Raudhah

Menemui adiku Ratna yang dikasihi,
Salam sejahtera dan salam sayang buat keluarga dan rakan-rakan,

Semalam kak Ngah mengambil beberapa keping gambar di Haram. Tujuannya hanya satu, mahu memberikan gambaran keadaan di sini. Mana tahu kalau-kalau ia boleh menjadi panduan kepada sanak-saudara serta rakan-rakan yang akan pergi menunaikan haji dan umrah nanti.

Kak Ngah ambil gambar nombor-nombor di pintu masuk, pintu pagar, dan pintu tandas. Ambil gambar tong-tong air  zam-zam yang disediakan  kepada jemaah. Dan banyak lagi yang mahu ditunjukkan. Sedang kak Ngah asyik mencari sudut menarik, tiba-tiba terdengar pengawal wanita berkata,”Hajjah..hajjah! Laa..  laa. Amanat ya hajjah.”

Tersentak! Kak Ngah terlupa kamera dan telefon bimbit berkamera adalah antara barang larangan. Ia tidak dibenarkan di bawa masuk ke Haram. Selalunya pegawai-pegawai keselamatan wanita akan buat pemeriksaan di pintu-pintu masuk. Mereka memeriksa beg-beg yang dibawa oleh jemaah wanita seorang-seorang.

Macamana Kak Ngah boleh terlepas? Oh, telefon bimbit ini Kak Ngah masukkan kedalam poket baju. Tanpa beg sandang. Apabila masuk ke Haram, kelihatan seperti jalan berlenggang.

Ratna,
Lagi seminggu sahaja suasana Haram ini dikatakan lenggang. Mulai hujung bulan ini khabarnya kumpulan jemaah haji dari pelbagai negara akan mendarat di Madinah. Emm, minggu ini Kak Ngah mahu sembahyang di Raudhah puas-puas. Musim ini kawasan Raudhah hanya dipenuhi oleh penduduk tempatan. Dapatlah kami sembahyang sunat banyak-banyak tanpa bersesak-sesak.

Setiap kali ke Raudhah, Kak Ngah sampaikan salam yang dititip oleh sanak-saudara dan rakan-rakan kepada Rasulullah. Kak Ngah katakan,”Assalamualikum ya Rasulullah, ya habibullah.. saya datang dari jauh menbawa salam dari sanak-saudara dan rakan-rakan. Mereka semua meminta saya menyampaikan salam rindu dendam kepada mu ya Rasulullah. Saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan mereka rezeki kewangan, rezeki kelapang masa dan di buka pintu hati untuk ke sini. Agar suatu masa nanti Allah menjemput mereka menjadi tetamu-Nya.. agar merasai apa yang kami rasai.”

Selalunya doa itu menjadi panjang. Bagi yang berpesan secara peribadi, Kak Ngah solat hajat dan berdoa bagi pihak mereka. Sesungguhnya Allah mendengar bisikan hati walaupun mereka berada jauh di Malaysia. Namun, mudah-mudahan Allah makbulkan lintasan hati mereka.

Ratna, 
Sebelum terlupa, katakan kepada sanak-saudara dan rakan-rakan yang baru pertama kali mahu menjejakkan kaki di bumi Rasulullah ini, jika jemaah wanita mahu ke Raudhah..masuk melalui pintu 25 – 29. Raudhah di buka mengikut jadual. Dalam sehari ia di buka 2 kali sahaja setakad ini iaitu pada pukul 7 pagi dan selepas Isyak sekitar 8 malam.

Namun, jemaah lelaki boleh masuk ke Raudhah pada bila-bila masa sahaja.

Bersama ini Kak Ngah kirimkan dua keping gambar yang diup-load via bluetooth dengan susah payah. InsyaAllah,  di kesempatan yang lain kita berjumpa lagi.

Salam sayang dari kami di sini untuk semua.
-Rumah kecil di Jabal Ohud-

Setiap pintu masuk mempunyai nombor

Pintu pagar juga bernombor

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>