Bawa Daku Bersamamu

Awak mahu minum?

 Angguk. Isyarat itu sahaja yang mampu dilakukan. Angguk dan geleng. Dirinya lemah sekali. Namun – Alhamdulillah – isteri sentiasa di sisi mengenal pasti keperluan suami tersayang.

Makan dan minum disuapkan. Tangan sasa suaminya kini sudah tidak mampu menghalakan sudu ke mulut sendiri. Jangankan mengangkat tangan, membuka mata pun sudah tiada upaya. 

Begitulah fitrah manusia. Dilahirkan dengan keadaan lemah, kemudian semakin hari semakin kuat bertenaga. Kini beransur lemah kembali. Namun, sesekali terjaga beliau bertanyakan waktu solat. Meminta diambil wuduk. Beliau tetap mahu bersolat.

Saya mengagumi isteri yang melayani suami ketika terlantar tenat pada hari tua. Hati tidak dapat mengelak untuk berkata-kata,

 Ya Allah ya Tuhanku … mampukah daku setabah dan sesabar ini melayani suami pada kala dia terbaring lesu dan perlukan bantuan.

Namun masa itu pasti tiba. Jika ditakdirkan suami dijemput dahulu menemui Ilahi, saya berikrar serta berjanji untuk tidak menitiskan air mata.

Mampukah saya?

Rasulullah SAW juga dilanda kesedihan ketika pemergian Siti Khadijah.  Itulah isteri paling dicintainya. Baginda SAW berpoligami hanya setelah pemergian isteri pertama. Allah ya Allah … semuanya terkandung seribu hikmah yang tidak mampu ditelah manusia.

Apakah saya setabah A’isah binti Abu Bakar? Beliau masih terlalu muda ketika suami pergi menemui Tuhannya. A’isah ditinggalkan sendirian tanpa zuriat dan harta. Malah beliau isteri nabi yang tidak boleh mencari ganti. Ia dinyatakan dalam kitab suci al-quran.

Allah … Allah ya Allah … berbahagialah suami beriman yang berjaya mendidik isterinya supaya juga beriman. Bukankah Allah menjanjikan orang-orang beriman dengan syurganya? Allah SWT telah nyatakan melalui surah at-Taubah, ayat 72 yang bermaksud,

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga Adn serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Dalam waktu terbatas, saya merenung suami di sisi. Sungguh, suatu ketika nanti kami juga bakal dipanggilnya. Apakah usia perkongsian hidup digembleng bersama untuk mengabdikan diri kepadanya? Apakah cukup bekalan diperuntukkan untuk sama-sama bertemu kembali di negeri kekal abadi?

Diam-diam saya renungi diri. Bukankah ketika diijabkabulkan saya diingatkan oleh wali agar taat perintah dan larangan Allah, mengikuti ajaran Rasullah SAW dan mentaati suami. Ada makna menusuk hati memahami betapa Hawa diciptakan Allah dari Adam, suaminya sendiri. Melalui surah an-Nisa’, ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud,

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namanya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Allah … ya Allah … terlalu banyak kenyataan di dalam Quran menyentuh tentang kewajipan lelaki terhadap wanita. Misalnya pemberian nafkah, pakaian, keselamatan, pelindungan, maruah dan agamanya.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab mengurus rumah tangga, menjaga kehormatan, maruah suami dan anak-anak. Tidak pula dibebani dengan kerjaya di luar rumah. Maknanya, wanita tidak akan dipersoalkan Allah SWT jika tidak keluar mencari rezeki sebagaimana suami. Ia bukan tugas hakiki.

Dunia moden hari ini menyaksikan begitu ramai wanita meninggalkan rumah mencari rezeki. Seolah-olah ia suatu amalan wajib terutamanya selepas melepasi pengajian peringkat tertinggi di universiti. Jika ada wanita yang tidak mahu begitu sering dipandang negatif. Benar, ia pilihan minoriti.

Salahkah jika wanita turut sama membantu suami menyara keperluan keluarga?

Tidak ada salahnya. Namun segala-galanya perlu jelas. Syarat pertama, wanita harus memastikan keadaan pengurusan rumah dan anak-anak sentiasa teratur dan rapi. Kedua, masalah anak-anak di dalam pelajaran dan kasih-sayang  tidak terabai. Ketiga, penjagaan adab-adab, kesopanan dan tatasusila sebagai wanita bermaruah apabila berhadapan dengan masyarakat bercampur-aduk. Akhirnya, penjagaan aurat dengan sempurna sebagaimana yang disyariatkan Islam dalam al-Quran.

Agaknya berapa ramai para isteri mahu akur dengan keadaan ini?

Saya berpaling melihat diri berkali-kali. Lalu bertanya diri, “bukankah mulut menyebut mahu bersama suami tercinta serta zuriat keturunan masuk bersama ke syurga Firdaus?”. Jika itu impiannya maka setiap orang perlu bergerak ke arah tersebut. Perlahan-lahan saya mencatat senarai semak apakah amalan kebaikan yang dituntut dilakukan serta larangan Allah telah ditinggalkan.

Apakah amalan dan pembawaan melayakkan kami sekeluarga menjadi ahli syurga tanpa dihisab dengan rahmatnya?

Banyak sungguh pertanyaan yang singgah di fikiran pada kala usia berbaki semakin singkat. Pertama, apakah kami mentaati Allah dan menyerahkan segala urusan hidup semata-mata kerananya? Apakah kehidupan kami dalam reda dan rahmat Allah SWT?

Kedua, apakah kami tidak berpaling daripada al-Quran dan sunah? Apakah jalan dituju berada dalam landasan yang lurus?

Ketiga, apakah daku berjaya menjadi wanita bahagia yang menjalankan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak?

Keempat, apakah daku wanita yang disayangi suami telah berbuat baik terhadap kedua orang ibu bapa serta mertua? Apakah daku menggembirakan hati pada hari tua mereka?

Kelima, apakah daku wanita yang terlalu menumpukan kepada duniawi, mengejar kemewahan, memperagakan kecantikan diri, bermegah-megah dengan segala kelebihan yang ada? Apakah daku terlalai dengan segala urusan dunia sehingga tergesa-gesa menjalankan urusan akhirat?

Akhirnya, sabar dan semakin tundukkah daku ketika diuji? Apakah daku merungut, mencemuh, merepek-repek dan bergundah gulana kerananya? Berjayakah daku menjadi isteri dan ibu yang sabar menghadapi ujian suami dan anak-anak? Apakah daku bersyukur dan mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha Esa sepanjang masa?

Allah ya Allah … ampunkan daku jika terlanjur dan menyakiti suami tanpa sedar kerana kejahilan diri. Ampunkan dosa atas kelemahan suamiku membentuk daku menjadi wanita sempurna. Masa yang berlalu telah berlalu ya Allah. Kami memohon keampunanMu dalam waktu tersisa.

Wahai Tuhan penguasa alam … perkenankanlah!

PERCA 58 DETIK TERAKHIR

Malam itu berbeza.

Abah mahu kedua cucu dan anak mengurut tubuhnya. Azrai di betis dan Amirul di lengan. Saya pula di bahagian belakang. Saya berbisik kepada anak-anak agar mengusap perlahan-lahan sambil membaca surah-surah yang mereka hafal, berselawat dan bertasbih kepada Allah.

Awak baring dekat sikit di belakang abah. Ambil bantal ni … abah minta maaf kalau ada salah silap pada awak.

Air mata saya bercucuran walau cuba di tahan. Sungguh … saya tidak mampu.  Dalam sebak saya berkata,

Tak ada abah… abah tak ada salah. Saya yang perlu minta maaf banyak-banyak pada abah. Degilnya saya …

Tutur kata yang tidak dapat diteruskan. Tersekat di kerongkong dan  tersumbat di dada. Benar … dulu saya selalu berkecil hati dengan abah. Bila pandai berfikir, saya tahu abah berwatak garang kerana mahu mengajar anak-anak yang degil dan keras kepala seperti saya.     

Azrai dan Amirul ingat pesan atuk. Jangan tinggal sembahyang dan mengaji Quran. Jangan sombong dan syirik …

Abah mula melelapkan mata. Kami panggil mak supaya tidur di sebelah abah. Kami anak-beranak pula tidur beramai-ramai di ruang tamu. Tiba-tiba saya dikejutkan oleh mak di sekitar 3.00 pagi. Mak berbisik, “abah mahu awak tidur di sebelahnya.” Ya Allah … degilnya saya.

Cuba sebut lima perkara sebelum sampai lima perkara.

Saya cuba mengingati dan menyatakannya tetapi sukar kerana masih mamai dan tidak bersedia. Akhirnya ….

Sihat sebelum sakit

Muda sebelum tua

Lapang sebelum sibuk

Kaya sebelum miskin

Hidup sebelum mati

Kemudian Abah terus bersuara. Terlalu banyak tutur kata tetapi saya hampir tidak memahami biji butirnya. Ia bercampur baur di antara nasihat, pesanan, peringatan, kisah, permintaan dan berbagai lagi.

Hujung minggu itu berakhir. Kami memohon diri untuk pulang tetapi laporan kesihatan Abah sentiasa diperolehi. Pagi itu mak melaporkan,

Sebelum subuh tadi abah minta mak bukakan pintu rumah. Katanya Kamil dan kawan-kawan ada di luar mahu mengajaknya mendengar ceramah selepas subuh. 

Manalah ada sesiapa datang gelap-gelap macam tu… jadi mak minta izin bacakan surah Yassin. Baru abah bertenang …

Semalam abah bertanyakan tentang awak.

Hati saya tersentap. Emak juga berpesan agar kami membawa kain batik lepas jika kembali ke Kuala Lumpur. Hati sayu. Diri terkapar-kapar dan meronta-ronta mahu segera berada di sisi abah. Saya mohon yang terbaik di sisi Allah – Al-‘Alim – yang maha mengetahui agar saya sempat berada di samping abah di saat terakhirnya.

Di kampus – hari itu – saya berhempas-pulas menyudahkan segala urusan pemarkahan siswa-siswi. Kemudian mengambil Sofea di sekolah dan seterusnya menunggu Amirul pulang ke Jementah dari asrama. Ketika itu suami menghadiri mesyuarat di Shah Alam.

Terlalu banyak urusan yang perlu di lakukan. Masa bergerak pantas namun banyak urusan masih belum selesai. Kami hanya boleh bergerak selepas lewat petang. Tiba-tiba Mak memberi khabar,

Hampir waktu maghrib. Abah kata mereka sudah sampai. Barangkali sudah tidak lama lagi …. Kak Long Fidah dan Tuti sudah ada di sini. Mak rasa awak tunggu sahaja di Jementah. Uruskan bahagian di sana.

Suara emak tenang sedangkan saya ibarat ikan menggelupur di atas darat. Diri tercunggap-cunggap seolah-olah tidak dapat bernafas. Kak Long Fidah bercerita,

Emak tenang mengajar abah mengucap dua kalimah syahadah.  Kemudian disudahi dengan beberapa potongan ayat dari surah ar-Radh’.

Abah sempat mengucapkan terima kasih kepada emak kerana bersabar menjaganya dan menjadi isteri yang taat setia kepadanya.

Kata Abah, “terima kasih Yah kerana sabar menjaga saya. Selama ini awak rajin beribadat … awak taat. Yah, awak isteri yang solehah.”

Tiada air mata mengalir di hadapan suami tercinta. Mak sedar dan bersedia bahawa saat terakhir bersama suami bakal berakhir beberapa ketika sahaja lagi. Garis penamatnya sudah kelihatan.

Awak letih dan mahu tidur ya. Baik, mari ikut saya mengucap kalimah syahadah. Asyhadualla ilahailallah…

Maghrib, 17 Mac 2011.

Sejurus berikrar, “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,” abah berbaring tenang lalu tidur buat selama-lamanya. Kak Long tenang bercerita. Saya yang dalam perjalanan berpatah balik ke Jementah bagi menguruskan ketibaan jenazah.

Perasaan saya?

Sungguh, sudah lama saya menangis semenjak dimaklumkan berita penyakit abah. Menangis kerana Allah – Al-Mu’izz – yang maha Memuliakan memberikan saya peluang mengharungi saat seperti ini.

Benar, saya menangis kerana bahagia dapat tinggal berdekatan dengan abah serta melihat perubahan usia tersisanya. Saya rasa terhormat.

Mengapa perlu saya menangis di hari kematian abah? Bukankah selama tiga tahun tiga bulan saya sudah menjangkanya. Malah saya bersyukur mendengar cara pemergian abah impian ramai orang.

Saya hanya berdoa agar abah mendapat Husnul khatimah serta dalam redha dan dirahmati Allah.

Innalillahi wainnalilahirojiun.

Moga roh abah dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa-dosanya. Mudah-mudahan kami bertemu kembali di Firdaus dengan rahmatNya.

Misteri Kain Pelekat

Butang baju Melayu abang mana Pah?

Ramai tersenyum mendengar dialog lakonan pelakon kesukaan, gemolah P. Ramlee. Dialog berulang kali ini didengar sejak kecil sehingga berumah tangga. Namun setiap kali muncul di TV, perbualan ini masih membuat ramai tercuit geli hati.

Menonton kisah berpoligami barangkali hanya menarik buat tatapan di televisyen. Tambahan pula ia disampaikan berbentuk komedi dan santai. Jika tidak, ia boleh menjadi kisah meruntun perasaan dan akhirnya banyak hati pasti berderai dan berkecai.

Sabariah hanya berdiam diri atau menjauhkan diri apabila ada rakan sepejabat bercerita kisah-kisah seumpama ini. Agaknya beliau cuba untuk tidak mengumpat atau menceritakan aib orang. Bukankah ia seumpama memakan daging saudara sendiri?

Begitulah memahami sikapnya yang tidak suka mengambil tahu kisah rumah tangga orang lain. Beliau seboleh-bolehnya tidak mahu terkena badi rakan-rakan yang bermadu. Kalau boleh – dengan izin Allah – biar dirinya sahaja satu-satunya isteri suami. Sedang beliau mengelamun, tiba-tiba terdengar satu pertanyaan yang sering didengari,

Allah … kain pelekat abang mana Yah?

Sayup-sayup terdengar suara suami dari bilik tidur. Beliau menghentikan lipatan kain lalu bergegas ke bilik. Setahunya, kain pelekat telah diletakkan di atas katil. Malah ia telah dimaklumkan sebelum suami ke bilik mandi.

Di bilik, suaminya masih lagi bertuala. Di tangan baju Melayu sedia untuk disarung. Cuma kain pelekat yang masih misteri. Sabariah memandang ke atas katil, terdapat baju kemeja dan seluar panjang di atasnya. Seperti sekian kalinya, beliau berlagak seperti ahli silap mata.

Adakadabraaa!

Diangkatnya baju kemeja dan seluar panjang lalu terserlahlah kain pelekat yang tersembunyi di bawahnya. Ia sedikit terlindung. Lalu selesailah satu lagi misteri. Jika dicongakkan, agaknya sudah beribu kali misteri sama diselesaikannya.

Di awal perkahwinan beliau sering terhimpit hati. Murung dan mengalami tekanan perasaan. Semuanya gara-gara misteri kain pelekat suami. Ia fenomena yang tidak terungkai oleh akalnya. Beliau pernah bertanya kepada rakan-rakan sepejabat beberapa soalan bersangkut paut dengannya. Akhirnya beliau pula dijadikan bahan tawa.

Sabariah, pasal kain pelekat suami pun awak boleh tertekan. Relax … take it easy.

Mudah sahaja orang mahu mentertawakan. Apa yang mereka tahu tentang gelodak perasaan isteri. Bertahun-tahun ibu mengajar beliau agar menyidai tuala, kain baju, kain batik atau  kain pelekat di tempat yang disediakan. Ia satu disiplin besar buat keluarga Sabariah.

Namun setelah berumah tangga, beliau terkejut apabila mendapati suami begitu mudah menanggalkan dan membiarkan kain pelekatnya bergumpal di tengah-tengah ruang bilik atau di depan bilik mandi. Ia bukan sahaja berlaku di rumah sendiri tetapi di rumah ibu mertua dan di rumah ibunya sendiri.

Abang … cubalah belajar sidai kain pelekat di tempatnya. Ini tempat penyidainya sebelah sejadah.

Sabariah memujuk suami agar menurut cara sebagaimana ilmu ajaran ibu kandung. Bertahun-tahun, begitu. Namun ajarannya langsung tidak masuk ke dalam fikiran suami tercinta. Pernah beberapa kali beliau menangis sendirian kerana sakit hati. Tambahan pula beliau sedang cuti bersalin dan masih berpantang.

Pernah sekali beliau – kononnya – mahu mengajar agar suami berdisiplin terhadap kain pelekatnya. Beliau nekad membiarkan gumpalan-gumpalan yang ditinggalkan suami di merata-rata tempat. Di ruang bilik tidur, di depan bilik mandi, di ruang tamu dan di mana-mana ruang sahaja.

Namun pengajaran Allah SWT datang tanpa diduga. Ayahnya muncul di rumah berziarah ketika suami masih berada di tempat kerja. Ayahnya berang apabila beliau menyatakan beliau sengaja membiarkan kain pelekat terdampar di situ. Alasan marahnya, “biar memudahkan suami menyarungnya semula”.

Awak ni … dengan suami sendiri pun berkira. Apa salahnya kutip sahaja kain pelekat tu. Susah sangat ke? Inilah namanya penyakit hati.

Suami awak langsung tidak berkira jika awak malas mengemas atau memasak. Dibelinya makanan dari kedai. Haa .. selalulah buat perangai begitu. Suatu hari nanti dicarinya perempuan lain yang sanggup mengutip kain pelekatnya … awak mahu?

Allahuakbar! Tersentap!

Tidak menyangka bapa menjadi pembela anak menantu bukan anaknya sendiri. Diam-diam beliau bermuhasabah diri memikirkan kata-kata tulus ikhlas dari bapanya.

Sungguh, berapa ramai para isteri mengambil kesempatan di atas kekurangan suami, berkeras kerana mahu suami mengambil pengajaran darinya. Akhirnya, perkara  kecil-kecil menjadi besar apabila dibiarkan berlarutan.

Berapa ramai rakan-rakannya yang merajuk dengan suami  di peringkat awal akhirnya menjelma perasaan berkecamuk yang tidak terkawal. Lebih teruk lagi, mereka  mengambil keputusan untuk bercerai!

Nau’uzubillah!

Sabariah tidak mahu begitu. Sebelum terlambat, beliau mahu hentikan sahaja permainan bisikan hati jahat yang membuak-buak. Tiada gunanya diperam lama-lama. Tidak mahu kudis menjalar menjadi kanser.

Aduhai suami … maafkan isterimu jika perlakuannya begitu. Barangkali perlakuan anak-anak mu membuat beliau sakit mata dan sakit hati sedangkan mereka belum dewasa. Belajarlah berfikir secara matang. Barangkali kematangan mengharmonikan rumah tangga, dengan izinnya.

Ya Allah. Limpahkan kami agar menjadi suami isteri bertoleransi, bersefahaman dan tidak berkira di dalam apa jua urusan. Limpahkan kami dengan kasih-sayangmu di dunia dan di akhirat. Jadikan kami serta zuriat keturunan kami sentiasa tunduk sujud kepadamu. Moga kami menjadi hamba dalam redamu dan rahmatmu.

Wahai Tuhan … perkenankanlah!

Mahar Terindah

Saat indah.

Hati berbaur setiap kali menerima kad jemputan ke majlis perkahwinan. Riang dan sebak bersekali. Melihat dua mempelai berjalan beriringan sambil jari bertaut kemas melepasi pintu utama boleh mengalirkan air mata.

Ada kenangan masih tertusuk di dada.

Hari itu tidak berbeza. Mata melihat berpuluh-puluh meja di dalam dewan besar yang kelihatan terlalu indah Setiap meja dihiasi dom-dom berisi makanan lazat. Peralatan hidangan – pinggan, cawan, gelas, sudu serta garpu – tersusun rapi. Terselit cantik cenderamata berbekas ala kristal berbalut reben berhias mawar putih.

Hati tidak dapat menolak untuk bertanya, “berapa agaknya sewaan hotel ini?”.

Mata galak merakam hamparan permaidani merah terbentang seawal pintu utama. Sepanjang jalan masuk dihiasi jambangan mawar putih segar bugar. Pentas utama disidai gabungan kain sutera, satin dan sifon.

Akal yang bermalasan tidak dapat mencongak bilangan mawar putih terhias indah di kiri kanan kerusi raja sehari. Harumannya menawan. Lagi, pada penjuru pentas, terdapat kek sugar paste bertingkat-tingkat.

Pentas raja hanya sehari ini bakal disinggahi oleh pengantin terbilang.

Tumpuan terganggu apabila MC mengumumkan pengantin  akan memotong kek besar sebelum ke meja makan utama. Lensa kamera berkelip-kelip merakamkan saat indah buat mereka. Kemudian, pengantin perempuan dengan senyum melerek menawan meninggalkan sudut pentas bersama pasangannya.

MasyaAllah Tabarakallah!

Alunan muzik dimainkan mengikut tempo perjalanan pengantin. Sungguh suasananya indah sekali. Mata merenung persalinan pengantin, gabungan kain sutera dan Lace. Potongan baju ketat sendat. Ia – agaknya – sesuai dengan tubuh langsing sipemakai. Potongan kainnya berjela-jela panjang. Ada dua anak gadis comel perlu membantu semasa bergerak.

Sungguh … ia benar dan nyata!

Meja utamanya lagi hebat. Pengisinya orang kenamaan, orang bergelar serta orang berharta. Mereka siap sedia menunggu untuk majlis bersantap adab beradab. Juadahnya tentu sekali berbeza. Wajah mereka hampir terlindung dek tapak lilin serta gubahan bunga-bungaan.

Allah … Allah … ya Allah … daku pernah mengimpikan suasana ini aduhai  suamiku.

Daku mimpikan majlis perkahwinan di dalam taman dipenuhi dengan bunga-bungaan, reben-reben besar dari kain sutera diikat pada para-para tinggi serta burung berkicau-kicauan. Lalu pari-pari kecil membantu membetulkan kaki kain meleret yang panjangnya berjela-jela.

Ia kisah puteri-puteri dongeng. Namun itulah impian pengantin remaja yang telah berkubur berpuluh tahun lamanya.

Lamunan terhenti. Agaknya berapa ramai yang mampu berhabisan beratus ribu kerana meraikan majlis perkahwinan anak sendiri? Tidak. Tiada siapa yang mampu jika mereka bukannya keturunan keluarga Diraja, jutawan atau orang berjawatan tinggi. Istilah ukur baju di badan sendiri masih terpakai. Majlis seumpama ini tidak bertempat bagi orang biasa-biasa.

Diam-diam – hari itu – bakal pengantin perempuan tertawa geli hati mengenangkan angan-angan puteri dongeng yang melintas di fikiran. Tiba-tiba, sayup terdengar dari ruang tamu.

Berapa hantarannya pak cik?

Mas kahwin di Johor RM22.50. Hantaran terpulanglah kepada Kamil. Jangan menyusahkan.

Saya sudah ada menyimpan sedikit wang. Tidak banyak. Simpanan biasiswa. Jika RM4500, pak cik boleh terima?

Terdengar anak muda yang datangnya bersendirian bertanya dan memberitahu bakal bapa mertuanya. Tubuh badannya sedikit bergetar tetapi teratur sekali berbahasa. Beliau merisik khabar sendirian sebelum membenarkan keluarga datang meminang.

Alhamdulillah. Itu sudah lebih dari memadai. Rasanya  tidak perlu bertunang-tunang. Mintalah keluarga datang tiga bulan dari sekarang.

Bapa mertua juga berhemah. Barangkali dalam diam beliau berterima kasih kerana pengakuan luhur lagi jujur dari bakal menantunya. Barangkali yang berminat ramai tetapi inilah anak muda yang sanggup bertanggungjawab dan mahu menikahi anak perempuannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

(Terjemahan surah an-Nisaa’: 4)

Begitulah indahnya Islam. Sungguh, ia tidak memberatkan umat nabi Muhammad SAW. Tidak mengapa walau naskhah al-Quran yang hanya termampu olehnya. Tidak mengapa walau mas kahwin hanya RM22.50 sahaja.

Ia mahar terindah!

Berhijrah kerana Allah

‟Puan, perlukah saya berubah hanya kerana seseorang meminta saya berbuat begitu?” Itulah antara pesanan ringkas (SMS) di terima dari seorang wanita muda.

‟Mama, saya fikir sudah sampai masanya kita menutup aurat dengan sempurna. Marilah kita bertudung,” seorang anak perempuan memberi saranan kepada ibunya, pengasas kosmetik berjaya.

‟Apabila saya mahu berubah ke arah kebaikan di sisi Allah, terasa peritnya mengajak suami dan anak-anak untuk ikut serta,” luahan rasa isteri dan ibu yang tabah menanti perubahan suami dan keluarganya.

Hakikatnya, ramai belum bersedia untuk berubaha. Hati terasa berat, sukar dan takut dengan pelbagai perkara. Seorang kenalan takut di lebel, ‟macam perempuan bagus sahaja”.

Malah ada wanita berpendidikan tinggi, kerjaya yang bagus cukup bimbang untuk menjaga aurat dengan sempurna. Ketakutan utama terletak pada hati. Mereka bimbang kehilangan rakan terutamanya jika berlainan agama.

Ada juga takut bertudung atas nasihat pendandan fesyen rambut yang melabelkan rambut sebagai  ‟mahkota kecantikan wanita”. Simbol seumpama ini meresap ke minda mengatasi ketakutan siksaan api neraka. Mereka terpedaya walaupun pintar ketika menuntut.

Ada suami yang ”nakal-nakal” bimbang dengan ajakan isteri mengerjakan haji atau umrah. Mereka risaukan pandangan sinis rakan-rakan sealiran. Nun jauh di sudut hati, mereka masih berada di perjalanan kabur dan tidak mampu melihat dengan jelas.

Duhai wanita yang mahukan perubahan … ketahuilah, perubahan itu terlalu sukar jika empunya badan tidak bersungguh mahu melakukannya. Allah SWT telah nyatakan melalui ayat 53, surah al-Anfal yang bermaksud,

(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Jika ada kemahuan – InsyaAllah – ia menjadi lebih mudah. Bisiklah ke dalam hati sanubari,

Ya Allah … aku mahu berubah ya Allah. Kuatkanlah semangat daku.

Saya fikir, kita tidak perlu bertanya bagaimana jika dalam hati sendiri tidak mahu berubah. Mulut berkata YA tetapi hati sebenarnya tidak mahu.

Buanglah perkataan berputus asa. Teruskan mengajak diri dan mereka yang hampir. Berdoalah agar mereka yang kita sayangi akan berubah hati. Akhirnya ia urusan Allah SWT.

Berdoalah tanpa mengata. Berharaplah tanpa mencela. InsyaAllah … mereka yang kelihatan sayup jauh tiba-tiba berada di sisiNya. Bukankah Allah SWT sudah nyatakan melalui ayat 100, surah an-Nisaa’ yang bermaksud,

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ya Allah … berhijrahlah keranaNya. Kita berubah semata-mata kerana Allah SWT, bukan untuk atau kerana sesiapa. Lalu hijrah keranaNya perlu dipertahankan sehingga akhir hayat. Lalu ikrar berhijrah kerana manusia selalunya tidak sampai ke mana. Realitinya nyata jelas. Ramai yang di lihat telah berubah tetapi berpatah balik ke belakang.

Duhai wanita yang bijaksana … perhatikanlah dengan mata hati yang terbuka bagaimana begitu ramai berubah apabila berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Mereka tahu mana yang halal dan haram. Pakaian menutup aurat menjadi pilihan. Namun ia tidak bertahan lama. Sejurus mahu berlepas pulang, ramai yang sudah kembali asal.

Akhirnya … tanpa kita sedari, terciptalah fesyen menunaikan umrah, pakaian ke pejabat, baju basahan di rumah sehinggalah pakaian seragam solat. Ia bukan lagi pakaian yang disuruh Allah SWT sepanjang masa yang membolehkan manusia ke syurga. Malah ia jadi pakaian yang kelihatan sukar dan ganjil di mata masyarakat.

Duhai diri yang diberikan akal untuk berfikir … tentu sekali kita menyedari betapa sukarnya mahu berubah. Ia bukan kudrat kita semata. Perubahan memerlukan pertolongan Allah dengan izin Allah.

Hakikatnya, Allah SWT menguji kita dengan sedikit ketakutan dan permainan minda. Ujian itu memperlihatkan apakah kita berkata benar untuk mendekatkan diri kepadaNya atau hanya seorang pendusta.

Jika mahu melihat suatu perubahan berlaku maka pastikanlah orang pertama yang perlu berubah adalah diri kita. Benarlah firman Allah SWT melalui ayat 3, surah Al-Ankaboot yangbermaksud,

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Akhirnya, bertanya kepada diri. Mahukah kita berhijrah dengan sungguh-sungguh hijrah. Jawapannya ada dalam hati.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Pengurus Dunia Akhirat: Satu Kenangan

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?

(Terjemahan surah  Yunus, ayat 3)

Hari pertama kuliah.

Kebiasaannya pada hari pertama di minggu pertama – semester baru di buka – kadar kehadiran siswa-siawi bagai dapat dijangka oleh para pensyarah. Barangkali ramai lagi siswa-siswi masih sibuk dengan pendaftaran kurus serta gugur tambah mata pelajaran.

Seluruh sistem universiti kebanyakannya menggunakan urusan secara atas talian. Kelemahan sistem yang ada masanya sukar diatasi ketika musim sesak membuatkan manusia mengambil sikap berlebih kurang. Ia tolenrasi yang munasabah.

Namun, kuliah perlu dihadiri oleh para pensyarah apabila penyerahan jadual waktu berserta amanah tugasan akademik yang telah dipersetujui bersama – majikan pekerja – dalam organisasi. Ia akujanji sewaktu tawaran menerima jawatan ditandatangani.

Mass lecture di Dewan Besar 1. Berhampiran Blok A. Jangkaan keseluruhan siswa-siswi seramai 120 orang. 80 orang dari Pengajian Sarjana Muda Pemasaran dan 40 orang dari Pengajian Sarjana Muda Perbankan Islam. Menarik!

Saya menelek jadual waktu di dalam tangan sambil berjalan menuju ke arah Dewan Besar. Sekali lagi saya meneliti betul-betul perkataan DEWAN BESAR 1 di Blok A. Ada kalanya manusia membuat kesilapan besar apabila memandang ringan sesuatu perkara kecil. Sering melihat sesuatu kelaziman dengan sekali pandang.

Lahawlawala kuwataillabilah. Akibatnya  proses yang sepatutnya mudah menjadi sukar dan perlu diulangi dari awal.  Saya sering teringat perkataan yang sangat digemari oleh Pengurus besar sewaktu bekerja di United Kingdom beberapa tahun sebelumnya;

Always remember. Do it right. Right at the first time!

Sungguh benar, pada minggu pertama saya pernah beberapa kali memasuki kelas tetapi tersalah bangunan. Ada masanya tersalah aras dan berbagai lagi kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Bukan saya sahaja, ada kalanya kami para pensyarah berebut ke dalam kelas tetapi mendapati bukan siswa-siswi kami!

Ada masanya sedang duduk menunggu di dalam kelas, kami menerima pesanan ringkas (SMS) dari siswa-siswi yang mencatat;

Puan, jadual telah bertukar. Kelas kita di bilik 321 Blok D – di atas bukit kayangan. Bukan bilik 321 Blok D – di lembah beringin.

Allah… Allah ya Allah. Begitulah keadaannya jika kita tidak semak selidik  sebelum memulakan sesuatu urusan. Pesanan ini juga sering kami ingatkan kepada bakal graduan semasa memberikan ceramah menghadiri temuduga. Kami berpesan kepada mereka;

Pastikan anda mengenalpasti lokasi syarikat tempat untuk ditemuduga. Datanglah lebih awal dari masa yang ditetapkan untuk temuduga agar anda boleh bertenang. Ambil tahu operasi syarikat dan carta organisasi.

Allah … Allah ya Allah. Kami manusia biasa yang sering terlupa walau sudah puas diingatkan sebagaimana dinyatakan Allah perihal nabi Adam di dalam surah Tahaa, ayat 5. Firman Allah yang bermaksud;

Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

Saya melangkah dengan bertawakkal kepada Allah lalu menguak pintu utama Dewan Besar. Ia sebuah auditorium yang boleh memuatkan sekitar 300 pelajar dan dilengkapi dengan peralatan audio teknologi canggih. Kedudukan susuatur kerusinya mencuram dan tempat pengajaran pensyarah nun jauh di sebelah bawah.

Subhanallah! Sudah ramai siswa-siswi yang memenuhi ruang dewan kuliah. Memang saya agak terkejut besar. Apatah lagi kuliah bermula selepas waktu zohor seusai makan tengahari.

Sungguh. Hari pertama adalah saat sukar bagi saya yang lemah. Lagipun subjek Pengurusan dalam Perspektif Islam (Management in Islamic Perspective) agak menakutkan siswa-siawi yang masih muda belia. Saya juga mengalami perasaan yang sama ketika seusia mereka. Jika pertemuan pertama tidak diuruskan dengan baik, ia tidak akan menarik mereka ke Dewan Besar ini lagi.

Mass lecture. Dua jam syarahan. Mereka masih belum memiliki buku teks. Slide presentation perlu dipaparkan di skrin besar.

Hati saya berbisik lagi. Saya sedikit gementar namun berselindung dengan menyibukkan diri memasang peralatan pengajaran. Sesekali memandang ke arah siswa-siswi yang berkobar-kobar semangat untuk belajar. Mereka juga menumpukan perhatian ke arah saya. Otak saya ligat berfikir mengharapkan ilham dari Allah bagi pembukaan bicara kuliah yang harus disampaikan. Lalu membaca doa yang dibaca oleh nabi Musa Alaihisalam apabila berdepan dengan Firaun.

Assalamualaikum. Ada sesiapa di sini yang boleh membantu saya memasang peralatan ini agar ia boleh terpancar di atas skrin?

Sengaja saya menunggu. Ada beberapa orang siswa yang teragak-agak untuk bangun tetapi duduk kembali kerana malu dipersendakan oleh rakan-rakan. Saya terus menunggu sehingga ada yang menghulurkan tangan memberikan bantuan. Sambil dua orang siswa membantu memasang audio saya mencapai pembesar suara.

Assalamualaikum wahai bakal pengurus besar, usahawan terkenal, ahli koperat terkemuka dan Jutawan dunia akhirat. Terima kasih kerana menghadiri dewan kuliah pada hari ini.

Saya melihat kembang kuncup hidung mereka menahan bangga di dalam hati. Wajah mereka teruja menantikan ucapan seterusnya. Alhamdulillah! Perangkap pertama berjaya. Saya teruskan syarahan.

saudara saudari akan mempelajari mengenai teori pengurusan yang dicipta oleh akal manusia. Namun, Insya Allah, kita kaitkan pula ilmu yang diilhamkan Allah ini agar ia menjadikan kita pengurus yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Kenapa pentingnya mempelajari subjek ini? Kerana saya mahu siswa-siswi semua menjadi manusia yang berakal lalu kita mengunakannya untuk berfikir. Diberikan mata lalu kita melihat setiap kejadian Allah dengan perasaan serta pandangan mata hati. Diberikan telinga lalu kita mengambil iktibar dari kisah-kisah kecemerlangan dan kegemilangan orang terbilang dengan mengaplikasinya agar kita memperolehi kejayaan abadi.

Kali ini saya melihat wajah mereka berubah. Barangkali mereka berfikir apalah kaitannya subjek pengurusan bagi pengajian pemasaran dan perbankan Islam dengan kejayaan di dunia dan diakhirat. Bukankah subjek ini hanya perlu lulus di dalam peperiksaan agar memungkinkan mereka meraih segulung ijazah?

Beberapa minit kemudian, skrin besar di hadapan dewan berjaya memaparkan learning outcomes bagi chapter satu.

Saya mengucapkan terima kasih kepada siswa yang membantu dengan berkata;Manusia ada kekurangan. Perkara sekecil inipun saya tidak arif. Jangan anggap kita sentiasa pandai dan tahu segalanya walaupun nanti telah berada di peringkat pengurusan tertinggi. Jangan bersandar kepada kekuatan diri sendiri. Ada masanya pandangan orang bawahan juga diperlukan.

Allah menjadikan manusia berbeza dan setiap seorang dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan. Atas segalanya memohonlah kepada Allah apabila mahu membuat sebarang urusan dan keputusan. Allah maha Mengetahui lagi maha Bijaksana.Sesuatu yang sukar difikirkan oleh akal manusia – subhanallah – mudah sahaja bagiNya.

Bukankah Allah menjadikan langit dan bumi serta seluruh alam ini? Setiap kejadian dari sebesar cakerawala hingga sekecil zarah semuanya didalam kekuasaan dan pentadbiranNya. Malahan Allah menguruskan urusan dunia dan akhirat. Tiada suatupun yang terlepas dari pengetahuanNya.

Manusia?

Menguruskan sebuah organisasi yang kecil pun banyak  cabaran dan kekangan yang perlu diatasi. Manusia perlu merancang mencari strategi, menjalani proses pengurusan untuk memastikan kejayaan. Malahan ada proses perlu diulang apabila tidak memenuhi piawaian. Perlu agihan tugasan, bantuan teknologi dan tenaga manusia.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!

Saya melihat siswa-siswi mengangguk-anggukan kepala mengiakan kekuasaan Allah Subhanawatalla. Saya menarik nafas lega apabila mereka memahami konsep sebenar pengurusan yang sepatutnya dijalani oleh umat Muhammad SAW yang beragama Islam.

Kejayaan dan keuntungan yang mahu diraih bukan sekadar di dunia. Ia tidak kekal kerana dipenghujungnya nanti akan ada titik akhir yang dinamakan KEMATIAN. Setinggi gunung sekalipun harta yang dihimpun tidak akan dapat dibawa masuk kedalam kubur. Segunung emas yang dimiliki tidak akan dapat menebus dosa-dosa yang dilakukan ketika hidup di dunia.

Malah setiap urusan yang ditanggung akan di soal. Kekuasaan, pangkat dan darjat tidak dapat membela diri apabila berdepan menghadap di mahkamah Allah. Di dalam organisasi, pekerja dan pengurus setiap jabatan harus menurut kemahuan Chief Executive Officer (CEO).

Biarlah kita menjadi hamba yang akur – beriman dan bertaqwa – melakukan segala urusan kerana Allah yang maha berkuasa.  Hamba yang menguruskan  urusan dunia demi mendekatkan diri kepada Allah – CEO – yang menguasai organisasi dunia dan akhirat.

Subhanallah!