Bermula bersama Salji

Rindu memenuhi ruang hati. Kami belum dapat menghilangkan wajah sanak-saudara yang menghantar kami di KLIA. Wajah mak, abah, ibu mentua dan tokwan paling kuat di ingatan. Betulkah kami sudah berada di Seoul sekarang? Saya melihat Darda’ yang leka dengan permainannya. Bila ditanya, “Rumah Darda’ di mana?” Dia pantas menjawab, “Korea!”

Saya meluruskan niat. Kesusahan yang bakal kami alami adalah adat para penuntut ilmu. Kesusahan inilah yang akan memotivasikan saya untuk berusaha gigih. Tidak mahukah saya merasai secubit nikmat ‘susah’ seperti yang dirasai para ilmuan Islam seperti Imam Syafie, Imam Nawawi ataupun Tok Kenali ketika menuntut ilmu?

Bahkan, mereka tidaklah mempunyai bilik yang dilengkapi pemanas di musim sejuk, atau penghawa dingin di musim panas, dengan katil dan tilam yang empuk apatah lagi kemudahan internet yang pantas dan percuma! Ah! Ini bukan ‘susah’melainkan tarbiah daripada Allah SWT.

Suami memasukkan sampah sarap ke dalam plastik besar. Walaupun baru sehari menginap di bilik 605, bau sampah menyesakkan pernafasan. Faktor ruang yang terhad menyebabkan apa sahaja bau cepat menusuk ke hidung terutama lampin pakai buang Darda’. Suami menyarungkan baju tebal sebelum keluar dari bilik. Lima minit kemudian dia muncul semula di pintu dengan plastik sampah yang masih terjinjit di tangan.

“Abang kena tegur dengan pengawal keselamatan di bawah. Dia tak bagi abang buang sampah tanpa gunakan plastik sampah yang betul. Sampah-sampah ni perlu diasingkan dahulu mengikut jenis materialnya. Kalau tidak, memang tak boleh buang sampahlah kita!” kata suami. Dia kemudiannya membuka aplikasi penerjemahan di telefon bimbit. Cuba menerjemahkan ‘plastik sampah’ ke dalam bahasa Korea. Plastik tersebut perlu di beli di kedai serbaneka sekitar rumah. Nampaknya, buang sampah juga mempunyai kos tersendiri!

Tren dan Jalur Coklat

Seok bersendirian datang menjemput saya ke universiti. Sejak semalam, hati saya berdebar dan tidak sabar bertentang mata dengan Profesor Dr Koh Young Hun. “Saya akan mengajar ibu Ummi cara-cara memilih tren ke Hankuk University of Foreign Studies,” kata Seok yang berkaca mata besar, seperti lazimnya remaja Korea. Hari itu, secara rasminya bermulalah tugas saya sebagai mahasiswa, dan tugas suami sebagai pengasuh anak. Saya cium mereka sebelum meninggalkan rumah ‘bilik’ kami.

“Ibu Ummi akan banyak berjalan nanti. Stesen tren (subway) paling dekat di sini kira-kira 6 Kilometer.” Seok berbual mesra. Saya tahu dia berasa kasihan melihat saya yang sarat mengandung terpaksa menapakinya. Seok memperlahankan langkah apabila saya berhenti mengambil nafas.

Cuaca sejuk menyapa kulit wajah kami. “Suami ibu sangat baik,” kata Seok lagi. Saya terseyum dan mengaminkan dalam hati. Barangkali Seok sendiri belum tentu dapat berkorban seperti suami saya (dengan berhenti kerja dan membantu isteri di rumah), jadi dia merasakan pengorbanan seperti itu sangat luar biasa. ‘Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada suamiku, aku tahu dia juga sedang berjuang dengan situasi baru ini,’ bisik hati saya.

Kami turun tangga perlahan-lahan. Seok kemudiannya membawa saya ke ruang peta perjalanan tren. “Jalur tren di sini dipanggil jalur 6. Ibu hanya perlu ingat warnanya coklat. Kita akan gunakan tren ini dan turun di Stesen Seokgye. Di sana, ibu tukar ke jalur 1 yang berwarna biru tua terus ke Stesen Hankuk University of Foreign Studies,” terang Seok. Di kiri kanan kami manusia Korea berjalan laju mengejar tren. Saya berasa betul-betul berada di Seoul melihat cara mereka yang kelam-kabut, tidak bercakap mahupun senyum kepada orang lain. Serius.

Apabila tren jalur coklat tiba, kami masuk. Ada ruang kerusi kosong, tetapi tiada seorang pun yang ‘berani’ duduk. Mereka sanggup berdiri daripada duduk di ruang tersebut. “Ibu, itu kerusi untuk orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung,” jelas Seok. Saya dapat memahami daripada gambar yang terpampang di dinding ruang itu. Tulisan Hangul terasa seperti objek  tanpa makna.

Tren mula bergerak. Para penumpang duduk sambil kepala mereka tertunduk ke bawah; ke skrin telefon bimbit. Orang di sekeliling tidak dihiraukan. Cuma, ada penumpang warga emas yang asyik melihat saya dan Seok. Mungkin banyak persoalan timbul di fikiran mereka melihat cara pakaian saya (terutama bertudung litup), wajah saya yang tidak ‘Korea’ dan bahasa perbualan saya dengan Seok dalam bahasa Indonesia.

Bahkan, mungkin antara mereka meneka apa hubungan saya dengan pemuda Korea ini, melihat saya yang berbadan dua. Semoga Allah SWT memelihara fikiran mereka daripada hasutan syaitan. Saya juga berharap, selepas ini ada mahasiswa wanita yang akan membantu saya bukan Seok lagi.

Kami berjalan lagi untuk menukar tren jalur biru tua. Saya kira, saya sudah menyelesaikan perjalanan 20 Kilometer pagi ini, itupun belum tiba lagi di destinasi. Wajah tren jalur 1 kelihatan berbeza. Nampak lama dan padat dengan orang tua. Saya dimaklumkan, inilah jalur tren yang pertama di Korea pada 1974. 40 tahun selepasnya, tren yang dikenali sebagai Seoul Metropolitan Subway ini mempunyai 18 jalur merentasi lebih 350 stesen seluruh Seoul dan bandar sekitar kira-kira 983 km perjalanan sehari. Dengan luasnya penggunaan subway ini, CNN dan BBC menggelarkannya sebagai subway terbaik dunia dan lebuhraya terhebat.

“Ibu Ummi boleh menggunakan tren ini jika mahu ke universiti. Masih ingatkan caranya?” tanya Seok. Saya angguk walaupun tidak begitu yakin. Saya akan mencuba lagi nanti. Saya juga sudah nekad pulang ke rumah sendirian, tanpa mahu ditemani Seok. Tren menjadi pilihan utama penduduk Seoul yang berjumlah 10 juta orang. Harga tiketnya relatif sangat murah. Untuk 10 km perjalanan, penumpang hanya perlu membayar 1,050 won (RM4.70) dan perlu menambah 100 won (30 sen) untuk 5 km berikutnya. Kanak-kanak diberikan diskaun separuh harga, manakala orang kurang upaya tidak dikenakan bayaran.

Kami keluar dari stesen jalur satu. “Ibu Ummi, di depan itu universiti kita. Cuba lihat ke bangunan tinggi itu!” Arah Seok. Saya berhenti, mengucap tahmid di dalam hati. Ya Allah, di sinilah rupanya taman ilmu yang kuharapkan selama ini di luar negara. Kaki saya tidak sabar mendekati bangunan universiti. Rasa penat hilang begitu sahaja. Saya minta Seok merakamkan gambar saya di depan universiti. Saya mahu tunjukkan kepada suami dan seluruh keluarga; inilah Hankuk University of Foreign Studies.

Dan pagi itu, tanpa saya sangka, salji halus jatuh mengusapi pipi saya buat pertama kalinya. Ia menyentuh hati dan perasaan betapa anak Kodiang diberi izin melihat salah satu kebesaranNya di sini. Salji menyambut kedatangan saya dengan ceria.

Allah ya Allah.  Saya tidak akan lupa kata-kata Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur  (ingkar) sesungguhnya azabKu amat keras.

SATU PERMULAAN

Mata Kami Menyambut Cintamu

Pesawat semakin tinggi di awan.

Hati makin tunduk dengan kemurahan Allah SWT. Saya kenangkan kembali doa-doa lama yang telah dimakbulkanNya. Satu persatu. Dulu, ibu saudara sering membelek tahi lalat di kaki dan sering menyebut,

Ada tiga! Bila besar nanti Ummu akan banyak berjalan (ke luar Negara)

Kelihatan Maksu Ani menilik. Sebenarnya, itulah pandangan main-main orang dulu-dulu. Ia kenyataan tidak serius tetapi saya sentiasa menganggapnya sebagai satu doa.

Di waktu yang lain, ketika cuti akhir tahun sekolah menengah, saya tinggal dengan Maksu Ani dan suaminya, Paksu Nik di kawasan perumahan Staf Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Sewaktu menyidai pakaian di belakang rumah, saya sering melihat pesawat berulang-alik membelah awan. Hati terdetik,

Ya Allah, bawalah aku berjalan-jalan melihat kebesaranMu. Aku teringin sekali belajar di luar negeri …

Saya berusia 16 tahun ketika mengucapkan doa itu. Pada umur 22 tahun, mulailah Allah SWT membuka ‘pintu musafir’ kepada hambaNya ini. Saya bermula dengan negara Thailand. Kemudian satu persatu Negara lain muncul. Myanmar, Syria, Jordan, Indonesia, Singapura, Bangladesh, Mekah, Madinah, London, Brunei dan kini, Korea!

Ya Allah! Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Namun musafir kali ini benar-benar berbeza. Hati terasa begitu. Saya kerling suami dan anak di sisi. Mereka – InsyaAllah – menjadi peneman di rantauan selama empat tahun. Allah SWT menghadirkan mereka melengkapkan musafir saya di dunia yang singkat.

Awan gemawan dirempuh pesawat. Saya memeluk anakanda, jemari menggenggam tangan suami. Kami bersatu hati meredah gelombang hijrah. Tekad ini sesungguhnya tidak memadamkan cinta kepada orang-orang yang kami tinggalkan; ibubapa, datuk dan seluruh ahli keluarga di tanah air. Diam-diam saya terus berdoa kepada Allah SWT:

Ya Allah, Kau Yang Maha Pemurah, Kau memakbukan permintaan kami untuk berhijrah, Kau berikanlah kami peluang untuk pulang ke tanah air ketika cuti semester. Semoga dengan itu, kesunyian ibu, ibu mentua dan datuk dapat kami leraikan.

Saya terus-menerus menjadi tamak meminta-minta kepada Tuhan Yang Maha Agung.

Korea Kami

Kami menjadi penumpang paling akhir keluar pesawat. Saya berkata pada suami, “Kita sudah sampai di Korea. Kita bukan melancong, Korea akan menjadi rumah kita! Tak perlu tergesa-gesa …” Anakanda Darda’ sudah tidak sabar berlari. Enam jam dia ‘dipaksa’ duduk dan tidur. Suami tidak mahu melepaskan jemarinya; akan huru-hara jika Darda’ berlari ke tempat juruterbang nanti.

Udara sejuk serendah satu Celcius menusuk kulit. Darda’ mengamuk tidak mahu disarungkan jaket dan stoking tebal. Suami memujuknya dengan sabar. Saya menggelengkan kepala. Namun, berkat membawa anak kecil, kami diberikan lorong khusus oleh pegawai imegresen Korea.

Saya berdebar-debar, sudah dapat menangkap perbezaan besar bakal kami lalui terutama bahasa Korea dan tulisan Hanggul. Tiada satupun yang kami faham. Bahkan, pegawai imegresen lebih berminat menggunakan bahasa ibunda berbanding Bahasa Inggeris.

Dari papan tanda yang tergantung banyak, saya mengandaikan cara fikir orang Korea. Mereka berfikir hal yang besar dahulu baharulah hal yang kecil. Misalnya, tarikh akan ditulis tahun, bulan dan hari (di Malaysia bermula dengan hari, bulan dan tahun). Pada alamat pula ditulis negara, negeri, daerah, jalan dan terakhir baharulah nama dan nombor rumah! (Di Malaysia, alamat kita bermula dengan nombor dan nama rumah, daerah, negeri dan negara).

Begitu juga di papan tanda promosi. Diskaun akan bermula dengan nombor yang besar dahulu seperti 70% sehingga 30% misalnya (sebaliknya di Malaysia bermula 30% sehingga 70%). Perbezaan nombor juga terdapat pada umur. Setiap orang yang datang ke Korea akan menjadi tua setahun. Di Malaysia, saya berusia 32 tahun pada 2015, tetapi di Korea saya sudah dikira 33 tahun. Penyebabnya logik. Orang Korea mengira usia sebaik bayi membesar dalam kandungan.

Menarik. Sungguh menarik. Akal saya sudah melihat kesan hijrah dengan mentafsir perkara kelihatan remeh tetapi berbeza dengan persekitaran di Tanah air sendiri. MasyaAllah, Subhanallah … begitulah kebesaran dan kehebatan DIA yang Maha Berkuasa. Dia mencipta bangsa dan kawasan berbeza supaya kita dapat berfikir sebaiknya.

Saya fikir … dengan menitik-beratkan hal yang besar, menjadikan mereka masyarakat yang berkerjasama. Orang Korea tidak bersikap individualistik terhadap urusan bangsa dan negara. Mereka bersatu-hati dalam soal pendidikan, bahasa dan ekonomi. Lalu jatidiri mereka masih kuat walaupun budaya Amerika begitu pantas meresapi akar kemodenan Korea Selatan.

Ibu Ummi Apa Khabar?

Profesor Dr Koh Young Hun, penyelia saya (yang belum kami temui) mengarahkan dua mahasiswanya menyambut kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Seok dan rakannya menaikkan kertas yang tertulis ‘Ummi Hani’. Kami menghampiri mereka.

“Apa khabar ibu?” Tanya mereka dalam bahasa Indonesia yang fasih. Kami tersenyum senang. Manakan tidak, boleh bercakap bahasa Indonesia (yang mirip bahasa Melayu) dengan orang Korea! Barang-barang kami dimasukkan dalam sebuah van. Cuaca sejuk makin menggigit sebaik kami keluar dari lapangan terbang. Bibir Darda’ kelihatan bergetar. Dia sudah tidak mengamuk lagi ketika disarungkan penutup muka dan tangan. Si kecil tiga tahun ini mula terasa ‘bahaya’nya tidak dibalut pakaian tebal.

Van mulai bergerak. Hati saya menangis keharuan. Allah ya Allah, betapa Maha Pemurahnya Allah SWT. Tuhan yang mendengar dan memakbulkan doa-doa kami. Wahai Ummu Hani! Lihatlah alam ciptaanNya yang hebat di sini. Bukankah itu yang kau minta dalam doamu? Gunung-gunung dan laut seolah tersenyum pada kami. Seperti berkata, “Selamat datang ke Korea dan kau perlu teguh seperti kami walau apapun yang terjadi.”

Rupanya tiada satu negarapun yang boleh datang ke Korea Selatan melalui jalan darat dan laut. Selepas Korea terpisah menjadi dua, bangsanya turut pecah. Orang Korea Selatan seolah tidak menyedari kewujudan saudara sebangsa mereka di Korea Utara. Mereka dihalang berhubung dengan apa cara sekalipun. Bahkan jika berhubung di internet, mereka boleh disumbat di penjara ‘Korea’ masing-masing.

“Maafkan kami, bahasa Indonesia kami belum bagus,” kata Seok. Mereka nampak sopan dan malu. Saya tidak banyak bercakap. Suami lebih ramah. Fikiran saya membayangkan sosok Prof Dr Koh Young Hun. Allah SWT memudahkan laluan kami menjadi warga Korea melalui beliau.

Dialah yang mencarikan biasiswa Hankuk University of Foreign Studies buat saya (tanpa melalui proses interview hanya rekomendasi daripadanya sebagai profesor!), beliau mencarikan rumah universiti (yang lebih murah tentunya) untuk kami anak-beranak. Bahkan mendahulukan bayaran awal di universiti. Tentu orangnya ramah dan tidak sombong. Berapakah umurnya? Bagaimanakah wajahnya? Soal saya dalam hati.

 Bilik 605  

Kami melangkah masuk ke bilik 605: kediaman kami di Korea. Ianya seperti sebuah bilik hotel yang dilengkapi tandas, kabinet dapur, mesin pencuci dan almari pakaian, meja belajar dan paling mengharukan, wifi percuma! Ada dua katil bujang dan tilam. Peralatan dapur seperti pinggan, kuali, pisau, periuk elektrik dan cawan turut disediakan. Tiada bilik atau ruang tamu. Nampaknya, Darda’ hanya boleh turun dan naik katil untuk bermain. Sewa bilik adalah 200 ribu won (kira-kira RM600).

Saya dan suami membawa sedikit duit simpanan namun apabila ditukar ke nilai matawang Korea, jumlahnya menjadi sangat kecil. “Cukupkah duit kita ni abang?” tanya saya, bimbang. “Insha Allah cukup, nanti adalah rezeki dari Allah kat mana-mana. Doa musafir itukan mustajab.” Suami tidak pernah luntur keyakinannya kepada Allah SWT. Melihatnya tenang begitu, kebimbangan saya hilang.

“Petang ini kita pergi ke Masjid Itaewon dulu. Kita mulakan kehidupan di Korea dengan sujud di masjid, semoga Allah SWT menjadi sebaik-baik Penjaga kita di rantau orang.” Cadangan saya dipersetujui suami. Di balik cermin tingkap, saya melihat bangunan-bangunan tinggi yang mengepung bilik kami. Awan putih yang kami tinggalkan sejak mendarat, tersenyum. Awan itu seperti berpesan kepada saya:

Jadilah manusia yang seperti air mengalir, bukan bertakung dan terkepung di lubuk. Kerana air yang mengalir itu menyucikan makhlukNya, tetapi air yang bertakung akan busuk dan akhirnya membawa penyakit kepada makhluk.

Benar, kami sudah mulai langkah-langkah awal di bumi ini. Perjalanan masih sayup sekali. Tidak mengapa … kami meyakini dengan bantuanNya akan sampai garis penamatnya.

BTN & Mengandung

Universiti Malaya (UM) mahu saya keluar dari kawasannya agar kepulangan nanti membawa sesuatu yang berbeza. Mereka mahu saya membawa pemikiran baru ke kampus.

Ujian bermula ….

Lalu Ramadan 2013 saya mengirimkan permohonan rasmi ke University of Frankfurt. Ketika sampul dihulur kepada pihak kurier, spontan hati nurani berdoa:

Ya Allah, jika di sana memudahkan daku meraih ilmu dan kehidupan, maka bantulah daku. Izinkanlah kami merantau ke Jerman.

Masa berjalan. Kemudian – selepas Hari Raya Aidilfitri – pihak UM mengarahkan saya menghadiri kursus BTN selama 4 hari. Di sana, saya bertemu rakan-rakan dari seluruh IPTA Malaysia yang bakal menyambung pengajian di luar negara. Perbualan kami berkisar kepada topik yang sama.

Ummi sambung belajar di mana?

InsyaAllah …. Jerman.

Bidang apa?

Sastera Melayu!

Masya Allah, jawapan saya membuatkan ramai mereka membulatkan mata dan tersentak. “Rupanya ada bidang sastera Melayu di Jerman,” kata mereka. Wajah kehairanan mereka sangat nyata.

Setiap kali ingin melelapkan mata, saya mempersoalan diri, “betulkah aku akan terbang ke Jerman?” Ya Allah, lorongkan aku negara yang terbaik. Aku ingin sekali menyahut seruanMu agar meneroka alam ciptaanMu. Setelah berserah diri kepada Allah SWT, baharulah hati kembali tenang.

Sekembali dari program BTN, saya mendapat dua khabar; suka dan duka. Saya mulai dengan khabar suka dahulu. Saya disahkan mengandung anak kedua! Entah mengapa saya tidak perasan hal tersebut kerana sepanjang program BTN, saya ikut dalam semua aktiviti termasuklah aktiviti lasak dan berkawat. Alhamdulillah, Darda’ yang berusia tiga tahun akan menjadi abang long!

Berita duka: saya mendapat emel dari Prof Dr Arndt Graf bahawa ijazah sarjana saya tidak melayakkan saya menyambung Phd di Jerman. Ini kerana, saya mempunyai sarjana dalam bidang Pengajian Islam bukan Sastera. Menjadi dasar pendidikan Jerman, jika saya ingin membuat Phd Sastera maka saya perlu mempunyai kelulusan Sarjana Sastera. Sebaliknya, jika saya ingin melakukan Phd dalam Pengajian Islam, tentu dibolehkan.

Saya meraup muka. Ini adalah jawapan dari Allah SWT. Tiada air mata kesedihan bahkan satu ketenangan. Suami juga menerima dengan redho. Kami akan menyampaikan khabar ini kepada semua yang maklum bahawa kami akan ke Jerman.

Ya Allah, ke manakah Kau mahu tempatkan kami?

 Tok Meninggal Dunia

Walaupun kami sudah yakin bahawa Jerman bukan tempat tujuan, saya dan suami nekad pulang ke Kedah. Rumah kami di Damansara Damai, kami sewakan. Kami yakin pasti ada negara yang lain buat kami. Universiti Malaya memberikan peluang untuk saya terus mencari tempat pengajian terbaik di luar negara.

Di kampung, kami menjalani rutin hidup yang baru. Tok dan tokwan bahagia sekali melihat kami tiga beranak di depan mata. Tok sering merenung saya. Bila saya melihat anak matanya, dia senyum. Ya Allah, beberapa minggu selepas itu, Allah SWT mengambil tok kembali ke sisiNya. Tok meninggal dunia akibat serangan strok tiba-tiba. Dia meninggal dunia dengan anak cucu di sampingnya.

Begitulah suratan Allah SWT membawa kami pulang ke kampung untuk berada dekat dengan tok yang akan pergi buat selama-lamanya. Sejak itu, saya melihat kesunyian tokwan yang telah menjaga tok lebih 10 tahun. Saya tahu tidak tertanggung rindunya pada arwah tok kalau bukan keimanannya kepada Allah SWT.

Saya jadi berdebar dan runsing. Saya berkata pada suami, “Bagaimana kita batalkan rancangan ke luar negara? Ummi sambung belajar di Malaysia sahaja.” Kata-kata saya membuatkan suami sedih. “Abang telah berhenti kerja dan ikut Ummi pulang ke kampung. Abang telah niat untuk berhijrah bersama Ummi. Kita telah minta pada Allah SWT, yakinlah Allah akan menjawab permintaan kita,” balas suami. Saya kembali kuat.

Akhirnya saya mendapat emel dari seorang profesor Korea (saya telah menghubunginya di awal-awal proses mencari tempat pengajian). Beliau mengeluarkan surat persetujuan menjadi penyelia saya di Hankuk University of Foreign Studies. Kami sujud syukur.

“Ummi boleh tak datang secepat mungkin ke Korea? Saya mahu Ummi mulakan kelas semester depan. Saya boleh dapatkan biasiswa di sini untuk Ummi dengan syarat Ummi datang dan belajar,” kata Prof Dr Koh Young Hun melalui telefon. “Baiklah Prof. Saya akan tanyakan pada Universiti Malaya dulu.”

Saya menghubungi pihak Sumber Manusia UM. Saya maklumkan saya perlu bertolak awal ke Korea. “Jika mengikut skim ini, kamu tidak boleh pergi sekarang,” kata pegawai tersebut. “Bagaimana jika Hankuk University of Foreign Studies mahu memberikan biasiswa yuran kepada saya, bolehkah UM bagi wang sara hidup?” tanya saya lagi. “Boleh tetapi wang sara hidup tidak banyak hanya untuk puan sahaja, kira-kira RM2800 sebulan,” balas si pegawai. Saya akhirnya bersetuju. (Rupanya persetujuan ini membuahkan hikmah yang amat besar di kemudian hari, insha Allah akan saya ceritakan nanti).

Allah Ya Allah. Terasa sangat pantas dan mudah urusan kami ke negara Korea. Seperti sepasang kekasih yang mempunyai jodoh. Tidak sampai dua bulan urusan visa dan persiapan, kami akhirnya dihantar ahli keluarga dan teman-teman rapat ke KLIA. Tarikh itu adalah 4 Mac 2014.

“Jaga diri. Yakinlah dengan Allah SWT,” pesan abah. Saya menangis ketika memeluk emak, emak mentua dan tokwan. Saya tahu ini kehilangan kedua buat tokwan walaupun bersifat sementara.

“Pergilah, untuk menuntut ilmu tokwan relakan.” Tokwan tahan air matanya. Kami melambai tangan buat semua yang mengiringi di KLIA.

Maka, bermulalah jodoh kami dengan bumi Arirang, bumi Korea Selatan yang kami cintai (sedikit demi sedikit, bertambah setiap hari). Berkelanalah kami; saya, suami, Darda’ dan bayi dalam kandungan dengan janji bekalan wang RM2800 (yang belum diberikan lagi) oleh Universiti Malaya. Dengan gaji itulah bakal menyara kami hidup di Seoul!

Ya Allah, tapi kami yakin bahawa rezekiMu di mana-mana, rezekiMu tidak ditentukan oleh manusia. Sebab itulah kami terus dengat niat berhijrah, mencari ilmu dan keimanan.

Kami serahkan diri padaMu Ya Allah.

Kodiang ke Seoul ….

Catatan ini kelihatan terlalu peribadi.

Namun, saya meyakini kehidupan jika ditekuni dengan teliti terserlah kebesaran Allah SWT. Di langit luas terbentang, di bumi penuh ilham dan pada diri kita sendiri: seluruh dan tidak satu pun terkecuali adalah hasil ciptaanNya.

Sungguh, pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beriman.

(Terjemahan surah Al-Jasiyah: 3)

Mata merenung ke luar jendela. Kelihatan jalanraya sibuk dengan bas dan kereta. Ajumma (makcik) dan ajossyi (pakcik) berjalan laju ke tempat tujuan. Anak-anak muda berpakaian kemas berlari-lari anak menuju stesen subway. Mereka tidak tahu apa makna Ramadan. Kehidupan mereka adalah bekerja, mendapat wang dan hidup gembira dan teruja.

Cara mereka.

Tiba-tiba hati terdetik bertanya, “mengapa saya boleh berada di tengah kota ini?,” pemisah jarak sejauh 4395 km dari tempat asal di Kodiang. Hati merenung jauh melihat ketetapan Dia meletakkan kami – saya dan keluarga – di Seoul, Korea Selatan. Siapa sangka … tubuh kecil dan kerdil ini memijak bumi yang tergelar negara laut dan pulau.

Lalu ketika dipelawa oleh Prof MKI untuk berugas sebagai pensyarah tamu U-MKI, hati terus membuat keputusan … “barangkali banyak manfaatnya jika dicatatkan pengalaman ini. Ia boleh menarik minat siswa(i) untuk mempelajari sesuatu. Sedikit pun tidak mengapa”.

Bukankah kita semua adalah bukti kebesaran Allah SWT untuk saling mengiktibari dan diiktibari? Insha Allah, kisah berkelana dari Kodiang, Kedah ke Seoul, Korea akan saya nukilkan sebagai satu tacit knowledge yang akan ada gunanya.

Saya berdoa begitu.

‘Sila Keluar Dari Universiti Malaya!’

Ia bermula seawal 2013 ketika saya menjalani temuduga menjadi staf pengajar di Universiti Malaya. Skim ini memerlukan saya menyelesaikan Phd dahulu seterusnya pulang berkhidmat sebagai pensyarah. Bidang yang ditawarkan adalah Sastera Melayu dan Penulisan Kreatif. Saya masih ingat tiga profesor dan dua pegawai menguji saya di bilik mesyuarat, Bangunan Canseleri UM.

“Apa yang boleh kamu berikan kepada universiti dan para mahasiswa jika kamu dilantik menjadi sebahagian daripada kami?” tanya seorang profesor. Saya menjawab dengan penuh semangat dan retorik! Saya akan jadi warga Universiti Malaya yang terbaik, aktif dan rajin.

“Kamu tahukan keperluan universiti sekarang ini adalah mengejar ranking dunia? Perkara ini memerlukan pensyarah menghasilkan penyelidikan yang berkualiti terutama artikel bertaraf ISI. Apa pandangan kamu?” terjah seorang profesor lagi. Saya mengangguk dan menjawab sebaiknya, tidak semangat seperti jawapan pertama. Saya tahu ianya bukan tugas mudah.

“Kamu ni Ijazah Pertama di UM, Master pun di UM, takkan Phd pun nak buat di UM? Kalau begitu, kamu tak dapat memberikan sesuatu yang baru kepada mahasiswa nanti. Kursus penulisan kreatif ni luas, di seluruh dunia ada!” kata seorang profesor pula, seolah memberi sedikit harapan ‘peluang’ kepada saya yang mula ‘kecut perut’.

Mereka berbisik sesama sendiri. Para pegawai Sumber Manusia UM juga memberi pandangan. Akhirnya keputusan disuarakan pada hari itu.

Kami mahu Ummi Hani datang semula untuk temuduga kali kedua. Datang dengan surat tawaran dari mana-mana universiti luar negara. Kami hanya terima kamu menjadi warga Universiti Malaya jika kamu keluar dari sini. Pergilah ke luar Negara!

Itulah kata-kata seorang profesor diiringi anggukan yang lain. Saya menelan air liur! Allahu akbar!

Di luar bilik temuduga, orang pertama terbayang di mata adalah suami. Sebelum datang, dia mendoakan saya yang terbaik. Dia amat menyokong saya menyambung pengajian. Tetapi, sekarang ini bukan sekadar menyambung Phd tetapi berhijrah ke luar negara. Perkara ini menuntut pengorbanan yang besar. Suami bekerja sebagai jurutera projek di ibu negara.

Mahukah dia mengikut saya berhijrah?

Pencarian Jodoh

MasyaAllah … Subhanallah … suami bersetuju. Mudah sekali beliau menuturkan kata-kata ini,

Abang akan berkorban untuk Ummi sehingga Ummi tamat Phd. Abang akan jaga anak-anak. Kita pernah merancang untuk berhijrah di usia muda. Nah! Inilah jalan yang diberikan Allah SWT untuk niat tersebut.

Ya Allah Ya Allah. Kata-kata itu membuatkan saya bertambah malu dengan kasih sayang Allah. Cinta makhluk kepada kita secara tidak langsung adalah cinta Allah SWT terhadap hambaNya.

Bermulalah pencarian kami. Negara mana yang menyediakan peluang untuk saya mendalami bidang Penulisan Kreatif dan Sastera Melayu? Pencarian saya tambah mencabar apabila pihak Sumber Manusia mengeluarkan syarat bahawa UM melarang bakal pelajar tajaan menyambung pengajian di UK, US dan Australia selain negara Asia Tenggara. Di manakah negara yang terbaik untuk bidang Sastera Melayu?

Saya mencari tempat di banyak universiti luar negara (selain negara yang dilarang UM). Jerman, New Zealand, Singapura, Jepun dan Korea. Malah saya sempat bertanyakan kepada Prof Muhd Kamil Ibrahim jika ada tempat untuk wanita belajar di universiti di Madinah. Saya membayangkan betapa indahnya jika dapat tinggal di Mekah atau Madinah, dekat dengan Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, tidak sampai sebulan saya mendapat maklum balas daripada Profesor Dr Arndt Graf, profesor Pengajian Melayu dan Asia Tenggara di University of Frankfurt, Jerman. “Saya bersetuju menjadi penyelia Ummi Hani,” kata Prof Arndt Graf dalam surat rasminya melalui emel. Masya Allah, saya sujud syukur, menangis dan berserah kepada Allah SWT.

“Kita akan ke Jerman abang.” Suami juga gembira dan sujud syukur. Surat Prof Dr Arndt Graf saya serahkan kepada pihak Sumber Manusia, UM. Tidak lama kemudian, pegawai mengeluarkan surat bahawa Universiti Malaya bersetuju menghantar saya ke Jerman; belajar Sastera Melayu!

Strand!

‘Strand’ (dengan sebutan se-te-gh’ean) bermaksud pantai dalam bahasa Jerman. Itulah antara kalimah Jerman pertama yang melekat di fikiran. “Susah juga bahasa Jerman ni ya,” kata saya pada suami. Saya menutup mulut mendengar suami menyebut patah-patah bahasa Jerman yang dimuat-naik di telefon bimbit. Terasa janggal dan lucu. Bahasa Jerman banyak disebut dengan huruf ‘Ghain’ dan ‘Zho’.

Saya dimaklumkan Prof Arndt Graf bahawa tesis boleh ditulis dalam bahasa Inggeris atau Jerman. Tesis perlu diterbitkan menjadi buku sebagai syarat lulus Phd. Ketika itu, kerana begitu semangat mahu ke luar negara, saya tidak terfikir bahawa syarat itulah yang menyebabkan ramai mahasiswa tidak beroleh Phd meskipun tesisnya selesai.

Para pensyarah di UM mengucapkan tahniah. Bahkan Dekan di Akademi Pengajian Melayu, Dr Zahir Ahmad mengumumkan kepada semua pensyarah dan mahasiswa APM dalam satu majlis rasmi,” Ummi Hani akan jadi wakil pelajar kita di University of Franfurt tak lama lagi.”

Keluarga terutama abah, Cikgu Abu Hassan Morad juga gembira. Saya tahu riak wajah abah bangga ada anaknya akan berhijrah. Mungkin abah menyatakan rasa bahagianya itu kepada rakan-rakan di pejabatnya. Yang tidak gembira hanya dua orang iaitu tok dan tokwan saya di kampung. Tok amat sedih.

Saya dan suami membuat persiapan rapi untuk ke Jerman. Saya ambil ujian IELTS dan menghadiri Kursus Biro Tata Negara. Malah, sentiasa berhubung dengan Prof Arndt Graf dari masa ke semasa. Yang membuatkan saya terharu, Prof Arndt Graf mengambil masa dalam beberapa jam sahaja untuk membalas setiap emel saya. Tiada jurang status yang tinggi, Dia begitu merendahkan hatinya untuk saya. Kami jangka hujung tahun 2013 atau awal 2014 kami akan terbang ke Jerman.

Ragu-Ragu..

Saban malam kami merintih kepada Allah SWT. Baik saya atau suami, tekad kami adalah sama, merantau dan menuntut ilmu semata kerana Allah SWT. Jauh sekali untuk berbangga diri. Dalam setiap doa saya akan selitkan, “Ya Allah, jika Jerman ini terbaik untuk kami, maka kau permudahkanlah kami ke sana. Jika sebaliknya, kami serah kepadaMu. Kasihanilah kami yang bercita-cita mahu melihat alam ciptaanMu yang luas dan indah, agar bertambahlah keimanan kami kepadaMu Ya Allah..”

Saya selak buku-buku tentang Jerman. Saya lihat alamnya yang indah. Sebuah negara yang bersih, berdisplin dan kuat tradisi budayanya. Jerman mempunyai sisi pemikiran moden yang berbeza dari Amerika atau Inggeris. Mereka ada jatiditi moden yang tersendiri. Aura Hitler tertanam dalam gerak kerja dan disiplin hidup mereka. Bersediakah saya menjadi sebahagian daripada semua itu?

“Jerman adalah negara yang baik membesarkan anak-anak. Sistem pendidikannya percuma. Insha Allah, Darda’ boleh membesar dalam persekitaran sivik yang sempurna,” kata saya kepada suami.

Suatu hari saya bertemu dengan seorang sahabat yang menyambung Phd Bahasa Arab di Jerman. Pertemuan yang membibitkan rasa takut untuk menjadi warga Frankfurt.

“Ummi, sekiranya ada pilihan negara lain untuk sambung belajar, pergilah. Jangan buat Phd di Jerman. Nanti selesai Phd di negara lain, datanglah buat penyelidikan susulan di Jerman. Phd di sana sangat sukar. Profesor memang sangat baik tetapi dalam soal akademik, mereka tiada tolak-ansur, mereka mahukan kesempurnaan dan ianya tidak mudah!” kata teman ini yang sudah masuk tahun kelima melakukan Phd di Jerman.

Dia pulang menghantar isteri dan tiga anak (termasuk anak yang dilahirkan di Jerman) ke Malaysia dan akan kembali ke Jerman seorang diri. Wajahnya membayangkan kesukaran yang tinggi akan saya hadapi jika saya mengikut langkahnya.

Saya dan suami tidak membuat keputusan walaupun hati mulai berkocak ragu. Saya memperdalamkan doa kepada Allah SWT. Berilah kami petunjukMu ya Allah.

Selamat Datang Ummu

fotoummu

PERLANTIKAN PENSYARAH TAMU
Ummuhani (Tema: Kodiang ke Seoul)

BIODATA

Ummi Hani Abu Hassan adalah nama sebenar Ummu Hani Abu Hassan. Dilahirkan pada 2 Januari 1983 di Padang Sera, Kodiang, Kedah. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Siputih, Padang Sera,  Sekolah Menengah Islam Darul Ulum, Pokok Sena dan Sekolah Menengah Agama Nahdah Hasanah, Melele, Kodiang, Kedah.

Pendidikan tingginya bermula di Matrikulasi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri (2001-2002), Ijazah Sarjana Muda  (Usuluddin dan Pengajian Media) Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2002-2006) dan Sarjana Usuluddin, Universiti Malaya (2007-2011). Bidangnya adalah dakwah dan Pengajian Media (kewartawanan dan Penulisan Kreatif). Kini beliau sedang melanjutkan Phd dalam bidang Sastera Bandingan (Melayu-Indonesia) di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul.

Ummu Hani pernah merantau ke Indonesia (Medan, Aceh, Yogjakarta, Semarang, Solo dan Jakarta), Singapura, Brunei, Thailand (Selatan Thai dan Bangkok), Bangladesh (Dhaka), Myanmar (Yangon, Bagan dan Mandalay), Syria (Damsyik), Jordan (Amman dan Irbid), London, Mekah dan Madinah.

Beliau telah menghasilkan 12 buah buku (novel, kisah benar dan antologi cerpen) dan 15 buah skrip drama televisyen. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi kategori cerpen dan novel pada 2005, 2007, 2008 dan 2009.

Beliau berazam menjadi manusia yang bermanfaat sebagai seorang anak, isteri, ibu, guru dan sahabat. Prinsipnya, sekiranya kita membantu agama Allah SWT pasti Allah SWT akan membantu kita.

Beliau boleh dihubungi melalui emel ummihani.abuhassan@yahoo.com.my.