Memandikan Jenazah di Seoul

Mac 2017 nanti, genap tiga tahun kami tinggal di Korea. Tempoh yang kedengaran lama tetapi rasa seperti mimpi. Kini, jika ada yang bertanya saya, apakah kenangan paling penting di Korea? Saya sudah ada jawapannya, seperti tajuk catatan kali ini.

Saya kenangkan kembali peristiwa 10 Disember 2016. Hari itu, pulang dari menunaikan Solat Jumaat di Masjid Itaewon, suami mengajak saya ke hospital di tengah Kota Seoul. “Kawan abang di Malaysia minta kita ziarah sahabatnya yang sedang koma,” kata suami. Oleh kerana waktu lawatan pesakit singkat, kami menjemput anak sulung di tadika langsung memecut ke pusat kota yang sesak.

Saya tidak mengenali si pesakit. Malah suami juga hanya diberitahu pesakit adalah rakan baik kepada famili sahabatnya yang tinggal di Temerloh. Saya tidak bertanya lanjut, biarlah nanti kami temui jawapannya di hospital, melalui keluarga dekat si pesakit. Anak-anak aktif luar biasa, barangkali kepenatan dan mahu perhatian. Saya maklum, Darda’ berusaha keras di tadikanya gara-gara belajar dalam Bahasa Korea. Sepatutnya dia makan dan berehat di rumah sekarang tetapi atas niat yang murni, kami semua meredah kesesakan dahsyat Seoul.

Akhirnya, kami tiba juga di hospital. Mulut saya tidak habis menegah Darda’ dan Dawud yang berlari-lari, seolah hospital ini taman permainan. Dawud sampai mahu berbaring di lantai. Rasa geram membuak di dada. Suami memeluk Dawud ke dadanya. Dia juga sabar dengan keletah anak-anak. Sebaik bertemu mata dengan suami si pesakit, saya berubah sebak. “Ini Pakcik Saiful, suami makcik yang sakit tu,” suami memperkenalkan.

Di situ juga ada Kak Siti, pegawai pelancongan Malaysia dan suaminya, seorang pelajar Malaysia dan anak saudara Pakcik Saiful. Beberapa orang Korea sedang berbaris, menunggu giliran melawat keluarga mereka yang sakit. Hanya satu orang dibenarkan masuk ke Unit Kecemasan. “Umi masuklah dulu, abang jaga anak-anak,” kata suami. Pakcik Saiful membawa saya kepada seorang pegawai wad. Saya diberikan pas dan baju khas pelawat. 

Alllahuakbar. Tidak dapat saya bayangkan runtuhnya ego apabila melihat para pesakit yang terlantar nazak. Sebahagiannya tidak sedarkan diri termasuk pesakit yang terbujur di depan saya. Tertulis di katil namanya: Fatmawati Hamzah. Saya hanya mampu berdoa dan membaca al-Fatehah di telinga Makcik Fatmawati. Tubuhnya kelihatan bengkak ditusuk pelbagai ubat. Insafnya, begitu sekali Allah SWT bawa saya ke sini untuk muhasabah diri.

“Cukuplah abang doakan makcik dari jauh. Dia dalam keadaan tidak menutup aurat, tak manis kalau bukan ahli keluarga nak melihatnya dari dekat,” bisik saya kepada suami. Dia mengangguk. Kami berbual sebentar dengan Pakcik Saiful sebelum minta diri kerana anak-anak sudah ‘tidak terkawal’. Kami berjanji akan datang lagi esok. Melihat wajah Pakcik Saiful yang kesedihan, kami simpati. Tambahan beliau keseorangan, jauh dari keluarga di tanah air.

Malam itu, saya terus memikirkan Pakcik Saiful dan isterinya. Baharu kami tahu, mereka datang ke Korea untuk melancong dan meraikan anak tunggal mereka yang dapat masuk ke MRSM. Makcik Fatmawati adalah seorang doktor perubatan, beliau mempunyai klinik persendirian di Mentakab Pahang. Kliniknya terkenal di sana dengan nama Klinik Sulaiman.       

“Dia sihat ketika datang ke Korea, cuma beberapa hari sebelum balik dia rehat di bilik kerana tidak larat. Pada hari Pakcik Saiful bawanya ke hospital, hari itulah dia tidak sedarkan diri. Doktor kata ada masalah di otak,” cerita rakan yang membantu pasangan ini di Korea. Masya Allah, pasti Pakcik Saiful dan anaknya amat sedih.

Rancangan percutian yang tidak dijangka berakhir dengan ujian hebat. Bagaimana kalau saya berada di tempat salah-seorang daripada tiga beranak ini? Ya Allah, tak mampu saya bayangkan. Semoga Allah SWT memberi solusi terbaik dan menyembuhkan Makcik Fatmawati. 

Esok pagi, kami bersiap mahu ke hospital. Saya mengajak Nadiah yang menumpang tidur di rumah minggu ini. Kebetulan, hari ini dia bercuti dari kerjanya sebagai pengasuh anak rakan kami yang pulang ke Malaysia. Saya mahu Nadiah juga mendoakan Makcik Fatmawati yang sedang koma. Hanya ayat-ayat Allah SWT yang dapat memberi ketenangan ke jiwa pesakit. Waktu saya duduk dalam kereta, sebuah pesanan ringkas tiba: ‘Ummu, si pesakit sudah meninggal dunia’ mesej seorang rakan dari Kedutaan Malaysia. Allahuakbar! Kami terus bergerak ke hospital. Hati menjadi sayu. 

Suami memeluk Pakcik Saiful yang merah matanya. Dia membisik kata-kata sabar kepada lelaki berumur 50-an itu. “Pakcik nak bawa jenazah isteri balik ke Malaysia,” kata Pakcik Saiful. Seorang pegawai kedutaan dan rakan kami menguruskan prosedur membawa keluar jenazah Dr Fatmawati.

Saya memandang Nadiah dan dua rakan wanita yang baru sampai. “Pakcik nak bawa isterinya pulang, elok kita mandikan dulu jenazah dan solat sebelum terbang ke tanah air. Nadiah dan Ayla boleh mandikan?” Tanya saya. mereka angguk.

Tidak ada orang lain boleh diharapkan saat genting begini. Tiba-tiba Nadiah bersuara, “Saya pernah mandikan jenazah pesakit ketika menjadi jururawat di hospital dulu,” katanya. “Jadi, nadiah ajar kami nanti, kak Ummu dan kak Ayla akan ikut sahaja,” balas saya. 

Jenazah Dr Fatmawati dibawa ke masjid. Ayla bertanyakan pihak masjid tentang barag-barang mandian jenazah. Syukur, semuanya telah disediakan. “Ayla pernah mandikan jenazah sebelum ni?” Tanya saya. Dia menggeleng kepala. “Kak Ummu pun tak pernah, dulu bantu-bantu mandikan jenazah nenek sahaja,” kata saya. “Alhamdulillah ada Nadiah,” tambah saya lagi.

Di bilik mandi jenazah, Nadiah memberi arahan kepada kami secara profesional. Saat melihat tubuh jenazah Dr Fatmawati yang kaku, saya benar-benar insaf. Hari ini, kami bertiga di pilih Allah SWT memandikan tubuh yang sudah tidak bernyawa, yang suatu waktu, kami pula di tempat jenazah itu. Entah siapa Allah SWT datangkan untuk memandikan kami nanti? Allah ya Allah. Hati saya menangis. 

Kami bertiga memandikan jenazah dengan tertib. Mengikut arahan Nadiah. Pakcik Saiful setia memegang kepala isterinya. Bilik mandi jenazah kecil. Suhu waktu itu pula sangat dingin. Proses terakhir sebelum memakaikan pakaian putih, saya basuhkan anggota wudhuk jenazah, memegang tubuhnya yang kaku. Suatu saat, aku juga begini ya Allah, bisik hati. Nadiah memberi arahan cara mengkafankan mayat.  Kain-kain yang dipotong semuanya memerlukan ilmu dan latihan.

Allahuakbar, begitu sekali Allah swt mudahkan urusan arwah Dr Fatmawati dengan keberadaan Nadiah ‘tanpa sengaja’ di rumah saya hari itu. Apa amal baiknya sehingga mudah sahaja urusan menguruskan jenazah sebelum pulang ke Malaysia? soalan-soalan itu bermain di fikiran.

Saat semuanya selesai dan tinggal menutup muka jenazah, saya lihat wajah itu. Dr Fatmawati seolah-olah sedang tidur. Tenang dan tidak seperti orang yang sakit. Kami bertiga merasakan seperti memandikan orang yang tidur. Lalu setelah semuanya berselimut kain putih, jenazah di bawa keluar ke halaman masjid untuk disolatkan. Dalam suhu bawah 10 celcius, jenazah disolatkan oleh Jemaah Muslim pelbagai bangsa dan negara. Imam Abdul Rahman, orang Korea yang alim mengetuai solat. 

“Terima kasih semua, pakcik rasa syukur sangat dapat mandi dan solatkan jenazah arwah sebelum balik ke Malaysia. Yang itu paling penting,” kata Pakcik Saiful. Kami mengirimkan doa buatnya. Besar ujian ini; datang melancong dan meraikan anak, tetapi diakhiri kematian orang tersayang secara mengejut. 

Ya Allah, walaupun sudah sebulan lebih peristiwa itu, saya masih lagi terimbau. Peristiwa yang mengajar kami tentang hakikat hamba; semua yang kita miliki adalah milikNya, cukup masa akan dipulangkan. Saat semua dipulangkan, kita bukan lagi apa-apa walaupun ketika hidup kita seorang berilmu, berpangkat atau berharta. Apakah diriku mahu sombong lagi, sedangkan aku juga tidak tahu bila, bagaimana, di mana dan siapa yang akan menguruskan perjalanan akhirku? 

Allahuakbar.

Tetamu Rumah Hwarangdae

Tidak sampai sebulan lagi, 2017 akan menjengah. Masa menjadi puing-puing yang ditiup angin tambahan di musim sejuk, saat jarum jam berada di garis nombor lima, ia permulaan kepada waktu pagi, dan juga waktu malam.

Pukul lima petang adalah petanda rutin siang sudah tamat, bagi saya sendiri, apabila sahaja gelap, fikiran sudah melupakan laptop dan buku-buku sebentar, terus memikirkan anak-anak; menyiapkan makan malam, melayan dan menidurkan mereka seawal mungkin.

Tidak semua hal pada tahun ini dapat diingati dengan baik, namun yang sukar dilupakan adalah menerima kunjungan tetamu. Rumah comel kami dengan dua bilik tidur meriah dengan kedatangan tetamu jauh dan dekat. Bermula ibu mentua, adik, saudara-saudara dari Malaysia dan terbaharu, sahabat baik saya dan keluarganya.

Menerima tetamu perlukan persediaan fizikal dan wang agar tetamu berasa nyaman di rumah kita. Saya teringat abah yang begitu meraikan tetamunya; tidak membiarkan tetamu pulang dengan perut kosong. Saat tetamu di rumah kami, saya melupakan tesis dan buku-buku sebentar. Cuba memasak menu mengenyangkan mereka, kadang menu yang jarang kami sendiri makan; menu istimewa.

Tetamu yang datang bermalam di rumah biasanya mahu melawat Seoul dan kota sekitarnya. Hari minggu, kami peruntukkan masa membawa para tetamu ke wilayah Korea yang nyaman dari kesibukan. Saat ibu mentua berada hampir dua bulan di rumah kami, saban minggu kami membawanya berjalan-jalan antaranya ke Daejon, Kota Sejong dan Cheonan yang terletak di pusat Kota Korea. Ibu mentua sangat gembira, kali pertama dalam hidupnya melihat perbezaan alam dan cuaca ciptaan Allah SWT.

Cabaran

Di saat saya sedang menyiapkan tesis, hati berasa gusar apabila ada saudara dan sahabat yang mahu bertandang ke rumah. Lalu saya beristigfar dan teringat firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 77 yang bermaksud:

Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepadaNya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan solat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa.

Ayat ini menyebutkan berbuat baik kepada orang-orang musafir adalah sebahagian daripada agama Islam dan sangat dicintai Allah SWT. Saya berkata pada suami, “Allah SWT yang mendatangkan para tetamu ke rumah kita adalah kerana Dia mahu memudahkan urusan kita. Tetamu adalah urusanNya, pasti Dia juga membekalkan rezekiNya yang luas buat kita meraikan tetamu.”

Benar. Begitulah yang terjadi. Allah SWT memberi kemudahan kepada kami. Urusan tesis Phd saya juga berjalan baik walaupun saya menulisnya tidak seperti rakan-rakan Phd lain yang fokus dan terkurung di perpustakaan sahaja. Kadang saya diberi kefahaman tentang apa yang telah dibaca waktu memasak atau mengemas rumah.

Bahan-bahan yang diperlukan juga mudah diakses dan ‘bertemu’ secara tidak sengaja. Di saat proses penyeliaan, Profesor tidak banyak karenah, bersetuju dengan apa yang telah ditulis. “Teruskan menulis bab seterusnya,” katanya yang membuatkan saya bersyukur.

Tetamu datang dengan keberkatan. Melayani tetamu adalah sebahagian daripada iman. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “ Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sejuk Yang Mesra

“Ummu, rupanya status Kak Bah empat tahun lepas pada tarikh yang sama dengan hari ini telah dimakbulkan Allah. Di status FB tu, Kak Bah tulis selain Mekah dan Madinah, aku berimpian ke negara Korea. Masya Allah, ketika tulis tu Ummu belum datang Korea lagi dan duit pun tak ada lagi. Sungguhlah impian itu satu doa seperti yang Puan Roza dan Prof Kamil Ibrahim tulis,” kata sahabat kami yang menziarahi kami di Korea minggu lalu. Saya turut gembira. Ajaibnya, Allah SWT datangkan saya dan suami ke Korea untuk memenuhi impian dan doa sahabat kami itu, masya Allah.

Janji

Saya dan suami teringat janji kami ketika berada di rumah ‘bilik hotel’ tahun pertama kami di Korea. Saya berkata, “Jika Allah SWT berikan rumah lebih besar kepada kita, saya berjanji mahu meraikan tetamu sebaiknya.” Allahuakbar, sekarang Allah SWT menjentik hati hambaNya bertandang ke rumah kami, Dia mahu menguji kami. Ujian dengan penuh kasih sayangNya.

Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk melazimi kebaikan yang kami ucap di perkataan, menjadi perbuatan yang dilaksanakan hanya keranaMu. Semoga kelak, kami menjadi tetamuMu yang dibahagiakan di akhirat sana.

Amin.

Pengalaman

Pantasnya masa berlalu.

Kini, genap 6 semester saya belajar di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul. Di tahap sekarang saya umpama ‘wanita hamil trimester ketiga’. Hanya dua bab  tesis lagi sebelum boleh ‘meninggalkan bumi Korea’.

Allahuakbar!

Mengapa di tahap ini saya berasa semakin kosong  dan jahil dalam bidang yang ditekuni? Bahkan, perasaan takut menerpa, bagaimana saya dapat berhadapan dengan dunia penyelidikan akademik yang semakin laju?

Antara yang selalu saya sematkan dalam diri adalah kata-kata Bu Muslimah dalam Filem Laskar Pelangi. “Aku hanya mahu menjadi guru.” Ya, saya juga ingin menjadi guru dan sekarang proses menyediakan diri dengan ilmu. Guru yang akan berhadapan dengan generasi ‘serba pantas’ dan ‘cinta gajet’.

Kadangkala, saya mengingati pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar saya di bilik kuliah, yang mana satu akan saya ambil sebagai ikon? Terasa diri begitu kerdil untuk menjadi seperti mereka.

Pengalaman Mahal

Di sinilah mahalnya pengalaman-pengalaman saya di Korea; sesuatu yang orang lain belum mengalaminya. Belajar sastera Melayu di Seoul! Tatkala direzekikan saya menjadi guru nanti (insha Allah), pasti saya kongsikan dengan para mahasiswa, nilai ‘kesusahan’ dalam mencari ilmu. Allah SWT meletakkan sesuatu yang tepat kepada para hambaNya. Di awalnya kita berasa teruji, di hujungnya selalu indah jika dikaitkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Saya terus melangkah lagi dalam keadaan jemala fikir yang memberat. Kini fikiran selalu terawang antara kajian yang sedang ditulis dengan realiti di depan mata. Saat diri begitu letih, seharian di universiti dan pulang dengan tugasan rumahtangga yang menanti, saya beristigfar. Dia Yang Memberi balasan sebaiknya. Saya mohon kepadaNya agar terus diberi kekuatan melaksanakan amanah yang pelbagai: isteri, ibu dan pelajar.

“Lama lagikah kita tinggal di Korea?” Tanya anak sulung kami. Dalam usianya 5 tahun kini, petah dia memberikan soalan. Saya melihat ke dalam diri si anak. Dia juga dalam proses bersabar. Dikelilingi guru dan rakan-rakan yang bertutur Korea membuatkan dia bekerja keras. Ada perkara yang tidak dapat disuarakan. Kepada kami dia bercerita semahu hatinya. Sungguhlah, bahasa pertama kita adalah jiwa dan nurani kita, sebaliknya bahasa kedua dan ketiga lebih berupa komunikasi dan meluaskan fikiran.

Soalan ‘bila kita akan meninggalkan Korea’? mendebarkan saya. Ianya berkait dengan target pembelajaran Phd saya. Perancangannya akhir Ogos 2017, saya akan menerima surat senat dan terus pulang ke tanah air. Tetapi bagaimana jika tidak berlaku seperti dirancang? Allahuakbar! Hal ini membuatkan jiwa gelisah dan tidak betah diam. Di tengah malam terutamanya, saya masih diganggu perasaan aneh itu.

Perjalanan MenujuNya

Hanya kepada Allah SWT kami mengadu; dalam-dalam di sudut hati. Saya kenangkan kembali perjalanan awal kami di Korea yang secara ‘logiknya’ susah, tetapi tiada yang mustahil bagiNya untuk memudahkan sesiapapun. Kini, di perjalanan yang tinggal sedikit lagi, saya terus ditimpa pelbagai ‘rasa’ dan hanya Dia Yang Maha menyembuhkan. Perjalanan ilmu ini juga adalah perjalanan saya mencari Tuhan dalam pelbagai pertarungan luaran dan dalaman.

Teringat pesan seorang teman. Dalam proses menyiapkan tesis master dan Phdnya, ayat-ayat cintaNya menjadi pedoman. Dia pernah membacakan surah ini kepada saya:

Bukankah Kami yang telah melapangkan untuk dirimu; dadamu?serta Kami yang telah meringankan daripada dirimu; bebanmu. Yang memberatkan punggungmu, serta Kami yang telah memasyhurkan untuk dirimu, sebutanmu.Maka ketahuilah bahwa di setiap masalah pasti disertai jalan keluar, ketahuilah bahwa di setiap masalah disertai jalan keluar kemudian apabila engkau bertekad, maka berusahalah; dan kepada Tuhanmu, hendaknya kamu menaruh harapan.

(Surah Al-Insyirah 1-8)

Minggu lalu si teman mengirim berita, dia kini bergelar profesor madya di sebuah IPTA. Saya bukan menginginkan gelarannya, tetapi cukuplah saya mendapat semangatnya (yang didasarkan kepada al-Quran) dalam menjalani kehidupan. Perjalanan ilmu saya belum tamat, cita-cita saya  sekarang menamatkan perjalanan ini dengan baik. Ianya sebuah amanah dan tekad.

Saya merenung lagi: alangkah baiknya Allah SWT, dia mengirimkan saya ke bumi Korea bersama peneman: suami dan anak-anak. Dia letakkan saya di tengah manusia yang tidak beriman kepadaNya, tetapi memberi kekuatan untuk saya membaca al-Quran; mengaitkan dengan persekitaran.

Dia juga memberi kemudahan di lorong-lorong yang sukar sebagai tanda kekuasaanNya (agar kami tidak bergantung kepada makhluk). Di saat saya gelisah begini, Tuhan memberikan kekuatan dan cara untuk meluahkan resah; menulis. Di mana-manapun, Dia ada dengan kita semua, insha Allah.

 

Saat Seoul Menjadi Hijau

Mengenangkan saat-saat pertama kami tiba di Seoul, jiwa menjadi sebak yang kemudiannya, tanpa sedar, tidak mahu saya mengulanginya lagi. Ianya bukan seperti kenangan-kenangan ‘sukar’ tetapi indah dan manis pernah saya lalui ketika kanak-kanak dulu, ada banyak yang mahu saya ulanginya lagi tetapi yang ini; geleng kepala.

Juzuk-juzuk awal kami di Korea adalah juzuk pengajaran dan pengalaman. Kami datang dengan bekal tawakal yang membuahkan rasa seorang hamba. Sesekali terbit rasa lucu (pada diri sendiri) mengapa begitu ‘berani’ mahu merantau ke sini tanpa bekal bahasa dan ‘wang ringgit’ yang sewajarnya? Tetapi uniknya, ketika itu yang kami (saya dan suami) fikirkan adalah Tuhan ada, Tuhan yang melorongkan jalan dan Dia yang akan memberi kemudahan. Syukurlah, Allah SWT memudahkan segalanya sehingga kini.

Saya cuma tidak mahu mengulangi saat-saat meninggalkan suami dengan anak kecil yang menangis di pagi hari. Kemudian menunggu bas dalam cuaca sejuk mencengkam, bersama fikiran antara topik yang bakal dibincang pensyarah di kelas dengan anak kecil yang mahukan susu ibunya sendiri. Saya tidak sanggup lagi membayangkan wajah suami yang diam bertarung sabar apabila saya pulang agak lewat dek tugasan kuliah. Diamnya bukan marahkan saya tetapi memujuk hatinya yang gelisah kerana bayi kami terus meraung.  Ditambah ragam anak sulung yang gemar mengganggu adiknya.

Dalam sebuah rumah yang bernama bilik, di situlah dunia kami empat beranak. Saya terus menyusukan bayi sehingga dia tidur, kemudian baharulah dapat melakukan hal lain; solat, memasak, membasuh, melayan anak sulung dan jika fizikal masih kuat, saya menyiapkan kerja kursus. Acapnya, saya tidur dalam keletihan otak yang terus bekerja. Selama satu tahun setengah, rutin itu kami jalani dengan tabah. Saya dan suami saling berdiam dan sesekali bertengkar kecil, namun kemudian kami bermuhasabah. Konflik tidak dapat dielakkan dalam keadaan sulit begitu, dia cuba memahami saya, begitu juga saya terhadapnya. Cara fikirnya lebih tenang, saya pula berbeza. Kadangkala sebaliknya.

Sewaktu membawa anak-anak ke kedai, anak sulung kerap merengek mahukan permainan yang disukainya. Melihat harga yang ‘sangat mahal’, kami menggeleng kepala langsung memujuknya, “Kita beli yang lain ya, yang ni mahal sangat, umi tak ada duit lagi, bila ada duit kita beli ya.” Syukur, si kecil 4 tahun itu memahaminya. Allah SWT itu Maha Kaya. Tanpa meminta di mulut, Dia Maha Mengetahui apa yang terkandung dalam hati kami. Selalu sahaja nikmatNya muncul tak diduga. Misalnya, kami berhasrat untuk mengunjungi Gunung Seoraks, gunung nasional Korea Selatan yang terletak di utara. Perancangan Allah SWT sungguh luar biasa apabila rakan-rakan dari Malaysia menyewa MPV dan mengajak kami bersama mereka ke gunung terkenal itu. “Tak perlu bayar apa-apa,” kata mereka. Allahuakbar!

Di saat wang sudah kehabisan, Allah SWT menggerakkan hati Profesor Koh Young Hun memberi sedikit kerja tambahan untuk saya selesaikan dari rumah. Tidak perlu ke tempat lain dan tidak mengambil masa saya dengan suami dan anak-anak. Waktu yang paling ‘memalukan’ dan tidak ingin saya ulangi lagi (dengan izin Allah) adalah ketika saya dan suami mula berkonflik kecil. Semuanya gara-gara si sulung yang ligat. Waktu saya ke kelas, si sulung gemar mengganggu adiknya membuatkan rumah bingit dengan tangisan. Suami yang sabar mula keletihan. Saya pulang dengan wajah suami yang tidak ceria. Anak sulung sering menjadi tempat saya melepaskan tekanan dek aktifnya yang luar biasa.

Saya lalu bercakap pada diri. Sesuatu perlu dilakukan dan kemudiannya, dengan tebal muka, saya menelefon penyelia. “Prof, adakah kerja tambahan untuk saya? Saya mahu masukkan anak ke tadika dan yurannya agak mahal.” Setelah telefon ditutup, saya pejam mata. Itulah pengorbanan seorang ibu kepada anaknya. Dan pengorbanan isteri untuk suami yang sering berkorban. Ya Allah, semoga ianya tidak berlaku lagi.

Musim bergantian, Ogos 2016 menyaksikan pohon-pohon menghijau di seluruh Korea. Bila Oktober menjelang, pohon-pohon menjadi merah, kuning, oren, ungu dan pelbagai lagi. Allahuakbar! Sebaliknya pada hujung Disember, dedaunan meninggalkan batang. Terpacak tanpa mahu ditemani sesiapun hatta burung atau kumbang. Gara-gara suhunya yang membeku. Begitulah Allah SWT mahu menceritakan kepada manusia bahawa kehidupan tidak selamanya indah, tidak juga selamanya susah. Ianya bergantian. Kerana destinasi syurga bukan di dunia.

 “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” (Al Fussilat:53)

Saat Seoul menjadi hijau, saya terus mencari ibrah permusafiran yang dapat mengukuh keimanan pada Allah SWT.

Ramadan Dua Negara

Tahun ini,  kami menyambut Ramadan ketiga di Seoul. Tiada angin kemeriahannya di kaca televisyen mahupun radio melainkan, kami sendirilah yang ‘mendatangkan’ angin itu. Saya mengajak suami mengemas rumah seolah-olah ada ‘tetamu’ yang akan bertandang. Di laptop, saya pasangkan nasyid-nasyid bertemakan Ramadan. Secara tidak langsung, jiwa dan fikiran kami terbawa ke perkampungan Ramadan yang mulia.

Rutin dijalani seperti biasa. Kepada ‘perut’ saya memberitahu yang ‘ianya’ tidak perlu bekerja selama 17 jam walaupun anggota fizikal seperti kaki, tangan, dan tubuh akan dipaksakan berjalan kaki, menaiki subway dan bas serta memanjat bangunan universiti tanpa ‘makan di siang hari.’ Luar biasa! Keberkahan Ramadan membuatkan saya berasa lebih semangat, lebih sihat dan lebih ceria dengan rutin rumahtangga, pengajian Phd dan pengajaran universiti.

Entah mengapa, kedatangan Ramadan juga sering membawa fikiran kepada kenangan-kenangan dulu terutama pada gemulah Tok Piah; insan yang sangat sibuk menyediakan juadah untuk anak cucunya ketika sihat. Saya begitu rindukan Tokwan Haji Tahir yang berada jauh di utara Malaysia. Setiap Ramadan, sekurang-kurangnya dia mengkhatami al-Quran sebanyak tiga kali. Bayang emak dan abah bermain-main di mata, bagaimanakah kesihatan mereka di usia menjejak 60-an kini?

Hari pertama Ramadan, suami membawa saya dan anak-anak berbuka di Masjid Itaewon. Dalam kereta, nasyid tentang bulan Ramadan menyusup ke telinga dan hati kami. Ajaibnya, kami berdua tidak terbayang tentang bazar Ramadan, cuma sekadar makanan yang dapat menghilangkan rasa lapar dan beribadah di masjid. Saya hanya keletihan melayani keletah anak-anak yang aktif. Darda’ yang amat peramah, Dawud yang tidak mahu kalah dengan abangnya.

Tiba-tiba ingatan sekilas pada abah ketika saya berumur 9 tahun. Waktu itu bulan puasa, saya dan adik-adik sudah lapar dan tidak sabar menunggu waktu iftar. Jam menunjukkan pukul 6 petang, terasa amat perlahan mendekati jam 7. Abah lalu mengajak saya dan adik-adik masuk ke bilik, dia kemudian membacakan kami buku cerita. Dia melekakan kami seketika agar tidak terfokus kepada makanan. Sehingga saat berbuka, baharulah kami sedar yang kami sedang lapar!

Masjid Itaewon dipenuhi Muslim pelbagai bangsa dan negara. Majoritinya daripada India, Pakistan, Bangladesh, Afrika, Turki, Arab Saudi dan Indonesia. Saya akan berasa takjub jika melihat Muslim Inggeris Amerika, Eropah (terutama Jerman) atau Korea datang iftar di masjid. Terasa begitu universalnya Islam. Juadah berbuka lazimnya adalah tamar, buah tembikai dan pisang, air kotak susu dan air mineral.

Ringkas dan signifikan sebagai falsafah ‘berbuka’ yang merujuk kepada ‘permulaan makan’. Perut tidak ‘dihanyutkan’ dengan rencam makanan sehingga liat menunaikan solat Jemaah. Saya melihat suasana pelbagai bangsa ini penuh pengajaran. Dari sisi positifnya, benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 bahawa Dia menjadikan manusia berbilang bangsa untuk saling berkenalan; ada warna kulit putih, kuning langsat, coklat dan hitam.

Tetapi Allah swt hanya memandang kepada ketaqwaan dalam diri setiap manusia. Dari sisi negatif, saya menilai kelakuan setiap bangsa ini. Orang Afrika misalnya lebih ‘keras dan kasar’. Tetapi benarkah nilaian saya bahawa semua orang Afrika begitu? Cepat saya padamkan ‘umpatan spontan’ ini dengan istigfar.

Anak-anak kecil berlari, ada yang menangis dan menarik pakaian solat ibunya. Suasana sungguh kacau, mengganggu ketenangan di bilik solat wanita. Hari berikutnya, saya arahkan Darda’ membawa mainan binatangnya. “Nanti main dengan kawan-kawan di masjid ya,” kata saya dengan niat permainan itu dapat melekakan anak-anak daripada mengganggu ibu-ibu mereka. Ternyata, hal itu sedikit membantu. Lucu sekali melihat anak-anak pelbagai bangsa: Pakistan, India, Arab, Turki dan Asia Tenggara tetapi mereka berkomunikasi dalam bahasa Korea!

Ramadan di Korea kami lanjutkan di Malaysia setelah cuti semester bermula. Sudah kami sematkan di hati, setiap cuti semester akan pulang menziarahi datuk dan ibubapa kami di Kedah dan Pahang. Syukur Allah SWT mengabulkan doa kami di perantauan.

Cabaran Kenikmatan

Di celah kemeriahan suasana Ramadan versi Malaysia terutama di masjid,  televisyen, radio, kain rentang dan bazaar, hati mulai diterbak ujian. Terlalu banyak difikirkan sehingga mengganggu fokus Ramadan seperti di Korea. Jadi, mulalah saya mencari warna tema baju raya, biskut raya yang lazat, duit raya untuk anak-anak saudara malah makanan apa yang tidak kami temui di Korea! Allahuakbar. Malu kepada diri sendiri, malu kerana seolah telah menipu Allah swt.

Di pandangan mata, seolah-olah suasana Ramadan di Malaysia memudahkan diri untuk beribadah: masjid di mana-mana, rancangan agama di televisyen dan radio, program ihya’ Ramadan dan iftar percuma. Dan di Korea lebih sulit untuk berpuasa: negara non Muslim, masjid hanya satu di Seoul, tiada bazar dan program-program ihya’ Ramadan terutama di tv dan radio tempatan. Namun, telahan fizikal ternyata salah.

Dari situ saya mempelajari mengapa para sahabat Rasulullah SAW mereka begitu teguh keimanan dengan pelbagai ujian dan sedikit sekali kemudahan, dan mengapa di kala Islam tersebar luas, umat Islam jatuh dalam kemungkaran tatkala kemudahan untuk beribadah semudah memetik jari? Itulah cabaran kenikmatan: cabaran hawa nafsu!

Akhirnya, ke mana kita menghalakan matlamat Ramadan kita walaupun berada di negara yang berbeza? Muhasabahlah wahai diriku, matlamatnya tetap satu; meraih redho Allah SWT. Ujian dan nikmat bukan alasan.

Nikmat Sakit di Korea

Apabila bulan Mei tiba, kami menyaksikan cuaca mulai terang seawal 5 pagi. Subuh masuk pada jam 3.30 pagi. Jam 9 pagi, mataharinya seolah-olah menyinari alam sudah lama, terasa lambat dan rugi jika seseorang baru memulakan kehidupannya waktu itu.

Pagi yang awal, saya dibangunkan dengan deringan loceng khas sebelum Subuh. Perut terasa senak kerana sebelum tidur, saya mengalami masalah membuang air kecil. Hanya sedikit air yang keluar.

Di bilik air, masya Allah, kencing tidak mahu keluar. Saya menekan-nekan perut dan berdehem kuat, gagal! Hampir 30 minit, saya gagal kencing. Memikirkan waktu Subuh yang sudah masuk, saya ambil wudhuk dan keluar dari tandas dalam keadaan tidak selesa dan sakit.

Usai Subuh, saya buru-buru lagi ke tandas, rasa mahu kencing membuak-buak. Namun, masya Allah, gagal lagi! Saya menangis, sakit dan takut bersatu. Inilah kali pertama, ingin kencing sehingga menangis.

Apakah maksud ujian Allah swt ini? Dada berombak gelisah, saya keluar dari tandas dan memanggil suami. Dia menggosok belakang, membacakan selawat Syifa’, saya semakin mahu membuang air. Saya masuk ke tandas, malangnya gagal lagi.

Pagi itu, suasana menjadi suram. Anak-anak bangun dan tidak meragam, seakan memahami keadaan saya yang bertarung antara sakit, kecewa (kerana gagal membuang air) dan takut. Suami memandikan anak-anak dan menyiapkan sarapan. Saya berusaha lagi untuk membuang air dengan pelbagai cara. Allahuakbar! Baharulah saya tahu, membuang air kecil adalah satu nikmat yang sangat besar.

“Abang maafkan saya jika saya ada buat salah dengan abang,”kata saya kepada suami sambil mengalirkan air mata. Ujian kesakitan ini barangkali berkait dengan dosa-dosa saya tanpa sedar. “Ya, abang maafkan. Abang pun minta maaf juga. Jomlah kita ke hospital sekarang,” kata suami, risau melihat keadaan saya. “Hantar Darda’ ke sekolah dulu,” kata saya. Anak-anak melihat saya dengan rasa simpati.

Saya tidak tahan lagi, pundi kencing terasa penuh dan tersumbat. Saya capai tudung dan keluar rumah. Saya berjalan perlahan-lahan, mengelilingi kawasan rumah sambil beristigfar dan membaca doa Nabi Yunus AS “LA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKAN INNI KUNTU MINAZ ZHOLIMIN” bermaksud (Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim.)

Ketika rasa membuang air kecil menolak, saya berjalan laju pulang ke rumah, langsung masuk ke tandas. Alhamdulillah, sedikir air keluar tapi masih sukar. Hari ini saya perlu mengajar dua kelas di universiti, fikiran runsing mengenangkan amanah.

“Mari kita hantar Darda’ dan terus ke hospital,” kata suami menghidupkan enjin kereta. Anak-anak diangkat ke dalam kereta, saya akur. Tidak tahan menanggung pedih dan sakit. Masya Allah, ketika punggung terenap di kusyen kereta, sakit di bahagian pundi bukan kepalang. Saya jauhkan Dawud dari ribaan. “Maaf ye Dawud, ummi tak boleh riba Dawud, sakit sangat,” kata saya kepada si kecil.

Kami ke tadika Darda’yang tidak jauh dari rumah. Saya hanya memandang suami mendukung anakanda sambil bibir terus beristigfar. Jika ada air yang mahu keluar, saya akan terus membuang di situ, tidak dapat bertahan lagi. Pakaian saya dalam keadaan najis dan meminta suami membasuh keretanya nanti. Begitu sekali apabila Allah Swt menarik salah-satu nikmatnya: manusia terasa begitu lemah dan hina.

Hikmah Ujian

Sementara menunggu giliran bertemu doktor, saya berulang-alik ke tandas. Rasa mahu membuang air kecil tidak surut, namun masih sakit dan gagal. Saya tidak boleh duduk. Wajah tidak mampu senyum. Sebelum nama dipanggil, sempat saya menelefon Profesor Koh Young Hun di universiti, menyatakan keadaan saya yang menghalang hadir ke kelas. “Umi..saya kaget. Jaga diri,” katanya, bimbang.

Doktor meniliti pemakanan saya sebelum sakit. Dia kemudian membuat pemeriksaan badan sebelum menyuruh jururawat  memakaikan tiub polybag untuk mengeluarkan air kencing. Subhanallah, terasa nikmatnya apabila air kencing mengalir ke dalam uncang beg itu.

“Anda tidak dibenarkan ke mana-mana selama tiga hari. Pakai polybag ini dan makan ubat, nanti jumpa saya selepas tiga hari,” pesan doktor setelah mengesyaki kejadian ini disebabkan oleh pemakanan sampingan. Saya berjalan keluar bersama suami dan anak ke tempat parkir, terasa baru lepas melakukan pembedahan dengan tangan memegang tiub dan polybag.

“Mak, Ummu minta maaf pada mak jika ada salah dan silap sepanjang mak tinggal dengan kami di sini,” kata saya melalui telefon. Ibu mentua membalas, “Mak pun samalah. Insha Allah, nanti sembuh,” katanya sambil berpesan beberapa petua kesihatan.

Saya juga menelefon emak dan abah di Malaysia, memohon doa mereka. Tiga hari saya tidak dapat ke kelas, hati sedikit sedih mengingatkan mahasiswa-mahasiswa di kampus. “Ibu Ummi..jaga kesihatan!” bertalu mesej mereka di telefon bimbit.

Suami membuat kerja rumah yang biasa saya lakukan setiap hari: memasak, mengemas, termasuk menguruskan semua hal anak-anak. Saya melihatnya dengan penuh rasa syukur kepada Allah SWT. Di saat ujian, Dia mengurniakan suami untuk meringankan beban saya. “Sayang rehatlah, jangan buat kerja apa-apa,” kata suami.

Tiga hari saya bagaikan dalam pantang, hanya berehat dan membuat kerja-kerja ringan. Saya gagahkan diri menyiapkan bahagian tesis dan artikel jurnal. Waktu yang sepatutnya dipenuhi dengan kelas, saya manfaatkan untuk menulis. Allah ya Allah, syukur kepadaMu. Setiap musibah pasti ada hikmah yang besar. Saya menangis ketika solat, perkara yang sukar sebelum sakit.

“Abang, syukurlah Allah bagi sakit ketika kita sudah ada insuran kesihatan. Bayangkan jika sakit tanpa insuran, aduh, bertambah-tambah sakit dengan bil hospital,” kata saya kepada suami. Bil hospital amat mahal di Korea. Teman saya pernah membayar 500 ribu won (RM1500) hanya untuk mendapatkan rawatan demam dan gastrik satu hari.

Untuk memeriksa bayi dalam kandungan (sebelum melahirkan Dawud), saya membayar 120k won (RM400) sekali pemeriksaan. Sehingga kami memanjatkan doa agar sentiasa sihat di perantauan. Kali ini, bukan hanya doa diberikan kesihatan, malah setiap kali membuang air kecil, saya mengucapkan Alhamdulillah dan bersyukur kepadaNya. Allahuakhbar!

Begitulah kita, hanya dengan ujian kesusahan dan kesakitan, kita menghampiri Tuhan ‘lebih laju’ berbanding waktu senang, lapang dan sihat. KepadaMu ku bersyukur ya Allah.

Setenang Sungai Korea Selatan

“Dan Dia mengukuhkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”- Terjemahan an-Nahl ayat 15.

Setiap kali saya menaiki bas untuk ke universiti, pasti akan melalui sungai yang membentengi Pekan Seokgye dan Nowon, hampir di Timur Seoul. Sungai ini antara puluhan sungai kecil yang berarus ke Sungai Han iaitu sungai utama di Seoul. Dari  cermin tingkap bas, saya menatap sungai yang mengalir tenang. Airnya tidak begitu dalam, ternampak bunga-bunga kecil yang melata di kawasan bertanah tepi sungai.

Pandangan dari kejauhan kemudiannya menjadi satu keinginan untuk mendekat. Sewaktu pertukaran bas lain di Stesen Seokgye, saya mula memerhatikan dari balik benteng yang di bawahnya sungai kecil mengalir. Sungguh, tiada sampah dan sisa pencemaran. Yang ada hanyalah kumpulan itik dan beburung riang mengusik air. Masya Allah, saya menjadi terpesona.

Begitupun ketika mengitari Sungai Han yang sudah ditakluk tamadun pada kurun 18 sebelum Masihi, sungainya seolah-olah tidak pernah disentuh perubahan masa. Saya mula nakal membandingkan dengan sungai-sungai di Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara sungai, justerulah nama-nama negerinya (seperti Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak) diambil daripada nama sungai.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita banyak yang tercemar. Bau di Sungai Klang sahaja cukup membuatkan itik menjauhinya, apatah lagi manusia. Jika begitulah keadaannya, bagaimanalah manusia boleh mendapat petunjuk (hidayah) daripada kebesaran Allah SWT yang menciptakan sungai dan semua makhluk?

Semakin Tunduk

“Orang Korea majoritinya tidak beragama, tetapi adab mereka kepada alam termasuk sungai menyebabkan kita malu,” saya bercakap kepada diri sendiri. Pentingnya sungai kepada bangsa Korea dapat dilihat melalui usaha kerajaannya yang silih berganti.

Dari tahun 2009, Kerajaan Korea telah membelanjakan kira-kira 18 billion US Dolar untuk menjaga alam semula jadi terutama sungai yang menjadi penghubung antara daerah dan kota. Usaha ini turut melibatkan pemindahan kilang dan lokasi yang boleh mencemarkan sungai. Bahkan, menurut pemerintah Korea, mereka membersihkan sungai seolah seperti membersihkan ateri seorang pesakit arteriosclerosis; perlu berhati-hati dan serius!

Allahuakbar! Di manakah pemimpin-pemimpin negara Islam yang mahu ke hadapan bercakap tentang pembersihan sungai dan alam semula jadi, tanpa niat politik atau menaikkan diri sendiri? Dan persoalan lain, mengapakah masyarakat di negara majoriti umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerjasama dengan pemimpin mereka untuk menjaga sungai?

Saya melirik lelaki dan wanita Korea berumur separuh baya, berjalan kaki di tepi sungai. Di sisi mereka, anak anjing berlari terkedek-kedek. Sepasang suami isteri dan dua anak pula mengayuh basikal, girang dan segar dek puputan angin. Bunga ilalang menari-nari sepanjang sisir sungai. Dua pasukan bola jaring sedang berentap di gelanggang yang juga terletak tebing sungai. Rumah-rumah tinggi yang tegap, balkoninya mengadap ke Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeosang: empat sungai yang memartabatkan bangsa Korea.

Semuanya seolah-olah ingin melihat ke sungai, ketika melakukan apa-apa sahaja. Seperti lirik Yi Byeong-yeon, “Saat cahaya matahari pagi menari di Sungai Han, aku dapat menyaksikan dengan samar kapal-kapal nelayan di antara puncak gunung.” Kerana sungai seluruh Korea yang indah, semuanya mahu mendekat dan menatap air yang terus mengalir.

Pesan Imam Syafie

Sungai amat penting kepada perantau seperti saya. Di sungai, saya teringatkan diri sendiri; apakah mahu mengambil iktibar resam air sungai? Kata Imam Syafie, “Jadilah seperti air sungai yang mengalir, bukan yang bertakung kerana air yang mengalir itu memberi manfaat kepada manusia. Manakala air yang bertakung cepat busuk dan mendatangkan mudarat.”

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak berkisah tentang syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Keindahan sungai-sungai di syurga pasti tidak terbayang oleh akal fikiran. Namun, sebagai motivasi kita dapat mengambil ‘semangat’ mahu ke syurga dengan melihat ‘bunga-bunga’ kisahan Allah SWT yang ada di dunia. Di waktu malam, saat kami berpeluang mengitari sisir Sungai Han yang dipercik cahaya lampu-lampu seluruh Kota Seoul, lalu hatipun berbisik, “Ya Allah, bagaimanalah sungai-sungai di syurga nanti, memandang sungai di hadapanku ini sahaja amat indah? Allahuakbar!”

Lalu, saya menyimpul iktibar. Sungai dapat menjembatani manusia kepada hidayahNya. Seperti ayatNya dalam Surah an-Nahl ayat 15 di atas. Kejadian Allah SWT secara fitrahnya sangat indah, cuma tangan-tangan manusialah yang menghancurkan keindahan itu. Di setiap sisi ciptaanNya adalah untuk manusia berfikir.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita (dan negara majoriti umat Islam) telah dirosakkan manusianya sehingga menyebabkan ramai manusia jauh (dek sungai yang kotor) daripada memikirkan kebesaran Allah SWT.

Tetapi sungai-sungai di Seoul ini menyebabkan kami berasa kerdil dan tunduk padaNya.

Allah ya Allah.

DUA SISI

Makanan pertama masuk ke perut kami sejurus tiba di Seoul adalah kebab Turki. Profesor Dr Lim Kim Hui yang sudah empat tahun menjadi Profesor Pengajian Melayu di Hankuk University of Foreign Studies muncul di rumah ‘bilik’ kami dengan senyum mesra.

Dia menawarkan diri untuk mengajar kami cara menaiki subway. Tempat pertama yang ditunjukkan adalah Itaewon dan masjid. Di situlah beliau membelikan kami kebab Turki sebagai tanda ‘selamat menjadi penghuni Kota Seoul.’

Setelah itu, Turki antara kalimah popular yang selalu muncul di bibir saya dan suami, gara-gara ‘kebab dan rotinya.’

Sisi Mulia Turki

Membaca fakta perkembangan Islam di Korea abad ke 20, kita akan mengagumi usaha negara Turki. Ketika meletusnya Perang Korea pada 1950 yang menyebabkan negara itu terpecah dua, Turki adalah salah-satu negara yang ditugaskan United Nation (UN) untuk menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Korea Selatan.

Rupanya, kemasukan tentera Turki yang beragama Islam ke Korea adalah ‘pintu awal’ kepesatan agama Tauhid di negara soju dan kimci ini. Meneladani hijrah Rasulullah SAW, kerajaan Turki membiayai penubuhan masjid pertama di Korea iaitu Seoul Central Mosque tatkala tenteranya berjumlah lebih 4500 orang di Korea. Bukan itu sahaja, tamat Perang Korea, sebahagian tenteranya memilih tinggal di sini demi misi dakwah.

Allahuakbar! Saya berasa kagum dengan bangsa Turki daripada aspek ini. Mereka tidak putus asa dan berhenti sekerat jalan. Setelah masjid dibina, mereka mengenalkan Islam kepada penduduk tempatan termasuklah mewujudkan ekonomi Islam. Hampir 66 tahun usaha dakwah Turki di Korea, kita dapat melihat organisasi-organisasi sosial dan ekonomi Islam Korea banyak ditaja Kerajaan Turki.

Bangsanya mengusahakan produk makanan halal di merata ceruk Korea. Orang-orang Korea juga mempelajari budaya dan Bahasa Turki terutama selepas penubuhan Jabatan Bahasa Turki di Hankuk University of Foreign Studies. Mempelajari tamadun Turki bermakna mempelajari juga tamadun Islam Bani Uthmaniyyah.

Sisi ‘Tidak Sihat’

“Cik, bolehkah kami menemubual anda berkaitan Islam di Korea?” tanya seorang lelaki Korea ketika saya selesai solat di bilik pelajar Antarabangsa. Saya mengangguk dan menyertai perbincangan si lelaki dan rakan-rakannya.

“Saya pensyarah di sini, bahagian politik Asia,” kata si lelaki memperkenalkan diri. Kami berinteraksi dalam Bahasa Inggeris.

Setelah saya menceritakan latar-belakang diri, mereka mula ‘menembak’ soalan ‘kencang’ kepada saya.

“Anda selalu menunaikan solat di Masjid Itaewon?” tanya mereka. Saya menjawab sekurangnya sekali atau dua kali sebulan, tetapi suami saya ke masjid setiap minggu.

“Anda pernah menyertai aktiviti di masjid yang berunsurkan ‘ekstrim’?” tanya mereka. Saya mulai geram dan mengawal emosi. Saya terangkan bahawa apa sahaja aktiviti di masjid adalah bersifat kasih-sayang dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Menyuruh para penganut Islam menyebarkan cintaNya kepada seluruh manusia, bukan membunuh dan mencederakan orang lain hatta orang bukan Islam.

“Cik, pernahkah anda diganggu lelaki Muslim ketika anda ke masjid? Kami mendapat tahu ada wanita Muslim yang cuba disentuh dan diusik para pemuda Muslim di Itaewon,” kata si pensyarah ini. Saya menggeleng kepala. Sejujurnya, saya tidak pernah mengalami situasi itu.

Kemudian, saya ditanyakan soalan-soalan yang majoritinya mahu dikaitkan dengan keganasan IS. Perbincangan petang itu saya akhiri dengan persoalan lain buat kumpulan ‘prihatin’ ini.

“Jihad dalam Islam itu luas. Bukan seperti yang anda fahami sebaik membacanya dari sumber yang dikaitkan dengan IS. Jihad utama dalam Islam adalah melawan hawa nafsu sendiri untuk menjadi manusia yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Menjadi orang yang terbaik dalam setiap lapangan terutama ilmu pengetahuan serta memberi manfaat pula kepada manusia lain. Manakala jihad perang itu dianjurkan setelah hak seorang Muslim itu dicabuli dan dirampas.

Anda lihat bagaimana umat Islam dijajah dan dizalimi di seluruh dunia terutama di Palestin? Mereka perlu mempertahankan nyawa dan tanah air mereka. Mereka perlu mengangkat senjata!” Mereka mengangguk; entah setuju atau tidak.

Tiba-tiba, terbit di mata saya beberapa sosok lelaki Turki yang saya jumpa di Itaewon. Gaya mereka tidak mencerminkan akhlak Islam. Mereka berpacaran bebas dengan wanita Korea, meninggalkan solat Jemaah di masjid, mengganggu wanita-wanita yang lalu di depan kedai mereka dengan ‘senyum dan mata menggoda.’ Malah, saya pernah melihat modennya seorang gadis Turki; lebih moden dari wanita Inggeris.

Sungguh ironi dengan sejarah  Islam yang dimulai bangsa mereka sendiri di Korea. Kerana dua sisi inilah: baik dan buruk menyebabkan orang bukan Islam khususnya orang Korea, menjadi keliru tentang Islam yang sebenar.

Ya Allah, ampunilah dosa kami semua. Berilah kami kekuatan untuk menjadi duta agamaMu di manapun kami berada.

Sunyi Seorang Bisu di Korea

Hampir empat bulan saya menjalani rutin yang hampir sama: keluar dari rumah 8.30 pagi, mengejar tren bersama ratusan pekerja Korea, menunggu bas dalam rintik hujan pagi (kadangkala salji) dan berlari-lari ke kelas. Pulang ke rumah juga begitu, bezanya bumi sudah bertukar gelap dan alam lebih dingin. Jauh di sudut hati, perasaan resah berkocak. Hanya waktu malam saya dapat bersama suami dan anak-anak. Tatkala menatap ayat-ayat cintaNYA, hati kembali bersemangat, disuntik motivasi daripada Ilahi.

“Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah suka golongan yang bertawakal.” (Surah Ali-Imron: 159)

Hidup adalah perjuangan. Hidup bukanlah bersenang-lenang. Tempat paling nyaman untuk beristirahat adalah di akhirat. Di syurga!

Itulah motivasi yang menerbitkan senyuman dan rasa ceria dalam diri saya. Sekalipun bertubi-tubi ujian dunia hadir (terutama ujian masa dan pengajian), saya tetap positif bahawa Allah SWT masih tidak menutup pintu taubat. Lantas terus beristighfar dan berdoa agar rentak seorang Muslim lebih baik dari semalam.

“Peluklah Agama Dia!”

Dalam kelas, profesor kami dan dua rakan Korea sering ‘mengumpat’ tentang isu-semasa yang berlaku di Korea. Dari isu presiden mereka sehinggalah gaya artis k-Pop wanita Korea. “Sangat menjelikkan dan memalukan Korea,” kata mereka merujuk artis-artis K-Pop wanita.

Saya jadi terkejut. “Saya fikir semua orang Korea bangga dengan K-pop mereka, dek K-Pop seluruh dunia mengenali Korea,” balas saya. “Tidak..tidak..kami tidak suka,” balas profesor dan dua rakan. “Artis K-Pop wanita tak ubah seperti simbol seks. Sangat menakutkan. Ianya bukan budaya Korea,” kata rakan sekelas dipersetujui profesor.

Saya mengangguk faham, rupanya bukan semua orang Korea bersetuju dengan budaya hedonism K-Pop. Namun, kerana mereka ‘tidak beriman dengan Tuhan’, perasaan jelek tidak dikaitkan dengan agama. Hanya fitrah semata-mata.

Di hari yang lain, kelas kami bermula dengan suasana tidak ceria. Rakan sekelas masuk sambil mengadukan tekanan perasaannya. Profesor memberi kata-kata semangat dengan diakhiri satu gurauan, “Kamu peluklah agama Ummi. Cuba lihat dia, dia selalu tenang. Dia tenang kerana dia ada agama!”

Rakan saya itu ketawa. Saya pula mengucap ‘Masya Allah’ dalam hati. Begitu sekali ‘cara orang Korea ‘Atheis’ bergurau tentang agama. Semoga Allah SWT memberi mereka hidayahNya.

Hadiah Tafsir al-Quran Korea

Saat agama Islam menjadi topik perbincangan antara saya dengan orang Korea, hati saya berdebar. Betapa kerdilnya lidah ini menyusun ayat dan hujah.

“Mengapa wanita Islam perlu memakai tudung?” tanya seorang pelajar Korea.

“Allah SWT memerintahkan wanita agar menutup aurat, rambut juga termasuk aurat yang perlu ditutup.”

“Ya saya tahu itu perintah agama, tetapi mengapa perlu tutup rambut?” katanya lagi, mahukan jawapan logik. Lalu saya kaitkan dengan faktor keselamatan seorang wanita yang diciptakan Tuhan  sebagai makhluk yang cantik. Apa yang Tuhan gariskan pasti ada kebaikannya.

“Kami tidak dapat menerima hujahan dari al-Quran. Ramai rakan Muslim memberikan saya dalil dari al-Quran tetapi saya tolak,” kata seorang pelajar yang lain. Hari itu dia bertanyakan tentang logiknya Hukum Hudud dilaksanakan di negara-negara Islam.

Saya bertanya semula kepadanya, “Anda tahu apa hukuman untuk pengedar dadah atau membunuh orang di Malaysia dan Indonesia? Hukum gantung dan tembak? Itu tidak zalim? Itu undang-undang Barat bukan?” Dia mengangguk.

“Mengapa anda tidak mengatakan ianya zalim? Kerana anda berasa hukuman itu cocok dengan jenayah yang dilakukan orang itukan?” Dia mengangguk.

“Anda fikirlah. Hukum Hudud juga adalah bentuk hukuman jenayah. Bezanya, ianya dimaktubkan oleh Allah Swt, Tuhan Semesta alam. Hukuman ini tidak ada kena mengena dengan orang yang baik, dan orang yang tidak melakukan kesalahan.

Misalnya, jika harta saya dirompak penjahat, apakah saya perlu takut dengan hukum Hudud? Jawapannya tidak. Bahkan, saya perlukan hukum Hudud untuk mengembalikan semula hak saya. Jika kamu berada dalam situasi mangsa jenayah, kamu pasti bersetuju dengan Hukum Hudud yang jauh lebih selektif dan manusiawi berbanding undang-undang barat,” terang saya.

Pelajar saya itu  mengangguk. Di hari yang lain dia masih merasakan Islam tidak terbuka kepada sesetengah pihak. Lalu isu seperti poligami, hukuman kepada peminum arak dan penzina dipersoalkan.

Saya berkata kepadanya, “Anda jangan lupa memikirkan kesan apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT. Berapa ramai bayi tidak berdosa dibuang dan dibunuh akibat zina? Berapa ramai isteri-isteri menjadi mangsa keganasan suami yang mabuk? Anda juga perlu tahu, poligami bukan suruhan tetapi pilihan. Jika seorang wanita itu sakit dan tidak dapat memberi suaminya anak, lebih baik baginya jika suaminya berkahwin dengan wanita lain berbanding membiarkan suami berfoya dengan pelacur.

Anda harus berfikir dengan cara seorang Muslim, kerana kami tidak bertuhankan akal. Kami bertuhankan Allah SWT yang menurunkan al-Quran melalui Nabi Muhammad SAW. Nah, anda harus membaca dan mengkaji al-Quran dahulu,” kata saya.

Pelajar itu senyum. Saya juga menghubungkannya dengan seorang pensyarah undang-undang Islam di UKM agar dia boleh berdebat lebih akademik di e-mel. Di akhir semester, saya menghadiahkan pelajar itu tafsir al-Quran dalam bahasa Korea. Saya berdoa agar hidayah Allah SWT ada untuknya.

Sunyi Seorang Bisu

Dalam tren yang menjadi kenderaan utama saya di Korea, selalu saya perhatikan wajah-wajah mereka. Hidup mereka tahu bahawa Tuhan itu ada. Tetapi bagi mereka, Tuhan amat jauh dan tidak ada kena mengena dengan urusan hidup mereka. Mereka adalah orang yang menjaga masa, mereka suka membantu orang lain, menjaga kebersihan dan bersungguh dalam kerja. Semua itu adalah ajaran Islam. Tetapi mereka belum pernah mendengar bahawa Allah SWT adalah Pencipta dan Tuhan sekalian alam.

Ketika itulah hati saya berbisik, “Ya Allah, datangkan  aku seorang rakan seperjuangan seperti Nabi Harun yang membantu Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan Bani Israel. Datangkanlah ya Allah. Aku ingin menyampaikan dakwahMu, tetapi aku masih lagi bisu..”

Garang Sigadis Korea

Saya selalu terilham melihat wanita-wanita di Korea. Ada pelbagai bentuk imej mereka. Suatu ketika dalam tren di Kota Seoul, saya tersentak oleh ketawa sekumpulan wanita yang berpakaian hampir seragam: topi, jaket nipis, seluar dan beg tangan yang semuanya berwarna-warni.

Rambut mereka yang sedikit berjurai dari topi kelihatan sama: kerinting. Wajah mereka melambangkan kekentalan Korea yang asli, tidak terusik oleh pembedahan plastik, ada kedutan tetapi ceria.

Suara mereka gamat, tidak menghiraukan siapapun yang berada dalam tren. Mereka bercerita, ketawa dan bercerita lagi, terus ketawa tanpa henti. Sebagai pengembara baru, saya tertanya-tanya sendiri, siapakah kumpulan wanita ‘pelik’ ini?

Rupanya, pada hari-hari yang lain, bukan sahaja dalam tren, tetapi di pasar, di taman atau dalam bas, saya bertemu lagi kumpulan seperti ini. Sewaktu mahu melintasi jalan, saya lihat seorang wanita, walaupun tidak dalam kumpulan, imejnya sama. Dia mengayuh basikal dengan baju dan topi berwarna pink. Agakan saya umurnya seperti kumpulan wanita yang saya jumpa, 50-an ke 60-an.

Di pasar, melihat kedai-kedai pakaian yang berderetan, minda sudah dapat mengagak ‘untuk siapa’baju, topi, kasut, seluar dan aksesori itu dijual jika desain dan warnanya terang begitu?  Akhirnya, saya menjumpai perkataan yang sesuai merujuk kepada wanita-wanita ‘khas’ ini. Mereka digelarkan ‘ajumma’ (yang bermaksud makcik) di Korea.

Tidak semua wanita Korea mahu digelarkan diri sebagai ‘ajumma’ walaupun mereka adalah ‘makcik’. Ajumma terkenal dengan sifat berani, banyak mulut, berterus-terang, keras hati dan bergerak dalam kumpulan. Pakaian dan aksesori mereka sama. Uniknya mereka ini sehingga seorang penulis Korea menyebutkan dalam tulisannya: Ada tiga jenis manusia di Korea. Pertama lelaki, kedua perempuan dan ketiga Ajumma!

Gadis Korea Yang Garang  

Dalam bas pagi itu, saya memilih berdiri sepanjang perjalanan ke universiti. Ada satu kerusi kosong di tempat duduk belakang, sebelah wanita ‘ajumma’. Tetapi berat hati saya mahu duduk di situ. Bas mengambil penumpang di satu hentian, seorang gadis Korea yang sedikit gempal naik dan terus memilih duduk di sebelah ajumma di belakang. Malangnya, kerana badan gempalnya itu, dia tersinggung tubuh ajumma yang lebih kecil. Itulah permulaan ‘perang mulut’ pagi itu sepanjang saya ke universiti.

“Kamu duduklah baik-baik, tengok beg saya pun dah jatuh!” jerit ajumma kepada si gadis. Kuat. “Ajumma, saya tak sengaja. Janganlah marah!” jerit si gadis, lebih kuat. “Kamu ni kurang ajar betul. Lain kali minta maaf!” jerkah ajumma. “Saya tak sengajalah ajumma. Janganlah menjerit!,” balas si gadis dalam nada tinggi. Mereka terus bergaduh tanpa menghiraukan penumpang bas lain. Hal ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa dalam kelas di semester kedua.

“Saya pelik bagaimana kamu boleh belajar di Korea tetapi tidak tahu berbahasa Korea?” jerit rakan wanita saya. Kelas kami sedang berhenti rehat. Profesor Lee yang duduk di tempatnya hanya memandang, tidak memberi sebarang respon. Beliau adalah pakar Sastera Perancis, tidak mahir berbahasa Inggeris dan menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Korea.

“Saya dimaklumkan tidak perlu bahasa Korea kerana saya dalam bidang Sastera Melayu-Indonesia,” jawab saya. “Kamu sepatutnya pergi belajar bahasa Korea dulu kemudian baru sertai kelas ini,” katanya lagi. Seorang rakan wanita lain turut menyokong, mereka berdua menjerit-jerit ‘meleteri’ saya hari itu. Ya, di depan profesor. Kemudian, saya keluar dari kelas dengan luruhan air mata. Peristiwa itu membuka mata saya bahawa gadis Korea ‘bukan sebarangan beraninya!’

Hati Yang Baik

Peristiwa gugur air mata itu saya ceritakan kepada suami. “Semoga inilah kali terakhir saya jumpa mereka di Korea,” kata saya yang kecewa. Suami memberi semangat, menyuruh saya berdoa yang baik-baik untuk orang lain. Doa saya dimakbulkan Allah Swt pada semester ketiga, saya tidak sekelas dengan gadis-gadis ‘garang’ itu lagi.

Sebaliknya, pada semester keempat saya tiada pilihan. Rupanya Allah SWT tempatkan saya dengan dua gadis ‘yang memarahi’ saya dulu dalam satu kelas. Ya, hanya kami bertiga. Saya kuatkan hati. Ini adalah semester terakhir kelas, selepas ini saya dan mereka akan membawa haluan ‘tesis’ masing-masing. Tidak saya jangka, mereka ‘berubah angin’ dan begitu baik terhadap saya.

Saat saya ingin menduduki peperiksaan akhir kelas Phd, merekalah yang menghubungi pihak pengurusan peperiksaan agar menyediakan soalan dalam bahasa Inggeris. Salah-seorangnya mencarikan soalan-soalan ‘target’ dan menerjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Malah begitu sungguh-sungguh membantu.

“Ummi, kamu tak dapat mesej saya?” si gadis Korea ini menelefon saya beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Maafkan saya Onyi (kakak), nombor telefon saya sudah tukar. Jadi, saya tak terima mesej kamu,” terang saya.

“Oh, saya dapat nombor baru kamu ini daripada orang lain. Begini, saya mahu hantar soalan target kepada kamu, berikan emel segera. Kami mahu kamu berjaya, jangan putus asa,” katanya, membuatkan saya terharu. Begitu sekali mereka menyokong saya. Syukur, soalan target yang mereka berikan itulah yang terbit dalam peperiksaan.

Semakin kerap bertemu, makin erat hubungan kami. Kadang-kadang mereka membelikan saya kopi dan kuih, saya membalasnya dengan roti. Saya sudah melupakan riak wajah mereka yang ‘garang’ dulu kerana gadis-gadis Korea suka berterus-terang. Mereka bukan marah tetapi sebenarnya prihatin.

Sporting

Sewaktu ayah saya mencari orang Korea yang mahu berlakon dalam Drama Cinta Teruna Kimci sebagai nenek dan ibu, saya adukan kepada guru bahasa Korea. Dia kemudiannya memberitahu, “Ummi, saya dan ibu saya sendiri akan berlakon watak itu. Ini sungguh luar biasa kepada kami. Pengalaman pertama yang sangat menarik. Kami mahu cuba!”

Begitulah beberapa kisah saya dengan wanita-wanita Korea. Mereka berani dan suka berterus-terang. Mereka jarang ‘malu’ dalam perkara yang mereka fikirkan baik. Semua ini saya lipatkan dalam almari pengalaman.

Benarlah Firman Allah SWT  dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam PengetahuanNya.”