Masuklah ke dalam..

Menemui adikku Ratna yang dikasihi,
Salam sejahtera,

Sebagaimana yang dinyatakan dalam warkah terdahulu, hari Khamis dan Jumaat adalah cuti hujung minggu bagi penduduk  Madinah. Mereka sekeluarga akan berpusu-pusu ke Haram sejak petang Rabu lagi. Ada yang sudah mula berkampung selepas waktu maghrib.

Mereka sekeluarga datang dengan membawa tikar dan bekalan makanan! Kebanyakan mereka berada di Haram sepanjang malam dan bermalam di Haram!  Di waktu subuh masih ada lagi anak-anak dan ibu yang tidur bergelimpangan.

Di Haram ada ruang bagi mereka yang membawa anak-anak kecil. Ruang mereka diasingkan bagi kemudahan ibu-ibu mengawal pergerakan anak-anak. Selalunya mereka memilih untuk bersembahyang di ruang dataran.

Ratna,
Sampaikan pesanan kepada bakal jemaah Malaysia tentang perkara ini. Katakan kepada mereka agar tidak terpengaruh dengan kumpulan orang-orang yang suka bersembahyang di dataran. Pesan betul-betul. Suruh mereka masuk ke dalam Haram!

“Banyak lagi ruang kosong di dalam masjid Nabawi itu. Terutama di saf-saf hadapan!”

Ada yang suka sembahyang di dataran. Entah apa yang ada dalam kepala dan hati mereka agaknya. Kak Ngah sendiri tidak faham. Barangkali bagi mereka yang membawa anak-anak kecil dan ibu tua yang berkerusi roda.. kita boleh terima alasan mereka. Anehnya.. kita dapati orang-orang muda, tubuh sihat walafiat tetapi memilih untuk bersembahyang di luar Haram! Di dataran..

Malah ada antaranya dengan sengaja mencari-cari kawasan tiang, ruang di tepi-tepi tong sampah malah di sekitar tandas. Ia sangat mempengaruhi jemaah yang datang dalam tergesa-gesa. Barangkali pada fikiran mereka sudah tiada kekosangan di ruang dalam.

“Jangan! Sekali lagi jangan! Teruskan.. masuklah ke dalam Haram. Masih ada ruang di dalam Haram, InsyaAllah. Bukankah kita ke sini dengan niat untuk beramal ibadat?”

Di dalam Haram, suasananya sangat selesa. Ada tempat kasut, disediakan tong-tong berisi zam-zam jika kehausan, ada karpet tebal dan pendingin udara yang nyaman. Juga disediakan al-quraan. Beritikaflah di dalamnya. Jika ganjaran pahala mahu di ukur sebagai motivasi diri untuk beribadat, ingat pesanan ustaz,

“Solat di masjid Nabawi pahalanya 1000 kali ganjarannya berbanding di hotel. Kalau mahu sembahyang di hotel, lebih baik duduk dengan selesa di Malaysia. Tidak perlu datang sejauh ini.”

Ratna,
Ingat pesanan tadi.. masuklah ke dalam Haram. Jangan terpengaruh dengan kumpulan yang sengaja memilih untuk bersembahyang di dataran. Fikirkan.. barangkali kita hanya di beri peluang oleh Allah untuk berada di masjid Nabawi untuk kali ini sahaja. Peluang yang ada jangan dilepaskan.

Tahun hadapan belum tentu lagi.. masihkah kita diberi peluang untuk datang ke sini. Masih dipinjamkan nyawakah kita lagi?  Duit boleh dicari..Nyawa?

Sekian, sehingga berjumpa lagi di lain lembaran.

Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah Munawarrah.
-Rumah kecil di Jabal Ohud-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>