Waktu mental diasak hingga ke dinding, nafas yang dihela terasa sendat. Allah hu Akbar!
Biarpun ramai pun kawan-kawan di samping, ia hanya mampu menyembuh luka lapisan atas, sedangkan yang parah adalah di dasar. Jauh di lubuk hati. Lalu saya cuba mencari diri melalui hati. Pernah seorang kawan berkata,
Your body cannot take the stress.
Saya nafikan kenyataannya pada waktu itu. Kini, rupanya kenyataan itu nyata benar. Fizikal saya kecundang. Tidak mampu untuk bergerak seperti biasa. Tubuh sakit bagaikan dipukul-pukul sekuat hati. Tapak kaki seperti memijak paku tajam. Perut memulas sentiasa. Segala sendi terasa sakit.
Maka, berbaringanlah saya dengan penuh kelesuan sudah hampir seminggu. Teringat kata arwah Mak, “tak tentu rasa.” Betul. Lapar tetapi makan tak lalu. Mengantuk tetapi tidor tak lena. Sakit tetapi tak tahu di bahagian mana yang perlu dipicit. Kalau Nujum Pak Belalang datang merawat, mungkin dikatanya saya, “Sakit Angau.”
Bila diimbas kembali, kali terakhir saya demam ialah dua tahun lalu. Dan ini kali pertama didiagnos dengan demam denggi. Alahai nyamuk. Apalah yang istimewa sangat mahu dirasa darah remaja purba yang terlebih gebu!
Sakit di badan sebenarnya tidak seperit sakit di hati. Bukan kepalang kecewa bila harapan yang diletakkan musnah tidak kesampaian. Segala usaha seolah sia-sia. Allah hu Rabbi. Saya tahu dengan pasti ini hanya seketika. Akan tiba masa indah buat kami, namun, menghadapi situasi yang sebegini mengasak mental hingga ke tahap maksima.
Berkali-kali saya katakan pada anak-anak, sabar, solat dan doa. Doakan Mama dan Papa kuat menghadapi semua ini. Bangun malam. Mohon pada Allah untuk memudahkan semuanya. Laluan kita Allah sempitkan seketika. InshaaAllah kita mampu menempuhinya dan ia akan menjadi satu kejayaan besar buat kita sebagai hamba Allah. Dia Maha Tahu siapa yang diujiNya.
Namun, bersendirian bukan sesuatu yang mudah seperti yang dibayangkan. Sebagai manusia yang berperasaan, ada ketika berperang dengan perasaan yang bukan-bukan. Sungguh Syaitan memang bermaharajalela mengusik fikiran andai dibiarkan.
Dalam kegelapan malam, sambil melayan kesakitan di badan, saya melihat ke dalam diri, untuk kesekian kali. Mengalir laju airmata memohon keampunan Allah dan mengucapkan Syukur Alhamdulillah kerana ujian ini sebenarnya terlalu sedikit dibanding dengan nikmat yang Dia kurniakan.
Kisah Nabi Allah Yunus yang meninggalkan kaumnya yang derhaka kepada Allah sentiasa menjadi ingatan kepada diri. Kesusahannya bertimpa bila dia diundi, bukan sekali, untuk dibuang ke dalam laut lalu terus ditelan ikan. Pengucapan doa baginda begitu murni.
“Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”
Terjemahan surah Al-Anbiya ayat 87
Saya ulang-ulang doa ini sepanjang masa. Begitu halus maksud yang tersirat. Ia memberi bukti akan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana baginda tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa jua melainkan kepada Allah biarpun berada dalam perut ikan yang gelap gelita. Baginda mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman dan penganiyaan. Baginda yakin bahawa ditelan ikan paus bukanlah satu bentuk penganiyaan dari Allah kepada dirinya. Dan tanpa memberi sebarang alasan, baginda mengakui kesalahannya.
Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri dengan mengakui kesalahannya.
Allah hu Rabbi.
Terasa sungguh kecil dan hina diri di hadapan Allah kerana mulut masih mengeluh sakit itu sakit ini. Bunyi bising dan cahaya silau yang amat sedikit sudah boleh membangkitkan rasa marah yang amat. Baring di atas sofa empuk, dalam kedinginan pendingin hawa, ditemani keluarga, tapi masih mengeluh. Bayangkan kesusahan insan lain.
Sesungguhnya, saya bersyukur kerana dapat merasai kemanisan nikmat ujian kala berdepan dengan kesakitan.
Alhamdulillah.