Piknik waktu malam di padang pasir

Menemui adikku Ratna, keluarga dan rakan-rakan yang dikasihi,
Kami doakan agar semua di dalam peliharaan Allah sentiasa,

Kami sudah berpindah. Kak Ngah rasa sayu. Hotel Raudat sangat dekat dengan Haram. Kami kehilangan faktor tersebut. Buat sementara waktu, ziarah Rasulullah SAW nampaknya akan terhenti. Solat lima waktu di Haram perlu dirancang semula. Internet terputus.

Ia hanya sedikit kesukaran yang InsyaAllah akan dapat diatasi.

Sehari sebelum berpindah, kami menghadiri jamuan Hari Raya Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia di sini. Kesemua mereka sedang menuntut di Universiti Islam Madinah. Ada lebih 100 pelajar. Mudah-mudahan mereka semua akan bergelar ulamak besar Malaysia suatu hari nanti, InsyaAllah.

Majoiti mereka masih bujang. Ustaz Aizat – salah seorang dari yang berkeluarga – bertanya, “ada sesiapa menjemput Kak Roza sekeluarga berpiknik berhampiran bukit Magnet? Marilah ikut kami panggang-panggang di sana malam nanti. Selepas Isyak”

 Bukit magnet? Piknik?

Kami teruja dan serta merta menerima pelawaan mereka. Malam itu selepas sembahyang Isyak di Haram, kami dijemput oleh satu lagi pasangan muda bersama anak kecil dengan kereta mereka. Pasangan itu berasal dari Singapura.

Walaupun kali pertama bersua, namun kemesraan mereka terasa seolah-olah telah lama mengenali kami.  Tidak kekok sama sekali. Apatah lagi beliau yang sudah lama belajar di Kelang. Bahasa percakapannya sudah tidak menggambarkan beliau menetap di Singapura.

Ratna,
Berkemah atau berkelah di waktu malam di padang pasir adalah sebahagian daripada aktiviti orang-orang arab. Mereka aktif di waktu malam. Kebanyakan aktiviti beroperasi selepas Asar dan Isyak sehingga jauh malam.

Bayangkan kami bertolak selepas Isyak, lebih kurang pada 9.00 malam [2 pagi waktu Malaysia]. Sofea sudah tidak larat untuk membuka mata. Masih ada sisa-sia “jetlag”.. namun, kami heret juga!

Kami sampai di pinggir padang pasir berbukit-bukau yang hanya disuluh oleh cahaya purnama. Gelap gelita. Cuma selepas beberapa ketika barulah mata kami mulai serasi dan dapat melihat alam sekitarnya.

Khemah atau tempat bersantai kami diterangi dengan 3 buah lampu gasoline dan unggun api yang kecil.

Dalam samar-samar kami melihat kelip-kelip lampu di beberapa tempat. Sayup-sayup terdengar gendang-gendang orang arab. Terdengar juga suara pak-pak arab bersorak-sorak sambil menyanyi. Barangkali itu caranya mereka menghiburkan hati. 

Ratna,
Benar, menyedut udara segar dari bukit dan gunung di tengah malam amat menginsafkan.  Kami membayangkan beginikan kabilah-kabilah arab yang berjalan di tengah padang pasir lalu berkemah melepaskan lelah di waktu malam.

Kami membayangkan bagaimanakah keadaan Rasulullah  yang berjalan kaki (atau menunggang unta) dari Makah ke Madinah. Apakah berbumbung khemah tempat tidur baginda? Apakah beralas kapet tempat duduknya? Apakah juadah alas perutnya?

 Ah, barangkali khemah baginda tidak seselesa khemah kami. Apatah lagi hidangan baginda.. tidak seenak ayam panggang ramuan Aizat dan isteri.

Lalu Kak Ngah fikir - nikmat Allah yang mana satukah mahu kami dustakan?

 Subhanallah! Alhamdulillah! Allah Hu akhbar!

Sehingga jumpa lagi di lain lembaran. Salam sayang dari kami sekelurga kepada adik-beradik, sanak saudara dan rakan-rakan.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>