Sendirian..

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan,
Semuga diberkati Allah dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,

Ratna,
kelmarin kak Ngah dihubungi oleh seorang kenalan. Katanya dia pembaca tegar blog abang Ngah dan kak Ngah. Malahan buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan 50 Tip Motivasi Haji juga sudah dibacanya berkali-kali. Lantaran itu katanya Alhamdulillah, Allah membuka hati dan menjemputnya menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Subhanallah! Bukankah itu tanda-tanda kemurahan dan kebesaran Allah ?

Lalu, kami menjemputnya ke rumah kecil di Jabal Ohud. Suaranya teruja dan sedikit gementar. Petang itu kak Ngah menerima SMS darinya,” Puan..kami datang berdua – dengan mahram. Kami dua-dua perempuan.”

Usai solat Isyak, kami menemui mereka di tempat yang dijanjikan. Mereka mengikut kami pulang ke rumah dengan menaiki teksi. Maklumlah.. abang Ngah masih belum mendapat lesen apatah lagi memiliki kereta. Jadi, teksilah pengangkutan kami sehari-hari.

Semasa mengunjungi rumah kami, kenalan itu tidak banyak berbicara. Pendiam orangnya. Namun, setiap patah ucapan keluar dari bibir abang Ngah, matanya berkaca. Semasa kak Ngah ke dapur, menyediakan pemanis mulut, dia menyelinap masuk. Katanya,” Puan beruntung..akhirnya Allah memberi taufiq dan hidayah kepada prof.”

Begitulah Ratna..ramai yang katakan begitu. Kak Ngah tersenyum lalu berkata,” Puan melihat prof ketika keadaannya begini. Puan tidak tahu apa yang telah saya lalui..”

Kak Ngah katakan lagi,” Selama ini saya hanya mengadu kepadaNya. Adik beradik, rakan-rakan malah ibu sendiri tidak dapat melakukan apa-apa..tidak dapat mengubahnya. Hanya Allah.”

Kak Ngah teruskan,” Setiap kali bersedih, hati bimbang, gusar dan gundah gulana..Saya menangis sendirian di atas sejadah ditengah malam. Merintih kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha mendengar.”

Kak Ngah ceritakan ketika saat kesedihan di zaman kejahilan, ketika jiwa resah melihat anak-anak yang meningkat remaja mengharung gelombang ujian dunia sedangkan iman sendiri senipis kulit bawang. Saat berdepan dengan ego suami yang enggan berubah. Jika kita yang tidak memohon kepadaNya, siapa lagi yang mahu diharapkan? Apakah kita mahu meminta-minta agar ada orang lain yang mendoakan untuk diri dan keluarga?

Lalu kak Ngah kata kepadanya,”Puan..suami dan anak-anak itu anugerah Allah. Jika Dia menguji kita, sebenarnya Allah mahukan kita menghampiriNya.Bukankah Allah memberikan kita amanah sebagai isteri dan ibu? Jalankan amanah itu kerana Allah bukan kerana mereka. Kelak di hari pembalasan nanti, kita akan ditanya tentang amanah itu.”

Kak Ngah akhiri kata-kata,” Bukankah nanti kita akan menemuiNya sendirian? Kelak..anak-anak, suami, adik beradik, rakan-rakan..malah ibubapa tidak dapat menolong diri kita. Kita akan ditanya seorang demi seorang..”

“Usahlah bersedih puan. Hubungan kita dengan mereka bukan mutlak. Ingat, Allah berikan misal perbandingan hubungan suami-isteri serta anak-anak dalam kisah nabi Nuh dan nabi Lut? Bahkah isteri nabi terhumban ke dalam neraka..Siapa kita? Tidakkah kita terfikir mengenainya?”

Ratna,
Ramai juga rupanya isteri-isteri yang datang sendirian menunaikan fardu haji tanpa suami. Mereka datang sendirian kerana suami yang dikatakan masih belum terbuka pintu hatinya. Namun, mereka lebih takutkan Allah serta bimbang kalau-kalau umur mereka tidak panjang . Tetapi dihujung kata-kata, perlahan mereka mengiakannya,” Suami mengizinkan pergi sendiri inipun sudah mencukupi..Alhamdullilah!”

Masyallah! Astagfirullah! Kita mohon keampunan Allah.

Sehingga bertemu lagi, barakallah hufikum.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Keluarga, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>