HEBRON

Nota: Bab 21 dari buku Di Sebalik Tembok Yahudi: Ada Damai di Al-Aqsa.

Palestin merupakan bumi bara nabi dan anbiya. Barangkali tidak keterlaluan jika ia menjadi penyebab mengapa negara Palestin menjadi rebutan ahli kitab. Mereka percaya dan menyedari bahawa nama-nama nabi tercatat di dalam kitab mereka.

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (Anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah) dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud dan Sulaiman dan Ayub dan Yusuf dan Musa dan Harun dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

(Terjemahan surah Al-An’aam: 84)

Setiap bandar atau lokasi mempunyai sejarah tersendiri. Salah satunya bandar dikenali sebagai Hebron al-Khalil. Letaknya lebih kurang 30 km di selatan Jerusalem. Merupakan bandar terbesar di Tebing Barat. Terdapat dua buah universiti dikenali sebagai Universiti Hebron dan Politeknik Universiti. Bagaimanapun, ia dikatakan sebuah kawasan paling miskin di bawah kawalan pihak penguasa Palestin.

Di Hebron al-Khalil terdapat sebuah kawasan bersejarah tertua yang menjadi rebutan di antara Yahudi, Kristian dan Islam. Terdapat juga tempat seperti Gereja Ortodoks Rusia (The Russian Orthodox Church) dan Oak Biara suci Ibrahim Trinity (Abraham’s Oak Holy Trinity Monastery).

Allah ya Allah – akhirnya – kami sampai ke Masjid el-Khalil atau Masjid nabi Ibrahim. Disinilah terletaknya makam perkuburan nabi Ibrahim dan isterinya Sarah serta anaknya Ishak dan isteri. Malah dikatakan terdapat makam nabi Yaakub a.s dan nabi Yusof a.s.

Tahukah kamu bagaimana nama nabi Ishak diperolehi?

Hisham bertanya tetapi memberi jawapan dengan membaca sebaris ayat quran menceritakan kisah nabi Ibrahim yang telah tua lanjut dikhabarkan bakal menerima anak. Lalu tertawalah isterinya memikirkan dirinya sudah tua dan mandul. Nama Ishak bermaksud tertawa.

Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu dia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang menggembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa dia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (dia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.

(Terjemahan surah Hud: 71)

Sungguh … Allah Maha Berkuasa.

Sepanjang perjalanan menuju ke Hebron, kami melihat pemandangan hebat ciptaan Allah SWT. Di kiri kanan terdapat bukit bukau, gunung-ganang serta lembah. Mata kami di jamu dengan hamparan yang sungguh menawan. Sungguh, tanah Hebron subur dipenuhi pepohon zaitun dan pokok-pokok anggur.

Kami melihat bagaimana sebuah bangunan masjid terbahagi kepada dua pihak penguasa – Yahudi dan Islam. Pelik juga memikirkan bagaimana sebuah makam nabi di kerat agihannya ditengah-tengah. Akhirnya kami dimaklumkan oleh Hisham,

Ia kawasan dikuasai Yahudi. Kawalannya sangat ketat. Kisah di sini nyata memilukan. Berpuluh-puluh penduduk tempatan ditembak mati oleh Yahudi laknatullah ketika sedang sujud pada 1994. Kemudian …. mereka tutup masjid ini selama 9 bulan. Bila dibuka semula, 57 peratus kawasan masjid dijadikan tempat amal ibadat orang Yahudi.

Dalam terjemahan surah Ali’Imran, ayat 67. Allah SWT berfirman bermaksud,

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Namun persoalannya mengapakah mereka masih tidak mahu menerima Islam serta beriman kepada Allah yang Esa? Bukankah Allah SWT yang menjadikan alam semesta, para Rasul dan mencipta diri mereka sebagai manusia? Lalu Allah SWT membongkar apa yang ada di dalam hati orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

(Terjemahan al-Imran: 19)

Dahulu – Hebron al-Khalil – terkenal sebagai pusat perniagaan dan penempatan. Struktur penempatannya kelihatan begitu. Kami melihat banyak bangunan lama tidak berbela, rumah dan deretan kedai ditinggalkan. Mata tekun memerhati jika ada rusuhan atau pengemis-pengemis berkejar-kejaran.

Tiada.

Hisham berpesan kepada ahli rombongan, “anak-anak di sini kebanyakan yatim piatu. Ada juga ditinggalkan akibat ibubapa dipenjara. Jika mahu membantu … belilah barang jualan mereka. Biar mereka berdikari. Usah ajar anak-anak ini meminta-minta.”

Pemandu bas menurunkan kami di sebuah bukit yang agak tinggi. Kami menuruni bukit itu menuju ke masjid nabi Ibrahim dan terpaksa melalui pos pengawal askar Yahudi. Sepanjang perjalanan kami diiringi anak-anak remaja lelaki Hebron yang mahu menjual barangan mereka. Pakaian mereka kemas dan terurus.

Usai menunaikan solat di masjid kami memanjat bukit untuk menuju ke arah bas. Sungguh, anak-anak Hebron masih menunggu dan mengerumuni kumpulan kami. Berat mata memandang … barangkali berat lagi cabaran hidup mereka. Sebahagian barangan dibeli selebihnya kami hulurkan wang sahaja. Terang-terang kami melanggar larangan dan pesanan Hisham lalu menanggung akibatnya. Mereka berbelit di kaki.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

JEMPUTAN

AMIRUL BUDAK SUDAN
DI SEBALIK TEMBOK YAHUDI: ADA DAMAI DI AL-AQSA

JEMPUTLAH Hadirlah di Pesta Buku Antarabangsa KL 2017 untuk mendapat tawaran hebat buku Amirul Budak Sudan (ABS) + Di Sebalik Tembok Yahudi + DVD ABS dengan harga yang sangat istimewa. Malah ada paper bag khas untuk pembeli.

Tawaran yang sama akan diberikan ketika majlis pelancaran pada 29.4.2017 di UniKL Jalan Sultan Ismail, KL. Program bermula 9 pagi.

Jika siswa-siswi sukar untuk hadir pada kedua-dua acara tersebut, kami boleh poskan dengan diskaun pos laju. Whatsapp 0193154444 untuk preorder bagi mendapatkan buku dan tanda tangan penulis.

Sungguh … kami lebih suka bertemu di majlis pelancaran atau pesta buku. InsyaAllah setiap hari kami di sana.

Kami menghargai sokongan semua.

Harga dua buku untuk PREORDER termasuk pos RM70 (Semenanjung) dan RM75 (Sabah). 562731117671 Maybank atas nama UMKI RESOURCES dan hantar nama dan alamat selepas bayaran dilakukan melalui Whatsapp di atas.

SAKSIKAN TRAILER DENGAN KLIK LINK DI BAWAH

SEMOGA ADA MANFAAT.

Hanyut di Sungai Nil

 

“Mama … abla kata dia mahu tutup sekolah. Dia mahu pulang ke Sudan sebab kakak Fatimah dan abang Muhamad sudah masuk Universiti Khartoum.”

“Habis … sekolah Amirul macamana?”

“Abla tanya Mirul nak bersekolah di sana tak? Tinggal di Sudan bersama mereka.”

“Apa Amirul jawab?”

“Mirul nak …”

Itulah berita mengemparkan buat si mama dan si ayah. Ya Allah – ya Fattah – Yang Maha Pembuka laluan yang tidak terduga.  Dia yang membuka mulut dan pintu hati. Tentu sekali ibubapa sentiasa berdoa yang terbaik buat anak-anak. Lalu, apakah alasan harus diberikan apabila berdepan dengan perkara seumpama ini? 

Kesediaan Amirul mahu ke Sudan menyelesaikan masalah ayahnya. Sungguh, isu mencari sekolah berbahasa Arab di Arab Saudi bukan main-main. Ia bukan mudah sekalipun ada yang mahu membantu.

Saya terdiam. Tiba air mata jatuh berguguran. Saya menangis teresak-esak.

Mirul tidak pernah lihat mama menangis sebegini. Mata mama membengkak. Mama memberi pelbagai alasan … antaranya mama sedih selepas membaca terjemahan al-Quran kisah ibu nabi Musa dalam ayat 7 surah Al-Qasas. Mama baca pada Mirul,

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-Rasul Kami.

Ia asas tauhid bagaimana kebergantungan ibubapa kepada Allah – al-Raqib – yang maha Mengawasi. Sesungguhnya, setiap kali anak-anak melangkah keluar dari rumah … tiada seorang ibubapa pun yang boleh menjamin keselamatan anak-anak mereka. Hanya Allah sebagai pelindung – al-wakil – yang maha Memelihara. Amirul cuba mengalih perhatian,

“Mama … abla bercerita tentang sejarah peperangan Sudan. Cerita tentang sungai-sungai Nil Putih dan Biru yang mengalir di sepanjang benua Afrika. Sungai itu anugerah Allah – al-Wahhab – pemberi kurnia kepada manusia. Mirul mahu melihatnya.”

Amirul catatkan lagi … sayu melihat mama menangis lagi berhari-hari sedangkan hati Amirul sudah hanyut di Sungai Nil. Sehinggalah pada suatu hari … wajah mama tenang, ceria dan reda. Mama baca terjemahan ayat 37-38 dari surah Taha yang bermaksud,

Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.

Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

Allahu Akbar! Ibu nabi Musa menyerahkan sepenuh kebergantungan dan kepercayaan kepada Tuhan yang maha pencipta. Bayi yang masih dalam susuan dihanyutkan ke dalam sungai Nil sebagaimana diilhamkan Tuhan kepadanya.

Namun, dalam kes Amirul … abla Ibtisam serta keluarganya memang sudah dikenali hati budi. Mereka menerima dan menyayangi Amirul seperti anak sendiri. Ia bukan perkara yang dibuat-buat.

Kami menyaksikan sendiri bagaimana ketulusan hati dan bersungguhnya abla mengajar Amirul. Misinya jelas – mahu melihat Amirul berjaya!

Selain mengajar silibus sukatan pelajaran Sudan … abla juga mengajar teknik menghafal dan menjawab soalan mengenai surah-surah dalam al-Quran. Allah ya Allah … apa lagi yang mahu dibimbangkan jika anak yang mahu dilepaskan itu pergi kepada orang yang mengajarkan al-Quran?

Kami terfikir … ramai ibubapa tidak merasa gusar jika melepaskan anak-anak remaja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia ke Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Tahukah ibubapa anak-anak mereka pergi sendirian dan hanya bersama rakan sebaya?

Duhai anak  … Lalu, mama dan ayah menyerahkan Amirul dalam jagaan-Nya. Sesungguhnya Dia – Al-Hadi – yang Memimpin dan Memberi Petunjuk yang terbaik.  

Ya Allah ya Qahhar … Jadikanlah kami dari kalangan hamba yang menyerahkan diri sebagaimana ibu Nabi Musa bertawakal kepada Allah dengan menghanyutkan bayinya ke dalam sungai Nil sedangkan sungai itu mengalir terus ke istana Firaun yang menjadi musuh Allah dan musuh ibu Musa.

Ya Allah ya Fattah … Jadikanlah kami memiliki kekuatan tauhid sebagaiman Nabi Ibrahim meninggalkankan isteri dan bayi di tengah padang pasir gersang semata-mata menurut perintah Tuhannya. 

Ya Allah … kami serahkan Amirul kepadaMu.

Dari Hati Ibu

Sukar.

 

Sungguh, bukan mudah menulis Amirul Budak Sudan. Ia kisah anak kandungan dan kelahiran sendiri. Ia terlebih sukar kerana perlu menyelami perasaan seseorang yang sukar meluahkan. Semuanya terpendam, terbuku dan terkunci dalam hati. Inilah halangan sebenar mahu menyudahkan catatan ini.

 

Saya melihat sebutir mutiara terperosok di dalam lumpur yang perlu dikeluar, cungkil, cuci dan gilap. Barulah mutiara itu terserlah cahaya sehingga bergemerlapan. Prosesnya perlu hati-hati umpama menarik rambut dari tepung, rambut usah terputus … tepung usah bertabur.   

 

Ini kisah Amirul. Ia bukan kisah kejayaan akademik. Ia juga bukan kisah kejayaan kerjaya. Ia kisah kehidupan bagaimana DIA yang lebih mengetahui di atas segala kejadian. Pengalaman hidup anak remaja berada di dunia asing mempunyai kisah yang boleh dikongsi khalayak.

 

Saya cuba menyingkap dan menceritakan tentang perasaan jauh terpendam di lubuk hati Amirul. Ada masanya saya menceritakan pula bagaimana perasaan kami sebagai ayah dan mama apabila mengetahui apa yang telah terjadi kepada anak sendiri. Lalu perasaan dan penulisan bercampur baur.

 

Ia perasaan anak yang dikategorikan khalayak ramai sebagai budak tidak cemerlang di dalam pelajaran jika keputusan peperiksaan sebagai tanda aras.

 

Namun perjalanan kehidupan Amirul sejak kecil penuh warna-warni. Tembuninya tertanam di bumi Ratu. Amirul terpisah jarak usia dengan abang dan adiknya sejauh tujuh tahun. Lama dia menjadi anak bongsu. Lama juga dia menyusu badan.

 

Amirul membesar bersama sungai, kebun buah-buahan serta gunung. Malah sekolah menengahnya berhadapan hamparan lautan sawah bendang menghijau lagi menyegarkan.

 

Telinga kecilnya telah diasak dengan ceramah motivasi ayah yang di dengar dalam keadaan terkepung tidak boleh ke mana-mana. Suka atau tidak … Amirul mendengar dalam terpaksa.

 

Akhirnya mutiara kata ayah menjadi bekal ketika berkelana. Dalam usia mentah Amirul banyak belajar ilmu kehidupan. Bilik kuliahnya tanpa bangunan. Guru-gurunya alam maya serta masyarakat setempat. Kecil, besar, tua dan muda … pelbagai peringkat usia dan bangsa.

 

Amirul dibawa mengerjakan umrah ketika berumur 10 tahun. Di celah-celah ribut ramai manusia, airmatanya gugur kerana dapat mencium Hajarul Aswad.

 

Tiga tahun kemudian … kembali dengan iqomah Arab Saudi ke Tanah Suci kerana mengikut ayah bertugas di sana. Lalu dataran Kaabah dan dataran masjid Nabawi menjadi padang permainan Amirul bersama adiknya Sofea.

 

Usia Amirul belum mencecah 15 tahun ketika berpisah dari keluarga untuk berkelana. Bukan ke Eropah atau Amerika Syarikat tetapi ke sebuah negara yang sedang bergolak di benua Afrika. Amirul membuat pilihan mengikut gurunya, orang Sudan pulang ke Sudan.

 

Lalu … perasaan mamanya bergolak.

 

Ada rasa belas bercampur bersalah, namun dalam masa yang sama membulatkan hati penuh tawakal. Bukankah itu semua taqdir Al-Qadir yang menentukan segalanya? Dia juga Al-Khabir yang mengetahui rahsia yang tidak diketahui oleh manusia.

 

Sukar.

 

Buku ini terhasil atas kesedaran ia bahan berharga untuk dikongsi bersama. Namun Amirul meluahkan isi hati hanya setelah pulang ke pangkuan keluarga.

 

Ada masanya Amirul begitu beremosi. Beliau menceritakan bagaimana perasaannya setelah membuat pilihan untuk ditinggalkan bersama keluarga Sudan. Ada masanya beliau berdiam diri … bagaikan ada sesuatu tersembunyi.

 

Sebagai ibu … saya belajar menyelami apa yang tersurat dan tersirat. Terlalu banyak kisah dari lubuk hati yang diceritakan separuh jalan kemudian ditariknya kembali.

 

Ada kisah meluncur laju tanpa ditahan-tahan. Langsung tidak beralas. Ada kisah lucu mahu dikongsi untuk tertawa bersama. Namun, atas segalanya … saya percaya masih terlalu banyak kekal bersama dirinya.

 

Biarlah begitu duhai anakku. Biar ia menjadi kenangan cerita diri. Nilainya tinggi. Harganya tidak boleh dijualbeli. Sekalipun suatu ketika nanti diri mu mahu berpatah balik ke belakang kerana merindui bumi Sudan … pengalamannya tidak akan serupa sampai bila-bila.

 

Ketahuilah diri mu duhai anak ku … terlontarnya dikau di bumi Afrika kerana takdir Tuhan mu. Kisah mu boleh jadi teladan dan sempadan yang boleh dimanfaatkan.

 

Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba yang tahu bersyukur serta menyembah dan beribadat kepada-Nya semata-mata. Mudah-mudahan Allah al-Ghafur memberi keampunanNya kepada kita semua.

Ini Kisah Amirul

Namanya Ahmad Amirul Imran. Anak ketiga dari empat beradik. Panjang namanya kerana diberikan oleh datok, nenek, ayah dan mama. Semuanya mahu menyumbang.

Hakikatnya … itulah nama yang sudah tertulis. Akhirnya dia sendiri membahasakan diri sebagai Mirul sahaja.

Ini kisah Amirul.

Kisah budak biasa-biasa. Amirul dilihat oleh ayah dan mamanya sebagai budak tidak gemar belajar, kuat makan, manja tetapi baik hati.  Si ayah pernah merasa cemas memerhati perkembangan pelajaran dirinya. Ada wasiat untuk Amirul.

“Yang … saya ada buat simpanan untuk Mirul. Kalau ditakdirkan saya meninggal dunia dan dia masih tidak ke mana-mana – tidak masuk universiti –  … tiada pekerjaan. Gunalah wang simpanan itu untuk masa depannya. 

Rumah di Segamat … kita berikan kepadanya. Biar dia mengajar budak-budak kampung mengaji Quran.”

Sungguh, setiap ibubapa mengharapkan kejayaan anak-anak di dalam pelajaran dan kerjaya. Tidak untuk Amirul. Kami tidak berani menyandarkan apa-apa. Tidak langsung menaruh harapan tinggi.

Begitulah … setiap apa yang berlaku pada hari ini semuanya ada permulaan. Biar pengakhiran lebih baik dari permulaan. Bukankah Allah – Al-Khabir – maha mengetahui segala rahsia yang tidak diketahui oleh manusia?

Sungguh benar. Perjalanan hidup seseorang bukan pilihan mutlak. Ia ketentuan Dia –  Al-Badi’ – yang maha Pencipta. Semuanya tertulis di dalam kitab di lauh mahfuz. Benar, Allah – al-Qadir – yang maha Menentukan perjalanan kehidupan setiap manusia.

Setiap manusia berbeza kisah. Barangkali ada seiras tetapi berlainan lokasi. Masa kejadian juga tidak sedetik. Hebat sekali kisah kehidupan manusia ciptaan Allah Azzawajallah. Amirul pernah berkata,

“Mama … Ada kisah Mirul sama macam kisah dia. Ada masanya bila Mirul membaca kisah orang … rasanya macam membaca kisah Mirul.

Dalam perjalanan hidup Mirul – sehingga usia 18 tahun – terlalu banyak Mirul melihat kebesaran dan kasih sayang Allah. Kalaulah pandai menulis … Mirul mahu kongsikan kisah ini.”  

Tiba-tiba sahaja muncul rasa lucu terselit di hati. Si mama tersenyum menahan tawa. Terasa geli hati mendengar hasrat anak mahu menulis tentang kisah sendiri.

“Apa yang mahu Mirul tulis? Kisah budak malas belajar? Atau kisah budak lelaki yang dilihat oleh ibubapanya seperti tiada masa hadapan?”

Tersentak. Tiba-tiba si mama berhenti tertawa. Wajah bertukar serius merenung wajah sianak. Amirul langsung tidak ketawa. Dia bersungguh.

Mama juga cakap … dalam kisah diri kita ada tanda-tanda kebesaran Allah. Allah telah tahu apa yang akan berlaku pada hari ini dan esok. Kita tidak tahu. Setiap satu ada iktibar yang boleh dipelajari.”    

Melihat wajah si mama berubah Amirul mula bercerita.

Bila Mirul baca al-Quran serta faham sedikit-sedikit kandungan dan maknanya … baru Mirul terasa perjalanan hidup Mirul dipermudah dengan bantuan Allah – Al-Wakil dan al-Wali – yang Maha Memelihara lagi maha Melindungi.

Mirul mula faham … jika kita taat dengan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang, asalkan berserah diri dan bertawakal kepada-Nya serta berdoa, Dia akan bantu kita.

Tentu sekali saya terkedu. Tidak sangka patah-patah itu keluar dari bibirnya. Lalu imbasan kisah hidup Amirul pantas muncul.

Saya terkenang – ketika berumur 10 tahun – Amirul kagum melihat surat beranak sendiri ditulis dalam bahasa Welsh.

“Wow… rupa-rupanya Amirul lahir di Wales. Jadi Mirul budak Wales. Emm … umur 21 tahun bolehlah Mirul pilih mahu jadi warganegara Malaysia atau  British ya?”

Keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) Amirul tidak cemerlang. 4B 1C. Gila untuk anak profesor. Tiada sekolah menengah berhampiran rumah mahu menerimanya.

Kami kehairanan melihat budak manja ini mahu berpisah dan berjauhan dengan keluarga. Amirul bersekolah di sekolah Ma’ahad Kesang Laut di Muar. Beliau mula belajar asas bahasa Arab.

Amirul hanya enam bulan di sini. Ketika usianya 13 tahun, beliau mengikut mama dan ayah yang bertugas di Universiti Taibah Madinah. Sukarnya mencari sekolah Saudi untuk Amirul bersekolah di sana.

Akhirnya – setelah tiada pilihan – Amirul bersekolah di Al-Khair wa al-Barakah, sekolah kelolaan warga Sudan. Ia sekolah mengikut silibus pelajaran negara Sudan tetapi lokasinya di Madinah di dalam bangunan separuh tidak siap.

Pernah kami meraba-raba mendaki anak tangga ke tingkat tiga bangunan kerana tidak berlampu. Entah berapa kali sekolah di kawasan penduduk miskin itu terpaksa berpindah kerana kekurangan dana.

Namun pelajar-pelajarnya terdiri dari pelbagai negara. Anak-anak miskin ini dari Rusia, Yemen, Chad, Nigeria, Albania dan Pakistan. Kesemuanya tidak dibenarkan belajar di sekolah Arab Saudi. Ramai ibubapa gagal membayar yuran sekolah walaupun kenaan yuran kepada pelajarnya sangat rendah.

Amirul menduduki peperiksaan besar Sudan ketika berusia 14 tahun. Tiga matapelajaran (al-Quran, Fiqh dan bahasa Arab) terpaksa dijawab dalam bahasa Arab.

Peperiksaan berlangsung di kedutaan Sudan di Riyadh. Jaraknya 1000 km dari Madinah. Amirul lulus peperiksaan dengan izin Allah dan kemudian menyambung pelajaran malah tinggal di Sudan.

Dari Welsh Boy jadi Budak Sudan. Ya … Mirul pernah tinggal di negara Sudan yang miskin dan bergolak.

Duhai anakku … Ramai yang tidak percaya dan tertanya-tanya bagaimana Amirul boleh terlontar di benua Afrika sendirian ketika berusia 14 tahun. Begitulah ketentuan – al-Mubdik – Dia yang Maha Memulai perjalanan kisah seorang hamba-Nya …

Akhirnya – dengan izinNya – si mama bersedia menulis kisah Amirul sebagaimana yang diceritakan kepada mamanya. Ia kisah betapa Allah lebih Mengetahui dengan apa yang tidak kita ketahui.

BAB 1 TERTINGGAL SATU

Menuju Masjidil Aqsa lama menunaikan solat subuh

Menuju Masjidil Aqsa lama menunaikan solat subuh

Hadis ini sangat menarik, “Abu Hurairah r.a. menyatakan Nabi SAW bersabda: Jangan bersusah-susah melakukan perjalanan jauh melainkan untuk mengunjungi tiga masjid, iaitu: masjidku ini (masjid Madinah), Masjidil Haram (di Makkah), dan Masjidil Aqsa (di Jerusalem).”

Inilah tiga tempat disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat. Malah ia lebih signifikan dengan kenyataan “jangan bersusah-susah … kecuali” memberi gambaran harus untuk berada di ketiga-tiga masjid ini walaupun menghadiri kesukaran. Kenyataan ini memberi kesan besar kepada perasaan dalaman mereka yang percaya dengan kekuasaan Allah SWT.

Namun – pada satu masa – pemikiran kami tidak sampai ke tahap tersebut. Kesukaran sisi terasa sukar untuk diatasi. Hakikatnya, saya tidak pernah menyimpan niat untuk berziarah ke tiga-tiga masjid ini sebelum 2005 walaupun ke Makkah atas tuntutan menunaikan fardu haji. Sungguh … saya ketakutan. Banyak perkara bermain-main di fikiran sehingga merasakan ia perlu ditangguhkan. Bukan sekarang. Lebih tepat lagi, ia bukan perkara yang difikirkan.

Hati selalu berbisik, “mereka sudah baik” ketika mendengar kenalan atau keluarga hampir berangkat ke Tanah Suci. Kemudian, ada ketikanya hati nakal berkata-kata, “mereka tetap serupa walaupun sudah bergelar haji,” setelah beberapa ketika pulang dari kedua-dua Tanah Suci.

Sungguh … saya fikir menunaikan fardu haji menyebabkan manusia wajib berubah menjadi lebih baik di kedua-dua sisi, Allah dan masyarakat. Haji perlu mengubah sempadan iman. Gelaran Tok Aji atau Pak Haji hadir bersama dengan watak “ahli syurga” kerana mereka yang mendapat haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. Ia bukan soal jubah dan kopiah tetapi melibatkan kehidupan secara keseluruhan.

Ia berbeza dengan Roza. Beliau mengajak saya menunaikan fardu haji bermula 2000 ketika usia di pertengahan 30an. Ajakan disanggah dengan kenyataan main-main seperti, “kita muda lagi, lambat lagi nak mati,” atau “pergi haji pada usia muda, balik nanti payah nak buat dosa,” atau “haji untuk orang tua, nanti bila pencen, kita dapat duit pampasan, kita pergilah.”

Kenyataaan bercorak sinikal ini – sebenarnya – cerminan perasaan ketakutan dalaman. Sungguh … hati berasa yang saya bukanlah manusia hampir denganNya, terasa banyak dosa-dosa lampau, tidak pandai membaca al-Quran dan kerisauan memikirkan kehidupan pasca haji. Pelbagai kisah dikaitkan dengan istilah pembalasan tunai di kedua Tanah Suci nyata membuat jiwa belum mahu ke sana.

Tindak balas Roza terhadap suasana ini sangat mudah. Beliau berdiam diri, bangun malam, bercerita, berdoa dan menangis dengan Allah SWT tentang keinginan mahu menunaikan fardu haji ketika usia muda bersama suaminya. Hampir enam tahun begitu. Kesungguhan menyatakan keinginannya sangat luar biasa. Roza sungguh-sungguh bergantung harap kepadaNya. Ia hanya dalam pengetahuan beliau dan Tuhannya.

Kuasa Allah Maha hebat. Dia Maha Mendengar lalu memakbulkan permintaan Roza. Ringkaskan catatan, perjalanan haji kami telah dibukukan melalui Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Ia kisah manusia jahil bersungguh mohon keampunan Allah SWT dan merayu mahu menjadi tetamu paling istimewa. Ia permohonan gila pada logik akal. Namun saya rasa istimewa dalam dunia kejahilan sendiri.

Dia bagi izin belajar mengenal al-Quran sebelum berangkat ke Tanah Suci. Allah ya Allah … saya mengenal huruf al-Quran ketika berusia 40 tahun. Saya rasa istimewa. Banyak janji-janji lain yang mahu saya lakukan sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadat ini. Sungguh … Dia memberi kekuatan dalaman yang sangat kuat. Saya mahu berubah. Berubah sungguh-sungguh dan merayu kepadaNya agar tidak berpatah balik. Benar – saya fikir – ibadah haji mengubah sempadan Iman.

Kini, hampir 10 tahun saya mewakafkan diri kepada masyarakat mengajak dan menyeru supaya sentiasa mengingati Allah SWT. Premis utama ialah memikirkan kehidupan selepas kematian yang bersifat kekal abadi. Ibadat haji diterangkan melalui pandangan sisi sedikit berbeza berteraskan tacit knowledge pengalaman kerohanian yang telah dilalui.  Ia hanya secalit ilmu mahu dikongsi bersama.

Banyak peristiwa berlaku semasa di Makkah dan Madinah. Saya jatuh cinta dengan kedua tempat ini. Sungguh, perjalanan haji membawa keinginan mahu bermukim di Makkah atau Madinah. Saya ungkapkan kata-kata berikut semasa bersama Roza, Kak Mie dan Adik Na di Makkah,

Ya Allah Na, jika abang ada peluang mahu rasanya menetap di Mekah ataupun Madinah. Mana-mana abang tidak kisah. Kedua-dua tempat yang barakah. Hati jadi seronok, tenang dan damai.

Allah Maha Mendengar. Dia tunaikan permintaan ini. Kami bermukim di kota Madinah. Hampir setiap hari – lima waktu solat berjemaah – dapat sujud di Masjid Nabawi. Secara konsisten hampir setiap dua minggu kami “bersusah payah bermusafir” ke Makkah untuk bertawaf dan berjemaah di Masjidil Haram. Kisah ini telah kami rakam secara berasingan melalui Anekdot Madinah: DIA Maha Mendengar, Rumah Kecil Di Jabal Uhud, Nota Dari Madinah dan Di Sebalik Niqab: Kisah Tersirat.

Aneh … kehidupan pasca haji terutamanya ketika bermukim di Madinah langsung tidak menggerakkan hati untuk hadir sujud di satu lagi masjid yang disyariatkan, Masjidil Aqsa. Sekurang-kurangnya terbit rasa ingin ke sana. Jurusalem bersempadan Jordan dan hampir dengan Arab Saudi berbanding Malaysia. Kami pernah berada di Jordan bermusafir Utara – Selatan – Timur dan Barat selama beberapa hari di sana. Malah kami ditunjukkan, “di sebelah sana sempadan Israel (tanah Palestin) – Jordan.”

Sungguh … saya – sekali lagi seumpama ketika mula–mula diajak menunaikan fardu haji – diselubungi perasaan ketakutan dan tidak perlu berada di Masjidil Aqsa. Namun perkara paling utama mempengaruhi dan melekat di minda untuk tidak berfkir tentang Masjidil Aqsa ialah kerana kenyataan hitam di pasport Malaysia tertulis, “Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel.” Lalu logiknya, ia bukan satu keperluan untuk ke sana walaupun ia disyariatkan. Ia halangan negara.

Bagaimanapun – di sana-sini – kami mendengar ada rakyat Malaysia keluar masuk Jurusalem. Kami bertanya-tanya di dalam hati sepintas lalu, “bolehkah rakyat Malaysia ke Israel?,” tetapi kerana ia tidak langsung mustahak di dalam kamus kehidupan, maka ia berlalu tanpa perlu membuat penyelidikan lanjut. Saya fikir mereka gila tidak mengikut peraturan. Malah saya fikir, “sengaja mencari nahas kesusahan.”

Sesekali telinga kami mendengar kisah mereka yang pernah ke sana di kalangan rakan-rakan terdekat, “menunggu di sempadan beberapa jam, ditahan sejam dua di tempat pemeriksaan imigresen tanpa sebarang sebab serta beberapa kesukaran lain” menyebabkan muncul rasa takut dalam jiwa. Sekali lagi perasaan tidak perlu ke sana menjadi sangat wajar. Kami hidup atas persepsi sendiri.

Kemudian, ketika bermukim di Arab Saudi, kami dimaklumkan tentang larangan ke negara yang dikuasai Israel. Sebutan mulut menyatakan, “mereka yang pernah ke sana tidak akan dibenarkan masuk ke Arab Saudi.” Lalu tidak perlulah kami membuat usulan lanjut kerana tiada keperluan untuk “bersusah-susah bermusafir dan beramal ibadat” di sana. Saya sayangkan Madinah. Tidak masuk akal mengorbankan masjid Nabawi dan Masjidil Haram kerana Masjidil Aqsa.

Kami berada di Madinah yang solat di dalam masjid Nabawi 1000 kali lebih afdal daripada mana-mana masjid kecuali Masjidil Haram. Allah ya Allah … Masjidil Haram pula hanya kurang-lebih 400 km daripada Madinah. Bukankah solat di dalamnya 100000 kali lebih baik daripada mana-mana masjid?

Masa berlalu pantas. Allah SWT memberi nikmat untuk kami mengembara dan bermusafir lebih daripada 30 buah negara. MasyaAllah … Subhanallah … AllahuAkbar, kami telah solat di beratus-ratus masjid di  seluruh dunia. Hanya ada tiga masjid yang disyariatkan untuk “bermusafir dan beramal ibadat”. Malah ia harus “bersusah payah” jika mahu hadir ke situ. Dua daripadanya sudah berkali-kali kami hadir.

Alahai … Masjid Al-Aqsa, arah kiblat pertama umat Islam solat, tempat persinggahan dan solat Baginda SAW sebelum mengadap Allah SWT (peristiwa Israk dan Mikraj) serta masjid ketiga afdhal untuk solat di dalamnya tiada dalam ingatan. Kami tidak mahu ke sana. Biar kami akhiri catatan ini dengan satu kenyataan,

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Terjemahan surah Al-Israa’ : 1)

Sungguh … ia satu yang tertinggal!

Bab 9: Memulakan Perjalanan

9.12.2015

Tarikh berlepas – akhirnya – muncul. Kami datang awal ke KLIA. Lima jam sebelum waktu berlepas. Rasa gusar, takut dan gentar beransur hilang. Suasana di kawasan daftar masuk pesawat Royal Jordan sangat-sangat membantu. Wajah ahli rombongan nampak ceria seolah-olah ia perjalanan biasa yang tidak perlu digusarkan. Masing-masing bertegur sapa meraikan kembara yang bakal ditempuh bersama. Ia jadi lebih mudah kerana urusan perjalanan kesemuanya diurus pihak syarikat.

Kami berempat – saya, suami, Mak dan Kak Ma – juga tidak mampu menyimpan perasaan teruja sesama sendiri. Benar … perjalanan kali ini tidaklah seiras perjalanan pertama kali memasuki Makkah ketika menunaikan fardhu haji. Ia pengalaman roh dan perasaan yang sangat luar biasa. Tidak dinyatakan sebarang mara bahaya di sana tetapi ketakutan dan pengharapan yang terkandung di dalam dada nyata tidak dapat dinukilkan. Persoalannya, “apakah Allah SWT menerima kehadiran kami sebagai tetamuNya?”

Kali ini berbeza. Kami berdoa agar Allah SWT memudahkan perjalanan yang pada sangkaan kami akan berhadapan dengan ujian kemanusiaan di sana. Kata orang begitu. Kami berjalan menuju dewan perlepasan dengan rasa bersedia menghadapi pengalaman berada di Palestin, sebuah negara yang dikuasai Yahudi.

Kisah kekufuran kaum Yahudi diulang-ulang di dalam al-Quran. Penindasan dan perangai buruk mereka terhadap manusia sejagat telah dinyatakan secara jelas. Misalnya, Allah SWT berfirman melalui surah An-Nisaa, ayat 53 yang bermaksud,

Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.

Kami sungguh-sungguh terkejut apabila berada di dewan perlepasan. Ruang menunggu dipenuhi dengan penumpang yang mahu bersusah payah bermusafir dan beramal ibadat ke Masjidil Aqsa. Bezanya, ada yang hanya mahu semata-mata ke Palestin, terdapat kumpulan yang mahu bermusafir ketiga-tiga masjid – Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Al-Aqsa – dan segelintir yang bercadang melancung ke Jordan sebelum menunaikan umrah tanpa memasuki sempadan Palestin.

Di sini, saya bertemu dengan anak murid UiTM – Hanis Zulaika – bersama suami dan keluarga. Mereka ikut serta bersama kumpulan kami tetapi akan berpisah lebih awal bakal menunaikan umrah sedangkan kami akan menjelajah ke seluruh bumi Palestin. Sungguh … Hanis di zaman pengajian UiTMnya merupakan siswi bijak, bersopan dan berpengaruh di kalangan anak-anak muda Malaysia. Beliau sebutir mutiara mampu menjadi idola kepada ramai orang. Saya – dahulu dan sekarang – sentiasa mendoakan beliau mendapat perlindungan Allah SWT.

Malah kami bertemu dengan ramai orang yang bersedia untuk bersusah payah. Misalnya, kami bertemu dengan peserta yang sudah berulang kali solat di Masjidil Aqsa tetapi masih mahu ke sana. Saya kehairanan. Tidak takutkah mereka?

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

(Terjemahan surah Al-Imran: 111)

Taklimat akhir – bagi kami – di KLIA sangat mustahak. Pengiring kumpulan menyatakan,

Ketika pesawat mendarat sudah masuk waktu subuh. Bergerak ikut kumpulan. Jangan terpisah. Pegawai imigresen Jordan akan mengambil pasport dan segera bergerak untuk solat subuh di kawasan sekitar.

Solatlah berhampiran tempat mengambil bagasi. Di musim sejuk waktu subuhnya sangat singkat. Kita kena bergerak cepat-cepat. Cepat bersarapan dan cepat kita ke sempadan Jordan – Palestin. Jika lewat … bas akan beratur panjang.

Amman, Jordan.

Pesawat kami mendarat di Queen Alia International Airport ketika benar-benar menjelang subuh. Keadaan pesawat yang sesak membuatkan pergerakan agak perlahan. Kumpulan kami tergesa-gesa keluar dari pesawat menuju ke imigresen. Waktu fajar semakin beredar. Kumpulan kami kelihatan cemas terutamanya kaum wanita.

Sungguh benar bagai dijangka. Kelewatan bertindak cepat membuatkan pergerakan tersekat. Penggunaan tandas bagi wanita mengambil masa lama memandangkan bilangan danruangnya terbatas. Lagipun tiada tempat berwuduk khas disediakan. Masing-masing mencari botol air atau terpaksa menunggu giliran untuk  ke tandas dan kemudian berwuduk.

Inilah ujian pertama yang perlu di atasi. Ia bukan angkara Yahudi atau sesiapa yang tidak sukakan orang Islam. Alhamdulillah … inilah yang akan saya khabarkan kepada mereka yang mahu bermusafir terutamanya kaum wanita,

Masa boleh dijimatkan jika kita mengambil wuduk di dalam pesawat. Ambil wuduk secara ringkas dengan penggunaan air terbatas. Paling mustahak, pakailah pakaian yang boleh terus di bawa solat. Insya Allah, ia boleh dilakukan.

Benar juga … lakukan sesuatu “ketika sihat sebelum sakit atau ketika muda sebelum tua.” Kami perlu bergerak pantas mengejar waktu. Sasarannya mahu jadi kumpulan terawal di sempadaa Palestin bagi memudahkan pergerakan masuk. Kami melihat deretan bas moden dan canggih sedang menunggu di luar lapangan terbang. Agak kami, kesemuanya mahu menuju sempadan.

Selamat datang ke Amman, Jordan. Apa khabar semua?

Sungguh ralit kami mendengar penerangan pemandu pelancong pemuda jati Jordan yang fasih berbahasa Inggeris di selang-seli dengan bahasa Indonesia. Penerangannya membantu. Alahai … kami semakin teruja. Rasa gusar semakin menyusut.

Kami dibawa bersarapan terlebih dahulu di sebuah restoran berhampiran. Kemudian, kami berhenti sekali lagi di sekitar Laut Mati bagi menyimpan barangan jemaah yang bakal menunaikan umrah usai ziarah di Masjidil Aqsa. Mata kami liar memerhati kiri-kanan. Akhirnya, kami sampai ke sempadan. Diam-diam hati berbisik,

Alhamdulillah. Sungguh, Allah SWT mendengar bisikan hati … apa terkandung dalam dada. Akhirnya sampai juga kami ke sini. Ya Allah permudahkanlah. Permudahkanlah. Kami datang semata-mata keranaMu ya Allah. Izinkan kami sujud di al-Aqsa Ya Allah. Sungguh … kepadaMu kami memohon.

Tiba-tiba sahaja perasaan sayu dan sebak di dada melihat sempadan Jordan – Palestin. Bas Jordan yang kami naiki bakal ditinggalkan. Di seberang sana bas Palestin pula menunggu. Berapa lama harus menunggu untuk masuk ke seberang?

Entah.

Allah SWT sahaja yang tahu jawapannya. Kami bersedia menghadapi masa menunggu yang tidak menentu.

 

Hadiah buat Suami: Maafkanlah …

Lidah tidak sepatutnya tergigit. Namun ia tetap berlaku. Lalu timbullah kata-kata, “sedangkan lidah lagi tergigit ….”.

Lidah lembut tanpa tulang jarang menonjol di khalayak. Ia tersorok. Namun sesekali berfungsi, tajamnya menikam hati. Gigi bertugas rasmi sesekali-sekala tidak berupaya mengelak daripada menggigit lidah. Bagaimana mahu mengunyah makanan jika lidah bergerak-gerak. Lalu kata orang, ”jika tidak mahu lidah tergigit … duduk diam-diam. Berfungsilah apabila diperlukan”.

Lidah dan gigi ibarat suami isteri. Mereka saling memerlukan. Bayangkan bagaimana mahu membaca al-Quran dengan tartil jika tiada gigi dan lidah tidak digerakkan ke atas dan ke bawah. Bersekali dengan bibir mengawal pergerakan – tutup dan buka – apabila diarahkan.

Bayangkan juga bagaimana kiranya bibir berdegil tidak mahu menutup secara berpasangan apabila menghirup minuman? Apakah yang terjadi jika bibir tidak mahu menerima arahan otak agar membuka mulut seluasnya menerima makanan? Ketika itu kehebatan gigi dan lidah tidak ke mana.

Subhanallah!

‟Tiada siapa sempurna dalam hidup ini. Masing-masing ada masanya terkhilaf. Jadi … maafkanlah,” nasihat seorang ibu mithali.

Ketika usia perkahwinan masih muda, terlalu banyak harapan diberikan kepada suami dan isteri. Si isteri mengharapkan bantuan suami bersama-sama menjaga anak. Sekurang-kurangnya membantu menyediakan sebotol susu atau menyalin lampin pakai buang ketika isteri sibuk berperang di dapur atau anak menangis di tengah malam.

Namun, sebagai isteri usahlah menganggap ia tugas wajib dilakukan oleh suami terutamanya apabila berada di khalayak ramai atau di sekelilingi saudara-mara. Usahlah berkata dengan nada memberi arahan atau mengeluh,

Abang … anak kan menangis. Cuba tengok, lapar susu ke atau lampinnya basah.

Allah … Allah ya Allah … suami tidak suka diperlakukan dengan arahan begitu. Ia menampar ego kelakiannya. Sekalipun suami tidak kisah namun barangkali ibu atau kakak-kakaknya memerhatikan keadaan. Tidak elok dipandang mata, tidak cantik perbuatannya.

Duhai suami yang baik hati … bertegaslah walau sedalam mana sayang mu terhadap isteri. Usah biarkan dirimu diperlakukan begitu. Usah bersikap lemah bukan pada tempatnya. Tolong menolong dan bertolak ansur mesti kena pada waktunya.

Hakikatnya tidak semua dianugerahi suami selembut itu. Ramai isteri menahan dan memendam rasa. Segalanya diserahkan ke bahu wanita bernama isteri. Mentang-mentang isteri terlalu cekap maka segala urusan ditimbunkan ke bahu beliau. Ada suami berkata,

Alhamdulillah! Saya bersyukur sebabnya isteri saya bertenaga kuda. Dia mampu bekerja dari pagi hingga ke malam. Semua urusan dilakukan sendirian.

Duhai suami yang disayangi isteri … tidak kasihankah melihat isterimu bertungkus lumus menguruskan rumah tangga? Beliau menyusukan anak mu, membasuh, menyidai, melipat dan menggosok baju. Beliau juga memasak makanan mu.

Tidakkah merasa belas melihat isterimu – sebelum fajar – sudah bangkit menyiapkan keperluan anak-anak ke nurseri dan ke sekolah? Beliau menyediakan sarapan, menghantar anak-anak ke sekolah dan menjemput pulang pada sebelah petang. Balik ke rumah kerja-kerja lain masih menunggu.

Duhai suami … maafkanlah … jika sesekali isterimu memalingkan muka bagi melindungi suram serta sedih terpancar di wajahnya. Sebenarnya isterimu keletihan. Beliau kepenatan setelah seharian bertungkus-lumus dengan segala urusan.

Lalu, kami terbayang kehidupan ketika bermukim di bumi Rasulullah SAW, Bandaraya Madinah. Tidak pernah sesekali kami melihat wanita menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka tidak berkeliaran di pasar-pasar basah membeli daging, ayam, ikan serta sayur-sayuran. Apa yang dibawa suami pulang maka itulah yang dimasak oleh isteri di rumah.

Sesekala kami melihat pasangan suami-isteri ke kedai runcit membeli bekalan keperluan dapur. Walau tersembunyi di sebalik niqab, terbayang wajah bahagia. Barangkali bahagia dapat keluar menjalankan tanggungjawab bersama.

Di Tanah Air sendiri, kami pernah melihat wajah kesal si isteri apabila  suami menolak ketika diminta membeli keperluan di kedai berdekatan. Apakah alasan suami? …

Awak pergilah sendiri. Bukankah awak boleh memandu kereta? Dekat sahaja …

Sungguh benar, pasti mencuka wajah isterimu duhai suami. Dekat atau jauh … bukanlah isu bagi seorang wanita bernama isteri. Jika malas pergi sendirian, ajaklah isteri bersama. Beliau pasti kegirangan berdua-duaan di luar seketika walau sekadar untuk membeli sebotol minyak masak.

Ketika di Madinah, kami kagum melihat jiran wanita berbangsa Arab. Rumah beliau tersusun kemas, sering menghantar juadah kepada kami sekeluarga dan masih bekerja sebagai guru sekolah.  Kami bertanya,

Apakah benar semua kerja rumah wanita Arab dilakukan pembantu?

Beliau tersenyum sambil memandang saya dengan wajah kehairanan. Kata beliau,

Bukan semua orang Arab kaya raya. Kami berasal dari keluarga sederhana. Saya menuntut ilmu sehingga ke universiti dan bekerja. Apabila berumah tangga, saya perlu memasak dan melakukan kerja-kerja rumah bagi meringankan tugas suami.

Jika kami tidak mampu melakukan semua itu, kami bercuti tanpa gaji. Jika telah melampaui had tertentu, kami rela berhenti kerja.

Di akhirat nanti … Allah tidak bertanya tentang jawatan, gaji dan kelulusan kita. Apakah yang akan ditanya? Apakah kamu taatkan Allah, Rasul dan suami mu?”

Allahu Rabbi. Kami memohon keampunanMu. Maafkanlah kami duhai suami…

Subhanallah!

Bawa Daku Bersamamu

Awak mahu minum?

 Angguk. Isyarat itu sahaja yang mampu dilakukan. Angguk dan geleng. Dirinya lemah sekali. Namun – Alhamdulillah – isteri sentiasa di sisi mengenal pasti keperluan suami tersayang.

Makan dan minum disuapkan. Tangan sasa suaminya kini sudah tidak mampu menghalakan sudu ke mulut sendiri. Jangankan mengangkat tangan, membuka mata pun sudah tiada upaya. 

Begitulah fitrah manusia. Dilahirkan dengan keadaan lemah, kemudian semakin hari semakin kuat bertenaga. Kini beransur lemah kembali. Namun, sesekali terjaga beliau bertanyakan waktu solat. Meminta diambil wuduk. Beliau tetap mahu bersolat.

Saya mengagumi isteri yang melayani suami ketika terlantar tenat pada hari tua. Hati tidak dapat mengelak untuk berkata-kata,

 Ya Allah ya Tuhanku … mampukah daku setabah dan sesabar ini melayani suami pada kala dia terbaring lesu dan perlukan bantuan.

Namun masa itu pasti tiba. Jika ditakdirkan suami dijemput dahulu menemui Ilahi, saya berikrar serta berjanji untuk tidak menitiskan air mata.

Mampukah saya?

Rasulullah SAW juga dilanda kesedihan ketika pemergian Siti Khadijah.  Itulah isteri paling dicintainya. Baginda SAW berpoligami hanya setelah pemergian isteri pertama. Allah ya Allah … semuanya terkandung seribu hikmah yang tidak mampu ditelah manusia.

Apakah saya setabah A’isah binti Abu Bakar? Beliau masih terlalu muda ketika suami pergi menemui Tuhannya. A’isah ditinggalkan sendirian tanpa zuriat dan harta. Malah beliau isteri nabi yang tidak boleh mencari ganti. Ia dinyatakan dalam kitab suci al-quran.

Allah … Allah ya Allah … berbahagialah suami beriman yang berjaya mendidik isterinya supaya juga beriman. Bukankah Allah menjanjikan orang-orang beriman dengan syurganya? Allah SWT telah nyatakan melalui surah at-Taubah, ayat 72 yang bermaksud,

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga Adn serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Dalam waktu terbatas, saya merenung suami di sisi. Sungguh, suatu ketika nanti kami juga bakal dipanggilnya. Apakah usia perkongsian hidup digembleng bersama untuk mengabdikan diri kepadanya? Apakah cukup bekalan diperuntukkan untuk sama-sama bertemu kembali di negeri kekal abadi?

Diam-diam saya renungi diri. Bukankah ketika diijabkabulkan saya diingatkan oleh wali agar taat perintah dan larangan Allah, mengikuti ajaran Rasullah SAW dan mentaati suami. Ada makna menusuk hati memahami betapa Hawa diciptakan Allah dari Adam, suaminya sendiri. Melalui surah an-Nisa’, ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud,

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namanya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Allah … ya Allah … terlalu banyak kenyataan di dalam Quran menyentuh tentang kewajipan lelaki terhadap wanita. Misalnya pemberian nafkah, pakaian, keselamatan, pelindungan, maruah dan agamanya.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab mengurus rumah tangga, menjaga kehormatan, maruah suami dan anak-anak. Tidak pula dibebani dengan kerjaya di luar rumah. Maknanya, wanita tidak akan dipersoalkan Allah SWT jika tidak keluar mencari rezeki sebagaimana suami. Ia bukan tugas hakiki.

Dunia moden hari ini menyaksikan begitu ramai wanita meninggalkan rumah mencari rezeki. Seolah-olah ia suatu amalan wajib terutamanya selepas melepasi pengajian peringkat tertinggi di universiti. Jika ada wanita yang tidak mahu begitu sering dipandang negatif. Benar, ia pilihan minoriti.

Salahkah jika wanita turut sama membantu suami menyara keperluan keluarga?

Tidak ada salahnya. Namun segala-galanya perlu jelas. Syarat pertama, wanita harus memastikan keadaan pengurusan rumah dan anak-anak sentiasa teratur dan rapi. Kedua, masalah anak-anak di dalam pelajaran dan kasih-sayang  tidak terabai. Ketiga, penjagaan adab-adab, kesopanan dan tatasusila sebagai wanita bermaruah apabila berhadapan dengan masyarakat bercampur-aduk. Akhirnya, penjagaan aurat dengan sempurna sebagaimana yang disyariatkan Islam dalam al-Quran.

Agaknya berapa ramai para isteri mahu akur dengan keadaan ini?

Saya berpaling melihat diri berkali-kali. Lalu bertanya diri, “bukankah mulut menyebut mahu bersama suami tercinta serta zuriat keturunan masuk bersama ke syurga Firdaus?”. Jika itu impiannya maka setiap orang perlu bergerak ke arah tersebut. Perlahan-lahan saya mencatat senarai semak apakah amalan kebaikan yang dituntut dilakukan serta larangan Allah telah ditinggalkan.

Apakah amalan dan pembawaan melayakkan kami sekeluarga menjadi ahli syurga tanpa dihisab dengan rahmatnya?

Banyak sungguh pertanyaan yang singgah di fikiran pada kala usia berbaki semakin singkat. Pertama, apakah kami mentaati Allah dan menyerahkan segala urusan hidup semata-mata kerananya? Apakah kehidupan kami dalam reda dan rahmat Allah SWT?

Kedua, apakah kami tidak berpaling daripada al-Quran dan sunah? Apakah jalan dituju berada dalam landasan yang lurus?

Ketiga, apakah daku berjaya menjadi wanita bahagia yang menjalankan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak?

Keempat, apakah daku wanita yang disayangi suami telah berbuat baik terhadap kedua orang ibu bapa serta mertua? Apakah daku menggembirakan hati pada hari tua mereka?

Kelima, apakah daku wanita yang terlalu menumpukan kepada duniawi, mengejar kemewahan, memperagakan kecantikan diri, bermegah-megah dengan segala kelebihan yang ada? Apakah daku terlalai dengan segala urusan dunia sehingga tergesa-gesa menjalankan urusan akhirat?

Akhirnya, sabar dan semakin tundukkah daku ketika diuji? Apakah daku merungut, mencemuh, merepek-repek dan bergundah gulana kerananya? Berjayakah daku menjadi isteri dan ibu yang sabar menghadapi ujian suami dan anak-anak? Apakah daku bersyukur dan mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha Esa sepanjang masa?

Allah ya Allah … ampunkan daku jika terlanjur dan menyakiti suami tanpa sedar kerana kejahilan diri. Ampunkan dosa atas kelemahan suamiku membentuk daku menjadi wanita sempurna. Masa yang berlalu telah berlalu ya Allah. Kami memohon keampunanMu dalam waktu tersisa.

Wahai Tuhan penguasa alam … perkenankanlah!

PERCA 58 DETIK TERAKHIR

Malam itu berbeza.

Abah mahu kedua cucu dan anak mengurut tubuhnya. Azrai di betis dan Amirul di lengan. Saya pula di bahagian belakang. Saya berbisik kepada anak-anak agar mengusap perlahan-lahan sambil membaca surah-surah yang mereka hafal, berselawat dan bertasbih kepada Allah.

Awak baring dekat sikit di belakang abah. Ambil bantal ni … abah minta maaf kalau ada salah silap pada awak.

Air mata saya bercucuran walau cuba di tahan. Sungguh … saya tidak mampu.  Dalam sebak saya berkata,

Tak ada abah… abah tak ada salah. Saya yang perlu minta maaf banyak-banyak pada abah. Degilnya saya …

Tutur kata yang tidak dapat diteruskan. Tersekat di kerongkong dan  tersumbat di dada. Benar … dulu saya selalu berkecil hati dengan abah. Bila pandai berfikir, saya tahu abah berwatak garang kerana mahu mengajar anak-anak yang degil dan keras kepala seperti saya.     

Azrai dan Amirul ingat pesan atuk. Jangan tinggal sembahyang dan mengaji Quran. Jangan sombong dan syirik …

Abah mula melelapkan mata. Kami panggil mak supaya tidur di sebelah abah. Kami anak-beranak pula tidur beramai-ramai di ruang tamu. Tiba-tiba saya dikejutkan oleh mak di sekitar 3.00 pagi. Mak berbisik, “abah mahu awak tidur di sebelahnya.” Ya Allah … degilnya saya.

Cuba sebut lima perkara sebelum sampai lima perkara.

Saya cuba mengingati dan menyatakannya tetapi sukar kerana masih mamai dan tidak bersedia. Akhirnya ….

Sihat sebelum sakit

Muda sebelum tua

Lapang sebelum sibuk

Kaya sebelum miskin

Hidup sebelum mati

Kemudian Abah terus bersuara. Terlalu banyak tutur kata tetapi saya hampir tidak memahami biji butirnya. Ia bercampur baur di antara nasihat, pesanan, peringatan, kisah, permintaan dan berbagai lagi.

Hujung minggu itu berakhir. Kami memohon diri untuk pulang tetapi laporan kesihatan Abah sentiasa diperolehi. Pagi itu mak melaporkan,

Sebelum subuh tadi abah minta mak bukakan pintu rumah. Katanya Kamil dan kawan-kawan ada di luar mahu mengajaknya mendengar ceramah selepas subuh. 

Manalah ada sesiapa datang gelap-gelap macam tu… jadi mak minta izin bacakan surah Yassin. Baru abah bertenang …

Semalam abah bertanyakan tentang awak.

Hati saya tersentap. Emak juga berpesan agar kami membawa kain batik lepas jika kembali ke Kuala Lumpur. Hati sayu. Diri terkapar-kapar dan meronta-ronta mahu segera berada di sisi abah. Saya mohon yang terbaik di sisi Allah – Al-‘Alim – yang maha mengetahui agar saya sempat berada di samping abah di saat terakhirnya.

Di kampus – hari itu – saya berhempas-pulas menyudahkan segala urusan pemarkahan siswa-siswi. Kemudian mengambil Sofea di sekolah dan seterusnya menunggu Amirul pulang ke Jementah dari asrama. Ketika itu suami menghadiri mesyuarat di Shah Alam.

Terlalu banyak urusan yang perlu di lakukan. Masa bergerak pantas namun banyak urusan masih belum selesai. Kami hanya boleh bergerak selepas lewat petang. Tiba-tiba Mak memberi khabar,

Hampir waktu maghrib. Abah kata mereka sudah sampai. Barangkali sudah tidak lama lagi …. Kak Long Fidah dan Tuti sudah ada di sini. Mak rasa awak tunggu sahaja di Jementah. Uruskan bahagian di sana.

Suara emak tenang sedangkan saya ibarat ikan menggelupur di atas darat. Diri tercunggap-cunggap seolah-olah tidak dapat bernafas. Kak Long Fidah bercerita,

Emak tenang mengajar abah mengucap dua kalimah syahadah.  Kemudian disudahi dengan beberapa potongan ayat dari surah ar-Radh’.

Abah sempat mengucapkan terima kasih kepada emak kerana bersabar menjaganya dan menjadi isteri yang taat setia kepadanya.

Kata Abah, “terima kasih Yah kerana sabar menjaga saya. Selama ini awak rajin beribadat … awak taat. Yah, awak isteri yang solehah.”

Tiada air mata mengalir di hadapan suami tercinta. Mak sedar dan bersedia bahawa saat terakhir bersama suami bakal berakhir beberapa ketika sahaja lagi. Garis penamatnya sudah kelihatan.

Awak letih dan mahu tidur ya. Baik, mari ikut saya mengucap kalimah syahadah. Asyhadualla ilahailallah…

Maghrib, 17 Mac 2011.

Sejurus berikrar, “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,” abah berbaring tenang lalu tidur buat selama-lamanya. Kak Long tenang bercerita. Saya yang dalam perjalanan berpatah balik ke Jementah bagi menguruskan ketibaan jenazah.

Perasaan saya?

Sungguh, sudah lama saya menangis semenjak dimaklumkan berita penyakit abah. Menangis kerana Allah – Al-Mu’izz – yang maha Memuliakan memberikan saya peluang mengharungi saat seperti ini.

Benar, saya menangis kerana bahagia dapat tinggal berdekatan dengan abah serta melihat perubahan usia tersisanya. Saya rasa terhormat.

Mengapa perlu saya menangis di hari kematian abah? Bukankah selama tiga tahun tiga bulan saya sudah menjangkanya. Malah saya bersyukur mendengar cara pemergian abah impian ramai orang.

Saya hanya berdoa agar abah mendapat Husnul khatimah serta dalam redha dan dirahmati Allah.

Innalillahi wainnalilahirojiun.

Moga roh abah dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa-dosanya. Mudah-mudahan kami bertemu kembali di Firdaus dengan rahmatNya.