Selipar Amirul hilang..

Menemui adikku Ratna yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga di dalam peliharaan Allah sentiasa,

Ratna,
Hari Jumaat lalu kami bermalam di rumah sewa ini. Rumah kecil di Jabal Ohud. Petang  itu, Kak Ngah dan abang Ngah meminta rakan menunjukkan tempat membeli barangan keperluan dapur. Lalu dibawanya kami ke Hypermarket Panda [Orang arab mengejanya sebagai بند  ]

Semasa menyimpan barangan, baru kak Ngah  perasan terlupa membeli garam, tepung dan mentega. [p/s Sebab itu kak Ngah tidak suka ke hypermarket. Lain yang mahu, lain pula yang di beli]

Esoknya kak Ngah meminta Amirul pergi ke kedai runcit berhampiran rumah. Perkara pertama, kami menyelongkar beg – mencari buku panduan pelancong [Inggeris-melayu-arab]. Kedua – mencari ayat-ayat yang sesuai dan nama barangan. Abang Ngah senyum-senyum memerhatikan gelagat kami sebelum dia pergi kerja.

Akhirnya kami menggunakan ayat ini : أريد الملح زبدة وطحبن  [saya mahu garam, mentega dan tepung]

Amirul pulang ke rumah dengan senyuman meleret. Ditangannya ada barangan yang di cari.

Sebelum Amirul ke masjid berhampiran untuk menunaikan sembahyang zohor, kak Ngah meminta dia apabila pulang nanti membeli berus bagi membasuh kolar baju. Dia mengangguk dan meminta mencari perkataan berus dalam bahasa arab.

Puas kami mencari-cari perkataan itu dalam buku panduan pelancong. Namun tidak berjumpa. Emm, logik akal…ada ke pelancong yang mahu membeli berus?  Lalu kak Ngah suruh Amirul mencari sahaja tanpa bertanya.

Balik dari sembahyang zohor, Amirul berlenggang. Mana berus? Tidak sempat bertanya, kak Ngah terkejut melihat dia menangis. Sofea terpinga-pinga. Dalam tersedu-sedu dia berkata. “Amirul tak dapat beli berus..selipar Amirul hilang.” Dia berguling-guling sambil memegang tapak kakinya,”Sakit kaki Amirul jalan atas batu..panas!”

Kak Ngah cuba menenangkan dia, “Cuba Amirul cerita apa yang berlaku.” Lalu, Amirul bercerita dalam tangisan yang belum reda. “Ada budak, India agaknya.. dia kacau Amirul tengah mengaji quraan dalam masjid tadi. Dia tolak badan, tendang, tarik rambut dan sekeh kepala Amirul. Tapi Amirul buat tidak tahu. Masa mahu pergi sembahyang ke saf hadapan, Amirul lalu tepi dia. Amirul cubit tangan dia sambil lalu.. “  Masyallah! Gelihati  melihat gelagatnya tetapi bukan detik yang sesuai untuk memberi nasihat. Masa untuk mendengar.

“Bila Amirul selesai sembahyang, budak itu sudah bawa lari selipar Amirul. Jadi Amirul terpaksa balik kaki ayam” tangisannya menjadi-jadi. Semakin kuat dia memegang tapak kaki.

“Ya Allah kenapa balas dia macam itu..tidak elok. Tiada bezanya perangai awak dengan dia. Bukankah itu dalam masjid tempat beribadat? Lebih baik bersabar. Allah cuma bagi sedikit ujian pada Amirul. Ujian hati.. Besar ke budak tu?” Dia menggelengkan kepala.”Besar siapa?” Kak Ngah bertanya.  Kata Amirul ,“Besar Sofea..”

Kali ini, Kak Ngah dan Sofea benar-benar tidak dapat menahan tawa. Amirul   menguatkan tangisannya.

“Okey, waktu asar ni Amirul beritahu imam pasal budak itu. Katakan selipar Amirul hilang..” Tiba-tiba dalam keadan masih tersedu-sedu Amirul berkata,”Mama, macamana Amirul nak beritahu imam, nak cakap dalam bahasa arab – “budak itu jahat.”

MasyaAllah! Untuk meredakan keadaannya, kak Ngah membuka buku panduan pelancong sekali lagi. Puas membelek-belek, akhirnya berjumpa perkataan “budak lelaki itu.” Kemudian mencari perkataan “jahat” di muka surat lain. Susah betul mencari perkataan itu. Entah betul, entah kan tidak..akhirnya Kak Ngah tulis perkataan ini.

“الولد لسيء – budak itu jahat.

Waktu asar itu Amirul berjalan ke masjid dengan tenang sekali. Dia memakai selipar  ayahnya. Kak Ngah bekalkan beg pelastik untuk menyimpan selipar itu. Di tangan dia ada salinan kertas yang ditulis oleh mamanya. Barisan ayat pengubat hati anak yang kehilangan seliparnya. Patah-patah perkataan yang di tulis oleh si ibu dengan susah payah. Detik yang membuatkan si ibu bertekad,”daku harus belajar dan masuk kelas bahasa arab!”

Sekian, InsyaAllah kita berjumpa lagi.

-Rumah kecil di Jabal Ohud-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Kerenah anak-anak, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>