabi Adam dan isterinya berada didalam syurga, Tuhan  berfirman:

Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai.

Kemudiannya apabila mereka diturunkan ke dunia, Tuhan berfirman lagi,

Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka, maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan dari sesuatu yang tidak baik terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kami sentiasa mendoakan semoga buku dapat memberi petunjuk kepada kita semua untuk mendapat kehidupan yang bahagia di dunia dan  akhirat. InsyaAllah kita bertemu di Firdaus.

Selamat Hari Raya

Apabila Nabi Adam bersama  isteri  turun ke dunia, Tuhan telahpun mengembirakan hati mereka dengan kelengkapan pakaian dan barang perhiasan. Seisi dunia kepunyaan Nabi Adam dan keturunannya. Begitulah juga dengan kami sekeluarga merasa bahagia membeli belah pakaian dan perhiasan bagi menyambut bulan Syawal.

Sudah menjadi tradisi keluarga membeli baju melayu lengkap bersampin dan songkok serta baju kurung untuk dipakai sewaktu solat pagi hari raya dan menziarahi sanak saudara. Selalunya kami akan membeli dua-tiga pasang pakaian yang akan dipakai sewaktu menziarahi “rumah terbuka” rakan-rakan dan saudara mara. Ini adalah masa terbaik untuk ikatan siratulrahim, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar cerita mengenai perkembangan  keluarga.

Setiap tahun ada saja berita yang menyedihkan di mana ada di antara  ahli keluarga yang pulang kerahmatullah. Banyak juga cerita-cerita yang mengembirakan dimana saya mempunyai anak saudara dan cucu saudara yang baru. Ada cerita mengenai perjalanan mereka  ke Mekah dan juga yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

Pada tahun ini baju melayu yang dijual di kebanyakkan kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman mempunyai konsep fesyen yang agak pelik bagi diri saya. Selalunya saya sukakan baju melayu yang seragam satu warna tetapi pada kali ini Zariff dan Zayani mengatakan kepda saya “Papa bolehkah raya tahun ini kita cuba pakai baju yang mempunyai corak yang berbeza?” Mereka membuat pilihan baju berwarna hijau dengan warna yang lain di bahagian poket dan lengan. Saya merasa pelik akan corak rekaan pakaian ini. Malahan baju melayu ini sudah tidak mempunyai pesak  sepert ala-ala memmakai baju kemeja sahaja. “Baiklah awak berdua bolehlah memilih baju melayu moden ini. Papa akan tetap pakai baju hijau !” Inilah revolusi pakaian baju melayu yang mana saya masih tidak boleh menyesuaikannya lagi.

Selain daripada itu mereka juga amat berminat untuk membeli jubah. Saya masih teringat lagi sewaktu bersama Prof Kamil Muhammagd di Madinah suatu ketika dahulu. Beliau bertanya saya “awak kenapa tidak memakai jubah? Hanya baju melayu sahaja?” Belum sempat saya menjawap Prof berseloroh “awak belum terasa ingin kelihatan seperti orang beriman?” Sewaktu saya balik ke hotel saya berfikir kalaulah saya pakai jubah mungkin saya akan berkelakuan lebih sopan sedikit. Tetapi saya juga akan menghadapi masalah sewaktu ditandas. Namun saya juga ingin menjadi orang yang beriman, setidak tidaknya bermula dengan kelihatan sebegitu.

Anak-anak saya mengatakan “marilah papa kita berjubah! Kini trend pakai jubah la Papa!” Lalu kami pun pergi ke bahagian menjual jubah. Di dalam hati saya berkata “Mai oii, jubah apa ini, berbagai warna dan corak!” Zariff memilih jubah warna biru dengan jaluran di bahagian dada manakala Zayani memilih jubah berwarna kelabu ditambah dengan corak-corak berwarna hijau di bahagian depan. Selepas desakan anak-anak, untuk menjaga hati mereka maka saya memilih jubah berwarna kelabu gelap tanpa sebarang corak. Kalau ikutkan hati saya masih lagi membeli warna putih. Tetapi kerana ingin mengikut trend zaman sekarang saya akan cuba memakainya sewaktu ke masjid. Mereka menyatakan jika papa pakai jubah putih nampak janggal macam ‘old school’. Baru saya teringat imam-imam muda di masjid berdekatan rumah semuanya memakai jubah berwarna-warni dengan kepelbagaian corak bersertakan kopiah beranika corak dan warna.

Mungkin inilah yang dikatakan revolusi  pakaian orang melayu zaman sekarang ke masjid. Kalaulah dahulu jika berpakaian sebegini akan dipandang serong dan orang akan mengata kepada kita. Jika hendak ke masjid hendaklah berpakaian putih dengan songkok hitam atau kopiah putih .

Kemudiannya kami ke Jakel untuk membeli pakaian wanita. Memandangkan konsep warna keluarga  pada tahun ini adalah hijau zamrud, maka agak susah juga isteri dan anak-anak perempuan saya  untuk mendapatkan warna dan corak yang bersesuaian. Ramai pembantu-pembantu penjual di Jakel memberi pandangan dan pilihan corak-corak kain yang berbeza-beza. Pening jugalah  untuk membuat pilihan. Akhirnya,  hampir sajalah kami menghabiskan masa untuk memilih kain-kain untuk ditempah. Sdatu jam setengahlah berada di Jakel.

Kemudiannya, isteri dan anak-anak saya pergi ke Ariyani untuk memilih tudung-tudung yang bersesuaian dengan kain baju yang dibeli. Saya bertanya kepada jurujual “adatak tudung Neolofa?” Mereka semua memandang ke arah saya. Isteri saya hanya menjeling kepada saya. Jurujual itu tersenyum lalu menjawab “tudung Datin Seri Umi Aida pun ada!”

Tahun ini anak-anak saya tidak mahu pergi ke Habib Jewel ataupun Poh Kong. Saya agak lega sedikit kerana mereka tidak minat emas dan perak pada tahun ini. Tetapi mereka ingin membeli “costume Jewellary”. Saya rasa mestilah lebih murah agaknya. Elysya mencadangkan agar kami pergi ke kedai “Pandora”. Saya dapati kedai ini hanyalah menjual perhiasan yang merupakan gelang yang dipakai bersama-sama dengan “charms”  yang mempunyai rekabentuk yang cantik dan warna yang menarik.  Harga setiap “charms” itu agak mahal juga  lebih kurang RM150 satu. Elysya membeli tiga “charms” untuk dikenakan dengan rantai tangannya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah saya berhenti sebentar di Jaya 33. Saya mengambil troli dan meminta Nini mengambil tepung, gula, mentega dan lain-lain bahan untuk membuat kek hari raya. Mereka berseloroh mengatakan pakaian dan perhiasan yang dibelikan oleh saya bukan percuma. Mereka perlu membuat kek dan kuih gunting (potong) untuk saya.

Allahamdulillah, kita semuanya telahpun melakukan banyak kerja amal dan ibadah berpuasa di bulan Ramadan dengan ikhlas dan  sebaik mungkin kerana Allah semata-mata. Mungkin usaha dan perbuatan  kita pada kali  ini diterima oleh Allah dan dengan rahmatnya kita semuanya akan dihiaskan  dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam. Kita akan berehat  dengan berbaring di atas pelamin-pelamin yang berhias. Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya untuk kita semua kelak. Insyaallah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada masyarakat UMKI. Maaf sekiranya ada yang  tersinggung kerana bahasa di dalam penulisan saya.

Saya mendoakan agar Allah sentiasa menjadi pelindung dan penolong di dalam kehidupan harian kita. Saya juga sentiasa mendoakan agar kita menjalani kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang bahagia buat selama-lamanya di akhirat.

Amin.