Tissu dan tandas..

Menemui adiku Ratna,
Semuga di dalam rahmat Allah sentiasa,

Sejak seminggu hidung kami tersumbat. Apa tidaknya.. di luar cuaca panas manakala di bilik hotel penyaman udaranya sejuk melampau. Di sini kebanyakan hotelnya memasang penyaman udara sehingga ke luar koridor. Walaupun penyaman udara di bilik telah di tutup, namun sejuknya masih terasa.

Barangkali sebab itulah ramai jemaah kita yang tewas, demam-demam.  Tidak biasa dengan perubahan cuaca. Tiada ketahanan badan. 

Di sini juga sakit tekak, berkahak dan batuk adalah fenomena biasa. Oleh itu, bersedialah.. sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan rezeki tubuh badan yang sihat, rezeki kesihatan yang baik agar kita dapat beribadat kepada Allah yang maha kuasa. Kita tidak datang sejauh ini hanya untuk terbaring di atas katil di bilik hotel.

Ratna,
Dengar khabar Pak Teh dan Mak Teh akan berangkat menunaikan haji pada tahun ini? Alhamdulillah. Katakan kepada  mereka, di Madinah ini pembangunan sedang rancak dijalankan. Selain dari cuaca, debu dan habuk-habuk dari kerja-kerja pembangunan juga boleh menjejaskan pernafasan.

Barangkali sebab itulah wanita arab berhijab dan lelakinya berigal. Mereka menutup sebahagian muka. Sekeping kain penutup hidung rupanya berfungsi sebagai filter!

Sampaikan pesanan kepada Pak Teh dan Mak Teh agar membawa tissu jika ke Haram. Mana tahu tiba-tiba sakit tekak dan terasa mahu berkahak.. takut tidak sempat berlari ke tandas. Jadi, barangkali tisu boleh menyelamatkan keadaan ketika waktu-waktu sesak seperti itu.

Tandas. Pesan kepada mereka, tandas di Haram letaknya jauh di bawah tanah. Kita harus turun menggunakan eskelator [tangga bergerak]. MasyaAllah! Kak Ngah perhatikan ramai ibu-ibu tua dari negara-negara lain terjerit-jerit malah ada yang terjatuh kerana tidak biasa.

Untuk makluman Ratna, kami berpindah ke rumah sewa pada hari Jumaat. Rumah kecil kami di Jabal Ohud. Barangkali Kak Ngah akan mengambil masa untuk menulis lagi. Namun, Insyallah jika ada kesempatan kak Ngah akan berkongsi cerita bagaimana kami berkemah di pinggir padang pasir dan di celah gunung dalam kegelapan malam! Malam yang hanya di terangi cahaya purnama.

 Sekian sahaja untuk kali ini. InsyaAllah, kita berjumpa lagi.
-Rumah kecil di Jabal Ohud-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>