Aman..

Menemui adikku Ratna yang jauh di mata,
Salam sejahtera dan semuga dirahmati Allah sentiasa,

Pagi tadi Kak Ngah melepaskan leteran panjang kepada Amirul. Kenapa? Tiga hari lepas, dia meminta kak Ngah masak nasi dagang. Kak Ngah katakan kepadanya,” Amirul..ini bukannya Malaysia. Mama tidak bawa beras pulut. Santan kotak pun mama bawa tak banyak. Mama peruntukkan untuk buat nasi lemak.”

Balik-balik dia menyebut-yebut keenakan nasi dagang yang di buat oleh Chik Yah pada raya yang lepas. Akhirnya, dia meminta kak Ngah buat nasi lemak. Terlanjur buat sambal tumis ikan bilis, kak Ngah masak banyak-banyak. Kak Ngah simpan separuh di dalam peti sejuk.

Amirul sangat mengemari sambal tumis ikan bilis. Jika kelaparan di waktu sengang, sambal itu di cecah bersama roti arab. Kadang-kadang di masukkan ke dalam piring, lalu di ratah begitu sahaja.

Petang semalam, Amirul mendapati ada sedikit lagi sambal tumis di dalam peti sejuk. Lalu katanya,”Mama, esok sambal tumis ini buat nasi lemak.” Kak Ngah mengangguk tanpa menoleh kearahnya. Konon-konon tengah sibuk mengedit buku terbaru.

Pagi tadi selepas subuh, kak Ngah dapati sambal tumis itu hanya tinggal 2 sudu. Tidak cukup untuk dijadikan bahan utama bagi nasi lemak. Lantas kak Ngah menukar menu. Kak Ngah keluarkan daging lantas masak kicap di campur kentang, tomato buah dan kacang buncis. Kemudian kak Ngah tanak nasi putih.

Sebelum abang ngah pergi kerja, dia menjamah nasi terlebih dahulu. Kemudian bergegas pergi. Tinggallah kami bertiga menyudahkan nasi yang ada. Hairan..kak Ngah dapati Amirul lansung tidak mencuit sambal tumis. Wajahnya muncung, masam mencuka. Lalu, kak ngah bertanya,”kenapa Amirul tak makan sambal tumis.” Apa jawabnya? “Amirul makan sambal tumis dengan nasi lemak.”

Wah! Tiba-tiba darah hangat kak Ngah naik ke kepala. Lalu..leteran bermula.

“Amirul tidak tahukah bersyukur dengan nikmat Allah? Sepatutnya pagi-pagi begini, awak berterima kasih kepada mama yang telah menyediakan makanan. Celik mata sahaja..makanan telah tersedia. Tahukah Amirul..Sambal tumis itu tidak cukup untuk nasi lemak. Kalau awak mahu makan nasi lemak hari-hari..pergi balik Jementah. Di sebelah rumah nenek tu ada kedai makan..awak boleh makan nasi lemak hari-hari.”

“Hari ini rezeki di cari oleh ayah. Awak makan atas ihsan ayah. Esok-esok..belum tahu lagi awak dapat menikmati juadah seperti ini. Masa hadapan..hanya Allah yang menentukan. Belajarlah bersyukur dengan nikmat yang ada di hadapan mata.”

Kak Ngah tinggalkan Amirul dan Sofea menyudahkan makanan. Terus ke mesin basuh, lantas menyidai kain. Usai menyidai, kak Ngah lalu di hadapan mereka menuju ke bilik. Tidak menegur, tanpa berkata-kata. Dari sisi mata, dapati nasi dan daging goreng kicap telah di tambah lagi. Sambal tumis telah habis.

Jauh-jauh kak Ngah dengar mereka berdua membasuh pinggan di dapur. Kemudian mereka mandi dan masing-masing mencari lokasi berasingan bagi mengaji quraan. Emm..sesekali bagus juga buat tektik begini. Ada juga Sofea membuat cubaan bertanya itu dan ini. Kak Ngah buat-buat tidak tahu.

Alhamdulillah! Hari ini suasana aman tenteram. Tiada kedengaran suara budak-budak itu bergurau secara melampau, bergelak ketawa, berlari-lari kejar mengejar, riuh rendah satu rumah, mengadu domba kemudian ada yang menangis. Dapatlah kak Ngah edit lebih sedikit bab-bab buku terbaru nanti..sehingga suasana kembali pulih seperti sediakala.

Lalu, nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Sekian. Semuga diizinkan Allah kita bersua kembali.

Salam sayang dari kami di Madinah.
-Rumah kecil di Jabal Ohud-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Kerenah anak-anak, Masakan, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>