Saya bukan Siti Hajar

Menemui adikku Ratna yang dikasihi,
Semuga dibawah lindungan Allah sentiasa,

Ratna,
Seminggu yang lalu kami ramai bertemu dengan jemaah haji dari Malaysia. Ada antaranya kami bawa ke rumah, ada yang berjumpa di lobi-lobi hotel malahan ada yang berkesempatan berjumpa di tepian jalan. Allah hu Akhbar! Namun, ada juga yang hanya suara mereka kedengaran di hujung telefon bimbit sahaja.

Tiada rezeki dan keizinan Allah untuk kami bersua muka.

Ratna,
Semakin ramai yang kak Ngah jumpa, rupa-rupanya ramai yang datang membawa seribu kisah suka duka. Barangkali begitulah Allah menguji hambaNya bagi mengetahui apakah mereka terdiri dari golongan beriman atau pendusta. Bahkah orang-orang terdahulu telah menerima ujian mereka.

Jika benar kita mengaku hanya Allah yang disembah, tempat kita memohon pertolongan. Jika benar hakikat kehidupan manusia untuk menyembah dan beribadat kepada Allah.

Namun Ratna..
Kak Ngah dapati ramai wanita mulai goyah dengan ujian yang dihadapi..Mereka berdukacita dan gundah gulana. Sedangkan mereka sudahpun berada di bumi barakah..Jika benar, mengadulah kepada Allah.

Pernah suatu ketika kami menerima SMS dari seorang wanita yang mahu bertemu di sebuah lobi hotel. Wajah ayunya suram dan tampak kesedihan. Di tangannya ada buah tangan, katanya “Ini puan..seorang rakan berkirim barang untuk Amirul dan Sofea.”

Kami menyambutnya dengan rasa bersalah namun, mempelawanya untuk datang ke rumah. Rumah kecil kami di Jabal Ohud. Jawapan yang diberi,” Terima kasih puan..nanti saya tanya mahram serta ibu dan bapa saudara dahulu. Kami datang berempat.”

Tiga hari kemudian kami menjemput mereka dengan menyewa dua buah teksi. Bapa saudaranya datang bertongkat. Kak Ngah terbayang arwah bapa mertua Raihan..Sampai di rumah abang Ngah melayani mereka. Sedang wanita itu beria-ia mahu menolong kak Ngah didapur. “Baik duduk di ruang tamu sahaja hajjah..dapur ini kecil. Kelak berlaga punggung.” Dia tersenyum, manis sekali. Wanita itu tidak berganjak.

Lalu, kak Ngah bertanya,”Alhamdulillah, hajjah datang untuk menjaga ibu dan bapa saudara?” Jawapannya,” Saya yang mahu menumpang mereka..suami tidak mahu ikut.” Jauh di sudut hati Kak Ngah menyesal bertanya.

“Itu ketentuanNya. Jemputan haji datang dari Allah. Barangkali itu yang terbaik. Sekurang-kurangnya ada orang menjaga anak. Opss, hajjah ada anak?” Tiba-tiba suaranya sebak.

“Anak sulung yang saya harap menjaga adik-adiknya. Berumur 16 tahun. Dua orang adik-adiknya, masing-masing 11 tahun dan 8 tahun. Ayahnya sibuk sentiasa. Jarang menjenguk keluarga. Kami anak beranak, pandai-pandailah mahu hidup.”

Ratna..Kak Ngah kesal. Bukannya sengaja mencari soalan perangkap, bukan mahu menjaga kain sesiapa. Tiba-tiba wanita itu bertanya,” Puan..apa yang harus saya lakukan?” Matanya berkaca-kaca.

Dalam hati kak Ngah berdoa,”Ya Allah..berikanlah daku ilham. Ilmuku cetek, amalanku kurang. Daku tidak pandai. Namun, ajarkan daku dan lembutkan lidahku. Agar mereka faham perkataanku..”

“Hajjah, setiap hari kita membaca surah Fatihah yang menyebut – hanya Allah yang disembah, tempatku memohon pertolongan. Tunjukkan daku jalan yang lurus.. Jadi, mohonlah petunjuk dariNya. Dikatakan doa-doa kita secara lansung kepada Allah tiada hijab. Dikatakan juga di Haram banyak tempat-tempat mustajab. Berdoa, menangis dan merintihlah kepadaNya. Dia maha mengetahui bisikan hati, apa yang terpendam di dalam dada.”

Wanita itu sebak.

Kak Ngah teruskan lagi,” Hajjah..bangunlah solat malam. Mengadu kepadaNya.” Wanita itu mendekati dan memegang tangan kak Ngah, katanya,” Puan..suami saya seorang ustaz. Apakah dia tidak tahu tanggungjawabnya kepada keluarga? Dia ada ilmu tetapi mengapa tidak mengamalkannya?”

Belum sempat menjawab,terdengar abang Ngah memanggil dari luar.” Yang, teksi sudah datang menjemput mereka untuk pulang.” Sambil berjalan keluar dari dapur, Kak Ngah berbisik kepadanya.

“Hajjah..ingat kisah Siti Hajar, isteri ke 2 nabi Ibrahim. Siti Hajar ditinggalkan bersama anak kecilnya di padang pasir yang gersang, hanya bersama doa dan tawakkal. Siti Hajar redha, jika itu perintah dari Allah. Siti Hajar sedar Allah tidak sesekali menginiaya hambaNya. Masing-masing tahu itu ujian buat mereka. Bukan sedikit juga ujian emosi, fizikal, tauhid dan tawakkal yang diterima oleh nabi Ibrahim dari Tuhannya..”

Dua hari kemudian, kak Ngah menerima SMS dari Mekah. Wanita itu meninggalkan pesanan ringkasnya,” Puan..tetapi saya bukan Siti Hajar. Saya bukan Siti Hajar..”

Subhanallah! Astaghfirullah! Tabarakkallah..Ya Allah, janganlah daku diuji dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh diriku..”

Ratna,
Salam sayang buat emak, Sara, Azrai, adik beradik, ipar duai, sanak saudara dan rakan-rakan semua. Semuga kita redha dan mensyukuri nikmat kurniaan serta diberkati Allah sentiasa.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>