4 riyal buat Sofea

Menemui adikku Ratna yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga di dalam rahmat Allah sentiasa,

Semalam kami berbuka puasa di Haram. Seperti biasa, beberapa biji tamar dan secawan air zam-zam merupakan juadah berbuka kami. Kata Sofea,”mama, Sofea makan kurma dan air zam-zam pun dah terasa kenyang.” Selalunya kak Ngah hanya tersenyum. Di dalam hati rasa bersyukur, anak seusia itupun tahu nikmat berbuka puasa di Haram. Tidak perlu memikirkan juadah yang bukan-bukan.

Kadang-kadang Kak Ngah ingatkan Sofea,”Itulah kebesaran Allah. Tambahan pula, ajaibnya dengan berniat berpuasa membuatkan kita tidak merasa kelaparan sepanjang hari. Walaupun bersahur hanya dengan sebiji kurma.”

Sofea mengangguk. Entah faham entahkan tidak. Biasa juga dia berkata,”Esok mama ingatkan..Sofea mahu berpuasa.”  Selalunya, bangun pagi sahaja dia sudah ke dapur dan bertanya,”mama, kita makan apa hari ini?” Dan selalu juga selepas makan, apabila kak Ngah ingatkan tentang niatnya mahu berpuasa..apa jawabnya,”Oppss..terlupa niat.”

Nikmatnya berbuka di Haram

Ratna,
Semalam Sofea mendapat satu lagi ilmu. Abang Ngah selalu bercerita kepadanya tentang jika kita melakukan kebaikan akan di balas dengan kebaikan. Dan kebaikan itu tidak pula di balas oleh Allah serta merta. Selama beberapa minggu berbuka puasa di Haram sempena syawal, Sofea melihat seorang kakak berusia 14 tahun yang datang mengerjakan umrah dari India membantu mengagihkan roti dan kurma kepada jemaah yang berpuasa. Kak Ngah tahu, Sofea kagum melihatnya.

Semalam, kak Ngah menyuruh Sofea mengaihkan air zam-zam kepada jemaah yang mahu berbuka puasa. Dia sempat mengagihkan 4 cawan kepada mak-mak arab dan azan berkumandang. Kami berbuka ala kadar dan bersembahyang.

Selesai sembahyang Isyak, Kak Ngah menunggu untuk solat jenazah dan solat sunat Isyak. Tiba-tiba Sofea mengejutkan Kak Ngah dari belakang,”mama, ada makcik tu bagi Sofea 4 riyal. Agaknya sebab Sofea bagi orang berbuka dengan 4 gelas air zam-zam..”

Subhanallah! Mudah-mudahan Sofea tidak sentiasa melakukan kebaikan untuk mengharapkan sebarang ganjaran.

Ratna, Bersama ini dilampirkan 2 keping gambar untuk tatapan sanak saudara dan rakan-rakan. Semuga kita diizinkan Allah berutus lagi di lain lembaran. InsyaAllah!

-Rumah kecil di Jabal Ohud-

Sofea dapat 4 Riyal!

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>