PENAWAR (Bab 4: Mencari Reda Allah)

 Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).

(Terjemahan surah Fussilat: 49)

Inikah balasan Tuhan terhadap hamba yang ingkar perintahNya?

Hamba kufur nikmat yang diberikanNya. Jiwa sombong dan bangga dengan keistimewaan yang dikurniakanNya. Minda yang jauh melangkah ke dimensi disangka syurga tetapi sebenarnya neraka yang membakar dan menyeksakan.

Ya Allah, masihkah ada harapan untuk ku? Masihkah ada cahaya di hujung lorong gelap ini?

Air mata berterusan mengalir bagai hujan di musim tengkujuh. Terasa bagai awan hitam berkumpul menutupi mentari dari memancarkan sinarnya.

“Apa yang dimenungkan tu? ” suara Ummi mengalihkan pandangan dari tayangan hebat kisah hidup insan bernama aku. Aku kesat airmata dan memalingkan muka ke arah Ummi. Bibir cuba mengukir senyuman tetapi hambar, sehambar hati ku, sesuram perasaan ku.

“Sudahlah … pergi solat. Lepas tu kita makan …”

Akur. Begitulah … Aku mula solat setiap waktu sekarang. Aku mahu mendekatkan diri dengan Dia yang Maha Pencipta. Mendamba kasihan belas daripada yang Maha Pengasih. Aku ingin mohon keampunan dari yang Maha Pengampun.

Namun ia tidak semudah itu. Tumpuan pada solat nyata terbatas. Lintasan hati muncul silih berganti. Hati bertanya,

Apakah Tuhan masih mahu mendengar jeritan batin ku? Apakah Tuhan mempedulikan rayuan hati ku? Apakah masih ada tempat di sisi Tuhan bagi manusia seperti aku? Mungkinkah Allah telah membenci diri ku lalu menolak rayuan dan mencampak rintihan ku? Mungkinkah dosa ku menimbun tinggi sehingga terlalu jauh tersasar dari jalanNya?

Pertanyaan tanpa jawapan. Dalam kebingungan itulah aku mula memohon penuh mengharap ketika sujud rebah kepadaNya,

Wahai Tuhan ku … apa yang harus aku lakukan? Berilah aku petunjukMu … Tolonglah daku … Lindungilah daku yang tidak berdaya ini.

Benarlah manusia cepat berputus asa. Berdoa dan mengharap kemudian tidak sabar dengan permintaan sendiri. Aku bertanya Ummi apakah Tuhan tidak mahu mendengar pertanyaan ku.

“Bersabarlah … Allah tidak pernah menghampakan permintaan hambanya. Dia makbulkan permintaan kita dengan caraNya.”

Cuti semester hampir tamat tetapi keadaan ku masih begitu. Aku tidak tahu bagaimana mahu menempuh semester seterusnya. Hakikatnya, hati sudah tawar mahu meneruskan pengajian. Aku nyatakan rasa hati.

Apa gunanya semua itu bagi orang yang akan mati. Ia tidak perlu untuk akak yang tiada masa depan.

Akak mesti lawan semua perasaan. Takkan akak nak berhenti macam tu saja. Akak mesti berubat.

Adik cuba memberi semangat. Berubat? Aku sentiasa dibawa berubat oleh Abah dan Ummi. Berubat dengan perawat tradisional yang dicadangkan oleh jiran-jiran dan jemaah surau tempat kami tinggal.

Aku masih ingat rawatan pertama di Sungai Besi. Setiba di rumah ustaz ini sudah ramai yang sedang menunggu. Mata memandang pesakit dan peneman satu persatu. Ada yang berbual, ada yang hanya tunduk, ada yang baring dan juga yang meracau-racau.

Agaknya adakah yang berkeadaan serupa dengan ku?”

Lama aku menunggu. Ustaz bertanya apa masalahku. Aku bercerita serba sedikit sambil ditokok tambah oleh Ummi. Ustaz itu mula memicit-micit tangan dan kakiku serta menepuk-nepuk belakang sambil membaca ayat-ayat Al Quran. Kemudian Ustaz meniup sebotol air mineral dan juga beberapa biji limau purut.

Ini terkena gangguan. Balik nanti mandi limau dan minum air yang telah dijampi.

Beberapa kali kami berulang menemuinya dan setiap kali beliau akan melakukan perkara yang sama. Aku disuruh mandi limau dan minum  air jampi. Namun keadaan ku tidak berubah.

Aku di bawa berjumpa dengan perawat lain pula. Kemudian seorang lagi dan seorang lagi. Hasilnya aku tetap sakit, takut, sedih, tiada selera dan masih tidak dapat tidur. Tidak hairanlah kalau aku kecewa dan berputus asa. Mungkin benar sangkaan ku … Tiada lagi harapan untuk ku. Tiada lagi kebahagiaan buat ku. Semua telah musnah.

Pergantungan kepada perawat tradisional nyata tidak bermanfaat. Fikiran berkecamuk tetapi hati berbolak balik. Perasaan tidak tentu arah antara berputus harap dan mahu terus hidup nyata menguasai minda. Ketika aku sedikit rasional, terfikir mahu mencuba perubatan moden. Aku mahu berjumpa pakar perubatan.

Bagus akak. Saya setuju. Memang saya tidak pernah setuju dengan Tok Bomoh. Saya rasa ia tidak betul dengan kehendak agama kita.

Diam. Ya Allah … permudahkanlah.

Perjalanan Ku: Mimpi Ngeri

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-Rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

(Terjemahan surah al-An’aam : 42)

Badai melanda sepantas kilat. Aku hanyut ditelan gelombang. Tanganku terkapai-kapai ketika nafasku tercungap-cungap. Kelihatan aku bagaikan ditarik semakin jauh meninggalkan pantai. Terfikir, “berakhirkah hidupku?”

Aku tersentap dari tidur. Ya Allah, aku bermimpi lagi. Mimpi ngeri setiap kali mata dipejam. Mimpi yang menggetar perasaan. Lalu jantung berdebar-debar. Tangan terketar-ketar. Peluh menitik membasahi muka dan tubuh. Kedinginan bilik terasa seperti di bakar cahaya mentari.

Begitulah … sudah sebulan aku menerima mimpi ngeri setiap kali mata dipejam. Aku berada di kuburan, terjatuh ke dalam lubang yang terlalu dalam, rambut dipotong orang, bertembung ular berbisa, sesat di rumah asing, berada di tandas yang terlalu kotor, memegang anak kecil yang tidak ku kenali.

Mimpi-mimpi ini juga bernombor. Aku sering bermimpi tarikh dan nombor tertentu. Akibatnya hati dan minda sentiasa berfikir, “apakah tarikh matiku?” Aku jadi resah gelisah dan tidak tentu arah menunggu tarikh itu. Benar … ia sungguh-sungguh mengganggu hidupku.

Aneh. Mimpi-mimpi ini hadir tanpa mengira malam atau siang. Aku jadi bingung, Kesannya, aku terlalu takut untuk melelapkan mata. Kadangkala aku bersengkang mata sepanjang malam. Memaksa diri supaya tidak terlena. Takut mimpi mengundang celaka.

Memang aku pernah bermimpi tetapi bukanlah seperti ini. Bukan setiap malam dan pasti bukan di siang hari. Adakah mimpi-mimpi ini membawa sesuatu makna? Aku tidak tahu tetapi memaksa diri untuk berfikir begitu. Hanya gambaran buruk yang menerpa diri.

“Mimpi permainan tidur, jangan percaya sangat”, Ummi memujuk. Ummi terlalu risau melihat keadaanku yang telah jauh berubah. Sebelumnya, anak perempuan bongsunya sangat periang dan cergas. Berubah wajah. Lebih teruk perangai turut berbeza.

Hakikatnya, aku juga terasa dan sedar perubahan yang berlaku. Emosi tidak terkawal. Senyum terlalu sukar untuk diukir. Apatah lagi mahu ketawa. Sungguh … aku jadi manusia murung dan tertekan. Aku jadi lemah memikirkan mimpi-mimpi yang aneh dan pelik ini. Ia jadi sebahagian dalam diri yang sangat memudaratkan.

Ada sesuatu yang tidak kena. Aku berpendidikan tetapi akibat  mimpi ia mencelarukan fikiran sehingga menjadi terlalu superstitious. Segala-galanya dikaitkan dengan mimpi bila rantai tangan putus, gelas pecah, tersepak batu dan pelbagai lagi.

Setiap apa yang berlaku dianggap sebagai omen petanda akan ditimpa bencana yang bakal menamatkan hidupku di dunia. Sungguh … aku menjadi takut. Begitu takut. Ada ketikanya aku menangis dan mendesak Ummi dengan pertanyaan, “apakah maksud kesemua petanda ini? Apakah yang akan jadi?”.

Tiada apa yang akan berlaku. Kenapa percaya sangat benda-benda karut ini? Ya Allah, apa nak jadi budak ni, dah kena rasuk ke apa ni …

Bulan-bulan seterusnya keadaanku bertambah parah. Hidup semakin tidak keruan sehingga tubuh bagai jasad tanpa nyawa. Aku langsung hilang selera makan. Nasi sesuap pun sukar ditelan bagaikan tersekat dikerongkong. Hanya biskut dan air Milo menjadi hidangan. Badan yang dulu munggil kini ibarat bunga layu dahagakan air.

Dunia ku lihat begitu suram. Gelap tanpa cahaya. Setiap hari berdendam air mata. Makan minum tidak lagi dhiraukan. Rupa paras bukan lagi keutamaan. Aku hilang minat. Dunia tiada lagi bermakna lagi. Aku menyangka dan terus bersangka yang mimpi-mimpi ngeri itu sebagai satu petanda yang aku akan mati.

“Sampai bila Ti nak macam ni,” Abah bertanya sambil muka berkerut, “Kenapa layan sangat perasaan tu. Mimpi tu semua karut!” Abah meninggikan suara. Ia bukan rasa marah tetapi penegasan barangkali terlalu risau. “Betul Abah cakap tu,” Ummi menyampuk. Matanya mula bergenang air mata. Memang Ummi banyak menangis melihat keadaanku. Aku kelihatan seperti orang gila. Bermenung seharian, berjaga semalaman.

Aku sudah tidak dapat menguruskan diri. Ummi menyisirkan rambutku, menyuapkan makan, memujuk bila aku menangis, memeluk bila aku takut dan menemani aku sepanjang masa. Mungkin Ummi takut meninggalkan aku sendirian kalau-kalau aku akan melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Aku memandang kedua-dua insan yang aku sayangi ini. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku jadi begini. Kenapa aku begitu yakin dengan ramalan mimpi. Aku begitu yakin ia memberi makna yang hidup akan berhenti di sini walaupun usiaku masih muda.

Sungguh … hakikatnya aku belum puas menikmati dunia kehidupan. Masih banyak yang ingin ku terokai. Masih banyak nikmat yang belum aku rasa. Aku belum pun bersuami, apatah lagi mempunyai anak sendiri. Habis … kenapa ia terjadi kepadaku?

Sesekali aku merenung cermin. Aku tidak mengenal siapa yang ku lihat. Wajah itu terlalu asing. Wajah yang tiada seri. Pucat … cengkung … kurus dan segala-gala menggambarkan aku sedang menghadapi sakit kronik yang menunggu masa sahaja.

Apakah ini semua? Apa yang sedang berlaku? Hatiku memberontak, jiwaku membuak-buak bagai gunung berapi yang ingin memuntahkan lavanya.  Soalan yang sama berulang-ulang. Kenapa aku? Kenapa aku? Ya Allah…. Kenapa aku?

Tiba-tiba aku menyebut, “Astaghfirullah, Astaghfirullah … ” sebutan yang aku lakukan berkali-kali. Detik ini aku terfikir, “apa yang telah aku lakukan? Adakah aku terlalu berdosa? Mungkinkah kerana apa yang telah aku lakukan selama ini?

Aku mula berfikir dan bertanya. Namun ia kekal begitu. Setidak-tidaknya aku memikirkan betapa  Tuhan menjadikan sesuatu tentunya bersebab. Hakikatnya aku mula berfikir tentang kisah silam. Ia pasti ada akar yang menjalar, merebak dah hampir memusnahkan. Anganku melayang. Layar putih tertebar luas didepanku. Sungguh … aku menonton lakonan sendiri.

Lakonan hidup yang mengundang mungkar!