Jang Huseyin: ‘Permata Islam’ di Korea

Hati saya berdebar-debar ketika membaca kisah lelaki ini di Majalah Koreana, sebuah majalah tentang budaya dan seni Korea yang berprestij. Sebelumnya, tidak pernah saya lihat fokus majalah ini terhadap agama Islam. Gara-gara si lelaki mempunyai kisah perjuangan Islam yang luar biasa, Koreana mengangkatnya sebagai ‘suara kedamaian di Korea.’

Si lelaki luar biasa: Huseyin Kirdemir atau nama Koreanya Jang Huseyin berasal dari Yozgat,Turki. Kini, dia memilih untuk menjadi warganegara Korea setelah bertandang ke negara gunung laut ini pada 1994. Dia telah menemui ‘kunci’ dakwahnya setelah menguasai bahasa Korea selama sembilan bulan di Seoul National University, yang membawanya sehingga ke peringkat master dan Phd dalam bidang Bahasa Korea di universiti yang sama.

Dengan bahasa Korea itulah, Jang Huseyin kini menubuhkan syarikat penerbitan Islam, Jannah Mumin Book dengan niat menulis, menerbit dan menyebarkan buku-buku tentang Islam dalam bahasa Korea

Niat Pertama ke Korea

“Ayah saya mengidamkan untuk bertugas sebagai tentera Turki di Korea ketika meletusnya Perang Korea. Malangnya, kerana ketinggiannya tidak memenuhi syarat, beliau tidak terpilih,” kata Jang Huseyin membuka cerita bagaimana nama Korea mula muncul dalam dirinya. Minatnya makin menggebu saat menonton filem-filem Korea sehingga mendorongnya belajar Bahasa Korea di Ankara University School of Foreign Languages.

“Saya ingin pergi ke Korea, melihat negara itu dengan mata kepala sendiri setelah ayah gagal dipilih ke sana suatu masa dulu,” jelas Jang Huseyin. Dia tiba di Seoul pada 1994 saat orang asing masih langka. “Orang Korea tidak begitu tahu tentang Islam. Saya masih ingat, pada bulan Ramadan ketika itu, saya berpuasa dan teman-teman Korea fikir saya diet atau tidak mempunyai duit untuk makan,” tambahnya.

Sebaliknya sekarang, Jang Huseyin menyaksikan perkembangan Islam yang pesat di Korea. Daripada masjid yang dikunjungi ramai Muslim seluruh dunia, restoran-restoran Muslim sehinggalah produk makanan halal yang dijual di banyak pasaraya besar di Korea.

Membetulkan Salah-Faham

Seakan fenomena di seluruh dunia, apabila orang-orang non-Muslim mula mencari maklumat tentang Islam pasca serangan 9/11 termasuk masyarakat Korea. Mereka ingin tahu apa itu Islam? Lalu, ada pihak yang mengambil kesempatan menerbitkan buku-buku Islam dengan maklumat yang salah.

“Saya pergi ke Kedai Buku Kyobo untuk mencari buku tentang Islam dalam bahasa Korea. Yang saya temui adalah buku-buku yang memberi maklumat ‘sesat’ tentang Islam.  Sebahagian besar pengarangnya non-Muslim. Satu kesalahan yang saya tidak lupakan adalah sebuah buku Korea yang menceritakan tentang zakat.

Di buku itu tertulis, setiap Muslim perlu mengeluarkan zakat sebanyak 25 peratus harta kepada orang yang berhak. Ini adalah kesalahan yang besar, sepatutnya bukan 25 peratus tetapi 2.5 peratus! Kesalahan seperti ini tidak boleh dimaafkan walaupun si penulisnya ‘tidak sengaja’,” jelas Jang Huseyin.

Beliau kemudian mendapat idea untuk membetulkan salah-faham ini setelah menerima sebuah buku dari rakannya di New York. “Buku itu bertajuk Understanding Islam and Muslims dengan format soal-jawab bersama foto dan informasi asas tentang Islam. Saya kemudiannya menerjemahkan buku ini ke dalam bahasa Korea,” kata Jang Huseyin tidak menyangka buku tersebut dicetak-ulang selama enam kali.

Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Korea sangat tertarik mengetahui tentang Islam. Sehingga kini, beliau telah menerjemahkan lebih 20 buah buku tentang Islam ke dalam bahasa Korea.

Bertemu ‘Sayap Kiri’ Perjuangan Islam

Jang Huseyin menggiatkan usaha dakwahnya dengan mengeluarkan Majalah Beautiful Islam yang kemudian di pindahkan menjadi laman web.

“Seorang wanita Korea Muslim yang sedang belajar di New York menghubunginya saya. Dia mencari maklumat tentang Islam dalam bahasa Korea lalu bertemu dengan laman web tersebut. Setelah beberapa kali berutus emel dan bertemu di Korea, kami berkahwin,” jelas Jang Huseyin yang mengahwini Aliya Eunno Yoon dan dikurniakan dua anak, Jannah, 9 tahun dan Mumin, 6 tahun.

Allah SWT menyusun rencana yang terbaik untuk mereka kerana sama-sama mempunyai niat menyebarkan Islam di Korea. Kini, pasangan tersebut membangunkan syarikat penerbitan buku dan laman web bertempat di Paju, luar Seoul Fokus utama syarikat mereka adalah menulis dan menerbitkan buku-buku Islam untuk kanak-kanak, masyarakat Muslim di Korea dan masyarakat umum.

Antara judul buku yang telah ditulis dan diterbitkan Jang Huseyin dan isterinya adalah Kisah-Kisah Saudara baru Yang Memilih Islam (2012), 40 Hadith Imam Nawawi dan Penerangannya (2014), Jawapan kepada Orang Korea: 40 Soalan Yang Sering ditanyakan Tentang Islam (2014), Hilang di Istanbul:Kisah Jannah dan Mumin (2013).

Menyebarkan Islam, Menyebarkan Kedamaian

Jang Huseyin berasa dirinya memikul tanggungjawab besar iaitu membebaskan Islam dari salah-faham dan fitnah. Hari ini, dalam keadaan sebahagian masyarakat Muslim tidak berakhlak sebagai Muslim, tentunya amat mencabar untuk menjelaskan Islam yang sebenar. Di media barat, Islam selalu digambarkan agama aneh dan penuh kekerasan. Hakikatnya, Islam adalah agama penyelesai masalah manusia, ianya bukan agama yang menyempitkan kehidupan.

“Majoriti umat Islam menyintai kedamaian, mereka adalah orang yang mesra dan terbuka. Saya berharap buku-buku saya dapat memberi manfaat kepada masyarakat Muslim dan non-Muslim di Korea,” katanya mengakhiri bicara.

Kisah Jang Husiyen antara kisah luar-biasa yang kami temui di Korea. Saya berdoa dan berharap agar dapat bersama-sama dengan beliau dan isterinya untuk menyebarkan dakwah melalui penerbitan buku di Korea. Para pembaca bolehlah melayari laman web Jang Huseyin di www.jannahmuminbooks.com

Setenang Sungai Korea Selatan

“Dan Dia mengukuhkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”- Terjemahan an-Nahl ayat 15.

Setiap kali saya menaiki bas untuk ke universiti, pasti akan melalui sungai yang membentengi Pekan Seokgye dan Nowon, hampir di Timur Seoul. Sungai ini antara puluhan sungai kecil yang berarus ke Sungai Han iaitu sungai utama di Seoul. Dari  cermin tingkap bas, saya menatap sungai yang mengalir tenang. Airnya tidak begitu dalam, ternampak bunga-bunga kecil yang melata di kawasan bertanah tepi sungai.

Pandangan dari kejauhan kemudiannya menjadi satu keinginan untuk mendekat. Sewaktu pertukaran bas lain di Stesen Seokgye, saya mula memerhatikan dari balik benteng yang di bawahnya sungai kecil mengalir. Sungguh, tiada sampah dan sisa pencemaran. Yang ada hanyalah kumpulan itik dan beburung riang mengusik air. Masya Allah, saya menjadi terpesona.

Begitupun ketika mengitari Sungai Han yang sudah ditakluk tamadun pada kurun 18 sebelum Masihi, sungainya seolah-olah tidak pernah disentuh perubahan masa. Saya mula nakal membandingkan dengan sungai-sungai di Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara sungai, justerulah nama-nama negerinya (seperti Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak) diambil daripada nama sungai.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita banyak yang tercemar. Bau di Sungai Klang sahaja cukup membuatkan itik menjauhinya, apatah lagi manusia. Jika begitulah keadaannya, bagaimanalah manusia boleh mendapat petunjuk (hidayah) daripada kebesaran Allah SWT yang menciptakan sungai dan semua makhluk?

Semakin Tunduk

“Orang Korea majoritinya tidak beragama, tetapi adab mereka kepada alam termasuk sungai menyebabkan kita malu,” saya bercakap kepada diri sendiri. Pentingnya sungai kepada bangsa Korea dapat dilihat melalui usaha kerajaannya yang silih berganti.

Dari tahun 2009, Kerajaan Korea telah membelanjakan kira-kira 18 billion US Dolar untuk menjaga alam semula jadi terutama sungai yang menjadi penghubung antara daerah dan kota. Usaha ini turut melibatkan pemindahan kilang dan lokasi yang boleh mencemarkan sungai. Bahkan, menurut pemerintah Korea, mereka membersihkan sungai seolah seperti membersihkan ateri seorang pesakit arteriosclerosis; perlu berhati-hati dan serius!

Allahuakbar! Di manakah pemimpin-pemimpin negara Islam yang mahu ke hadapan bercakap tentang pembersihan sungai dan alam semula jadi, tanpa niat politik atau menaikkan diri sendiri? Dan persoalan lain, mengapakah masyarakat di negara majoriti umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerjasama dengan pemimpin mereka untuk menjaga sungai?

Saya melirik lelaki dan wanita Korea berumur separuh baya, berjalan kaki di tepi sungai. Di sisi mereka, anak anjing berlari terkedek-kedek. Sepasang suami isteri dan dua anak pula mengayuh basikal, girang dan segar dek puputan angin. Bunga ilalang menari-nari sepanjang sisir sungai. Dua pasukan bola jaring sedang berentap di gelanggang yang juga terletak tebing sungai. Rumah-rumah tinggi yang tegap, balkoninya mengadap ke Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeosang: empat sungai yang memartabatkan bangsa Korea.

Semuanya seolah-olah ingin melihat ke sungai, ketika melakukan apa-apa sahaja. Seperti lirik Yi Byeong-yeon, “Saat cahaya matahari pagi menari di Sungai Han, aku dapat menyaksikan dengan samar kapal-kapal nelayan di antara puncak gunung.” Kerana sungai seluruh Korea yang indah, semuanya mahu mendekat dan menatap air yang terus mengalir.

Pesan Imam Syafie

Sungai amat penting kepada perantau seperti saya. Di sungai, saya teringatkan diri sendiri; apakah mahu mengambil iktibar resam air sungai? Kata Imam Syafie, “Jadilah seperti air sungai yang mengalir, bukan yang bertakung kerana air yang mengalir itu memberi manfaat kepada manusia. Manakala air yang bertakung cepat busuk dan mendatangkan mudarat.”

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak berkisah tentang syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Keindahan sungai-sungai di syurga pasti tidak terbayang oleh akal fikiran. Namun, sebagai motivasi kita dapat mengambil ‘semangat’ mahu ke syurga dengan melihat ‘bunga-bunga’ kisahan Allah SWT yang ada di dunia. Di waktu malam, saat kami berpeluang mengitari sisir Sungai Han yang dipercik cahaya lampu-lampu seluruh Kota Seoul, lalu hatipun berbisik, “Ya Allah, bagaimanalah sungai-sungai di syurga nanti, memandang sungai di hadapanku ini sahaja amat indah? Allahuakbar!”

Lalu, saya menyimpul iktibar. Sungai dapat menjembatani manusia kepada hidayahNya. Seperti ayatNya dalam Surah an-Nahl ayat 15 di atas. Kejadian Allah SWT secara fitrahnya sangat indah, cuma tangan-tangan manusialah yang menghancurkan keindahan itu. Di setiap sisi ciptaanNya adalah untuk manusia berfikir.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita (dan negara majoriti umat Islam) telah dirosakkan manusianya sehingga menyebabkan ramai manusia jauh (dek sungai yang kotor) daripada memikirkan kebesaran Allah SWT.

Tetapi sungai-sungai di Seoul ini menyebabkan kami berasa kerdil dan tunduk padaNya.

Allah ya Allah.

Bahagia di Korea

Saban hari berasak dalam tren menuju ke Hankuk University of Foreign Studies membuatkan minda sudah dapat mengagak destinasi yang akan dilalui, kepadatan penumpang dengan waktu, jumlah minit yang diambil untuk berjalan kaki dan emosi penumpang di waktu pagi dan petang.

Saya dapat menatap wajah-wajah ceria di pagi hari ketika memasuki perut tren sekitar jam 9. Wajah yang cukup tidur dan tidak kalut. Jika lebih awal, rata-rata penumpang melelapkan mata sebelum tiba ke destinasi. Adakala saya pulang agak lewat, antara pukul 6 hingga 7 petang, manusia-manusia Korea seperti robot yang kehabisan tenaga, tidak mampu senyum dan bercakap lagi. Majoritinya tenggelam dalam dunia masing-masing; dunia gajet.

Melihat putaran yang begitu, minda berfikir. Kehidupan adalah sebuah proses, ianya tidak berlaku secara spontan dan tanpa perancangan. Namun, jika tidak dihubungkan dengan Allah SWT, apakah hidup mereka akan bermakna?

 

Belajar Kerana Wang

 

Dalam kelas terakhir semester lalu, saya ingin menggalakkan para mahasiswa di kelas kami bertutur Bahasa Melayu atau Indonesia. Saya menetapkan satu topik dan mengarahkan semua pelajar bercakap tentangnya. Mereka akan diberikan markah berdasarkan pandangan masing-masing dalam Bahasa Nusantara.

“Apakah pandangan anda tentang universiti di Korea?” Itulah topik ‘hangat’ yang kemudiannya mendapat pelbagai pandangan menarik.

“Saya tidak suka dengan sistem pendidikan tinggi Korea sekarang. Kami diajarkan untuk belajar kerana wang  bukan ilmu!” kata seorang mahasiswa.

“Benar sekali pandangan teman saya. Hari ini para mahasiswa berlumba memasuki universiti yang menjadi pilihan syarikat-syarikat besar seperti Samsung, Hyundai, Kia, LG dan Lotte. Namun, daripada lebih 300 buah universiti di seluruh Korea, hanya 5 universiti yang diutamakan syarikat-syarikat ini..” tambah pelajar lain.

“Untuk pengetahuan Puan Ummi, kes bunuh diri juga banyak di kalangan para pelajar sekolah tinggi gara-gara tidak berjaya masuk ke lima universiti terbaik di Korea,” kata seorang pelajar lagi.

“Mengapa mereka begitu kecewa?” Tanya saya separuh terkejut. Kemudian saya dimaklumkan bahawa sejak di sekolah rendah lagi, anak-anak Korea sudah dipersiapkan untuk menjadi pekerja kepada syaraikat konglomerat. Malah, sebahagian besar bapa-bapa di Korea sanggup menghantar anak dan isteri mereka ke Amerika atau Eropah supaya si anak dapat belajar dan menguasai Bahasa Inggeris. Setelah itu, si anak diharapkan mudah mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat utama Korea.”

“Jika gagal masuk ke universiti utama, para mahasiswa perlu bekerja lebih keras lagi. Ini kerana, mahasiswa dari universiti pilihan walaupun nilai PNGK rendah, mereka seolah sudah ada tempat dalam syarikat besar. Tetapi bukan untuk mahasiswa dari universiti biasa,” sokong seorang pelajar lain.

Saya mengangguk. Petang itu saya belajar tentang ‘fenomena perit’ dihadapi anak bangsa Korea Selatan. Terbayang bagaimana mahasiswa-mahasiswa di Hufs belajar di perpustakaan sehingga lewat malam. Ada yang sanggup menghantar emel dan mesej kepada pensyarah agar diberikan markah yang baik. Mereka merayu-rayu seolah nilai peperiksaan itulah yang akan menentukan kebahagiaan hidup mereka. Paling malang, mereka tiada konsep tawakal dan redho setelah berusaha. Jika kecewa, mereka lepaskan di gelas minuman keras. Jika berjaya, gelas minuman keras jugalah yang mereka cari.

 

Bagaimana Berkongsi Bahagia Iman?

Saat itu saya berasa bertuahnya menjadi seorang beriman, berjaya atau gagal ada Allah SWT dalam doa dan harapan. Persoalan lain yang merenggut hati adalah, bagaimana boleh saya kongsikan kebahagiaan memiliki iman dengan anak-anak Korea di kelas saya ini?

Saya pernah berkongsikan kisah bersama pensyarah dan dua rakan sekelas Phd yang ‘bergurau’ tentang agama. Persoalan yang sama bermain di minda, perasaan yang sama mencengkam jiwa. Saya berasa lemah sekali untuk menjadi pendakwah dengan lisan, jauh sekali mencontohi Allahyarham Syeikh Ahmad Deedat atau Dr Zakir Naik menyebarkan dakwah Islam di pentas umum.

Ketika perasaan-perasaan tidak baik muncul di hati, saya jadi berat berasak dalam tren dan bersejuk menuju kelas. Saat itu jugalah saya terfikir, jika dengan mulut saya  lemah menyampaikan tentang Allah SWT, apakah saya mahu mengalah juga dengan menunjukkan perbuatan tidak elok (dengan tidak menghadiri kelas atau lambat masuk kelas) kepada khalayak non- Muslim di sekeliling kami? Di mana bahagia iman yang mahu saya kongsikan dengan mereka?

Wajah Kita Iman Kita  

 

Saya tidak dapat bercakap apatah lagi berdebat tentang kebenaran Islam selagi saya sendiri belum menikmati dan menyebarkannya melalui tindak-tanduk. Itulah yang perlu saya usahakan dulu setiap kali berhadapan rakan-rakan dan mahasiswa Korea. Walaupun di saat saya sendiri diuji dengan kelalaian dunia, saya perlu sentiasa berjuang; menyebarkan bahagia kepada non-Muslim.

Ayat-ayatNya sentiasa menjadi pedoman:

“Apa yang menimpa kami ini telah Allah gariskan. Dialah pelindung kami. Hanya Allah semata semestinya orang-orang mukmin itu bertawakal” (Surat at-Taubah ayat: 64).

Sesungguhnya, setelah mendapat bahagia, perlu berjuang pula untuk menyebarkannya!

DUA SISI

Makanan pertama masuk ke perut kami sejurus tiba di Seoul adalah kebab Turki. Profesor Dr Lim Kim Hui yang sudah empat tahun menjadi Profesor Pengajian Melayu di Hankuk University of Foreign Studies muncul di rumah ‘bilik’ kami dengan senyum mesra.

Dia menawarkan diri untuk mengajar kami cara menaiki subway. Tempat pertama yang ditunjukkan adalah Itaewon dan masjid. Di situlah beliau membelikan kami kebab Turki sebagai tanda ‘selamat menjadi penghuni Kota Seoul.’

Setelah itu, Turki antara kalimah popular yang selalu muncul di bibir saya dan suami, gara-gara ‘kebab dan rotinya.’

Sisi Mulia Turki

Membaca fakta perkembangan Islam di Korea abad ke 20, kita akan mengagumi usaha negara Turki. Ketika meletusnya Perang Korea pada 1950 yang menyebabkan negara itu terpecah dua, Turki adalah salah-satu negara yang ditugaskan United Nation (UN) untuk menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Korea Selatan.

Rupanya, kemasukan tentera Turki yang beragama Islam ke Korea adalah ‘pintu awal’ kepesatan agama Tauhid di negara soju dan kimci ini. Meneladani hijrah Rasulullah SAW, kerajaan Turki membiayai penubuhan masjid pertama di Korea iaitu Seoul Central Mosque tatkala tenteranya berjumlah lebih 4500 orang di Korea. Bukan itu sahaja, tamat Perang Korea, sebahagian tenteranya memilih tinggal di sini demi misi dakwah.

Allahuakbar! Saya berasa kagum dengan bangsa Turki daripada aspek ini. Mereka tidak putus asa dan berhenti sekerat jalan. Setelah masjid dibina, mereka mengenalkan Islam kepada penduduk tempatan termasuklah mewujudkan ekonomi Islam. Hampir 66 tahun usaha dakwah Turki di Korea, kita dapat melihat organisasi-organisasi sosial dan ekonomi Islam Korea banyak ditaja Kerajaan Turki.

Bangsanya mengusahakan produk makanan halal di merata ceruk Korea. Orang-orang Korea juga mempelajari budaya dan Bahasa Turki terutama selepas penubuhan Jabatan Bahasa Turki di Hankuk University of Foreign Studies. Mempelajari tamadun Turki bermakna mempelajari juga tamadun Islam Bani Uthmaniyyah.

Sisi ‘Tidak Sihat’

“Cik, bolehkah kami menemubual anda berkaitan Islam di Korea?” tanya seorang lelaki Korea ketika saya selesai solat di bilik pelajar Antarabangsa. Saya mengangguk dan menyertai perbincangan si lelaki dan rakan-rakannya.

“Saya pensyarah di sini, bahagian politik Asia,” kata si lelaki memperkenalkan diri. Kami berinteraksi dalam Bahasa Inggeris.

Setelah saya menceritakan latar-belakang diri, mereka mula ‘menembak’ soalan ‘kencang’ kepada saya.

“Anda selalu menunaikan solat di Masjid Itaewon?” tanya mereka. Saya menjawab sekurangnya sekali atau dua kali sebulan, tetapi suami saya ke masjid setiap minggu.

“Anda pernah menyertai aktiviti di masjid yang berunsurkan ‘ekstrim’?” tanya mereka. Saya mulai geram dan mengawal emosi. Saya terangkan bahawa apa sahaja aktiviti di masjid adalah bersifat kasih-sayang dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Menyuruh para penganut Islam menyebarkan cintaNya kepada seluruh manusia, bukan membunuh dan mencederakan orang lain hatta orang bukan Islam.

“Cik, pernahkah anda diganggu lelaki Muslim ketika anda ke masjid? Kami mendapat tahu ada wanita Muslim yang cuba disentuh dan diusik para pemuda Muslim di Itaewon,” kata si pensyarah ini. Saya menggeleng kepala. Sejujurnya, saya tidak pernah mengalami situasi itu.

Kemudian, saya ditanyakan soalan-soalan yang majoritinya mahu dikaitkan dengan keganasan IS. Perbincangan petang itu saya akhiri dengan persoalan lain buat kumpulan ‘prihatin’ ini.

“Jihad dalam Islam itu luas. Bukan seperti yang anda fahami sebaik membacanya dari sumber yang dikaitkan dengan IS. Jihad utama dalam Islam adalah melawan hawa nafsu sendiri untuk menjadi manusia yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Menjadi orang yang terbaik dalam setiap lapangan terutama ilmu pengetahuan serta memberi manfaat pula kepada manusia lain. Manakala jihad perang itu dianjurkan setelah hak seorang Muslim itu dicabuli dan dirampas.

Anda lihat bagaimana umat Islam dijajah dan dizalimi di seluruh dunia terutama di Palestin? Mereka perlu mempertahankan nyawa dan tanah air mereka. Mereka perlu mengangkat senjata!” Mereka mengangguk; entah setuju atau tidak.

Tiba-tiba, terbit di mata saya beberapa sosok lelaki Turki yang saya jumpa di Itaewon. Gaya mereka tidak mencerminkan akhlak Islam. Mereka berpacaran bebas dengan wanita Korea, meninggalkan solat Jemaah di masjid, mengganggu wanita-wanita yang lalu di depan kedai mereka dengan ‘senyum dan mata menggoda.’ Malah, saya pernah melihat modennya seorang gadis Turki; lebih moden dari wanita Inggeris.

Sungguh ironi dengan sejarah  Islam yang dimulai bangsa mereka sendiri di Korea. Kerana dua sisi inilah: baik dan buruk menyebabkan orang bukan Islam khususnya orang Korea, menjadi keliru tentang Islam yang sebenar.

Ya Allah, ampunilah dosa kami semua. Berilah kami kekuatan untuk menjadi duta agamaMu di manapun kami berada.

Sunyi Seorang Bisu di Korea

Hampir empat bulan saya menjalani rutin yang hampir sama: keluar dari rumah 8.30 pagi, mengejar tren bersama ratusan pekerja Korea, menunggu bas dalam rintik hujan pagi (kadangkala salji) dan berlari-lari ke kelas. Pulang ke rumah juga begitu, bezanya bumi sudah bertukar gelap dan alam lebih dingin. Jauh di sudut hati, perasaan resah berkocak. Hanya waktu malam saya dapat bersama suami dan anak-anak. Tatkala menatap ayat-ayat cintaNYA, hati kembali bersemangat, disuntik motivasi daripada Ilahi.

“Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah suka golongan yang bertawakal.” (Surah Ali-Imron: 159)

Hidup adalah perjuangan. Hidup bukanlah bersenang-lenang. Tempat paling nyaman untuk beristirahat adalah di akhirat. Di syurga!

Itulah motivasi yang menerbitkan senyuman dan rasa ceria dalam diri saya. Sekalipun bertubi-tubi ujian dunia hadir (terutama ujian masa dan pengajian), saya tetap positif bahawa Allah SWT masih tidak menutup pintu taubat. Lantas terus beristighfar dan berdoa agar rentak seorang Muslim lebih baik dari semalam.

“Peluklah Agama Dia!”

Dalam kelas, profesor kami dan dua rakan Korea sering ‘mengumpat’ tentang isu-semasa yang berlaku di Korea. Dari isu presiden mereka sehinggalah gaya artis k-Pop wanita Korea. “Sangat menjelikkan dan memalukan Korea,” kata mereka merujuk artis-artis K-Pop wanita.

Saya jadi terkejut. “Saya fikir semua orang Korea bangga dengan K-pop mereka, dek K-Pop seluruh dunia mengenali Korea,” balas saya. “Tidak..tidak..kami tidak suka,” balas profesor dan dua rakan. “Artis K-Pop wanita tak ubah seperti simbol seks. Sangat menakutkan. Ianya bukan budaya Korea,” kata rakan sekelas dipersetujui profesor.

Saya mengangguk faham, rupanya bukan semua orang Korea bersetuju dengan budaya hedonism K-Pop. Namun, kerana mereka ‘tidak beriman dengan Tuhan’, perasaan jelek tidak dikaitkan dengan agama. Hanya fitrah semata-mata.

Di hari yang lain, kelas kami bermula dengan suasana tidak ceria. Rakan sekelas masuk sambil mengadukan tekanan perasaannya. Profesor memberi kata-kata semangat dengan diakhiri satu gurauan, “Kamu peluklah agama Ummi. Cuba lihat dia, dia selalu tenang. Dia tenang kerana dia ada agama!”

Rakan saya itu ketawa. Saya pula mengucap ‘Masya Allah’ dalam hati. Begitu sekali ‘cara orang Korea ‘Atheis’ bergurau tentang agama. Semoga Allah SWT memberi mereka hidayahNya.

Hadiah Tafsir al-Quran Korea

Saat agama Islam menjadi topik perbincangan antara saya dengan orang Korea, hati saya berdebar. Betapa kerdilnya lidah ini menyusun ayat dan hujah.

“Mengapa wanita Islam perlu memakai tudung?” tanya seorang pelajar Korea.

“Allah SWT memerintahkan wanita agar menutup aurat, rambut juga termasuk aurat yang perlu ditutup.”

“Ya saya tahu itu perintah agama, tetapi mengapa perlu tutup rambut?” katanya lagi, mahukan jawapan logik. Lalu saya kaitkan dengan faktor keselamatan seorang wanita yang diciptakan Tuhan  sebagai makhluk yang cantik. Apa yang Tuhan gariskan pasti ada kebaikannya.

“Kami tidak dapat menerima hujahan dari al-Quran. Ramai rakan Muslim memberikan saya dalil dari al-Quran tetapi saya tolak,” kata seorang pelajar yang lain. Hari itu dia bertanyakan tentang logiknya Hukum Hudud dilaksanakan di negara-negara Islam.

Saya bertanya semula kepadanya, “Anda tahu apa hukuman untuk pengedar dadah atau membunuh orang di Malaysia dan Indonesia? Hukum gantung dan tembak? Itu tidak zalim? Itu undang-undang Barat bukan?” Dia mengangguk.

“Mengapa anda tidak mengatakan ianya zalim? Kerana anda berasa hukuman itu cocok dengan jenayah yang dilakukan orang itukan?” Dia mengangguk.

“Anda fikirlah. Hukum Hudud juga adalah bentuk hukuman jenayah. Bezanya, ianya dimaktubkan oleh Allah Swt, Tuhan Semesta alam. Hukuman ini tidak ada kena mengena dengan orang yang baik, dan orang yang tidak melakukan kesalahan.

Misalnya, jika harta saya dirompak penjahat, apakah saya perlu takut dengan hukum Hudud? Jawapannya tidak. Bahkan, saya perlukan hukum Hudud untuk mengembalikan semula hak saya. Jika kamu berada dalam situasi mangsa jenayah, kamu pasti bersetuju dengan Hukum Hudud yang jauh lebih selektif dan manusiawi berbanding undang-undang barat,” terang saya.

Pelajar saya itu  mengangguk. Di hari yang lain dia masih merasakan Islam tidak terbuka kepada sesetengah pihak. Lalu isu seperti poligami, hukuman kepada peminum arak dan penzina dipersoalkan.

Saya berkata kepadanya, “Anda jangan lupa memikirkan kesan apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT. Berapa ramai bayi tidak berdosa dibuang dan dibunuh akibat zina? Berapa ramai isteri-isteri menjadi mangsa keganasan suami yang mabuk? Anda juga perlu tahu, poligami bukan suruhan tetapi pilihan. Jika seorang wanita itu sakit dan tidak dapat memberi suaminya anak, lebih baik baginya jika suaminya berkahwin dengan wanita lain berbanding membiarkan suami berfoya dengan pelacur.

Anda harus berfikir dengan cara seorang Muslim, kerana kami tidak bertuhankan akal. Kami bertuhankan Allah SWT yang menurunkan al-Quran melalui Nabi Muhammad SAW. Nah, anda harus membaca dan mengkaji al-Quran dahulu,” kata saya.

Pelajar itu senyum. Saya juga menghubungkannya dengan seorang pensyarah undang-undang Islam di UKM agar dia boleh berdebat lebih akademik di e-mel. Di akhir semester, saya menghadiahkan pelajar itu tafsir al-Quran dalam bahasa Korea. Saya berdoa agar hidayah Allah SWT ada untuknya.

Sunyi Seorang Bisu

Dalam tren yang menjadi kenderaan utama saya di Korea, selalu saya perhatikan wajah-wajah mereka. Hidup mereka tahu bahawa Tuhan itu ada. Tetapi bagi mereka, Tuhan amat jauh dan tidak ada kena mengena dengan urusan hidup mereka. Mereka adalah orang yang menjaga masa, mereka suka membantu orang lain, menjaga kebersihan dan bersungguh dalam kerja. Semua itu adalah ajaran Islam. Tetapi mereka belum pernah mendengar bahawa Allah SWT adalah Pencipta dan Tuhan sekalian alam.

Ketika itulah hati saya berbisik, “Ya Allah, datangkan  aku seorang rakan seperjuangan seperti Nabi Harun yang membantu Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan Bani Israel. Datangkanlah ya Allah. Aku ingin menyampaikan dakwahMu, tetapi aku masih lagi bisu..”

Garang Sigadis Korea

Saya selalu terilham melihat wanita-wanita di Korea. Ada pelbagai bentuk imej mereka. Suatu ketika dalam tren di Kota Seoul, saya tersentak oleh ketawa sekumpulan wanita yang berpakaian hampir seragam: topi, jaket nipis, seluar dan beg tangan yang semuanya berwarna-warni.

Rambut mereka yang sedikit berjurai dari topi kelihatan sama: kerinting. Wajah mereka melambangkan kekentalan Korea yang asli, tidak terusik oleh pembedahan plastik, ada kedutan tetapi ceria.

Suara mereka gamat, tidak menghiraukan siapapun yang berada dalam tren. Mereka bercerita, ketawa dan bercerita lagi, terus ketawa tanpa henti. Sebagai pengembara baru, saya tertanya-tanya sendiri, siapakah kumpulan wanita ‘pelik’ ini?

Rupanya, pada hari-hari yang lain, bukan sahaja dalam tren, tetapi di pasar, di taman atau dalam bas, saya bertemu lagi kumpulan seperti ini. Sewaktu mahu melintasi jalan, saya lihat seorang wanita, walaupun tidak dalam kumpulan, imejnya sama. Dia mengayuh basikal dengan baju dan topi berwarna pink. Agakan saya umurnya seperti kumpulan wanita yang saya jumpa, 50-an ke 60-an.

Di pasar, melihat kedai-kedai pakaian yang berderetan, minda sudah dapat mengagak ‘untuk siapa’baju, topi, kasut, seluar dan aksesori itu dijual jika desain dan warnanya terang begitu?  Akhirnya, saya menjumpai perkataan yang sesuai merujuk kepada wanita-wanita ‘khas’ ini. Mereka digelarkan ‘ajumma’ (yang bermaksud makcik) di Korea.

Tidak semua wanita Korea mahu digelarkan diri sebagai ‘ajumma’ walaupun mereka adalah ‘makcik’. Ajumma terkenal dengan sifat berani, banyak mulut, berterus-terang, keras hati dan bergerak dalam kumpulan. Pakaian dan aksesori mereka sama. Uniknya mereka ini sehingga seorang penulis Korea menyebutkan dalam tulisannya: Ada tiga jenis manusia di Korea. Pertama lelaki, kedua perempuan dan ketiga Ajumma!

Gadis Korea Yang Garang  

Dalam bas pagi itu, saya memilih berdiri sepanjang perjalanan ke universiti. Ada satu kerusi kosong di tempat duduk belakang, sebelah wanita ‘ajumma’. Tetapi berat hati saya mahu duduk di situ. Bas mengambil penumpang di satu hentian, seorang gadis Korea yang sedikit gempal naik dan terus memilih duduk di sebelah ajumma di belakang. Malangnya, kerana badan gempalnya itu, dia tersinggung tubuh ajumma yang lebih kecil. Itulah permulaan ‘perang mulut’ pagi itu sepanjang saya ke universiti.

“Kamu duduklah baik-baik, tengok beg saya pun dah jatuh!” jerit ajumma kepada si gadis. Kuat. “Ajumma, saya tak sengaja. Janganlah marah!” jerit si gadis, lebih kuat. “Kamu ni kurang ajar betul. Lain kali minta maaf!” jerkah ajumma. “Saya tak sengajalah ajumma. Janganlah menjerit!,” balas si gadis dalam nada tinggi. Mereka terus bergaduh tanpa menghiraukan penumpang bas lain. Hal ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa dalam kelas di semester kedua.

“Saya pelik bagaimana kamu boleh belajar di Korea tetapi tidak tahu berbahasa Korea?” jerit rakan wanita saya. Kelas kami sedang berhenti rehat. Profesor Lee yang duduk di tempatnya hanya memandang, tidak memberi sebarang respon. Beliau adalah pakar Sastera Perancis, tidak mahir berbahasa Inggeris dan menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Korea.

“Saya dimaklumkan tidak perlu bahasa Korea kerana saya dalam bidang Sastera Melayu-Indonesia,” jawab saya. “Kamu sepatutnya pergi belajar bahasa Korea dulu kemudian baru sertai kelas ini,” katanya lagi. Seorang rakan wanita lain turut menyokong, mereka berdua menjerit-jerit ‘meleteri’ saya hari itu. Ya, di depan profesor. Kemudian, saya keluar dari kelas dengan luruhan air mata. Peristiwa itu membuka mata saya bahawa gadis Korea ‘bukan sebarangan beraninya!’

Hati Yang Baik

Peristiwa gugur air mata itu saya ceritakan kepada suami. “Semoga inilah kali terakhir saya jumpa mereka di Korea,” kata saya yang kecewa. Suami memberi semangat, menyuruh saya berdoa yang baik-baik untuk orang lain. Doa saya dimakbulkan Allah Swt pada semester ketiga, saya tidak sekelas dengan gadis-gadis ‘garang’ itu lagi.

Sebaliknya, pada semester keempat saya tiada pilihan. Rupanya Allah SWT tempatkan saya dengan dua gadis ‘yang memarahi’ saya dulu dalam satu kelas. Ya, hanya kami bertiga. Saya kuatkan hati. Ini adalah semester terakhir kelas, selepas ini saya dan mereka akan membawa haluan ‘tesis’ masing-masing. Tidak saya jangka, mereka ‘berubah angin’ dan begitu baik terhadap saya.

Saat saya ingin menduduki peperiksaan akhir kelas Phd, merekalah yang menghubungi pihak pengurusan peperiksaan agar menyediakan soalan dalam bahasa Inggeris. Salah-seorangnya mencarikan soalan-soalan ‘target’ dan menerjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Malah begitu sungguh-sungguh membantu.

“Ummi, kamu tak dapat mesej saya?” si gadis Korea ini menelefon saya beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Maafkan saya Onyi (kakak), nombor telefon saya sudah tukar. Jadi, saya tak terima mesej kamu,” terang saya.

“Oh, saya dapat nombor baru kamu ini daripada orang lain. Begini, saya mahu hantar soalan target kepada kamu, berikan emel segera. Kami mahu kamu berjaya, jangan putus asa,” katanya, membuatkan saya terharu. Begitu sekali mereka menyokong saya. Syukur, soalan target yang mereka berikan itulah yang terbit dalam peperiksaan.

Semakin kerap bertemu, makin erat hubungan kami. Kadang-kadang mereka membelikan saya kopi dan kuih, saya membalasnya dengan roti. Saya sudah melupakan riak wajah mereka yang ‘garang’ dulu kerana gadis-gadis Korea suka berterus-terang. Mereka bukan marah tetapi sebenarnya prihatin.

Sporting

Sewaktu ayah saya mencari orang Korea yang mahu berlakon dalam Drama Cinta Teruna Kimci sebagai nenek dan ibu, saya adukan kepada guru bahasa Korea. Dia kemudiannya memberitahu, “Ummi, saya dan ibu saya sendiri akan berlakon watak itu. Ini sungguh luar biasa kepada kami. Pengalaman pertama yang sangat menarik. Kami mahu cuba!”

Begitulah beberapa kisah saya dengan wanita-wanita Korea. Mereka berani dan suka berterus-terang. Mereka jarang ‘malu’ dalam perkara yang mereka fikirkan baik. Semua ini saya lipatkan dalam almari pengalaman.

Benarlah Firman Allah SWT  dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam PengetahuanNya.”

 

Belajar dan Mengajar

Tinggal empat bulan lagi, genaplah dua tahun kami menjadi warga Seoul yang serba mahal ini. Ketika kaki melalui bangunan, tempat kami sekeluarga menumpang teduh di salah-satu biliknya selama tiga semester, saya berasa kerdil. Di sana saya menyaksikan pengorbanan seorang suami, melepaskan kerjayanya sebagai jurutera untuk isteri dan anak-anak.

Ketika saya keluar pagi dan pulang lewat petang, suami sudah memandikan anak-anak. Sebahagian kerja-kerja rumah juga diselesaikannya. Melihat saya yang buntu diserbu tugasan kuliah, dia juga menawarkan untuk memasak. Di tengah malam, saat saya perlu menyiapkan kertas-kerja, suami bangun menemani.

Tidak jarang dia membuatkan saya milo panas sebagai penyegar mata. Kebaikannya itu saya kembalikan kepada Allah SWT. Dialah yang mengilhamkan kepada para hambaNya untuk beramal soleh. Saya menangis kepadaNya, mengucapkan syukur dan bermohon agar Allah SWT meluaskan rezeki kami di rantauan.

Tawaran Mengajar

Saya terkejut apabila menerima panggilan dari Ketua Jabatan Melayu-Indonesia, HUFS, Dr Seo Myengkyo supaya berjumpa dengannya. Usai kuliah petang itu, saya rapat ke biliknya.

“Ummi, pihak jabatan telah bermesyuarat untuk melantik Ummi menjadi tenaga pengajar Pengajian Melayu secara tetap. Jika ummi bersetuju, sila sediakan semua dokumen yang diperlukan universiti. Kami akan kemukakan nama Ummi ke bahagian pentadbiran universiti,” kata Dr Seo Myengkyo.

Semester ini merupakan semester terakhir, Profesor Dr Lim Kim Hui bertugas di jabatan Melayu-Indonesia, justeru, para profesor dan pensyarah di jabatan tersebut  berbincang untuk melantik saya menggantikan Profesor Lim.

“Dr Seo, saya mahu berbincang dengan suami dulu,” kata saya, terharu atas peluang besar ini. Peluang yang juga menuntut pengorbanan masa.

“Jika kamu menerima tawaran ini, kamu tidak perlu risau tentang kewangan. Kami maklum keadaan kamu. Menjadi pelajar Phd seperti menjadi orang miskin. Cuma, kamu harus bekerja keras kerana Phd mesti diselesaikan pada waktu yang tetap,” kata Dr Seo lagi. Saya angguk.

“Kontrak akan berlangsung selama dua tahun, dalam tempoh itu kamu pastikan Phd juga siap!” katanya. Saya memutuskan untuk bertanya pandangan suami dahulu. “Nanti maklumkan keputusan kamu kepada saya,” katanya,

Saya pulang dengan hati yang  berbaur antara gembira dan gelisah. Jika saya menolak tawaran ini, saya dapat menumpukan hanya belajar dan belajar. Tetapi, bolehkah saya belajar dengan tenang dalam keadaan ekonomi terbatas? Jika saya seorang diri menanggung kesusahan di rantau, mungkin tidak apa-apa, tetapi saya telah memaksakan suami dan dua anak meredah gelora yang besar.

Jawapan Dengan Istikharah

Kami bersama menunaikan solat sunat Istikharah. Suami menyuruh saya sendiri membuat keputusan dengan bertanyakan pandangan ibubapa. Akhirnya, saya bersetuju menerima tawaran setelah memikirkan inilah caranya saya dapat membantu ramai orang. Kami berdoa kepada Allah SWT agar membuka pintu rezeki. Pastinya, rezeki perlu diusahakan dan tidak datang bergolek. Saya yakin, Allah SWT mendengar rintihan kami dengan peluang pekerjaan ini.

“Saya doakan Ummi dapat menguruskan dengan baik pelajaran dan kerjaya,” kata Profesor Lim Kim Hui yang telah berangkat pulang setelah lima tahun berada di Seoul. Seorang guru dan rakan yang baik. Seorang profesor yang penuh dengan keilmuan dan rendah diri. Saya berazam mencontohi kebaikan yang ada padanya.

Jendela Baru

Begitulah yang telah disusunNya. Kami berpindah ke rumah staf akademik yang lebih besar. Rumah ini tidak dikenakan bayaran bulanan sehingga saya menamatkan kontrak. Saya mengajar tiga subjek berkaitan komunikasi, pemikiran dan sastera Melayu kepada pelajar Ijazah Pertama, di samping menghadiri kuliah Phd yang masih berbaki satu semester.

Minggu pertama terasa padatnya amanah, tetapi benarlah kata pepatah: Alah bisa tegal biasa. Membayangkan wajah suami dan anak-anak yang lebih selesa di rumah baru membuatkan saya melupakan rehat. Saya berharap, rumah kami nanti menjadi singgahan ahli-keluarga yang datang ke Korea.

Para mahasiswa mendekati saya dengan panggilan ‘profesor’ membuatkan saya berasa lucu. “Tak perlu panggil saya profesor kerana saya pelajar seperti anda! Panggillah saya Kak Ummi,” kata saya kepada mereka. Tugas mengajar saya anggap sebagai amanah untuk menunjukkan jatidiri sebagai Muslim.

Dari awal saya memasang niat bahawa saya bukan hanya bekerja tetapi menjadi duta Islam di tengah para pelajar yang sebahagian besarnya tidak mempunyai agama.  Di pandangan mereka, Islam tidak lebih baik dan kurang daripada agama-agama yang lain. Setiap masuk ke kelas, saya berharap dapat memberikan infomasi yang tepat berkaitan Islam.

Terus Berdoa

Jalur hidup setiap kita ada sisi uniknya masing-masing. Kalau dahulu, saya mungkin belajar tentang makna sabar tetapi selama berada di Korea, Allah SWT menetapkan saya untuk menikmati sabar iaitu belajar dengan mendalaminya sendiri. Pengalaman kami terlalu kecil dibandingkan orang lain, tetapi satu persamaannya adalah Allah SWT pasti tidak mensia-siakan harapan dan doa para hambaNya.

“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. (Terjemahan Al A’raaf 55-56)

Allah Maha Mendengar

DIA yang Maha Mendengar membenarkan Darda berada bersama teman-temannya di sekolah

DIA yang Maha Mendengar membenarkan Darda berada bersama teman-temannya di sekolah

Purnama di Korea

Langit Seoul seolah-olah tidak berbintang.

Kami – lebih banyak – bertemu bintang pada lampu-lampu jalan dan deretan kedai makan. Sungguh, kami berasa liat mendongak langit pada waktu malam. Musim sejuk menggesa kaki berjalan laju-laju terutama di waktu malam. Tiada lagi pesan orang tua, ‘biar lambat asalkan selamat.’ Saya hanya tahu, ‘biar laju dan cepat sampai, jangan terbeku!’

Di rumah ‘comel’ kami, saya perlu menidurkan anak-anak terlebih dahulu. Kemudian, barulah dapat mengintai tugasan kuliah. Namun masa pantas berlalu. Masuk semester kedua, Darda’ telah menjadi abang long kepada adik Dawudnya. Kelahiran Dawud menjadi ikatan istimewa di antara saya dengan Dr Seo Myengkyo. Kata-kata beliau sentiasa ada melekat di minda apabila menatap wajah Dawud.

Ada sesuatu yang sungguh hebat. Ummi melahirkan anak lelaki keduanya sama dengan tarikh hari lahir saya 23 Jun!

Rakan-rakan sekelas bertepuk tangan. Nong – rakan sekelas dari Thailand – terus berbisik,

Mungkin kerana Dr Seo mengambil-berat tentang kamu, jadi tarikh lahir bayi kamu dan dia sama!”

Begitulah aturan kehidupan Allah SWT. Hanya dengan tarikh lahir yang sama, Dr Seo selalu bertanya keadaan Dawud pada setiap pertemuan kami.

Anak-anak anugerah Allah. Menatap wajah mereka terutamanya di kala mata tertutup rapat menyentuh hati supaya kembali bangkit. Wajah tenang mereka menyumbang tenaga luar biasa. Benar, merekalah purnama dalam kelam ujian di perantauan.

Sahabat Malaysia

Hubungan kami dengan keluarga-keluarga Malaysia di Korea bermula di Facebook. Seorang kenalan penulis, Dr Hisham Sharif (yang banyak menulis dengan Syarikat Galeri Ilmu Sdn. Bhd) berjanji memperkenalkan saya kepada rakan usrahnya yang berada di Korea.

Tidak lama kami tiba di Korea, rakan Dr Hisham itu menghantar mesej di Facebook mengajak kami bersilaturrahim di rumahnya. Kami sambut ajakan penuh syukur. Di rumah Ammar Muhammad dan isterinya, Aina Athirah kami diperkenalkan pula dengan keluarga Encik Farid dan Puan Yahizah bersama empat orang anak mereka. Semuanya tinggal berdekatan Masjid Itaewon.

Kami berkongsi pengalaman, ‘bagaimana’ Allah SWT menghantar kami semua ke Seoul dengan cara berbeza. Ammar dan Aina datang ke Korea sekitar 2007 untuk menyambung ijazah pertama Kejuruteraan bawah tajaan JPA. Di tahun akhir, kedua mereka mendirikan rumahtangga. Ammar mendapat kerja sebagai Jurutera di Syarikat LG, Aina pula  menjadi surirumah.

Encik Farid, pensyarah kanan di UTM, Skudai sudah dua tahun menyambung Phd di Hanyang University, Seoul dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Dia membawa isteri dan empat anak bersama. Isterinya, Puan Yahizah menjadi guru kepada anak-anak mereka di rumah. Mendengar cerita mereka, saya menjadi insaf.

Allah SWT mempertemukan kami untuk menjadi penguat antara satu sama lain. Rupanya, isu kelewatan wang biasiswa adalah perkara biasa di kalangan pelajar Ijazah Tinggi dari Malaysia. Masing-masing sudah pernah merasa ‘ikat perut’ dan berhutang kepada orang lain sebelum wang biasiswa diterima.

“Anggap sahaja kedatangan kita di sini seperti datang berkursus, laluilah sebaiknya. Insha Allah, sedar tak sedar pulanglah kita ke tanah air,” kata Encik Farid memujuk kami suami-isteri. Mereka maklum, keadaan kami yang sukar bersama dua anak kecil. Tetapi kami tidak memberitahu mereka yang saya hanya mendapat RM2800 sebulan dari Universiti Malaya. Duit itu jika ditukarkan ke matawang Korea, nilainya sekitar 800 ribu won. Allah ya Allah, dengan sabar dan tanpa keluh-kesah, Allah SWT memberi banyak kemudahan lain.

Masa berlalu pantas, kesusahan yang ditanggung juga berlalu, berganti ujian yang baru, bantuan Allah SWT datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Pembelajaran tentang sabar rupanya bukan dalam bilik kuliah, di masjid, buku atau media massa. Tetapi sabar yang sebenarnya adalah antara kita dengan Allah SWT; berjuang mempertahankan iman dan aqidah tatkala apapun berlaku pada diri baik ujian kesusahan atau ujian kesenangan. Sabar itulah yang akhirnya menuntut kita sujud penuh kehambaan, meminta pertolongan dariNya.

Puan Yahizah atau Kak Za semakin hari semakin rapat dengan saya. Kelihatan kami serasi. Dia kadang seperti seorang ibu, mengajar saya cara menguruskan bayi yang masih kecil. Oleh kerana sebelum ini dia pernah melahirkan bayi di UK (ketika Encik Farid menyambung Ijazah Pertama dan Master), pengalamannya diperturunkan kepada saya. Kak Za juga pandai memasak. Dia mempunyai diploma dalam bidang pembuatan kek dan roti.

Rumahnya menjadi ‘taman roti dan kek halal’ percuma kepada kami. Pada ketika kami berbicara, Kak Za menyelit sesuatu yang dinamakan nasihat dan hikmah. Sifatnya itu membuatkan saya sering mengajak suami ke rumah mereka yang kemudiannya kami gelarkan “seperti balik kampung.”

Mencari Kerja Tambahan

Darda’ semakin gemar mengusik adiknya, Dawud.  Selalu menyebabkan Dawud menangis kuat. Keadaan ini menyulitkan suami yang sendirian menguruskan anak-anak dalam ‘bilik comel.’ Sewaktu saya pulang dari universiti, saya lihat wajah suami yang keletihan. Dia  tidak berbicara. Saya faham dia sedang bersabar. Di waktu yang lain, saya menangis sendirian.

Ya Allah, ringankanlah beban kami. Aku tidak mahu suamiku rasa letih dan muram. Aku rasa sungguh bersalah ya Allah. Pengajianku juga adalah amanahku. Hanya rahmatMu yang dapat memimpin hati kami untuk redho dan terus bersabar.

“Bagaimana jika kita usahakan hantar Darda’ ke pra tadika? Dengan itu dia ada rakan-rakan dan bolehlah Dawud tidur lena di rumah?” cadang saya kepada suami. Kami kemudiannya mencari maklumat tentang pra tadika. Saya mengunjungi beberapa buah pra tadika berdekatan rumah. Setelah dimaklumkan yuran pra-tadika, hati saya kembali sedih. Yurannya sekitar 300 ribu won atau RM950-RM1000 sebulan!

Di manakah saya mahu mencari duit sebanyak itu? Duit sara hidup kami sekeluarga hanya cukup untuk keperluan asas. Minda saya tidak habis berfikir tentang cara yang membolehkan Darda’ ke pra tadika.

“Prof, adakah kerja tambahan untuk saya? Saya mahu menghantar anak ke pra sekolah. Yurannya agak mahal dan memerlukan saya bekerja tambahan,” saya bertanya kepada Profesor Koh Young Hun.

Sungguh, saya buang rasa malu demi seorang anak.

“Umi, nanti saya usahakan mencari kerja tambahan yang sesuai untuk umi,” katanya, tidak pernah menghampakan harapan orang lain. Alhamdulillah, Profesor Koh mendaftarkan saya sebagai pensyarah bahasa Melayu sambilan. Gajinya cukup untuk saya menghantar Darda’ ke pra-sekolah. Subhanallah … Dia Maha Mendengar. Lalu segala kemudahan kami kembalikan kepada Allah SWT Yang Maha Mengasihani setiap hambaNya.

Kami terpesona dan bercahaya denganNya ketika seolah-olah tiada bintang di langit Seoul. Tidak mahukah kami bersyukur lalu sujud rebah kepada Dia yang Maha Berkuasa?

KAYA JIWA

Menjadi Orang Miskin di Korea

Beberapa minggu berlalu, kami menyedari wang simpanan menyusut dengan cepat. RM10 ribu hanya bernilai RM3000. Barang-barang harian pula tiga kali lebih mahal dari Malaysia walaupun pada kuantiti dan jenama yang sama. Saya resah kerana wang biasiswazah dari Universiti Malaya belum muncul di akaun. Akhirnya, saya menghantar emel kepada pegawai berkenaan. Namun, jawapan daripada pegawai tersebut menyebabkan hati saya menangis pilu.

“Puan, kami mohon maaf kerana borang biasiswazah puan masih belum dibawa ke mesyuarat pentadbiran.”

 Ya Allah, saya seperti mahu terbang ke Malaysia. Bagaimana saya mahu meneruskan kehidupan di Seoul yang serba mahal ini?

 Tetapi perasaan itu sedikit kendur apabila melihat wajah suami yang tenang. Dia menasihatkan saya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah SWT yang menjalurkan ujian, Dia juga Yang akan menurunkan bantuan, manusia hanya sebagai perantara.

Saya melihat wajah Darda’ yang berusia tiga tahun. Saya bayangkan juga wajah bayi yang bakal lahir. Kedua mereka telah disuratkan rezeki masing-masing sejak dari Luh Mahfuz, Allah SWT Maha Pengasih, Maha Penyayang. Bukankah dalam setiap perkara, kita semua membaca Bismillahirrahmanirrahim yang bermaksud; Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang? Saya imani dengan kuat kalimah itu.

Kelas Dalam Bahasa Korea
Petang itu, saya hadir ke kelas Profesor Kim Wok Dong buat kali pertama. Dia seorang pakar sastera bandingan Korea yang meraih Phdnya di Amerika Syarikat. Dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan mengalukan saya menyertai kelasnya.

Saya berasa lega melihat buku rujukan yang diberikan beliau dalam bahasa Inggeris (bersama rujukan dalam bahasa Korea). Ada tiga pelajar Phd lain, semuanya perempuan dan berbangsa Korea. Mereka senyum dan hairan melihat saya apabila mengetahui saya tidak pandai berbahasa Korea.

Rupanya, kehairanan mereka benar-benar berbaloi kerana Prof Kim Wok Dong tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran. Ya Allah, satu jam lebih saya membuka telinga tanpa dapat memahami apa yang diterangkan pensyarah. Rasanya seperti mahu menangis tetapi saya pujuk hati, pengalaman ini boleh saya kongsikan dengan anak-anak murid saya nanti.

“Ummi, melakukan Phd di Korea ini tidak sukar. Kamu hanya perlu rajin sahaja,” pesan Profesor Lim Kim Hui, profesor di Korea yang paling rapat dengan saya dan suami. Ya, jika ada tiga undang-undang untuk berjaya di Korea ini, undang-undang tersebut adalah:

Rajin! … Rajin! … Rajin !

Begitulah syaratnya. Saya hanya perlu mengikut apa sahaja arahan para profesor, jangan cepat memberi alasan dan tekun. Dalam kelas hari itu, saya bersabar walaupun perit hati melihat rakan-rakan dapat berdialog, bertanyakan soalan dan ‘bergurau’ dengan profesor dalam bahasa ibunda mereka.

Saya seperti orang asing dari bumi yang lain. Malah, jika saya tidak mengangkat tangan atau bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris (tentulah soalan yang dibuat-dibuat agar pensyarah memberi ‘sedikit’ perhatian kepada saya), mungkin saya hanyalah patung ‘bernyawa’ kepada mereka.

Ia sesungguhnya pengalaman yang menarik dan menyakitkan hati. Saya mendapat idea nakal. Suatu masa nanti, jika ada pelajar asing yang mahu belajar sastera (tidak kiralah sastera Inggeris atau Rusia sekalipun) di Malaysia, jika gurunya adalah saya, pasti saya akan ‘memaksanya’ belajar bahasa Melayu dengan cara yang telah dilakukan Profesor Kim Wok Dong dan anak-anak muridnya ini.

Mahu Bersalin di Mana?

Jadual Allah SWT penuh hikmah. Saya bakal melahirkan anak kedua pada bulan Jun 2014. Ianya bertepatan dengan cuti semester yang berlangsung sehingga hujung Ogos 2014. Selepas melakukan pemeriksaan kandungan di klinik berdekatan rumah, saya memujuk suami untuk pulang bersalin di Malaysia.

“Kos bersalin secara normal kira-kira RM3000 belum termasuk kos penginapan di hospital. Jika pembedahan lebih mahal, tidak kurang RM5000 ke atas. Tidak ada hospital kerajaan di Korea. Semuanya telah diswastakan, dan masyarakat Korea wajib membayar insuran kesihatan untuk membolehkan dirawat secara percuma dan murah,” jelas saya kepada suami selepas mendapat maklumat daripada pihak klinik.

Rancangan ini juga saya sampaikan kepada penyelia Phd, Profesor Koh Young Hun. Dia prihatin melihat saya yang nampak lelah, turun naik bangunan serta mengejar tren dan bas. Jika tidak dia bertanyakan keadaan bayi dalam kandungan, saya terlupa bahawa saya sedang sarat mengandung.

“Ummi mahu bersalin di mana? Di Korea atau di Malaysia?” tanyanya.

“Saya mahu bersalin di Malaysia Prof. Lagipun biasiswa saya belum masuk.. Pihak Universiti Malaya belum menguruskan borang saya lagi,” balas saya, berterus-terang.
“Oh, kenapa begitu? Tak apa Ummi, nanti saya carikan dana untuk kamu sehingga kamu dapat biasiswa dari UM,” balas Prof Koh.

Allah ya Allah, saya begitu terharu dan malu. Seorang yang bukan Muslim, bukan sebangsa dan senegara begitu prihatin dan memudahkan kami sekeluarga. Saya kira, dengan sikap inilah bangsa Korea cepat maju dan bersatu hati. Peraturan mereka tidak melalui banyak karenah birokrasi, hanya diputuskan oleh pihak yang diberi kepercayaan. Di universiti, profesorlah yang akan membuat keputusan berkaitan pelajar dalam bidangnya.

Bulan berikutnya, Profesor Koh Young Hun memaklumkan kepada saya, seorang dermawan Korea ingin menyara kami sekeluarga sehingga proses biasiswa UM selesai. Kami sujud syukur kepada Allah SWT. Saya mengirim emel kepada dermawan yang tidak dikenali itu, mengucapkan terima kasih atas budi baiknya.

Tangan di atas Lebih Baik

Setiap suratan Allah SWT mengandungi hikmah yang besar. Bila tinggal di negara yang lebih maju, kami disogok kekurangan material, tetapi tidak dengan jiwa. Setiap hari adalah perjuangan, dan sekiranya kami berjaya hadapi dan nikmati, ianya menjadi buah yang amat manis.

Di Korea, hati kami tidak memandang orang-orang yang berkereta besar, berpakaian mahal atau berkulit cantik. Yang mengesankan kami adalah orang-orang kebanyakan. Apabila ke pasar, saya terpandangkan nenek yang terbongkok-bongkok memungut sampah sebagai mata pencariannya. Sungguhpun begitu, dia melakukan tugasnya dengan tekun demi sesuap nasi.

Di jalanan, saya bertemu lelaki tua yang bekerja sebagai buruh binaan. Biarpun telah dimamah usia, jiwanya kuat seteguh konkrit di tangannya. Saya menyaksikan guru-guru tadika yang bersungguh mengajar anak-anak kecil tentang alam. Mereka semuanya melakukan sesuatu dengan hati dan jiwa besar. Mereka berjuang dan saya disuntik untuk terus berjuang.

Di saat itulah saya terkenangkan satu tulisan abah yang pernah saya baca ketika berusia 9 tahun. Abah menuliskan prinsip hidupnya dalam satu catatan: Tempat rehat kita adalah di akhirat.

Ya Allah, kami datang ke sini sesungguhnya untuk belajar tentang makna hidup yang sebenar. Selagi ada iman dalam hati kami, insha Allah kami tidak akan letih.

Dan milikNya siapa yang di langit dan di bumi. Dan (malaikat-malaikat) yang di sisiNya, tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembahNya, dan tidak pula berasa letih. (Al-Anbiya’ ayat 19).

Budimannya Profesorku ….

Profesor Koh Young Hun berdiri menyambut saya di biliknya.

Mata saya terus merakam susuk tubuh beliau. Orangnya putih, bercermin mata dan tinggi lampai.

Apa khabar Ummi? Selamat datang ke Korea!. Sila duduk …

Dia menunjukkan kerusi di depan meja. Bilik profesor itu padat dengan buku-buku yang kemas tersusuk di rak. Majoritinya buku berbahasa Melayu dan Indonesia dalam bidang sastera, seni, budaya, pemikiran dan falsafah. Mata saya asyik menatap buku-buku itu dengan hati berbisik sendiri, ‘bolehkah aku meminjam buku-buku di sini untuk tesisku?’

“Minggu ini Ummi boleh mulai kelas. Saya sudah daftarkan tiga subjek untuk Ummi. Sebentar nanti kita pergi ke Pejabat Graduate School, saya mahu temukan Ummi dengan pegawai yang akan menguruskan hal akademik Ummi di sini,”

Saya mengangguk, hanya tersenyum dan mengiakan. Hakikatnya, saya berasa kecil dan amat malu. Saya datang ke sini tanpa proses biasa, hanya saranan daripada beliau bahawa ‘beliau mahu saya menjadi pelajarnya’ Bahkan, saya tidak ditemu duga dan beliau begitu yakin dengan saya sebelum kami berkenalan dan bertentang mata. Ya Allah, hebatnya rezekiMu.

Selepas menghubungi pegawai yang dimaksudkan, profesor yang dipanggil ‘Pak Koh’ oleh semua staf dan pelajar di Jabatan Melayu-Indonesia ini mengajak saya dan Seok keluar dari bilik. Pak Koh menukar ke bahasa ibundanya apabila bersembang dengan Seok, kemudian apabila bercakap dengan saya, beliau menggunakan bahasa campuran Melayu dan Indonesia.

36 Jam Kredit Kelas

Pak Koh memperkenalkan saya dengan Mr Heesung Park. Dia menyapa saya dalam bahasa Inggeris yang baik. Seorang lagi pegawai hanya senyum, barangkali tidak yakin bertutur Inggeris. Dia rancak menerangkan sesuatu kepada Pak Koh dalam bahasa Korea.

“Ummi, kamu perlu menghabiskan 36 jam kredit kelas dan lulus empat peperiksaan subjek major sebelum boleh menulis tesis secara formal. Untuk semester ini, kami telah mendaftarkan Ummi satu subjek Pengajian Asia Tenggara dan dua subjek Sastera Bandingan. Kelas akan disampaikan dalam bahasa Korea dan Inggeris,” terang Pak Koh.

Saya mengangguk tetapi hati meraung. Bahasa Korea? Apa yang saya tahu bahasa Korea selain Annyeonghaseyo? Saya senyum hipokrit di depan mereka semua. Mr Heesung Park menyerahkan jadual kelas sebelum saya dan Pak Koh keluar dari bilik itu.

“Ummi jangan risau. Saya tahu Ummi tidak boleh berbahasa Korea. Untuk Phd Sastera Bandingan Melayu-Indonesia, kamu tidak perlu tahu bahasa Korea. Saya akan hubungi profesor yang mengajar, mungkin kamu boleh dikecualikan daripada menghadiri kelas, hanya menulis kerja kursus kemudian hantar melalui e-mel kepada mereka,” kata Pak Koh, terus-menerus mahu membantu saya.

“Kamu ambil nombor telefon profesor-profesor ini, hubungi mereka dahulu dan perkenalkan diri kamu. Boleh guna bahasa Inggeris, mereka faham,” kata Pak Koh sebelum kami berpisah hari itu. Pak Koh kemudian menghulurkan duit kepada Seok.

“Pergi bawa Ummi makan dulu,” katanya dalam bahasa Korea.

Kali Pertama Makan Nasi Korea

Sewaktu masuk ke restoran kecil di celah-celah lorong depan HUFS, mata-mata yang sepet memerhatikan saya. Ajumma (makcik) tukang masak menjerit kuat kepada Seok dan rakannya, “Yogi (di sini)…Yogi (di sini)..” menunjukkan kerusi dan meja kosong. Kami bertiga duduk.

“Ibu Ummi jangan risau. Kedai ini tidak jual babi hanya ada ikan sahaja,” kata rakan Seok. Ajumma membawakan senarai menu. Saya memilih ikan makarel bakar. Apabila makanan tiba, saya terpegun melihat nasi dalam mangkuk kecil dengan hidangan sampingan yang banyak; tauge rebus, telur gulung, kimci lobak, bebola ikan bersalut cili manis dan ikan bakar.

Hidung saya tidak mahu menerima bau kimci apatah lagi menelannya. Saya membaca doa makan perlahan, mula menyuap nasi ke mulut. Beberapa suapan sahaja, perut sudah kenyang. Allah ya Allah, Maha Pemurahnya Allah. Saya mendapat pengajaran di sebalik beras di Korea. Berasnya mahal. Beras Gred A berharga kira-kira 60 ribu won atau RM240 untuk 20 kg. Tetapi, beras tersebut mampu bertahan lama kerana ianya seperti beras pulut dan agak kental, cepat mengenyangkan walau hanya semangkuk kecil. Rata-rata orang Korea makan nasi dua kali sehari.

Saya tidak dapat menghabiskan makanan. Terbayang suami dan anak di rumah, apakah mereka sudah makan? Saya perlu pulang ke rumah secepat mungkin untuk menyediakan makanan.

“Seok, terima kasih membantu saya. Sekiranya saya ada pertanyaan, saya akan hubungi kamu lagi,” kata saya kepada Seok dan temannya. Saya memutuskan untuk pulang sendirian. Selagi bergantung kepada orang lain, kita tidak dapat mempelajari sesuatu. Jika tersalah langkah, itulah pelajaran paling berguna!

Kelas Pertama

Sistem jadual di Korea sedikit pelik. Waktunya di tulis 1, 2, 3 atau 4,5,6 sehingga 7 dan 8. Ianya bermaksud 9 pagi sehingga 12 petang, 12 petang sehingga 3 petang kemudian 3 petang sehingga 6 petang. Bilik kuliah juga ditulis dengan nombor misalnya 1103 dengan maksud, 1 adalah bangunan untuk mahasiswa undergraduate, 103 pula adalah biliknya di tingkat satu dan bernombor 3! Jika anda bukan orang yang suka dengan nombor, perkara ini menjadikan anda gelabah dan perlukan masa sejam lebih awal mencari bilik kuliah.

Begitulah yang terjadi kepada saya. Selepas bertanyakan kepada beberapa orang pelajar dan pengawal keselamatan, baharulah saya berjumpa dengan kelas Pengajian Asia Tenggara yang dikelolakan oleh Dr Seo Myengkyo. Sebelumnya, saya tidak sabar mengenali Dr Seo yang berkelulusan Phd dari University of Cambridge, London. Ini kerana, saya pernah membaca artikelnya di jurnal berprestij, Jurnal Indonesia and The Malay World yang berpengkalan di Routledge, London. Tajuk artikel beliau sangat kontroversi iaitu Falling Love and Changing God. Beliau mengkaji jumlah umat Islam Indonesia yang bertukar ke agama Katolik. Phdnya pula berkaitan pengurusan agama terutama Kristian dan Katolik di Indonesia.

Sebaik saya muncul di pintu kelas, Dr Seo dan para mahasiswanya memandang ke arah saya yang terlambat beberapa minit. “Ummi, silakan duduk..” kata Dr Seo dalam bahasa Inggeris. Saya duduk dengan dada bergemuruh lebat. Wajah rakan-rakan begitu variasi. Ada yang berasal dari Thailand, Filipina, Korea dan saya seorang dari Malaysia. Malah, saya satu-satunya beragama Islam. Saya memperkenalkan diri secara ringkas dalam bahasa Inggeris.

“Ummi sangat beruntung. Dia dari Universiti Malaya, Malaysia dan melakukan Phd di sini dalam bidang Sastera Bandingan. Ummi datang dengan suami dan anak kecil, suaminya menjaga anak di rumah,” terang Dr Seo kepada kelas. Wajah rakan-rakan wanita nampak teruja kerana semuanya belum berkahwin. Nampaknya, cerita tentang saya sudah diketahui Dr Seo.

Sewaktu kelas tamat, saya merapati Dr Seo, bertanyakan tugasan minggu berikutnya. Bidang Pengajian Asia Tenggara amat baru bagi saya. Malah, bahasa Inggeris saya masih sederhana dibandingkan rakan-rakan lain. Untuk belajar, saya buang rasa malu.

“Ummi, kamu tak perlu risau atau bekerja keras. Saya prihatin dengan kamu yang sedang mengandung. Jika kamu tidak larat, kamu tidak perlu hadir kelas. Yang penting, jaga kesihatan diri dan bayi dalam kandungan,” kata Dr Seo lembut.

“Tapi Dr Seo….”

“Ya, kamu mesti jaga kesihatan, itu lebih penting dari belajarkan?” katanya tersenyum.

Allah ya Allah, terima kasih mempertemukan aku dengan manusia-manusia budiman di Korea.