Solat jenazah

Menemui adikku Ratna,
Semuga di dalam lindungan dan kasih sayang Allah sentiasa,

Ratna,
Rumah kecil kami di Jabal Ohud jaraknya 3 km dari Haram. Sejak berpindah ke sini, kami bagaikan patah kaki. Apa tidaknya.. kami belum mempunyai kereta. Di sini, apa-apa urusan perlu dapatkan iqomah dahulu. Iqomah itu seperti passpot atau I/C bagi penduduk tempatan.

Setelah mendapat iqomah, barulah banyak urusan yang boleh diselesaikan – misalnya – pendaftaran sekolah Amirul & Sofea, mendapatkan lesen dan membeli kereta, urusan bank dan sebagainya. Buat sementara, kami ke Haram dengan menumpang kereta pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian hadis di sini.

Sekurang-kurangnya dapatlah pula beliau sedikit tambahan kewangan!

Alhamdulillah! Kami belajar sesuatu setiap hari. Seolah-olah menghadiri kuliah pengajian hadis di dalam kereta. 

Ratna,
Salah satu yang terkesan di hati apabila kami membincangkan tentang fadilat solat jenazah. Lalu, pelajar itu – Abdul Aziz - membacakan sepotong hadis riwayat sahih Muslim yang bermaksud, Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud.

Ratna, katakan kepada sanak-saudara dan rakan-rakan yang bakal menunaikan fardu haji dan umrah, sembahyang jenazah dilakukan hampir setiap waktu selepas solat fardu di Haram. Jadi, belajarlah cara-cara bagaimana sembahyang jenazah.

Ratna,
Setiap kali sembahyang jenazah, kak Ngah selalu membayangkan diri apabila tiba saat-saat dipanggil Allah. Ramaikah nanti yang sembayangkan jenazah kita. Entah bila hari dan tarikhnya. Entah di bumi manakah kita dikebumikan nanti agaknya..

Bukan itu sahaja, jauh-jauh di sini kak ngah terkenangkan bagaimana pula jika ada kaum keluarga, sanak saudara atau rakan-rakan yang pergi dahulu. Cuma satu pesanan, jangan sampai merahsiakannya dari kami. Beritahulah, barangkali kami tidak sempat menatap wajah mereka buat kali terakhir. Namun kami boleh bersembahyang jenazah mereka dari sini.

Usia tidak menjanjikan apa-apa. Sedangkan adik perempuan bungsu kita, Ayu sudah pergi meninggalkan kita terlebih dahulu. Apatah lagi apabila melihat emak, emak dan bapa saudara yang sudah semakin lanjut usianya. Entahkah mereka atau kita yang dipanggil terlebih dahulu.

Sebelum Kak Ngah terlupa, sudahkah Ratna melihat youtube yang divideokan oleh  encik Khairul dalam FB kak Ngah dan abang Ngah? Ucapkan terima kasih di atas usahanya. Baru Kak Ngah perasan keuzuran emak.

Raihan dan Kak De Tuti ada memaklumkan via FB, emak akan menjalankan pembedahan jari kaki. InsyaAllah, kak Ngah di sini tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan emak, adik beradik, sanak saudara dan rakan-rakan di Haram.

Akhir kata, walaupun surat ini seolah-olah warkah untuk Ratna, namun, katakan kepada adik-beradik, sanak saudara dan rakan-rakan, sebenarnya ia untuk tatapan semua. Semua yang kak Ngah sayang..

Salam sayang dari kami sekeluarga
-Rumah kecil di Jabal Ohud.-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>