Mimpi Orang Tidur

Mimpi biasanya sebentar, selama manusia tidur. Mimpi terdedah kepada segala macam pengalaman, harapan dan tidak kurang pula tanda-tanda isyarat. Ini bergantung pada latar dan keadaan individu berkenaan. Mimpi itu sebuah dunia, malah dunia ini sebuah mimpi.

Ini sebuah metafora. Ada munasabahnya untuk melihat kehidupan cara begini dalam usaha mencari kebenaran yang hakiki. Dunia yang tidak kekal, ibarat mimpi yang pendek. Ada kelazatan dan ada kepahitan. Semuanya tidak abadi.

Ulama, pemikir, hakim juga penulis kitab penting Iman al-Mawardi pernah berkias cara begini dalam melihat kehidupan.

Imam al-Mawardi dalam bukunya mengutip sebuah puisi :

“Ketahuilah sesungguhnya dunia itu seperti mimpi orang tidur,

dan kehidupan yang baik tidaklah abadi.

Renungkanlah, ketika kelmarin engkau memperoleh kelazatan,

lalu engkau menghabiskannya, bukankah engkau seperti orang yang bermimpi.

Betapa banyak orang yang lalai seperti tak lalai dan

betapa banyak orang yang tidur seperti tidak tidur.”

          (Iman al-Mawardi dalam ‘Jalan Meraih Kebahagiaan Dunia & Akhirat’ terjemahan Ahmad Farid Nazori daripada karya asal ‘Adab ad-Dunya wa ad-Din’)

Akal hendaklah diaktifkan setelah bangkit daripada tidur. Tidur hanya sebentar cuma. Mimpi (orang biasa) acap kali menghidangkan keindahan, ilai-tawa, kejelikan, ancaman dan ulang tayang pengalaman hidup secara kabur. Ini semua minta disaring dan iktibar.

Seindah mana pun mahligai di dalam mimpi tidak sama dengan realiti tinggal di sebuah rumah usang. Panca warna di langit sebentar lenyap tatkala timbulnya matahari. Senang berakhir, bermulalah susah dan sebaliknya. Seakan lalai dibuai mimpi, namun setelah munculnya pagi, sudah kembali ke alam nyata dan tidak lagi lalai. Bermakna, diri kembali menjadi insan, hamba ciptaan Allah untuk beribadah kepada Pencipta.

Maka insan ini dikatakan ‘tidur tetapi tidak seperti tidur’. Apa yang terjadi pada waktu tidur sama sekali tidak melalaikan, malah mencetuskan lebih banyak keinsafan dan ketaatan. Setiap detik dalam waspada dan terelak daripada sesuatu yang ‘lagha’ (sesuatu yang tidak berfaedah).

Mafhum Firman Allah, “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; Dan mereka menjauhkan diri daripada segala perkara yang sia-sia.” (Mafhum Surah Al-Mu’minun [23]:1-3)

Wallahu a’lam.

[Darma Mohammad]

Rajawali Tanpa Bulu

Musibah acap kali menyebabkan manusia menangis. Bersedih sekadarnya adalah lumrah. Kehilangan orang yang disayangi tentunya satu perkara yang melukakan hati. Namun wajar adakah  meraung tanpa batasan seakan-akan menolak takdir?

Syukur atas segala nikmat Allah. Masa senang bersyukur dengan nikmat kesenangan. Masa susah bersabar dengan ujian Allah. Kesusahan itu perit, serupa juga keperitan itu susah. Hakikat kehidupan tidak dapat diwajarkan oleh khayalan yang muluk-muluk. Pahit tetap dirasai oleh lidah, padahal ia penawar mujarab untuk tubuh.

Gambaran yang cukup baik, telah dibuat oleh Syeikh Abdul Qadir Isa dalam membincangkan tentang insan yang mencari Allah, mencari jalan menuju Allah. Perasaan manusia selalu gelisah, namun mempunyai iman yang teguh, takwa yang tuntas.

Syeikh Abdul Qadir Isa memetik sebait puisi :

“Dia bak seekor rajawali tanpa bulu

Selalu berduka jika melihat burung yang terbang

Dulu, dia merasakan nikmat di sebuah taman

Mampu menangkap apa saja yang ingin diburunya

Sampai ketika dia tertimpa malapetaka

Kedua sayapnya tergunting

Maka bersedihlah dia.”

(Syeikh Abdul Qadir Isa, ‘Hakekat Tasawuf’ tajuk asal ‘Haqa’iq at-Tashawwuf’ terjemahan Khairul Amru Harahap dan Afrizal Lubin).

Hadapi malapetaka melalui jurus pandang yang betul. Tanggung bebanan hidup dengan keupayaan anugerah Allah. Seekor rajawali yang kuat mampu menguasai taman dan langit luas. Tanpa sepasang sayap, keupayaannya tiba-tiba hilang. Rajawali masih mempunyai nikmat penglihatan daya fikir (mengikut fitrahnya).

Laksana rajawali, sang insan masih tetap mengharapkan penciptanya, Allah. Masih ada tempat bergantung dan memohon pertolongan. Insan ini tetap menjadi hamba yang taat dan beribadah kepada Allah. Masih ada nikmat Allah di tangannya.

Selagi nikmat hidup masih diberi Allah, selagi itulah ada jalan untuk mentaati Maha pencipta. Masih ada rahmat Allah. Malah musibah acap kali membawa insan lebih mengingati Allah, lebih mendekati Allah dengan berlaku taat kepada Allah Al-Aziz (Maha Perkasa).

Bersedih atas segala dosa-dosa lalu itu terpuji, bukan bersedih secara keterlaluan atas musibah kecil (ujian) Tuhan ke atas makhluknya. Semoga sang rajawali bertemu dengan jalan yang dicarinya, menuju Tuhannya.

Mafhum Firman Allah : “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada segala yang kamu mohon kepada-Nya. Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat zalim (menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya) lagi sangat kufur (tidak mensyukuri nikmat Tuahnnya).” Mafhum Surah Ibrahim [14]:34)

Wallau’alam.

 

[Darma Mohammad]

Mata Tidak Semata Untuk Menatap

Salah satu nikmat besar kurniaan Allah kepada manusia ialah mata zahir. Dengan adanya mata zahir, datang pula nikmat lain yang berkaitan dengan mata zahir itu, yakni penglihatan. Mata zahir sebagai pengantara untuk terjadinya penglihatan melalui mata zahir.

Penglihatan itu satu nikmat.

Pandanglah alam semesta yang indah, ciptaan Allah tanpa cacat cela.  Lihatlah bagaimana langit dibangunkan, gunung-ganang dipasak, laut direntang, bumi dibentangkan dan yang paling dekat ialah jasad sendiri bagaimana ia disempurnakan.

Mata (penglihatan) tidak cukup peranannya untuk menatap alam sahaja. Mata juga harus digunakan untuk menangis. Sekali imbas benar kata ahli psikologi, hidup bukan untuk menangis. Benar, hidup mesti menahan air mata.

Namun bagi seorang pendosa (hanya Nabi yang maksum) air mata menjadi tanda penyesalan yang sungguh-sungguh. Orang mudah menangis kerana kehilangan sesuatu yang berharga atau orang yang disayangi; tetapi tidak mudah untuk menangis kerana dosa-dosa yang telah dilakukan. Insan yang mampu menangis kerana penyesalan terhadap dosa-dosanya, merupakan insan yang hebat dan benar-benar mempunyai kesucian dan kelembutan jiwa.

Perhatikan puisi yang diutarakan oleh Ibnul Jauzi dalam kitabnya ‘Bustan al-Wa’izhin’ :

 

“Mengapa matamu tidak menangis atas apa yang terjadi terjadi

Mengingatkan dosa, takut api neraka dan kebinasaan

Wahai pendosa yang kejahatannya akan dihitung

Jangan kau lupakan dosamu dan ingatlah apa yang telah kau lakukan

Dari dosa-dosa yang tak hentinya

Bagaimana kau akan lulus dan padahal semuanya telah dicatat dalam lembaran

Tidakkah kau takut semua akan dibongkar

Di mana penutupnya akan terbuka darinya.”

(Ibnul Jauzi, ‘Bustan al-Wa’izhin : Suluh Penyucian Jiwa’ terjemahan Iman Firdaus Lc)

Inilah air mata yang berharga.  Tangisan yang berharga ialah tangisan keinsafan semasa di dunia. Di Yaumul Mahsyar air mata sudah tidak bernilai, tidak diendahkan oleh Allah, tidak boleh dijadikan bahan dagang atau apa pun.  Di sana hanya menunggu hisab, menunggu syafaat,  keampunan, rahmat dan naungan daripada Allah.

Malah di antara orang mendapat naungan Allah di Yaumul Mashsyar ialah orang yang berzikir tatkala sunyi dan menangis. Insan yang benar-benar taat akan Allah bersyukur dan menangis. Mereka ini sujud dan menangis. Mereka ini berdoa dan menangis. Mereka bertaubat juga menangis. Maka menangis di dunia ini satu perkara yang terhitung terpuji di sisi Islam.

Mata bukan semata-mata untuk menatap.

Mata juga untuk menangis. Orang yang hebat, menangis menginsafi diri dan tanda syukur atas segala nikmat Allah.  Gunakan mata untuk perkara-perkara ini.

Mafhum firman Allah : “Serta mereka menegaskan dalam sujudnya), ‘Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap laksanakan. (108) Dan mereka segera merebahkan diri bersujud sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.(109)”

(Mafhum Surah  Al-Isra’[17]:108-109)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]

Sebentar Alam Pun Cerah

Insan berduka. Benar kerana ia dicipta untuk menerima ujian, dan bersabar.  Insan bersuka. Benar kerana ia dicipta untuk menerima ujian dan bersyukur. Kedua-dua keadaan itu, insan dikehendaki menghantar pujian kepada Maha Pencipta (walau pun Dia tetap Maha Kaya).

Hidup ini jauh, manakala mati itu dekat. Selayaknya manusia memberi sejumlah masa berbicara dengan dirinya sendiri sepanjang hidupnya. Maka dia akan menangkap gema suara jiwanya sendiri. Jiwa yang suci bakal melontarkan gema yang jernih.

Cuba perhatikan gema jernih (nalar positif) itu, seperti diungkapkan oleh insan pencari Pencipta, Shamsuddin Muhammad (1320M – 1389M) atau lebih dikenali sebagai Hafiz Syirazi.

Beliau melihat hakikat kehidupan, mengecap luka perasaan dan menghimbau jalan kebenaran melalui  puisinya :

“Tempat ini memang menakutkan, dan tanah dataran masih jauh

Tetapi itu tak akan lama, sebentar alam pun cerah

Jangan berduka.

Hafiz! Meskipun kau ini miskin, dan malam mu gelap

gelita semata

selama engkau masih menyeru nama-Nya,

dan Quran di tangan mu.

Janganlah berduka.

                (Maksud puisi Hafiz Syirazi, dikutip daripada ‘Perkembangan & Pemurnian Tasawuf’  karangan HAMKA)

Perjalanan hidup seakan begitu jauh, namun setiap insan akan sampai. Detik itu akan tiba dengan sebuah hukum, yakni takdir. Dunia ini, bagi seseorang sama ada menyeramkan atau menggiurkan, namun ia satu kesementaraan.  Hanya sebentar malam tiba dan gelap akan lenyap. Hanya sebentar siang datang, dan terang akan hilang.

Miskin-kaya dan suka-duka semuanya ujian, lantaran itulah antara perhitungan iman dan ihsan.  Kekuatan iman boleh tumbuh dari tapak mana pun seseorang manusia berdiri. Benteng iman boleh kuat kerana kaya atau kerana miskin atau sebaliknya. Benteng iman boleh kuat kerana duka atau duka atau sebaliknya.

Setiap manusia harus kembali kepada Maha Pencipta kerana jasad dan jiwa ini ciptaan Allah. Hanya Dia tempat pergantungan hidup dan memohon rahmat serta belas kasihan.  Al-Quran diturunkan sebagai landasan hidup di dunia dan membawa perkhabaran awal kehidupan di akhirat.

Manusia harus mendengar gema kejernihan jiwanya sendiri.

Mafhum Firman Allah, “Kami tidaklah mengutus rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita dan pembawa amaran, Maka, sesiapa yang beriman dan beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.” (Mafhum Surah Al-An’am (6):48)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]

‘Duhai Kekasih’: Kata Penangis

Sekian lama hidup dalam tawa, manusia tetap rasa sebentar.  Dalam sebentar itu pun manusia tidak cuba mencari ruang untuk ‘meratapi diri’. Benar, tawa lebih enak bagi sebilangan orang. Menangis satu hal yang dipandang buruk dan mencerminkan kelemahan jiwa.

Hidup ini bersegi-segi. Amalan hidup berpetak-petak. Oleh sebab manusia tidak lekang daripada melakukan kesalahan, maka penyesalan harus mengisi satu juzuk daripada kehidupannya.  Di sinilah insan mulia mengembalikan kekuatan melalui titik-titik air mata. Ini dipandang baik.

Rahsia penyucian jiwa yang ampuh antaranya ialah air mata. Air mata penyesalan, air mata keinsafan, air mata penyerahan diri kepada Allah Al-Ghaffar (Maha Pengampun).

Para penangis menangis kerana sebab-sebab di atas merupakan insan terpilih, lantaran orang yang berjiwa keras tidak mampu melakukannya. Perhatian apa yang dialami oleh Imam Syafie rahimahullah di dalam hidup beliau. Beliau mengadukan “Duhai Kekasih!” kepada Rabbnya.

Ini maksud petikan sebahagian puisi As-Syafie rahimahullah seperti yang dikutip oleh Salman Al-Audah :

                “Bagus sekali seorang yang mengenal-Mu yang menangis meratap

                Kerana begitu sedih, matanya meluapkan air mata darah

                Di kala malam membentangkan kegelapan

                Dia meratapi diri kerana begitu takut

                Fasih di kala berzikir menyebut Rabbnya

                Namun bisu di kala menyebut siapa pun selain-Nya di antara para manusia

                Teringat masa-masa muda

                Teringat dosa-dosa yang dilakukan di kala itu kerana kebodohan

                Sedih  selalu mendampingi sepanjang siang hari

                Dan di kala malam terasa gelap , dia tidak terlelap dan selalu bermunajat

                Dia mengucapkan,”Duhai Kekasih! Kaulah yang ku pinta dan yang ku damba”

                                (Dipetik daripada ‘Hidup Bersama Allah s.w.t’ oleh Salman Al-Audah, terjemahan Nur Thairah Syamsuddin)

Kesedihan, ratapan, tangisan dan air mata kerana takut akan azab Allah dianggap satu perkara yang baik. Ini antara tanda orang yang mengenal Allah. Lalu malam baginya, bukan waktu untuk sedap-sedapan dengan mimpi, tetapi bermunajat  kepada Tuhan.

Hidup ribuan segi dan amalan ribuan petak. Semuanya menjurus kepada kesatuan matlamat yakni menuju Allah dan mendapat reda-Nya. Waktu tertentu jadilah seorang penangis.

Mafhum Firman Allah : “Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap perkhabaran al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya. Serta kamu tertawa (mengejek-ejek), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?” (Mafhum Surah Al-Najm [53]: 59 dan 60)

Wallahu a’llam.

[DARMA MOHAMMAD]

Berputar-putar pada perkara sia-sia

Hidup bererti, mati bererti. Maksudnya hidup bermanfaat dan selepas mati masih mendapat manfaat daripada kehidupan.

Maka itu manusia harus membuat perhitungan. Tidak ada dolak-dalik. Tidak ada pura-pura. Setiap orang sudah mendapat peraturan hidup dan sudah membacanya. Maksudnya manusia diutus Rasulullah (s.a.w) yang menyampaikan ajaran al-Quran dan sunah.

Hidup ini terbatas dalam keterbukaan. Ini bermakna ada pilihan antara mensia-siakan hidup dengan memanfaatkan hidup. Ada pilihan antara amanah dengan khianat. Ada pilihan antara ikhlas dengan pura-pura. Begitulah seterusnya dan seterusnya.

Begitu atau begini dalam menjalani kehidupan tergantung kepada pertimbangan akal. Akal dan iman selalunya menunjuk jalan kebenaran. Pilihan terbaik buat manusia. Elok sama-sama cernakan pesan-pesan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah untuk memberi erti akan kehidupan akhirat itu.

Pastinya ini berkait dengan hidup bererti dan mati bererti.

Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menyebut sepuluh perkara yang tidak bermanfaat kepada seseorang. Pada kesempatan ini diperturunkan lima perkara sahaja untuk direnungi bersama. Ibnul Qayyim mencatatkan :

*Ilmu yang tidak diamalkan  

*Amal yang tidak ikhlas

*Harta yang tidak dipersembahkan untuk akhirat

*Pemikiran yang berputar-putar pada sesuatu yang tidak bermanfaat

*Pengabdian yang tidak mendekatkan diri kepada-Nya (Allah)

(Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam ‘Terapi Mensucikan Jiwa’ (terjemahan oleh Dzulhikmah daripada judul asal ‘Al-Fawa’id’)

‘Manfaat’ dan ‘tidak bermanfaat’ (di dunia dan di akhirat) menjadi pemacu akal. Sebarang tindakan mesti berorientasikan ‘manfaat’. Jika tidak hidup menjadi sia-sia.  Kuat mencari ilmu yang berguna dan mengamalkannya. Kuat beramal dan beramal dengan hati yang ikhlas. Ilmu dan amal menjadi kembar yang intim. Satu melengkapkan yang lain.

Seterusnya harta mesti dicari dan didapati dengan cara yang halal. Setiap sen yang didapati hendaklah di manfaatkan di dunia dan (sangat penting) nanti memberi manfaat juga di akhirat.

Berfikirlah secara bijaksana dalam apa jua situasi. Akal digunakan untuk memikirkan hal-hal yang mendatangkan faedah di akhirat. Manusia tidak perlu sibuk memikirkan perkara-perkara yang sia-sia apa lagi yang mungkar.

Manusia dikehendaki mengabdikan diri hanya kepada Maha Pencipta. Hanya Allah layak disembah dan tempat meminta pertolongan. Semua makhluk tidak layak disembah.

Apakah wajar manusia hidup puluhan tahun di dunia, tidak memberi apa-apa manfaat kepada hidupnya di akhirat?

Mafhum Firman Allah : “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan  dengan kesabaran.” (Mafhum Surah Al-‘Asr [103]:1-3)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]

Berada di Satu Ufuk

Tidak semua manusia akan sampai ke satu ufuk; iaitu ufuk usia tua.

Masa mengalir tanpa henti atas ketentuan Ilahi. Manusia bernafas sehingga rezeki usia yang dibekalkan Allah sudah habis untuknya. Tidak ada siapa yang tahu ukuran keranjang usianya.   Mengiringi usia itu, sejumlah catatan amal baik atau amal buruk. Mengiringi usia itu, sejumlah perubahan fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar. Manusia seharusnya menjadi kaya dengan pengalaman dan tajam pemikiran. Ada yang berlaku sebaliknya.

Pokoknya, tidak semua orang mendapat rezeki usia tua. Ajal maut di tangan Tuhan dan manusia dikehendaki reda atas segala ketentuan Allah. Oleh sebab itu orang yang mendapat rezeki panjang umur hendaklah banyak-banyak bersyukur dan bersegera membaca catatan sejarah diri sendiri.  Membaca bukan sekadar membaca, tetapi membaca dengan air mata.

Ini satu peluang yang luar biasa. Inilah waktu membasuh jelaga keburukan masa lampau. Bagi insan yang bijaksana, inilah ufuk keemasan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada dirinya. Inilah ufuk penyesalan dan tangisan yang paling berharga.

Abul Atahiyah cukup terkesan dengan ufuk ini (usia tua) ini. Di sana terkumpul segala kelemahan fizikal seorang  insan dan keresahan jiwa mengenangkan apa yang terjadi pada zaman muda. Inilah sebuah puisi yang tulis oleh Abul Atahiyah yang dikutip oleh Dr. Aidh Albdullah Al-Qarni: :

“Kutinggalkan masa muda dengan cucuran air mataku 

tetapi apalah gunanya tangisan dan rintihan itu

Aduhai kiranya masa muda kembali sehari saja 

maka aku akan memberitakan kepadanya

apa yang dilakukan di masa beruban”.

[Petikan ‘Menyucikan Qalbu’ (tajuk asal ‘Siyaathul Qulub’) oleh Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni, edisi bahasa Melaysia oleh S.A.Majeed].

Ini boleh dilihat sebagai satu kiasan, malah satu realiti betapa manusia (yang bertakwa) merasa gelisah atas kesalahan zaman muda yang sempat diharunginya. Masa muda tetap tidak akan kembali lagi, malah masa muda itu sudah lebur. Ia sudah pergi jauh namun jejaknya masih melekat di dalam batin.

Air mata penyesalan akan menjadi rahmat. Kegelisahan akan menjadi tenaga penggerak ke arah makruf dan penyucian jiwa.  Orang yang dikurniai Allah sampai ke ufuk ini pasti satu rezeki yang tidak ada tolok bandingnya. Namun setelah manusia ditakdirkan mencecah usia renta, dia akan kembali menjadi teramat lemah.

Mafhum Firman Allah : “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah (air mani yang hina), selepas keadaan lemah itu (zaman kanak-kanak) Dia menjadikan kamu kuat (ketika muda). Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.” (Mafhum Surah Al-Rum [30]:54)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]

Bukan Dari Anggur

Serbat anggur memang enak. Ia mempunyai khasiat yang banyak. Namun serbat anggur bukan segala-galanya. Ia mampu menghilangkan haus dan mempunyai gizi untuk badan.  Manusia tidak sekadar tulang dan saraf.  Manusia tidak sekadar darah dan daging.

Manusia milik jiwa dan jiwa perlukan santapannya sendiri. Manusia miliki hati dan hati perlukan penyucian. Anggur tidak mampu menghilang kehausan jiwa. Serbat anggur tidak mampu menggerus karat dan jelaga yang menebal pada hati manusia. Segala macam nafsu amarah bersarang dalam jiwa manusia yang sakit.

Penyakit hati kadang kala tidak pernah disedari orang. Penderita penyakit hati terus enak bergerak ke sana sini.  Kerenah hati mempunyai penawar yang berlainan.

Maka penawar bagi penyakit hati itu tidak lain daripada petunjuk, hikmah dan ilmu daripada Allah jua.  Puisi yang diungkapkan oleh Imam Abd al-Rahman bin Abdullah Bilfaqih Ba Alawi telah menyentuh perkara ini.  Dinukilkan puisi itu seperti di bawah :

                “Penawar bagi setiap penyakit dan dosa

                Dari kurnia Yang Maha Mulia, bukan dari anggur

                Melainkan dari petunjuk, hikmah, dan ilmu

                Yang sirnakan segala keraguan dan kesulitan.”

[Petikan  daripada ‘Al-Rashafat : Percikan Cinta Para Kekasih’ oleh Ismail Fajrie Alatas]

 Segala petunjuk yang benar itu anugerah Allah. Ini satu jaminan untuk mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Inilah benteng segala krisis kemanusiaan.

Hikmah juga anugerah Allah dalam ruang lingkupnya begitu luas. Ilmu membawa kepada kebijaksanaan dan mampu menembus pelbagai macam rahsia kehidupan dengan lapis-lapis tafsiran dan makna.  Nanti akan ditemui hikmah kejadian manusia melalui ilmu yang mendalam dengan bantuan firman Maha Bijaksana. Menolak firman Allah membawa kepada kesesatan yang nyata.

Tembok keraguan mesti robohkan dengan kebenaran ayat-ayat Tuhan. Semestinya yang batil lambat laun akan berkecai. Selagi manusia dibelit oleh keraguan akidah, selama itulah manusia dililit oleh kesulitan dalam memahami matlamat sebenar kehidupan.

Manusia mampu mencerakin kehidupan di dunia, tetapi manusia gagal mengetahui kehidupan di akhirat tanpa perkhabaran  wahyu daripada Allah.

Segala penyakit hati tidak dapat diubati oleh secangkir serbat anggur.

Mafhum Firman Allah : “Allah memberi hikmah (kebijaksanaan atau ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Sesiapa  yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Hanya orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.” (Mafhum Surah Al-Baqarah [2]:269).

Wallahu a’llam.

Wassalam.

[Darma Mohammad]

Aku pun takkan tertawa

Fikiran manusia boleh menerobos apa sahaja. Ini baik. Dengan rahmat Allah manusia diberi akal dan dengan izin-Nya manusia berpeluang untuk berfikir tentang masa lepas, masa sekarang dan masa akan datang. Masa akan datang tidak sekadar sepuluh atau dua puluh tahun tatkala hidup di dunia, malah meliputi waktu di akhirat.

Tidak semua manusia mengambil kesempatan memikirkan perihal huru-hara akhirat. Bila akal berjaya memikirkan alam akhirat, maka bersedialah untuk berkata : ‘Aku pun takkan tertawa’. Ini satu juzuk daripada ungkapan yang keluar daripada insan yang benar-benar meyakini perkhabaran Al-Quran dan Hadis.

     Golongan ulama seperti Ibnul Jauzi memikirkan perkara-perkara yang masih ghaib yakni alam akhirat. Setiap manusia akan sampai dan tidak sekadar sampai tetapi berdepan dengan hisab atau proses pengadilan di depan Allah Maha Adil.

Inilah sebahagian puisi yang diungkapkan oleh Ibnul Jauzi di dalam bukunya , ‘Bustan al-Wa’izhun’ :

“Aku ingat saat aku tinggal di dalam kubur

Hingga aku diseru untuk hisab

Setiap petaka akan mudah bagiku

Begitulah rasa kehilangan pada diri pemuda

Sekiranya aku tahu, di manakah tempatku

Di bawah lapisan bumi atau kapan aku kembali

Jika aku memiliki akal, niscaya tidurku tidak akan melenakanku

Dan minumanku tak membuatku kenyang

Aku pun takkan tertawa dan tak tahu

Apa yang akan terjadi padaku saat hisab di hadapan Allah.”

                                (‘Bustan al-Wa’izhin  : Suluh Penyucian Jiwa’, terjemahan Iman Firdaus)

Umur manusia dibelit oleh tuntutan hidup dan tanggungjawab. Manusia berada di pentas realiti dan fantasi. Hidup ini satu keasyikan bagi penganut hedonisme, tetapi tidak bagi golongan yang bertakwa. Antara golongan ini terdapat garis pemisah yang tebal dan mudah dikenal oleh orang yang bijaksana.

Bagi orang yang bijaksana barzakh, hisab, sirat, syurga, dan neraka tidak lagi fantasi. Lantaran itu Ibnu Jauzi tidak mampu tidur nyenyak memikirkan keadaan di alam akhirat. Mengatur hidup di dunia tentunya lebih mudah dengan adanya segala ikhtiar dan bantuan pelbagai peralatan dan sesama manusia. Di akhirat diri sendiri bertanggungjawab penuh terhadap segala amalan di dunia.

Maka, ‘Aku pun takkan tertawa’.

Manusia tidak mampu tertawa-tawa dengan amat berlebihan kerana itu bukan matlamat hidup yang sebenar sebaliknya untuk mengabdikan diri kepada Maha Pencipta.

Mafhum Firman Allah : “Kehidupan di dunia ini (jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Mafhum Surah Al-‘Ankabut [29]:65)

Begitu juga mafhum Firman Allah : “(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berlandaskan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan. Jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepada kamu, dan Dia tidak sekali-kali meminta harta kamu.” (Mafhum Surah Muhammad [47]:36).

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]

Lima Belas Tahun Melentur Lidah

Begitu lama berlatih melenturkan lidah, untuk menelurkan kata-kata yang baik. Lima belas tahun menjernihkan jiwa untuk mencari kebaikan.

Lidah dicipta untuk berlisan. Alat pertuturan ini merupakan anugerah Allah yang sangat penting.  Oleh sebab Allah memberi anggota lidah secara pakej lengkap pada diri seorang manusia, maka ia seakan dilupakan oleh banyak orang.

Alat pertuturan yang ada dalam rongga mulut manusia itu merupakan nikmat, termasuk juga suara yang tidak pernah dapat ditatap mata.

Bertutur tetap satu amanah. Ini bermakna selain daripada perkara yang bermanfaat, ia termasuk dalam khianat. Ini bermakna setiap kata dan kalimat tidak hadir untuk ‘saja-saja’ hadir; melainkan menghantar dua perkara. Dua perkara itu mungkin manfaat atau sia-sia; pahala atau dosa; hikmah atau kebodohan.

Maka itu, orang yang bijaksana berfikir sebelum menggunakan lidah. Mereka terpaksa berlatih untuk melentur lidah untuk bertutur hanya perkara yang baik dan bermanfaat. Selalunya orang berlatih untuk menyebut sesuatu huruf dengan betul. Tidak cukup dengan itu orang juga berlatih untuk bercakap hanya perkara-perkara yang benar dan bermanfaat.

Telah dipetik oleh Al-Harits al-Muhasibi seuntai kata daripada Rabah ibn Yazid al-Lakhmi :

“Aku melatih jiwaku untuk tidak berbuat dosa sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya aku bisa mendisiplinkannya.

 Aku pun melatih lidahku untuk tidak membicarakan hal-hal yang tidak berguna bagiku; setalah lima belas tahun, barulah aku bisa mendisiplinkannya.”

[Dikutip dalam buku ‘Risalah al-Mustarsyidin’ karangan Al-Harits al-Muhasibi, terjemahan Abdul Aziz SS]

Begitu lama berlatih melenturkan lidah. Ini bukan soal tidak pandai menyebut kata, tetapi tidak mahu melafazkan sesuatu yang tidak berguna. Ini kerja orang yang arif. Apa yang melanggar amanah tetap akan ditolak sama sekali. Khianat kepada diri sendiri di dunia dan di akhirat satu petaka besar.

Penutur kata-kata di atas ialah Rabah ibn Yazidal-Lakhmi. Beliau meninggalkan pada tahun 172H tatkala berumur 38 tahun. Ini bermakna sejak remaja lagi beliau telah mengawal lidah dan perkataannya. Begitu hebat akhlak beliau.

Ya Rabb, berilah kekuatan kepada kami untuk mengucapkan kata-kata yang berguna.

Mafhum firman Allah : “Tidak ada seorang pun yang lebih baik daripada seorang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : ‘Sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang Islam (yang patuh kepada Allah).” (Mafhum Surah Fussilat [41]:33)

Wallahu a’llam.