Tajassus

Di penghujung usia, dapat bertemu sahabat dan saudara-mara sentiasa mengujakan. Keterujaan bukan hanya untuk mengimbau kenangan lama, tetapi juga mengambil peluang memohon kemaafan dari mereka. Yelah, tiada siapa tahu andai itu pertemuan terakhir.

Namun, biasanya majlis pertemuan semula menjadi medan bercerita. Asal ada yang memercikkan satu kisah, berpanjang-panjanganlah jadinya.

Namapun manusia. Kita jadi seronok mahu tahu lebih lanjut kisah demi kisah ini, apalagi bila terselit kontroversi. Makin sedap jadinya.  Anggapan kita, cerita-cerita itu “common secret”, semua orang tahu kisah yang dijaja.

Allah Ya Allah.

Kita tahu tetapi kita tidak peduli yang di sebalik keseronokan kita bercerita, ada banyak hati yang terluka dan menangis. Ada yang sedang menadah kedua tangannya sambil berjuraian airmata mengiringi aduan kepada Sang Pencipta. “Si polan dan si polan sedang menzalimiku Ya Allah. Berilah balasan yang setimpal kepada mereka.” Kita lupa betapa mustajabnya doa insan teraniaya

Astaghfirullahilazim.

Tajassus – yang bererti mencari-cari kesalahan orang lain dengan menyelidikinya hingga ke akar umbi, adalah penyakit yang sedang menular di ketika ini. Allah s.w.t melarang kita mencari-cari kesalahan orang lain samada dengan menyelidikinya secara langsung atau dengan bertanya kepada temannya. Ia disebut dalam ayat 12 surah Al-Hujarat yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka buruk adalah dosa dan janganlah kami mencari-cari kesalahan orang lain.”

Selain dari ayat di atas, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Berhati-hatilah kalian dari tindakan berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kaian saling mencari berita keburukan orang lain, saling memata-matai, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Apa yang berlaku hari ini, setiap hari, kita berhadapan dengan keadaan tajassus. Begitu bangga bila dapat menjatuhkan sesama sendiri. Bukan setakat dengan sahabat mahupun saudara-mara, malah dengan mereka yang tidak dikenali juga kita sanggup bersusah-payah mencari bahan yang boleh dijadikan cerita buruk.

Apatah lagi dengan kemudahan “maklumat di hujung jari.” Keyboard warrior mencari modal dan keuntungan atas runtuhan hati insan lain. Cerita yang sedikit dibesar-besarkan, dari tiada kepada ada, diselidiki hingga ke akar umbi. Demi apa?

Teringat zaman mengaji dengan Wak Ramli, imam surau di kampong dulu. Arwah Mak cukup marah kalua saya balik mengadu ada kawan usik atau kata itu ini. Bagi Mak, kalau ada orang usik maknanya kita yang mengada-ngada. Orang takkan usik kalau bukan kita yang mulakan. Sedih betul bila Mak beri jawapan sedemikian.

Satu ketika, sedang saya menyiapkan kerja sekolah, Mak panggil keluar. Tengok mata Mak pun tahu dia sedang marah. Berdebar tak boleh nak cerita. Saya nampak makcik jiran dan anaknya berdiri di depan pintu dengan wajah masam mencuka. Rupanya mereka datang ‘menyerang’ kami kerana dikhabarkan bahawa saya telah membuat si anak dirotan oleh Ustaz.

Mak memaksa saya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi apa yang telah berlaku. Marah betul saya dituduh begitu. Jelas kelihatan betapa puasnya hati makcik tu bila saya menunduk minta maaf. Namun situasi tersebut bertukar bilamana si anak tiba-tiba mengaku bahawa dia sebenarnya yang mengusik saya hingga dirotan Ustaz. Dek kerana malu yang amat sangat, sambil menyumpah seranah, makcik jiran tinggalkan rumah kami dengan tangannya lekat memiat telinga anak kesayangannya.

Mak tersenyum meleret memerhatikan mereka berlalu. Hati saya yang masih marah tertanya-tanya, kenapa Mak suruh saya minta maaf sedangkan Mak tak tanya langsung apa yang sebenarnya berlaku. Mak cuma memeluk dan mengusap kepala saya tanpa berkata apa. Dia tahu anaknya sedang merajuk.

Lama selepas itu, Mak bercerita sambil mengesat airmata. Mak tahu anaknya tidak seperti yang dikatakan orang. Anak makcik jiran tu lelaki, usianya 2 tahun lebih tua dari saya dan susuk tubuhnya tinggi dan tegap. Memang tak masuk akal anak perempuan mak yang kurus kering boleh mengusik budak lelaki yang lebih besar darinya sampai menangis. Ia hanya asbab untuk menyerang Mak. Itu saja.

Hidup Mak sentiasa diperhatikan oleh orang kampong. Ada saja cerita buruk yang dijaja. Sebab itu kami adik beradik tidak dibenarkan bebas keluar rumah melainkan untuk ke sekolah dan mengaji. Mak cuma mampu bersabar dan berdoa agar Allah jaga anak-anak Mak dan kami jadi “orang” walaupun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan.

Allah hu Akbar.

Kejadian yang hampir serupa berulang kini. Ada watak mirip anak lelaki dan ibu. Plot cerita juga lebih kurang sama tetapi skalanya lebih besar. Kami tidak punya kekuatan kerana mereka lebih dalam segenap segi. Kami redha dengan ujian yang Allah turunkan. Benar kami amat terluka dan terhimpit fizikal dan mental. Dalam pada kami berusaha dan berdoa Allah tutup aib kami dan mereka yang disayang, ada insan lain yang berusaha bermati-matian untuk melihat saudaranya berada dalam kesusahan.

Imam Abu Hatim bin Hibban Al-Busthi berkata dalam sebuah kitabnya yang dikutip oleh Syeikh Abdul Muhsin bin Hamd al-‘Abbad al-Badr dalam tulisannya sebagai berikut,

”Orang yang berakal wajib mencari keselamatan untuk dirinya dengan meninggalkan perbuatan tajassus dan senantiasa sibuk memikirkan kejelekan (keburukan) dirinya sendiri. Sesungguhnya orang yang sibuk memikirkan kejelekan dirinya sendiri dan melupakan kejelekan  orang lain, maka hatinya akan tenteram dan tidak akan merasa capai (penat).

Setiap kali dia melihat kejelekan yang ada pada dirinya, maka dia akan merasa hina tatkala melihat kejelekan yang serupa ada pada saudaranya. Sementara orang yang senantiasa sibuk memperhatikan kejelekan orang lain dan melupakan kejelekannya sendiri, maka hatinya akan buta, badannya akan merasa letih, dan akan sulit baginya meninggalkan kejelekan dirinya.”

Usia yang amat sedikit bakinya ini amat rugi untuk disia-siakan. Satu hari, mereka yang tajassus pasti akan menyesali apa yang mereka telah lakukan, namun persoalannya, sempatkah?

Nauzubillahiminzalik.

Reda

Tatkala berdepan dengan ujian, kita disarankan untuk sabar dan solat. Langsung redha.

Besar yang teramat pengertiannya. Sukar untuk dilaksanakan terutama oleh kita yang serba kekurangan dan lemah dalam segala hal. Hati merintih sedih, terutama kala bersendiri. Memohon dan terus merayu padaNya, minta dikeluarkan dari kemelut resah yang menyukarkan.

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang tinggi (derajatnya) jika kamu beriman.

(QS 3 Ali ‘Imran ayat 139)

Ayat di atas menyuntik semangat yang kabur. Hati mengingatkan diri,

“Jangan bersedih, Suria. Ujian ini adalah untuk meninggikan lagi tahap keimananmu. Teruskan berusaha dan naikkan lagi sifat sabar sambil lepaskan semuanya kepada Dia Yang Mencipta.”

Ada beza antara sabar dan redha. Sabar itu perilaku menahan nafsu dan mengekangnya dari kebencian, sekalipun menyakitkan dan mengharap akan segera berlalunya musibah.

Manakala redha adalah kelapangan jiwa dalam menerima taqdir Allah swt. Dan menjadikan redha sendiri sebagai penawarnya.

Allah hu Akbar!

Sukarnya untuk menanam sangkaan baik (Husnuzan) terhadap sang Khaliq di dalam hati.

Ayat di atas memujuk hati supaya jangan bersedih kerana darjat kita lebih tinggi, jika kita beriman. Kita tahu di mana tahap keimanan kita. Amalan wajib dan sunat kita tambah setiap hari, Sambil tak jemu mengangkat tangan memohon kepadaNya minta dipermudahkan. Namun semakin dekat dan semakin mengasyikkan diri kita bermusyahadah kepadaNya, kita diuji lagi. Dengan ujian yang lain pula.

Lalu, kita menangis lagi.

Tersandar menutup mata sambil mengenang pelbagai kisah silam yang pernah dilalui. Diri terasa begitu hina di hadapanNya. Astaghfirullah. Ampunkan aku Ya Allah. Terlalu banyak dosa yang ku timbun, terlalu sedikit amalan yang ku kumpul.

Teruskan bersabar. Yakin dengan janjiNya. Dia tidak lupa. Dia Maha Tahu. Teruskan meminta, berulang-ulang. Buang semua penyakit hati yang ujud dalam diri. Ustaz Dasuki ada menyampaikan dalam kuliah beliau, hadith Nabi saw menyatakan bahawa ada beberapa perkara yang boleh menghancurkan amalan, antaranya; bila ada perasaan dengki, ujub dan ungkit mengungkit.

Aduh! Terasa bagaikan kepala dihantuk ke dinding. Berimpian mahu menjadi auliya, tapi masih rajin melayan perkara lagha. Berdoa saban waktu mahu kembali kepadaNya dalam keadaan khusnul khotimah, tapi masih kekal dalam ruang lingkup kehidupan masa lalu.

Keluar terus dari radar!

Terima apa pun yang Allah beri dengan penuh kesyukuran. Dia mencipta kekayaan yang lawannya adalah kecukupan. Kita hanya menumpang dan meminjam, dengan tempoh yang amat terhad.

Teringat cerita Denna, anak angkat kami yang memeluk agama Islam beberapa tahun lalu, sewaktu  menghantarnya ke lapangan terbang bulan lepas.

“Masa Dee tinggalkan apa yang Dee buat sebelum ni kan Ma, Dee yakin itu yang terbaik buat Dee. Yes, I lost a lot, but I know He will give me more. And better. Dee langsung tak de job in hand masa tu. Duit dalam bank ada la berapa je. Tapi Dee redha semuanya pinjaman belaka, and Dia yang beri pinjaman tu. So, Dee doa pada Dia minta Dia pinjamkan Dee other things that I need, not that I want. Ma, it’s you who always say that and remind us again and again. Alhamdulilllah. Now it seems that everything has fallen into places. I feel so blessed and grateful.”

Saya bayangkan diri sedang menepuk air dalam dulang yang berada hadapan. Habis terpercik ke muka sendiri. Malunya!

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Terjemahan surah Al-Baqarah ayat 155-157

Khabar gembira tu Suria. Besyukurlah! Dirimu sedang berjalan di landasan yang lebih baik dari sebelumnya. Kembali padaNya, tinggalkan perkara tidak berfaedah yang menjadi kesukaan dan sibukkan diri dengan menjaga amalan supaya tidak hancur. Sedikit sangat masa yang berbaki. Hati berkata lagi.

Saya sedang tersenyum.

Saya salin doa sahabat saya @bonda_nor yang dimuatkan di Instagram pada 30 Januari 2017.

“Ya Allah! Bawalah aku ke satu titik tepu hingga aku sama sekali tidak akan pernah mempersoalkan apa pun yang berlaku. Hingga aku mampu berkata, “Apa-apa sajalah Ya Allah. Aku terima dan aku redha.”

Perkenankan Ya Allah.

Tidak Pernah Bersedih

Pagi tadi, ada pertanyaan dari seorang sahabat dalam group kawan-kawan sekolah.

“Girls, any doa to release stress?”

(Nota: Saya belajar di sekolah perempuan.)

Banyak jawapan yang diterima dari ahli group yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Alhamdulillah.

Saya terkenang kisah sewaktu tinggal sendirian di India, berdepan dengan keadaan yang membuatkan saya bersedih. Seingat saya, nak makan pun tak lalu. Asyik menangis hingga bengkak mata dan hilang suara. (Hari ini saya langsung tidak dapat ingat apa yang buatkan saya menangis seteruk itu.)

Masa tu, dengan izin Allah, saya teringatkan seseorang yang dekat di hati, yang saya namakan Maulana, menetap di Hyderabad. Segera saya hubungi beliau dan beritahu betapa hati saya sedih sangat kerana sedang berdepan dengan musibah. Maulana tidak fasih berbahasa Inggeris. Atau dalam bahasa mudah, dia bercakap macam bahasa Inggeris tapi yang kedengaran hanya bunyi Hindi. Entah apa yang dia cakap saya pun tak faham, sementelah di hujung talian.

Tapi sedikit yang dapat saya tangkap berbunyi (lebih kurang) begini,

“Betthi. Don’t worry. Be happy. Auliya never sad. Alaa inna awliyaa Allah la khawfun Alayhim wala hum yahzanoon. Find the ayat from Quran.”

Segera saya cari ayat tersebut sebaik habiskan perbualan. Terjemahan ayat 62 surah Yunus:

Ketahuilah sesungguhnya wali Allah (auliya) itu tidak pernah takut dan takkan pernah sedih.

Sejak itu saya cuba jadikan ayat tersebut sebati dalam diri dengan mengulang-ulang dan menghayatinya. Sambil itu melalui pembacaan, saya cuba kenali siapakah auliya yang disebut dalam hadith Rasulullah riwayat an Nasai dan Ibnu Hibba dalam kitab sahihnya:

Sesungguhnya ada di antara hamba Allah (manusia) yang mereka itu bukanlah para nabi dan bukan pula para syuhada’. Mereka dirinudkan oleh pada Nabi dan Syuhada’ pada hari kiamat kerana kedudukan (pangkat) mereka di sisi Allah swt. Seorang dari sahabat bertanya, “Siapa gerangan mereka itu wahai Rasulullah? Semoga kita dapat mencintai mereka.”

Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) menjawab, “Mereka adalah satu kaum yang saling berkasih sayang dengan anugerah Allah bukan kerana ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta benda, wajah-wajah mereka memancarkan cahaya dan mereka berdiri di atas mimbar-mimbar dari cahaya. Tiada mereka merasa takut seperti manusia merasakannya dan tiada mereka berdukacita apabila para manusia berdukacita.”

MasyaaAllah!

Bagaimana mahu menjadi wali Allah? Baru diuji sedikit sudah bengkak mata. Penyerahan diri, mulut berkata total, hakikatnya ia hanya kata-kata yang menjadi penyedap rasa.

Dari Ibnu Taimiyah dalam kitab beliau Al Furqon Baina Awliya Ar-Rohman Wa Awliya Asy Syaithan ada dihujahkan bahawa “Orang yang rajin mengamalkan amalan sunnah, maka ia akan menjadi wali Allah yang istimewa.”

Disebutkan juga dalam buku ini yang wali Allah ada dua jenis:-

– As Saabiquun Al Muqorrobun (wali Allah terdepan) – adalah hamba Allah yang selalu mendekatkan diri pada Allah dengan amalan sunnah di samping melakukan yang wajib serta dia meninggalkan yang haram sekaligus yang makruh.

Al Abror Ash-habul yamin (wali Allah pertengahan) – adalah hamba Allah yang hanya mendekatkan diri pada Allah dengan amalan yang wajib dan meninggalkan yang haram, ia tidak membebani dirinya dengan amalan sunnah dan tidak menahan diri dari berlebihan dalam yang mubah.

Pagi ini, saya berkata pada diri, “Sabarlah duhai hati. Usah bersedih. Janji Allah itu pasti. Bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan. Allah menguji hambaNya kerana Dia sayang. Bukan Dia menghukum.”

Ya Allah, tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sungguh aku ini termasuk orang-orang yang zalim.

Seakan terdengar di telinga suara Maulana di hujung talian,

“Betthi, don’t worry. Be happy.”

Sukar Untuk Melepaskan

Sebulan dua kebelakangan, kami sekeluarga sibuk dengan persiapan majlis pernikahan anak sulung kami, Nabilla. Kekangan masa, jarak dan sumber kewangan menjadi penyebab terbesar beberapa kerja tidak dapat disiapkan segera. Banyak “nitty-gritty” yang perlu diberi perhatian oleh dua wanita berkerjaya yang hanya mempunyai masa terluang di sebelah malam dan hujung minggu.

Pengalaman berulangalik JB-Shah Alam setiap empat hari sekali dan lima jam dalam bas menjadi rutin yang saya nantikan kerana itu sajalah masa tidur paling nyenyak!

Akhirnya, pada 18 November yang baru berlalu, tibalah hari yang dinantikan.

Subhanallah.

Hati berdebar jantung bergetar. Semua rasa ada. Gembira, takut, cuak, gementar, sedih, sayu dan pelbagai lagi. Berbaur-baur. Syukur alhamdulillah Allah hadirkan beberapa sahabat yang rajin berpesan-pesan agar kami banyak memohon keampunan dan kemudahan dari Allah, serta sentiasa bersabar dan reda. Syaitan kelihatannya begitu rajin dan bersungguh-sungguh mahu menggagalkan usaha yang suci ini.

Usai solat Jumaat di Masjid Negeri, kami berhimpun di Dewan Nikah bagi acara yang paling dinanti. 27 tahun bersama satu-satunya puteri kami, saat itu airmata saya terasa begitu banyak. Seketika mendengar suara merdu Ustaz Firdaus Subhi membaca khutbah nikah, airmata sudah berjuraian tanpa henti. Hati terasa seperti disayat sembilu. Tangannya erat menggenggam tangan saya. Pandangan matanya sayu bercampur suram sambil bibirnya menguntum senyuman pilu.

Genggaman tangannya terasa semakin kuat ketika mendengar suara si Ayah memanggil pengantin lelaki. Ada getar di hujung suara si ayah. Saya terasa kosong seketika. Flash kamera, video dan lampu yang tersorot seolah terhenti.

Selepas beberapa ketika, saya lihat Ustaz mencapai mikrofon dan serentak mengucapkan  “Alhamdulillah”, helaan nafas lega terdengar memenuhi segenap ruang dewan. Di kala itu, dia memeluk erat badan saya menangis tersedu-sedu sambil berkata, “Ma…” Airmata tumpah tanpa mampu diseka. Allah Ya Allah. Gadis manja yang sekian lama menjadi teman paling akrab, kini sudah menjadi hak suami.

Sambil mengaminkan doa yang dibaca, pandangan hadirin tertumpu kepada si ayah yang tunduk sambil perlahan-lahan menanggalkan cermin mata lalu mengesat kedua belah mata dengan tisu. Saya pasti ramai yang turut sama mengalirkan airmata saat itu. Sukarnya untuk melepaskan si comel yang amat dikasihi.

Saya cuba menyelami perasaan sendiri mengapa dalam gembira dan syukur, ada rasa sedih dan terkilan yang amat.  Rasanya, jawapannya begini.

Dari dalam kandungan lagi, saya sentiasa berdoa Allah jadikan bayi yang saya kandung selama 35 minggu (lahir awal 3 minggu dari jangkaan),  insan berhati mulia yang berjaya di dunia dan akhirat. Kami beri nama Nabilla yang bererti “noble” atau “mulia” agar dia mendapat kemuliaan dariNya dan sekelian makhlukNya.

Hari berganti hari, dia membesar sebagai anak gadis yang ceria, peramah, kadangkala memberontak, maklum saja dikelilingi 4 adik lelaki, namun amat pemaaf dan mendahulukan orang lain. Saya nampak ketulusan hatinya menjaga hati sahabat dan saudara maranya yang lain.

Dia ringan tulang dan sentiasa bersedia membantu walau sesiapa sahaja tanpa persoalan dan mengharap balasan. Setiap hari dia bercerita dengan kami tanpa henti tentang apa saja. Kisah dalam keretapi, pejabat, pelanggan, Boss, kasut, buku cerita, movie. Semuanya.

Perjalanan hidupnya mudah; bermula dengan tadika, sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan. Sahabat-sahabat rapatnya pelbagai bangsa, lelaki dan perempuan, namun hanya ada satu nama lelaki yang sering disebut sejak dia melangkah ke alam dewasa – Azrul. Itulah nama yang dipanggil oleh si ayah sambil digenggam tangannya dan dinikahkan.

Dia berbeza dengan anak gadis lain yang menghabiskan wang gaji membeli alat solek, baju, kasut atau beg berjenama. Duitnya habis samada membeli buku, makanan kesukaan atau merawat berbelas ekor anak kucing yang menjadi kesayangannya.

Lantas, mengapa saya terasa begitu berat untuk melepaskan? Bukankah semua mudah baginya?

Hati berkata, Ya Allah! Semua orang pun tahu keindahan alam perkahwinan ada kalanya hanya ilusi.

Kami jaga dia dengan penuh kasih dan sayang. Terkadang, habis sebotol Ridsect disembur hanya kerana seekor nyamuk yang menggigit pipi comelnya hingga bengkak. Dia alah dengan MSG, aloe vera, habuk, jerebu, suhu sejuk, udang dan beberapa bahan dalam ubatan. Hospital sering menjadi rumah keduanya dan nebulizer sentiasa menjadi peneman setianya.

Bagaimana selepas ini?

Adakah dia akan dijaga dengan lebih baik? Bagaimana jika hatinya disakiti? Atau jika kasih sayangnya tidak dihargai? Sanggupkah saya membiarkan dia menangis sendiri?

Persoalan yang memberat di benak fikiran lenyap tatkala teringat doa yang sentiasa saya titipkan buatnya.

“Hadirkan seorang lelaki beriman dan bertaqwa dalam hidupnya yang akan membimbing dia memasuki syurgaMu Ya Allah.”

Itu yang saya ulang-ulang sejak dia kecil hingga kini.

Jadi, kenapa perlu ragu, Suria? Doa ibu tidak berhijab. Lagi pula, Azrul juga datang dari keluarga baik-baik yang tentunya sanggup memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Biarpun sukar untuk melepaskan, namun keyakinan terhadap ayat Allah seharusnya menjauhkan saya dari dibebani dengan ketakutan yang tidak bersebab. Syaitan memang bijak sekali membisikkan hasutan agar kita ragu dan tidak yakin. Astaghfirullahil azim.

Dalam tafsir Ibnu Katsir, Juz 2, ada dituliskan bahawa telah ditegaskan dalam Shahih Muslim, dari Jabir, bahwa Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam khutbahnya yang disampaikan pada waktu haji Wada:

“Takutlah kepada Allah dalam urusan wanita. Kerana sesungguhnya kalian telah mengambil (menikahi) mereka dengan amanat Allah dan meminta kehalalan dalam mencampuri mereka dengan kalimat Allah. Akan tetapi, kalian memiliki (hak) atas mereka, bahawa mereka (isteri) tidak boleh mengizinkan seseorang yang kalian benci menginjak tikar (rumah) kalian. Jika mereka melakukan hal itu, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Juga diwajibkan atas kalian (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka (isteri) dengan cara yang baik.”

Rasulullah juga bersabda, sepertimana diriwayatkan oleh Abu Dawud ketika ditanya tentang hak isteri;

“Hendaklah engkau memberikan makan kepadanya jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, dan engkau tidak boleh memukul wajahnya, tidak boleh menghina, dan tidak boleh mengisolasinya kecuali di dalam rumah.”

Selamat memulakan kehidupan baru, duhai anakku.

Mama doakan kalian berdua kekal bercinta hingga ke syurga.

Bukan Mimpi

Lepas tinggalkan Boss di KLiA2, saya pandu kereta ditemani Abey di sebelah dan Aman di belakang yang sedang nyenyak tidor. Berdebar-debar jantung mengenangkan jauhnya perjalanan yang akan ditempuh.

Saya kerling jam, pukul 4:03 pagi. Saya tekan butang ON radio dan pilih USB yang mengandungi pelbagai ayat Quran dan zikir-zikir. Saya habiskan surah Yasin mengikut Sheikh Misyari kemudian surah AlKahfi mengikuti Sheikh Karim Omar. Perasan seketika suara dan bacaan saya semerdu bacaan mereka berdua.

Suara Allahyarham Ustaz Asri dan Ustaz Badrul Amin mendayu-dayu berzikir dan merintih. Saya berdoa Allah beri ganjaran syurga buat mereka semua. Hebat sungguh mereka, menggunakan suara yang merdu anugerah Allah untuk membawa manusia menyintai ayat-ayat Quran dan zikrullah.

Sesekali bila rasa mengantuk datang, saya kunyah epal yang tersedia. Sebiji, dua biji, sampai habis kesemuanya. Habis epal, saya kunyah kacang pula. Gelap gelita di keliling. Sesekali bila ada kenderaan yang saya potong atau memotong kereta saya, barulah terpancar cahaya terang.

Entah kenapa hati terasa begitu sunyi dan sayu. Fikiran saya mengimbau ke zaman yang telah berlalu. Cuba mengingat apa yang telah saya katakan, lakukan dan sembunyikan. Allah hu Akbar. Sebaknya. Syukur masih sedar yang saya sedang memandu bersama dua orang anak.

Subhanallah. Dalam kesunyian itu saya terasa amat dekat denganNya. Saya yakin Dia sedang mendengar dengan tekun setiap patah yang saya lafazkan. Saya pinta belas kasihan dan keampunanNya.

Meremang bulu roma mengenangkan azab yang tidak mampu saya tanggung akibat dosa yang menggunung. Hidung mula rasa tersumbat. Mata panas dan berat bertakung air.

Akhirnya saya menangis teresak-esak. Saya beri isyarat ke kiri dan memperlahankan kereta, istighfar banyak-banyak dan memohon ketenangan dariNya. Saya tarik nafas dalam-dalam, capai botol air mineral di sebelah brek tangan dan sambil berselawat, saya teguk air. “Sejuknya air ni”, kata hati. Mungkin kerana pendingin hawa ia jadi sejuk. Entahlah.

Suasana di sekeliling masih gelap gelita. Tiada kenderaan langsung yang menghala ke arah yang sama dengan saya. Sesekali sahaja ternampak lampu di jalan sebelah. Suara Ustaz Badrul Amin melagukan zikir-zikir munajat mendayu kedengaran dari radio. Airmata terus laju mengalir.

Tuhanku

Aku tak layak untuk SyurgaMu

Tapi aku tidak pula sanggup

Menanggung siksa nerakaMu

Kurniakanlah keampunan kepadaku

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun….

Sedang saya asyik dibuai perasaan sambil menyapu airmata yang berjuraian membasahi pipi, terdengar ada bunyi sayup-sayup di atas kereta. “Haish! Bunyi apa pulak ni?” Saya menyoal diri sendiri. Senyap. Manalah ada jawapan! Perasaan. Tiada apa-apa di atas kereta. Pasti.

“Eh! Awat terang benar lampu kereta ni? Tadi biasa je.” Saya cubit-cubit pipi. Sakit. Saya tidak bermimpi. Kelihatan cahaya menyuluh jalan di hadapan. Cahaya datang dari atas kereta. “Ada helikopter ke atas aku ni? Macam movie Hollywood pulak ada orang follow.” Hati mula berkata yang bukan-bukan. Cahaya tersebut berterusan walaupun ada kenderaan lain yang memotong.

“Ya Allah! Aku terima semua yang Kau kurniakan ini dengan hati yang besar. Cahaya yang menemaniku di sepanjang perjalanan ini amat indah. Terimakasih Ya Allah.”

Semakin lama semakin banyak kenderaan terutama lori-lori besar namun cahaya yang menyuluh dari atas masih setia bersama. Saya kerling jam, 5:21. Saya teruskan pemanduan hingga kelihatan R&R Pagoh.

Saya beri isyarat ke kiri dan berhentikan kereta. “Bey, Mama naik solat subuh dulu. Abey jaga adik. Nanti Mama turun, Abey pulak pi solat.” Terpisat-pisat Abey memandang wajah saya sambil mengangguk. Saya keluar dari pintu dan pandang ke atas. Tidak kelihatan sebarang helikopter yang menyuluhkan cahaya mengiringi perjalanan saya. Saya tersenyum dan tidak henti mengucapkan “Subhanallah.”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhamad ibni Namir, telah menceritakan kepada kami Musa ibnul Musayyab, dari Sayhr, dari Abdur Rahman ibni Gamar, dari Abu Zar r.a. yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda;

Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman, “Hai hamba-hambaKu, kalian semua berdosa kecuali orang yang Aku maafkan. Maka mohonlah ampunan kepadaKu, tentu Aku mengampuni kalian.

Dan kalian semua miskin, kecuai orang yang Aku beri kecukupan; sesungguhnya Aku Maha Pemurah, Maha Agung, Maha Kaya. Aku melakukan apa saja yang Ku kehendaki.

Pemberian Ku hanya satu kata, dan azabKu hanya satu kata; apabila Aku mengkehendaki sesuatu, sesungguhnya Aku hanya mengatakan kepadanya, ‘Jadilah!’ Maka jadilah ia,”

Tafsir IbnKatsir Jilid 6 Surah Yassin ayat 81-82

Saya tahu saya tidak bermimpi.

Berkawan dan Bersahabat

Membesar sebagai anak dara pingitan di kampong pinggiran bandar menjadikan saya bermula sebagai seorang yang “timid”. Sentiasa segan memulakan perbualan lalu kelihatan sombong dan tidak “friendly”.

Punya nama yang pelik dan “rare” pula menjadikan nama dikenali tetapi tidak orangnya. Selalunya orang akan kata, “Nama tu memang kenal, orangnya tak berapa perasan.”

Di usia emas, dengan bantuan pelbagai platform “networking”, pertemuan semula atau “reunion” dengan sahabat kampong, sahabat sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, kerja di sana sini amat mengujakan.

Saya tidak negatif kepada pertemuan semula ini kerana saya tidak punya kenangan silam dengan ‘high school sweet heart’ seperti orang lain, contohnya. Atau punya demam tak berkesudahan terhadap si polan dan si polan. Apa yang lepas biarkan berlalu.

Kita sendiri tidak sempurna, tidak wajar mengharap kesempurnaan dari insan lain. Alhamdulillah, biarpun saya berkawan dengan ribuan orang di sepanjang hidup ini, saya menjalin cinta hanya dengan seorang lelaki yang masih terus setia bersusah senang mengharungi kehidupan bersama sejak mula kenal dunia.

Selalu juga rasa rendah diri timbul bila berkumpul dengan kawan-kawan. Ye lah, atas meja minum nampak kunci kereta kawan-kawan dengan pelbagai lambang yang gah dan mewah, mengharap sangat tiada siapa nampak kunci kereta Proton yang saya bawa.

Kata orang, depan kita, “sama je you bawa kereta apa pun,” tapi telinga ini mendengar sendiri ayat, “Masa aku nampak dia datang dengan Proton Iswara hari tu, aku tau dia hidup susah.”

Klise.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda pilihan, binatang ternakan dan sawah ladang.”

(Terjemahan surah Al-Imran ayat 14)

Allah hu akbar.

Beberapa bulan lalu, saya berdepan dengan satu situasi yang menggugat hati dan perasaan. Gundah gulana dibuatnya untuk satu jangkamasa. Saya bercerita kepada sahabat lama yang baru dikenali ketika dia datang berkunjung. Kelihatannya dia amat memahami dan saya amat berterimakasih kepada Allah kerana menghadirkan dia dalam hidup ini.

Alhamdulillah, berkat doa dan belas ihsan Yang Maha Esa, diiringi sedikit usaha, kesulitan itu hanya seketika, dan saya dapat mengharungi hari-hari seperti biasa – “Business as usual” dalam bahasa perakaunan.

Namun hati berdetik, “Kenapa dia jadi dingin? Tiada lagi kehangatan seperti sebelumnya? Tiada lagi pelawaan mengeteh, mengopi mahupun melepak seperti selalu.

Bersangka baik. Buang jauh-jauh fikiran jahat itu.

Allah….di usia yang begitu premium ini, sekilas ikan di air sudah diketahu jantan dan betinanya. Bila satu demi satu rakan mula menolak ajakan mahu bertemu, fahamlah saya. Bahu yang disuakan bukan atas nama kasih sayang rupanya, ia sekadar “personal branding”.

Dia melihat saya begitu gah dengan kelulusan akademik berderet, pelajar pintar di sekolah, sudah pasti kaya berharta. Sangkaannya meleset jauh. Lebih baik tidak masuk universiti dan kaya raya dari sijil akedemi menimbun tetapi miskin.

Saya terima.

Selepas begitu banyak pertemuan yang selalunya disertai dengan sesi makan-makan, bergambar, berposing dan gelak ketawa, kita akur bahawa kawan memang ramai dan berada di mana-mana.

Namun sahabat boleh dibilang dengan jari. Mereka tidak bercerita tentang kita, sama seperti kita simpan rapi segala yang kita tahu tentang mereka kemas-kemas dalam lipatan ingatan. Baik buruk kita hanya mereka yang tahu.

Segala buruk mereka kita lupa, kita hanya kenang kebaikan mereka. Kita tahu ada yang berkata tentang kita bila terima mesej personal memberitahu, “Nama hang naik sat ni.”

Ada seorang insan hebat pernah berkata,

“Su, jangan cuba tipu aku, okay? Saat aku nampak ko masuk tadi, aku nampak dari mata ko kesakitan dan kesedihan yang ko tanggung. Kalau ko happy, aku nampak senyum ko dari jauh. Walau kat mana pun ko berada.”

Bodohlah saya andai saya letakkan dia di tempat kedua dalam senarai kawan-kawan. Setakat ini belum ada lagi sahabat lain yang dapat menandingi dia dalam hati saya.

Kalaulah semua orang tahu nikmat dan ganjaran kasih sayang yang dibina atas nama persahabatan, pasti tiada istilah kawan makan kawan. Andai hanya ada bahu untuk dihulur buat sahabat menumpang lelah, berilah bahu itu dengan sepenuh hati. Kata-kata selalunya tidak penting.

Mana ada manusia yang sengaja merintih dan menangis kesusahan, melainkan mereka yang sedang bersedih. Apa lagi bila kita tahu pasti insan itu punya semangat dan kekuatan yang sentiasa menggebu. Jikapun tidak menerima penghargaan dari sesame insan, seharusnya tiada keraguan dalam hati hambaNya yang beriman dan bertaqwa bahawa penghargaan dari Allah adalah pasti. Tidak sekarang, esok. Tidak di sini, di sana.

Kekallah sebagai sahabat sejati.

Siapakah mereka yang dipanggil sahabat sejati? Menurut hadis riwayat Muslim, “Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”

Astaghfirullah.

Di mana kedudukan kita sebagai sahabat andai dalam bersenda dan bergurau, kita guris hati dan perasaan sahabat dengan menghina tanpa sengaja. Selalu sangat kita alami situasi sebegini.

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah (selawat ke atasnya) bersabda,

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak dapat tidur.”

(Hadis riwayat Muslim)

Mudah untuk kita miliki syurga, dan mudah juga untuk kita kehilangannya.

Ampunkan hambaMu Ya Allah.

Kebahagiaan

Siti mengajak Ain bertemu saya dan berbincang lebih lanjut berkenaan kursus yang patut dipilih oleh Ain di universiti. Ain dapat A dalam subjek Prinsip Akaun SPM, justeru itu dia berhasrat untuk mengambil kursus perakaunan di mana-mana universiti tempatan.

Saya gariskan beberapa fakta penting tentang jurusan ini. Peluang pekerjaan dan sebagainya. Selepas panjang berjela, saya tanya Ain, apa yang Ain mahu capai? Kesenangan hidup atau kerjaya hebat? Saya pesan pada Ain yang bidang ini memang senang. Tutup mata pun boleh lulus, dengan syarat, perlu rajin dan usaha keras. Ketawa besar emak Ain mendengar pesanan saya. “Auta”, katanya.

Soalan terakhir Ain membuat saya terkedu.

“Cik Su memang bercita-cita nak jadi akauntan ke dulu?”

Saya ambil masa untuk memberi jawapan. Teringat betapa gembiranya saya tatkala menerima tawaran belajar dalam bidang kejuruteraan. Kononnya mahu jadi jurutera. Arwah Bapak tidak benarkan. Beliau mahu saya memilih bidang yang lebih feminin. “Terkorban” cita-cita, namun saya habiskan pengajian dan hingga kini, melihat Bapak tersenyum bangga di hari konvokesyen merupakan antara momen terindah dalam hidup. Ia sentiasa segar dalam ingatan.

Maha Suci Allah.

Di usia ini, saya sedar tiada yang lebih membahagiakan bagi seorang Ibu selain dari melihat kejayaan anak-anaknya biar apa pun bidang pilihan mereka. Saya masih berdebar setiap kali anak-anak menduduki peperiksaan, tidak kiralah sekolah, universiti mahupun ujian memandu.

Saya masih tidak mampu mengawal juraian air mata ketika melihat mereka berjalan masuk ke dalam dewan konvokesyen apatah lagi bila mendengar nama mereka diumumkan. Rasanya mahu saya jerit dan beritahu kepada dunia bahawa yang disebut namanya itu anak saya. Saya pasti, ia perasaan bahagia yang sama seperti waktu melihat mak dan bapak tersenyum bangga mendengar berita kejayaan saya dulu. Perasaan itu tulus dan jujur.

Saya kisahkan semua ini kepada Ain kerana mahu dia tahu, tidak susah sebenarnya membahagiakan insan yang amat menyayangi kita. Dalam kes Ain, insan itu adalah ibunya. Jangan sesekali dibantah kehendak ibu. Laksanakan apa yang perlu dengan sepenuh hati sambil tidak berhenti berdoa agar Allah beri kesejahteraan buatnya dunia dan akhirat.

Dalam surah Al Imran, dikisahkan bagaimana isteri Imran berniat dan bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi penjaga BaitulMaqaddis. Harapannya tidak kesampaian kerana anak yang lahir itu perempuan, Maryam namanya, yang diserahkan kepada pakciknya Nabi Zakarya untuk dididik.

Maryam membesar sebagai seorang yang amat yakin dengan kekuasaan Allah. Dan akhirnya Allah pilih Maryam sebagai wanita suci yang melahirkan anak tanpa disentuh lelaki. Anak yang dinamakan Isa itu menjadi antara insan hebat di dunia, seorang Rasul Allah yang membawa manusia ke jalan yang benar.

Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

Terjemahan surah Al Imran ayat 36

Impian kita mungkin berbeza dengan apa yang kita capai kemudiannya, namun semua itu telah ditentukan. Tiada upaya kita untuk menolak ketentuanNya. Dia lebih mengetahui.

Kini impian suami dan anak-anak adalah keutamaan saya. Segala impian mereka, selagi boleh, akan sama-sama saya usahakan untuk menjadi kenyataan. Kadangkala ia amat sukar, namun keyakinan bahawa Allah akan menjadikan ia mudah apabila Dia kehendaki mudah, tidak pernah mengecewakan.

Bahagia itu ialah bila kita dapat membahagiakan mereka yang kita sayangi dan mereka yang menyayangi.

Segala puji hanya bagi Allah.

Demam

Waktu mental diasak hingga ke dinding, nafas yang dihela terasa sendat. Allah hu Akbar!

Biarpun ramai pun kawan-kawan di samping, ia hanya mampu menyembuh luka lapisan atas, sedangkan yang parah adalah di dasar. Jauh di lubuk hati. Lalu saya cuba mencari diri melalui hati. Pernah seorang kawan berkata,

Your body cannot take the stress.

Saya nafikan kenyataannya pada waktu itu. Kini, rupanya kenyataan itu nyata benar. Fizikal saya kecundang. Tidak mampu untuk bergerak seperti biasa. Tubuh sakit bagaikan dipukul-pukul sekuat hati. Tapak kaki seperti memijak paku tajam. Perut memulas sentiasa. Segala sendi terasa sakit.

Maka, berbaringanlah saya dengan penuh kelesuan sudah hampir seminggu. Teringat kata arwah Mak, “tak tentu rasa.” Betul. Lapar tetapi makan tak lalu. Mengantuk tetapi tidor tak lena. Sakit tetapi tak tahu di bahagian mana yang perlu dipicit. Kalau Nujum Pak Belalang datang merawat, mungkin dikatanya saya, “Sakit Angau.”

Bila diimbas kembali, kali terakhir saya demam ialah dua tahun lalu. Dan ini kali pertama didiagnos dengan demam denggi. Alahai nyamuk. Apalah yang istimewa sangat mahu dirasa darah remaja purba yang terlebih gebu!

Sakit di badan sebenarnya tidak seperit sakit di hati. Bukan kepalang kecewa bila harapan yang diletakkan musnah tidak kesampaian. Segala usaha seolah sia-sia. Allah hu Rabbi. Saya tahu dengan pasti ini hanya seketika. Akan tiba masa indah buat kami, namun, menghadapi situasi yang sebegini mengasak mental hingga ke tahap maksima.

Berkali-kali saya katakan pada anak-anak, sabar, solat dan doa. Doakan Mama dan Papa kuat menghadapi semua ini. Bangun malam. Mohon pada Allah untuk memudahkan semuanya. Laluan kita Allah sempitkan seketika. InshaaAllah kita mampu menempuhinya dan ia akan menjadi satu kejayaan besar buat kita sebagai hamba Allah. Dia Maha Tahu siapa yang diujiNya.

Namun, bersendirian bukan sesuatu yang mudah seperti yang dibayangkan. Sebagai manusia yang berperasaan, ada ketika berperang dengan perasaan yang bukan-bukan. Sungguh Syaitan memang bermaharajalela mengusik fikiran andai dibiarkan.

Dalam kegelapan malam, sambil melayan kesakitan di badan, saya melihat ke dalam diri, untuk kesekian kali. Mengalir laju airmata memohon keampunan Allah dan mengucapkan Syukur Alhamdulillah kerana ujian ini sebenarnya terlalu sedikit dibanding dengan nikmat yang Dia kurniakan.

Kisah Nabi Allah Yunus yang meninggalkan kaumnya yang derhaka kepada Allah sentiasa menjadi ingatan kepada diri. Kesusahannya bertimpa bila dia diundi, bukan sekali, untuk dibuang ke dalam laut lalu terus ditelan ikan. Pengucapan doa baginda begitu murni.

“Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Terjemahan surah Al-Anbiya ayat 87

Saya ulang-ulang doa ini sepanjang masa. Begitu halus maksud yang tersirat. Ia memberi bukti akan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana baginda tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa jua melainkan kepada Allah biarpun berada dalam perut ikan yang gelap gelita. Baginda mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman dan penganiyaan. Baginda yakin bahawa ditelan ikan paus bukanlah satu bentuk penganiyaan dari Allah kepada dirinya. Dan tanpa memberi sebarang alasan, baginda mengakui kesalahannya.

Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri dengan mengakui kesalahannya.

Allah hu Rabbi.

Terasa sungguh kecil dan hina diri di hadapan Allah kerana mulut masih mengeluh sakit itu sakit ini. Bunyi bising dan cahaya silau yang amat sedikit sudah boleh membangkitkan rasa marah yang amat. Baring di atas sofa empuk, dalam kedinginan pendingin hawa, ditemani keluarga, tapi masih mengeluh. Bayangkan kesusahan insan lain.

Sesungguhnya, saya bersyukur kerana dapat merasai kemanisan nikmat ujian kala berdepan dengan kesakitan.

Alhamdulillah.

Janji Kami

“I janji pada diri, setahun saja akan tinggal di situ. You all tolong sama-sama doakan I mampu keluar dari kemiskinan ini ye kawan-kawan? Terima kasih kerana sentiasa bersama.”

Mengalir airmata Siti tatkala mengucapkan kata-kata tadi. Dada saya juga terasa sebak.

Siti sedang berusaha bangkit dari kekecewaan yang amat. Bersendirian membesarkan dua anak remaja yang sudah terbiasa dengan kemewahan, tanpa bantuan nafkah dan tanpa pendapatan bulanan tentu sekali menyiksakan. Dalam masa setahun lima kali mereka berpindah randah disebabkan tiada rumah untuk didiami. Ayah kepada dua anaknya melepaskan diri dari segala tanggungan malah meminta mereka keluar dari rumah.

Hari ini Puan Siti mendiami rumah PPRT, flat 3 bilik yang menjadi syurga baginya dan anak-anak sejak sebulan lalu.

“I terbayang wajah pegawai PZS yang berjaya buat I rasa terhina yang amat. Kawan-kawan, siapa mahu jadi asnaf? Siapa mahu jadi ibu tunggal? Siapa mahu jadi penerima zakat? I dah buntu sangat waktu tu. I ke Pusat Zakat kerana di situlah tempat untuk orang macam I ni nak mengadu”.

Kisah Siti hanya sebabak dari drama kehidupan ramai wanita masa kini yang berdepan dengan pelbagai kisah yang kedengaran seperti cerita rekaan. Hakikatnya ia kisah benar.

Menitis airmata kami kala mendengar Juwita berkongsi kisah dirinya yang bermadu dengan wanita lain yang jauh lebih muda darinya. Alasan sang suami, beliau sudah ditakdirkan punya isteri lebih dari satu.

Juwita membenarkan suaminya berkahwin lain demi anak-anak yang masih kecil sementelah beliau sendiri surirumah sepenuh masa. Walhal Juwita paling cantik di antara kami semua dari zaman sekolah hingga kini, lemah lembut, berbudi tinggi dan cukup berhemah. Beliau akur dengan ketentuan Allah.

“Tidak mudah langsung untuk harungi kehidupan seharian sepanjang 17 tahun hidup bermadu ni. Demi anak-anak, I gagahkan juga. Sebagai Kak Long, I tempat adik-adik mengadu sebab kami anak yatim. Makanya, I kuatkan hati teruskan saja kehidupan ini macam tiada apa-apa walau hati yang terluka terus terluka hingga kini. Malah lebih lagi.”

Perlahan suara yang keluar. Kepalanya menunduk menahan airmata yang makin banyak mengalir.

“Ya Allah sabarnya kau Ju. Aku pernah terjumpa mesej-mesej mengarut dalam hand phone suami. Aku demand dia bagi jawapan. Katanya suka-suka. Aku ingatkan dia yang lafaz nikah dia kat aku adalah janji pada arwah mak ayah aku, keluarga aku dan Allah. Semudah itu dia main-mainkan?” Sambil mengesat air mata Sally menyambung kisah Ju.

Saya tahu pasti kesusahan yang Sally tanggung selama hidup berumahtangga. Apa yang diutarakan malam itu hanya sekelumit dari keseluruhan kisahnya. Biar ia kekal begitu. “Aku ingatkan aku saja yang kerap mengangis lepas ditinggal suami yang pergi tidak kembali. Rupanya kawan-kawan aku lagi banyak menangis dari aku.” Sambung Cik Mid pula sambil mengesat airmata dengan hujung lengan baju.

“Samalah kita Mid. Sal ingat Sal je yang susah bila suami yang disayang pergi mengejut waktu anak-anak masih tak tau apa-apa. Malam ni baru Sal tahu kesedihan Sal tidak seteruk Siti dan Ju.” Tersedu-sedu suara Salina.

Jen pandang wajah saya dengan pandangan mata yang cukup sayu. Airmata terasa mengalir laju di pipi.

“Baru ni den tau kisah hangpa. Maafkan den kerana biarkan hangpa bersendirian menghadapi kesedihan dan kesusahan selama ni. Camanapun, hangpa semua insan terpilih. Allah berikan pada Ju, CT, Sally, Cikgu Mid dan Salina kekuatan hati yang tidak terhingga. Kerana itu diturunkan ujian sebegitu buat hangpa. Percayalah.” Suara Jen kedengaran tersekat-sekat.

Jemput-jemput ikan bilis yang terhidang bersama kopi panas tidak lagi melambai-lambai. Masing-masing tenggelam dalam lamunan panjang.

Saya tahu mereka sedang membina kekuatan sedang saya pula berada dalam keadaan yang amat lemah dengan kelukaan yang teramat. Namun hati yang terluka seakan hilang sakitnya mendengar kisah sedih kawan-kawan lain. Apalah sangat kelukaan ini dibanding mereka.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Terjemahan sebahagian dari Surah Al-Baqarah ayat 285.

Jen yang duduk di sebelah meletakkan tangan kanannya di atas paha saya sambil memandang tepat ke dalam mata.

“Babe, aku belum pernah mintak jadi kaya raya. Saat ini aku berdoa Allah beri kita harta melimpah ruah, agar dapat tolong kawan-kawan lain. Mari sama-sama tolong depa, Babe.” Saya larikan pandangan dari renungan mata Jen. Tanpa suara. Hanya airmata. Jen tidak perlu tahu. Biarlah.

“InshaaAllah Jen. We do it together. One day. I promise.” Jawab saya perlahan. Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”.

Hadis riwayat Muslim & Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi #36.

Saya tulis kisah ini untuk memberitahu kawan-kawan bahawa setahun akan datang, mereka akan tersenyum mengenang hari ini. Ia permulaan kepada sesuatu yang lebih baik. Kami akan sama-sama berpimpin tangan untuk keluar dari belenggu kebuntuan.

Makbulkanlah Ya Allah.

Kehangatan Cinta

27 tahun.

Banyak ingatan kelam dan pudar ditelan masa. Namun rasa bahagia menjadi suri hidupnya tidak pernah berubah. Suka dan duka kehidupan menceriakan. Ia ibarat, “bila hari terlalu panas, biar hujan turun selebatnya menyejukkan.” Panas dan hujan bersifat kesalingan.

Saya terkenang saat indah detik pertemuan tatkala hati disunting. Teringat kekalutan tidak bersedia sewaktu Mak dan Ayahnya datang membawa cincin tanya di dalam kocek tanpa notis. Alahai …. orang lama, mereka tahu bila waktu paling tepat mengambil langkah pertama.

Setelah lama saat itu berlalu, kami masih berbual tentang kasih sayang, cinta dan kesetiaan. Kenangan silam muncul tanpa dipaksa. Saya terkenang saat-saat indah yang kami lalui bersama.

Banyak. Terlalu banyak untuk dicatatkan. Misalnya, rasa dicintai membuak bila dia melakukan perkara kecil seperti mengambil batu-bata dan disusun di dalam becak supaya kaki saya tidak terpijak air. Aduhai … hati siapa yang tidak cair bila beliau menjadikan jaket yang dipakainya sebagai payung ketika hujan turun secara tiba-tiba.

Alangkah manisnya.

Saya berbisik kepadanya, “pada saat seorang wanita menerima seorang lelaki menjadi suaminya maka tertutuplah hatinya pada yang lain. Rupa dan paras suami sentiasa kacak dan menawan. Itulah kebahagiaan. Tidak hairanlah jika wanita mudah merajuk bila rasa tidak dipedulikan. Namun saya bertuah kerana sentiasa diterima walaupun diri ini penuh dengan kekurangan.” Jawapan keluar dari mulutnya membuat saya seakan terbang di awangan.

After all these years, rasanya sudah tidak nampak di mana kurang atau lebihnya. I only see you. You are the life that I live in.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Mudahnya wanita mahu ke syurga. Selain Allah dan RasulNya, suami amat perlu ditaati. Wanita boleh memilih mahu masuk syurga melalui pintu mana yang dikehendaki. Bertuahnya isteri.

(Nota: Bagi wanita yang belum bertemu jodoh, ia tidaklah termasuk di kalangan yang rugi kerana soal jodoh adalah urusan Allah SWT)

Ketaatan berkait rapat dengan keikhlasan dalam memberi dan menerima. Jika ikhlas  melakukan apa jua pun atas rasa cinta, demi mencari reda Allah, bahagia pasti ujud biarpun ada rasa dan emosi yang terkorban.

Mengimbas kenangan sebagai remaja di universiti, saya sering tertanya kala melihat kawan-kawan sekolej yang menangis dan berduka akibat bercinta atau kecewa kerana cinta.

“Andai benar cinta itu indah, kenapa ramai perempuan menangis disebabkan lelaki? Bukankah indah itu dikaitkan dengan senyuman, ketawa ria dan air mata gembira? Jika asyik berendam air mata, menanggung kesedihan saban masa dan sentiasa dicengkam rasa kecewa, di manakah indahnya cinta?”

Seboleh mungkin saya mahukan kisah cinta yang penuh dengan keindahan, diwarnai dengan senyuman dan gelak ketawa. Ia bukan hanya perlu kelihatan bahagia. Ia perlu benar-benar  bahagia walau tiada siapa yang memandangnya.

Saya terfikir apakah sebenarnya resipi yang menjadikan hidup bercinta itu bahagia?

Bagi saya, suami adalah ketua dalam organisasi kecilnya yang dinamakan rumahtangga. Dia juga abang, kawan rapat, kekasih dan pakar rujuk. Buat anak-anak, dia pelindung dan pembuat keputusan.

Dia sentiasa berdiri di barisan  hadapan, saya di belakangnya diikuti dengan barisan anak-anak. Struktur ini tidak boleh diubah biar tinggi mana pun kami berdiri melebihi darinya.

Saya ketawa bila dia ketawa, dan menangis saat dia menangis. Bila dia terjatuh, tangan saya sentiasa ada untuk dia berpaut. Jika ada senjata datang ke arahnya, saya berlari laju menjadi benteng mempertahankannya.

Di matanya, senyuman saya perlu sentiasa ada kerana gundah gulana dan masam wajah saya menyiksa perasaannya. Ketenangannya akan hilang andai saya sentiasa ribut dan kalut. Suara dan kata-kata yang mendesak tanpa henti akan  menyesakkan hati dan fikirannya.

Tidak perlu diungkit dan diulang perihal tanggungjawab, tugas, peranan atau apa sahaja yang boleh menyalahkan satu pihak. Ia hanya akan mencacatkan lukisan indah yang sedang dilukis bersama! Terima dengan reda, ketepikan persoalan siapa mengapa dan bagaimana kerana hari ini dia alpa hari esok mungkin kita yang lupa. Sentiasa ingatkan diri akan had dan peraturan yang perlu dijadikan rukun kehidupan.

Bohong jika tidak ada awan mendung yang datang menggelapkan dunia atau kilat menyambar yang mengejutkan tidor yang lena. Anggap saja ia nyanyian nyamuk kecil yang pendek jangka hayatnya. Selepas seketika, gigitan nyamuk hilang tidak terasa.

Berterus terang lebih baik dari menjeruk rasa!

“Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

Terjemahan Surah An-Nisaa’: 19

Bila jiwa tenang, fizikal sihat, senyuman akan sentiasa cantik di bibir, MasyaAllah. Hidup ini mudah dan indah jika kita melihatnya  begitu. Kebahagiaan di hati akan terpamer jelas di wajah.

Persoalannya, jika mudah isteri mahu menjadi penghuni syurga, kenapakah Nabi (selawat ke atasnya) ada mengatakan ramai ahli neraka adalah wanita?

Di sepanjang kehidupan, kita sentiasa mendengar keluhan, rintihan, tangisan, teriakan malah tulisan yang menidakkan kesyukuran atas pemberian suami. Segalanya tidak menepati kehendak, lalu kekecewaan demi kekecewaan dihimpun, dibaja dengan rasa kesal dan dendam. Cerita buruk suami dijaja, maruah suami dicampak melata, maruah sendiri entah di mana letaknya.

Ditambah dengan kelemahan sendiri yang sering berburuk sangka, hasad dengki, fitnah memfitnah, membuka aib manusia dan umpat keji. Maka, terbaliklah semua perkara yang membahagiakan suami. Tanpa sedar, sudah tertempah satu tempat untuk isteri di neraka.

Astaghfirullahilazim.

Jauhkan kami dari api nerakaMu.