Bab 2 Dhaka

Januari 2016.

Bangladesh bukanlah lokasi terlintas di hati untuk kami kunjungi. Bangla sentiasa dilihat sebagai bangsa kelas rendah. Ia tentunya bersebab. Kehadiran mereka di Malaysia sebagai buruh nyata mempengaruhi. Mereka yang masuk secara halal sudah melebihi 200000 orang sehingga 2017. Mereka yang hadir secara sembunyi-sembunyi tidak pula kami ketahui.

Wajah serta sosok Mat – Bangla memang dirasai terutamanya di sekitar kawasan kediaman terutamanya di kedai atau gedung perniagaan. Lintasan hati jahat sentiasa ada. Kehadiran mereka tetap dianggap sebagai kaum pendatang. Mereka sentiasa kelihatan susah dan menumpang di negara orang.

Perasaan ini hadir lantaran kekurangan ilmu. Bukankah Allah SWT telah menyatakan secara jelas melalui ayat 11, surah Hujarat yang terjemahannya bermaksud,

Wahai orang-orang yang beriman!
 janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan
 janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan
 janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
 (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan
 (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Terjemahan surah Al-Hujarat 89:11)

Tiba-tiba hati kami tergerak mahu ke Dhaka. Ibu kota negara Bangladesh. Entah bagaimana saya terpandang tawaran tiket penerbangan Air Asia di skrin komputer. Pilihan harga paling murah dengan penerbangan langsung ke sana.

Saya klik dan urusan selesai.

Alahai … sudah beberapa kali terkena (masih tidak sedar-sedar) penerbangan Air Asia yang ditunda atau dibatalkan. Kali ini berlaku lagi. Ia dimaklumkan menjelang beberapa hari sebelum tarikh berlepas. Saya segera mencari penerbangan lain. Maka agak logik untuk mengintai penerbangan negara destinasi, Biman singkatan kepada Bangladesh Airlines.

Alhamdulillah… tidak terduga harganya lebih murah berbanding Air Asia. Lalu kami menawarkan sedikit bayaran tambahan (bidaan) untuk diupgradekan ke kelas perniagaan. Permintaan kami dibenarkan. Sedikit kesusahan membawa lebih kebaikan. Kami bersyukur dengan nikmatNya.

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan.
(Terjemahan Ash-Sharh 94:5-6)

Perjalanan kami selesa walaupun dikelilingi Mat Bangla daripada balai berlepas sehingga kami memasuki pesawat. Pelbagai komen nakal muncul di antara kami berdua. Hati dan mulut jahat. Namun satu yang pasti, nampak nyata wajah-wajah gembira dan teruja yang mahu pulang bertemu keluarga. Ramai di antara mereka yang baru pulang setelah merantau dua hingga tiga tahun di Malaysia.

Tiba-tiba rasa sebak dan sayu muncul. Fikiran melintas dengan satu pertanyaan, “agaknya bagaimana pula jika bertemu keluarga sendiri di Firdaus setelah lama berpisah?”. Alahai… sungguh, saya merindui ayah dan Wan (ibu). Ayah sudah 24 tahun meninggalkan kami. Wan pula 17 tahun dijemput pulang. Kemungkinan untuk bertemu kembali hanya boleh berlaku di syurga. Saya terbayang begitu.

Kelas perniagaan mereka tidaklah setanding dengan syarikat penerbangan Emirates, Ittihad, Saudi ataupun Malaysia. Namun ia selesa dan memadai dengan harga yang ditawarkan. Layanan pramugari dan pramugara tetap sama. Senyum dan senyum.

Akhirnya, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dhaka. Saya dan Roza bergerak pantas menuju laluan imigresen. Mahu cepat beredar. Namun usia tua membatasi pergerakan. Sudah banyak negara yang memberi laluan khas kepada pemegang tiket kelas perniagaan. Bangladesh terkecuali. Kami beratur panjang.

Tiba-tiba seorang petugas memberi arahan, “laluan sana… laluan sana… tabligh… tabligh.” Saya mendongak membaca papan tanda lalu memahami arahan yang diberikan. Allah ya Allah… jemaah tabligh mempunyai laluan khas. Bukan satu tetapi dua.

Arahan kepada kami. Agaknya kerana saya berkopiah dan wajar dilayan sebagai jemaah tabligh. Kami keluar dari barisan dan terus menghadap pegawai bertugas. Sungguh… ia peristiwa kecil tetapi signifikan kepada roh dan perasaan. Di Dhaka juga saya bertemu imbasan “masuk syurga tanpa dihisab” setelah mengalami analogi peristiwa yang sama di beberapa buah negara lain.

Ia terkesan di hati!

Kami menunggu bagasi. Tiba-tiba sekeluarga yang hampir menegur kami. “Malaysia?,” satu pertanyaan mesra hadir dari lubuk hati. Ia perasaan yang terasa di hati. Rasa hati yang tidak boleh dibuat-buat. Akhirnya – ia tiada dalam perancangan – mereka mempelawa kami ke rumah mereka.

Saya angguk.

Mereka nyata bersungguh kerana meminta nombor hubungan. Allah ya Allah… besoknya kami menerima pesanan yang nyata mempesonakan.

We’ll be happy to have you at our place tomorrow. If you need car, just give us a call when you are ready, we will send it to you. See you InShaaAllah.

Allah ya Allah… bila tiba harinya, kami disambut dengan senyum dan sengeh yang lebih hebat. Sungguh …. bagaimana DIA memberi rasa teruja dan gembira kepada kami nyata tidak dapat ditelah. Nikmat mana lagi yang mahu kami dustakan?

Begitulah … saya terkenang kisah lampau – ketika sedang menuntut di peringkat sarjana – bagaimana kami bertemu sekeluarga rakyat Malaysia bermusafir di Dundee Scotland. Mereka tidak kami kenali. Kami ajak ke rumah kerana timbul rasa belas melihat mereka tersesat di kala cuaca semakin gelap. Barangkali mereka juga tidak menduga sebagaimana yang kami rasai di sini. Itulah indahnya persaudaraan dalam Islam.

Sungguh kami melihat kebesaranMu ya Allah.

Di rumah merekalah baru kami mengetahui yang Billal adalah seorang penghafal al-Quran. Dua anak lelakinya – InsyaAllah – juga bakal mengikut jejaknya. Dua anak perempuan sedang belajar di universiti. Isteri beliau suri rumah tangga sepenuh masa.

Mereka menerima dan meraikan kami dengan layanan luar biasa. Makanan dihidang seratus peratus masakan dan menu Bangladesh. Apa yang ada di meja depan belum cukup sepenuhnya. Masih ada makanan di dapur yang dibawa kemudian.

Alahai… baiknya mereka. Kami malu kerana selama ini sering memandang rendah terhadap bangsa mereka. Allah temukan kami dengan Bilal dan keluarga untuk mengetuk hati. Membersih hati agar tidak lagi memandang rendah sesama manusia. Kebaikan individu bukan kerana bangsa, pangkat dan darjat. Orang yang baik-baik di sisi Allah adalah ahli syurga. Dia nyatakan melalui ayat 30, surah An-Nahl yang terjemahannya bermaksud,

Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan”.

Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa.

Sungguh … kami meninggalkan Dhaka dengan suasana yang sebegini rupa dari saudara Islam bertemu di tepi jalan. Logiklah untuk kami berasa sebak dan sayu dengan kebaikan mereka. Kami doakan mereka diberkati Allah sentiasa.

Ya Allah… kami bertemu ahli syurga di sini. Temukanlah kami semula di Firdaus yang kekal abadi. Pekenankanlah Ya Allah. Kami mohon keampunanMu ya Allah.